Author: Bernama

  • Lelaki berpakaian seragam tentera bunuh 60 penduduk kampung

    Lelaki berpakaian seragam tentera bunuh 60 penduduk kampung

    SEKURANG-KURANGNYA 60 penduduk maut dibunuh oleh sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera dalam kejadian di kampung Karma di utara Burkina Faso, kata seorang pendakwa raya tempatan pada Ahad.

    “Komander briged gendarmerie Ouahigouya melaporkan kepada saya seramai 60 penduduk kampung Karma dibunuh oleh lelaki yang memakai pakaian seragam tentera,” kata Lamine Kabore, lapor Agensi Anadolu.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan kesihatan tempatan.

    Susulan insiden itu, Kabore mengarahkan siasatan dijalankan untuk menahan semua yang terlibat.

    Serangan seperti itu lazim berlaku di Burkina Faso yang dibelenggu oleh keganasan sejak beberapa tahun lalu, selepas tentera merampas kuasa dalam dua rampasan kuasa pada Januari dan September 2022.

    Sejak itu, ramai orang awam dan tentera maut, menjadikan negara itu negara kedua paling terjejas di dunia, menurut Indeks Keganasan Global 2023.

  • MB Kelantan ajak rakyat solat hajat susulan cuaca panas, kemarau

    MB Kelantan ajak rakyat solat hajat susulan cuaca panas, kemarau

    SELURUH rakyat di Kelantan diseru melaksanakan solat hajat di kediaman masing-masing selain berdoa berikutan negara kini berhadapan dengan cuaca yang terlalu panas.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata keadaan yang dijangka berterusan sehingga Ogos depan turut menyebabkan kemarau berpanjangan dan memusnahkan tanaman pertanian.

    Beliau berkata para imam juga disarankan melaksanakan solat hajat di masjid atau surau di seluruh negeri Kelantan memohon agar hujan dapat turun pada kadarnya demi kesejahteraan bumi dan seluruh penduduk.

    “Saya menyeru rakyat Kelantan turut perbanyakkan istighfar dan berdoa kepada Allah SWT serta mengambil peluang untuk solat hajat di rumah masing-masing.

    “Semoga dengan usaha dan ikhtiar ini, Allah SWT menurunkan Rahmat-Nya kepada kita semua dengan menganugerahkan hujan secara merata lagi menyegarkan bumi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • ‘Pembangkang belum buat permohonan rasmi bincang peruntukan’

    ‘Pembangkang belum buat permohonan rasmi bincang peruntukan’

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada ahli parlimen pembangkang.

    Mengakui bahawa baru-baru ini beliau dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengadakan perjumpaan, namun ia adalah pertemuan tidak rasmi.

    “Saya dah bagi tahu kepada mereka (PN) untuk buat tawaran (permohonan) secara hitam putih, selagi kita (kerajaan) belum terima surat rasmi bermakna tidak akan berlaku sebarang rundingan.

    “Kalau kita ingat, sewaktu kerajaan Keluarga Malaysia ada Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dan ada rundingan. Jadi yang ini belum berlaku… macam orang meminang, macam mana nak bincang kalau orang tak menawarkan,” katanya dengan nada berseloroh.

    Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya yang turut dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg di Kuching, hari ini.

    Fadillah sebelum ini dilaporkan telah meminta Takiyuddin mengemukakan perincian cadangan secara bertulis, sebelum rundingan mengenainya dimulakan.

    Selain itu, dia juga tidak menetapkan had masa khusus untuk ketua whip pembangkang dan juga ahli parlimen Kota Bharu itu mengemukakan cadangan berhubung perkara berkenaan.

    Perikanan dan Nasional (PN) telah melantik tiga wakil yang terdiri daripada Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Takiyuddin untuk menyertai rundingan itu.

  • Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    IDENTITI enam mangsa terkorban dalam nahas dua buah kereta Proton Persona yang bertembung di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai, Kemaman petang semalam, telah dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa yang maut adalah empat penumpang di dalam kereta Proton Persona yang pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

    Katanya, pemandu kereta tersebut Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

    “Manakala di dalam kereta Proton Persona kedua pula mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71 dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri berusia dua tahun. Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

    Hanyan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku kira-kira lima petang semalam itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh dekat situ, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

    Situasi tersebut menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan, katanya.

    “Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.

    “Mayat semua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    DUA lagi maut dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai semalam, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban dalam tragedi 3 Syawal itu kepada enam orang.

    Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital manakala empat lagi mangsa maut di lokasi kejadian.

    Terdahulu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh Mohd Hafiezul Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan dua buah kereta Proton Persona itu pada 4.47 petang.

