Author: Bernama

  • Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    Pelajar bukan calon SPM tidak dibenar balik asrama selepas cuti Tahun Baharu Cina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina, tidak dibenarkan pulang ke asrama sebaliknya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu, bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan COVID-19.

    “Kita akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. KPM juga telah meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM, bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

    Sementara itu, beliau turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes COVID-19 dalam sektor pendidikan, di mana sebanyak 118,238 jumlah kumulatif kes COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan lain-lain kluster.

    “Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb), daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus, melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

    “100 kluster di bawah institusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya.

    Menurutnya, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 kluster membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada institusi berasrama sepenuhnya.

    “Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

    “Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya. – BERNAMA

  • Tujuh maut pesawat bawa pelancong terhempas

    Tujuh maut pesawat bawa pelancong terhempas

    TUJUH orang maut selepas sebuah pesawat yang membawa sekumpulan pelancong terhempas di Gurun Nazca di Peru, Sputnik memetik laporan media.

    Menurut stesen penyiar RPP, pesawat itu membawa pelancong melawat Garisan Nazca, yang terkenal di dunia dengan pelbagai lukisan besar atas muka bumi (geoglyph).

    Pesawat itu membawa rakyat Belanda dan Chile. Punca kejadian masih tidak diketahui. – BERNAMA

  • Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    AGENSI berita Bloomberg membuat kesilapan dengan menyiarkan tajuk berita “Rusia Menceroboh Ukraine” (Russia Invades Ukraine) dan tidak lama kemudian menarik balik tajuk itu, lapor Sputnik.

    “Kami telah menyediakan tajuk utama untuk banyak senario dan tajuk ‘Russia Invades Ukraine’ secara tidak sengaja diterbitkan sekitar jam 4 petang ET (21:00 GMT) hari ini di laman web kami,” tulis Bloomberg di laman web rasminya.

    “Kami amat kesal atas kesilapan itu. Tajuk berita telah dikeluarkan dan kami sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.

    Dalam beberapa bulan lalu, Rusia didakwa menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk serangan.

    Bagaimanapun, Rusia berulang kali menyatakan bahawa ia tidak berniat menyerang Ukraine. – BERNAMA

  • 13,208 kes baharu COVID-19 di Singapura

    13,208 kes baharu COVID-19 di Singapura

    Oleh MASSITA AHMAD

    SINGAPURA melaporkan 13,208 kes baharu akibat jangkitan COVID-19 pada Jumaat, peningkatan tiga kali ganda berbanding Khamis.

    Republik itu juga melaporkan enam kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menurut data Kementerian Kesihatan (MOH) yang diterbitkan menerusi laman webnya.

    Sepanjang 28 hari lepas, data menunjukkan bahawa 85,357 orang telah dijangkiti virus berkenaan dengan 99.7 peratus tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya simptom tidak ketara.

    Daripada jumlah itu, 0.3 peratus memerlukan bantuan oksigen dan sokongan dan 0.04 peratus ditempatkan di unit rawatan rapi.

    Kadar jangkitan mingguan COVID-19 di Singapura berada pada 1.39 pada Jumaat, meningkat daripada 1.23 pada Khamis.

    Jumlah kes akibat COVID-19 kini mencecah 379,681, dengan 866 kematian.

    Sehingga 3 Feb, 89 peratus penduduknya telah lengkap divaksin atau menerima dua dos vaksin COVID-19, dan 59 peratus telah menerima suntikan penggalak. – BERNAMA

  • MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) telah memulakan siasatan lanjut di MARA Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keseluruhan anak syarikat MARA dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016 dan sentiasa mengutamakan amalan integriti yang tinggi dalam organisasi.

    Azizah juga menafikan wujud salah guna kuasa atau salah urus tadbir susulan dokumen dalaman anak syarikatnya tular dalam media sosial yang mendakwa wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawainya. – BERNAMA

  • Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    KES baharu COVID-19 di dalam negara melonjak kepada 7,234 kes hari ini selepas tiga hari berturut-turut merekodkan angka lebih 5,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 2,895,014 setakat 12 tengah hari tadi manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan pula meningkat kepada 2,799,608 dengan pertambahan 5,254 orang hari ini.

    “Daripada jumlah kes baharu hari ini, 73 melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua. 118 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Beliau juga berkata, sebanyak 21 kluster baharu direkodkan dengan 346 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata, Rt negara berada pada paras 1.11 semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.25 diikuti Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17).

    Sementara itu, menerusi ciapan Twitter, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi di negara ini menyebabkan kurang pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima serta ia menunjukkan bahawa vaksin itu berfungsi.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu berikutan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, ia menyebabkan gejala yang dialami tidak begitu teruk terhadap mereka yang sudah menerima vaksinasi penuh dan suntikan dos penggalak,” katanya. – BERNAMA

  • Buka pintu kerjasama baharu dengan Qatar fokus lawatan kerja Abdul Hadi

    Buka pintu kerjasama baharu dengan Qatar fokus lawatan kerja Abdul Hadi

    MALAYSIA menzahirkan kesediaan membuka pintu kerjasama baharu dengan Qatar khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan, serta bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusiaan.

    Ia adalah antara fokus utama yang dibawa Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika melakukan lawatan kerja empat hari ke Qatar bermula 31 Jan lepas hingga hari ini (4 Feb).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu hari ini, lawatan Abdul Hadi ke Qatar itu mendapat mandat serta persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Tujuan lawatan ini adalah untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang sedia terjalin, serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama negara itu sepanjang lawatannya di Doha.

    Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdulaziz Al Thani, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani; Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

    Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Qatar Fund for Development (QFFD), Khalifa Bin Jassem Al-Kuwari; Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Charity (QC), Yousef bin Ahmed Al-Kuwari; Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr Ahmed Raissouni; dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

    Abdul Hadi turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu, serta bertemu rakyat Malaysia yang menetap di Qatar.

    Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu memaklumkan Abdul Hadi kini menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

  • Lalitha dakwa kandungan artikel berkaitan Azam Baki daripada sumber sah

    Lalitha dakwa kandungan artikel berkaitan Azam Baki daripada sumber sah

    PENYELIDIK Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), K Lalitha mendakwa kandungan artikel dan ciapannya berhubung Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diperoleh daripada sumber yang sah.

    Perkara itu dinyatakan Lalitha, 49, selaku defendan di dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam.

    “Saya telah menyiarkan artikel-artikel itu berdasarkan apa yang diekstrak daripada sumber yang disahkan serta merumuskan maklumat dengan tepat, adil dan secara neutral,” menurutnya dalam pernyataan pembelaan.

    Beliau juga mendakwa selaku wartawan penyiasat, siasatan yang dilakukannya adalah berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral selain tidak berat sebelah terhadap fakta serta maklumat yang diperoleh, yang boleh diakses daripada domain awam.

    “Saya memplid bahawa adalah amat penting bagi orang ramai untuk menerima komunikasi maklumat tertentu secara terus terang dan tanpa halangan, demi kepentingan awam,” katanya.

    Pada 12 Jan lepas, Azam, 59, memfailkan saman terhadap Lalitha atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).

    Azam mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun lepas.

    Plaintif mendakwa defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

    Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

    Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

    Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Dr Mahathir masih jalani rawatan pemulihan di IJN

    Dr Mahathir masih jalani rawatan pemulihan di IJN

    TUN Dr Mahathir Mohamad masih menjalani proses rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, menurut Pejabat Tun Dr Mahathir.

    Pejabat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bekas Perdana Menteri itu telah dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Feb lepas dan kemudian kembali ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

    “Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir) dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai,” menurut kenyataan tersebut.

    Pejabat itu turut memaklumkan, Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan ketika ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

    Pada 26 Jan, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan, keadaan kesihatan bapanya itu semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa.

    Pada 22 Jan juga, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

    Sementara itu menerusi satu video yang dimuat naik di laman YouTube hari ini, Dr Mahathir memaklumkan sendiri bahawa beliau masih belum pulih sepenuhnya, dan berulang-alik ke rumah dari hospital setiap hari.

    “Saya balik daripada pagi sampai petang, lepas tu saya balik ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka ingin teruskan.

    “Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berdoa untuk pemulihan saya, ramai yang hantar bunga, kad dan sebagainya, untuk itu saya ucap terima kasih,” katanya.

    Justeru, Dr Mahathir berharap supaya beliau akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau kembali pulih.

    Video berdurasi 1 minit 15 saat berkenaan turut memaparkan Dr Mahathir pulang ke rumah sambil ditemani dan minum bersama Dr Siti Hasmah, selain membaca surat khabar. – BERNAMA

  • Kemalangan maut: Penternak ikan didakwa bunuh 4 beranak

    Kemalangan maut: Penternak ikan didakwa bunuh 4 beranak

    SEORANG penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret Bentong hari ini, atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas.

    Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7; dan Ahda Imtinan, 5; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini pada 2.30 petang, 28 Jan lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia tertuduh.

    Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine pada 11.45 pagi, 28 Jan lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine pada 12.05 tengah malam, 29 Jan lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun.

    Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

    Pada 28 Jan lepas, media melaporkan kemalangan maut tragis yang meragut nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

    Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – BERNAMA