    Katanya, sejurus itu lima anggota dari BBP Cheneh dan enam anggota yang bersedia di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi.

    “Kereta Proton Persona pertama yang dinaiki lapan individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun menghala ke Bandar Baru Cheneh, Kemaman.

    Manakala kereta Proton Persona kedua pula dinaiki lima individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

    Bagaimanapun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

  • Cuaca panas: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan – Jabatan Kesihatan

    Cuaca panas: Orang ramai perlu ambil langkah pencegahan – Jabatan Kesihatan

    JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat atau mengalami cuaca panas supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan.

    Pengarahnya Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata orang ramai perlu mengehadkan masa berada di luar bangunan dan melakukan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas dan jerebu kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit.

    Beliau berkata mereka juga perlu memakai pelitup muka yang sesuai jika berada di kawasan berjerebu dan menggunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan termasuk merokok.

    “Pada ketika ini, negara kita sedang dilanda cuaca panas yang memberi kesan kepada kualiti udara dan suhu ambien di beberapa kawasan.

    “Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya cecair dalam tubuh akan berkurangan seterusnya menyebabkan individu terbabit akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba,” katanya di Seremban hari ini.

    Dr Harlina menasihatkan orang ramai agar banyakkan meminum air kosong walaupun tidak terasa dahaga, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan penting untuk mengawal atur suhu badan.

    Beliau turut meminta mereka yang tidak sihat supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.

    Langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas dan jerebu boleh didapati menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan, katanya.

    Dr Harlina berkata berdasarkan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, terdapat tujuh kawasan di Semenanjung berada pada Tahap Amaran satu (Berjaga-jaga) iaitu Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).

    Setakat padi tadi, kualiti udara di tiga stesen pengawasan kualiti udara iaitu di Seremban, Nilai dan Port Dickson menunjukkan tahap indeks sederhana, katanya.

  • Sindiket pasang jenama tiruan selepas import, kata KPDN

    Sindiket pasang jenama tiruan selepas import, kata KPDN

    KEMASUKAN barangan tiruan dari luar negara tanpa sebarang jenama menyukarkan pihak berkuasa membanteras kegiatan penjualan barangan itu sepenuhnya.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan sukar dibuat di peringkat kemasukan kerana kerajaan tidak menghalang import pakaian/tekstil dari luar, selagi tidak menyalahi peraturan seperti penggunaan cap dagang secara salah.

    “Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa jenama dan setelah lepas pemeriksaan pihak berkuasa, baik di pelabuhan atau lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan di dalam negara.

    “Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu saja (selepas ia dipasangkan jenama),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Beliau berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan dalam membasmi kegiatan itu kerana dalam sesetengah keadaan, mereka tidak mendapat kerjasama penuh wakil cap dagang ketika melakukan serbuan.

    Katanya, kehadiran wakil cap dagang dalam setiap operasi atau serbuan di stor mahupun premis barangan tiruan penting kerana pengesahan status sama ada barangan itu tiruan atau tidak hanya boleh dilakukan mereka.

    “Kami menerima banyak laporan dan aduan orang awam mengatakan penjualan barangan tiruan di sesuatu lokasi. Mengikut prosedur, kami perlu berhubung dengan wakil cap dagang untuk mereka turut serta dalam operasi.

    “Misalnya, dalam serbuan di Jalan Petaling baru-baru ini yang melibatkan lebih 30 wakil cap dagang. Namun, ada daripada mereka tidak hadir, jadi kami tidak boleh mengambil barang-barang tersebut walaupun diketahui ia barangan tiruan.”

    Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi pihaknya adalah mendidik masyarakat menghormati cap dagang, sekali gus menghapuskan mentaliti membeli barangan tiruan semata-mata bagi memenuhi kehendak untuk bergaya.

    Apabila pengguna membeli sesuatu barangan tiruan, katanya, mereka mungkin merasakan sudah ‘memiliki’ produk berjenama, namun hakikatnya mereka sedang menghancurkan institusi yang mencipta suatu jenama dan akhirnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara.

    “Terutama sekali pada musim perayaan sebegini, memang berlaku peningkatan daripada tempahan barangan tiruan di seluruh negara. Diketahui juga pada musim sebegini, memang akan ada stok semula besar-besaran untuk edaran, termasuk penjualan dalam talian.”

    Ariffin berkata, statistik menunjukkan Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga adalah lokasi panas penyimpanan dan penjualan barangan tiruan di ibu negara.

    Katanya, hasil risikan mendapati kebanyakan sindiket tidak berminat berpindah ke lokasi lain memandangkan lokasi itu menjadi hab dikenali ramai untuk mendapatkan barangan tiruan, baik dalam kalangan rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

    “Jadi, itulah yang menjadi sasaran utama kami dan semestinya KPDN akan gunakan segala usaha untuk membanteras kegiatan ini. Bagaimanapun, pengguna perlu sedar, jangan sesekali menggunakan barangan tiruan walaupun murah. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita,” katanya.

  • 2 nama dicalon untuk timbalan speaker DUN Melaka

    2 nama dicalon untuk timbalan speaker DUN Melaka

    CALON timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan diumumkan Jun ini, kata Speaker DUN, Ibrahim Durum.

    Setakat ini, katanya, kerajaan negeri menerima dua nama bagi pelantikan itu, namun enggan mendedahkan sama ada calon itu daripada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan (PH).

    “Kita masih berbincang untuk mengenal pasti calon layak memandangkan timbalan speaker sebelum ini, iaitu Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai timbalan exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

    “Senarai akhir itu hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum sidang DUN atau pada hari berkenaan yang dijangka pada penghujung Jun ini,” katanya di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kuala Linggi anjuran bersama Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

    Ibrahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan calon itu daripada PH.

    “Sudah semestinya pemilihan ini akan mencerminkan kerajaan perpaduan yang sedang diperkukuhkan di Melaka. Jadi, kita tunggu saja pengumuman rasmi nanti pada sidang DUN nanti,” katanya.

  • Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    SEPASANG suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres di KM21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Sungai Ikan, dekat Kuala Terengganu tengah hari tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada 12.45 tengah hari itu, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, anak pasangan itu, Che Ku Batrisya, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun serta lapan penumpang bas mengalami kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres yang membawa seorang kelindan dan 27 penumpang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.

    “Sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara di Kuala Terengganu, memasuki laluan bas ekspres dan jarak yang dekat menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mayat suami isteri itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Wan Mohd Zaki berkata, anak pasangan itu dan pemandu bas ekspres kini berada di HSNZ untuk menerima rawatan manakala penumpang bas yang cedera dibawa Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.

  • Mangsa banjir berjimat sambut 1 Syawal

    Mangsa banjir berjimat sambut 1 Syawal

    BELANJA secara ‘rahmah’ atau berjimat cermat menjadi pilihan hampir segelintir besar penduduk Batu Pahat, apatah lagi selepas terkesan teruk akibat banjir besar bulan lalu.

    Melalui tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk mahu menyambut lebaran dengan meriah, tetapi perlu berbelanja secara ‘rahmah’ atau berhemah.

    Bagi Mohd Ariff Ab Razak, 37, dia sekeluarga membuat pembelian secara berjimat cermat untuk pakaian raya, sekadar sepasang berbanding dua atau tiga pasang sebelum ini.

    Katanya, ini memandangkan sebahagian pendapatannya turut digunakan untuk membeli barangan lain yang rosak akibat banjir.

    “Tahun ini, kami sekeluarga perlu mendahulukan keperluan dengan membeli katil, perabot dan beberapa peralatan rumah lain serta menjadikan pakaian hari raya bukan keutamaan, tapi jatuh nombor dua,” katanya ketika ditemui di Ekspo Ramadan Dewan Jubli Intan Batu Pahat, baru-baru ini.

    Berkaitan juadah Aidilfitri, katanya, dia bersama keluarga seperti biasa memasak ketupat, rendang dan kuah lodeh, namun mengehadkan pembelian kuih raya.

    Nursamimi Isnin, 24, pula berkata kebanyakan persiapan raya tahun ini dibelinya dalam talian kerana harga lebih murah berbanding di pasar raya atau di kedai mahupun tapak jualan ekspo Ramadan.

    “Tahun ini, saya hanya membeli baju saja di ekspo Ramadan, itu pun kerana bimbang saiz pakaian terlalu besar atau sempit, yang lain saya beli dalam talian.

    “Apa yang penting, raya tahun ini bukannya untuk bermewah-mewah, tetapi lebih menunjukkan rasa kesyukuran setelah kita berjaya menunaikan kewajipan di bulan Ramadan.”

    Bagi peniaga Mohd Nahar Abdullah, 48, ini kali pertama sepanjang 18 tahun dia berniaga pakaian raya di ekspo Ramadan jualan agak merosot dan kurang memberangsangkan.

    “Semasa selepas Covid-19 (Perintah kawalan pergerakan) dulu pun tak teruk macam ni, mungkin masing-masing nak berjimat…suasana di ekspo Ramadan memang penuh, memang ramai tapi kuasa membeli kurang, mungkin masing-masing nakkan suasana raya saja.”