Author: Bernama

  • 17, 134 kes baharu, 99.5 peratus Kategori Satu, Dua

    17, 134 kes baharu, 99.5 peratus Kategori Satu, Dua

    SEBANYAK 17,134 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, iaitu peningkatan 3,190 kes daripada 13,944 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook beliau memaklumkan, jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,956,332 kes.

    Beliau berkata 99.5 peratus atau 17,048 daripada kes baharu hari ini adalah Kategori Satu dan Dua, manakala 0.5 peratus atau 86 kes berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

    Menurutnya Kategori Satu mencatat sebanyak 4,722 kes atau 27.56 peratus; Kategori Dua (12,326 kes atau 71.94 peratus); Kategori Tiga (58 kes atau 0.34 peratus); Kategori Empat (24 kes atau 0.14 peratus) dan Kategori Lima (empat kes atau 0.02 peratus).

    — BERNAMA

  • PM doakan kesembuhan Muhyiddin, keluarga

    PM doakan kesembuhan Muhyiddin, keluarga

    PERDANA Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin yang positif COVID-19, diberikan kesembuhan.

    Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya, Ismail Sabri turut mendoakan semoga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu dan keluarga dilindungi.

    “Didoakan agar Allah SWT memberi kesembuhan dan melindungi Tan Sri (Muhyiddin) sekeluarga,” katanya dalam catatannya sambil memuat naik semula status Muhyiddin.

    Muhyiddin hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas melakukan ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

    Menerusi catatan di media sosialnya, bekas perdana menteri itu memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Alhamdulillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik,” katanya sambil meminta mereka yang berkemungkinan menjadi kontak rapatnya, untuk mematuhi SOP yang ditetapkan KKM. – BERNAMA

  • Arab Saudi wajibkan jemaah umrah kemuka keputusan negatif PCR mulai hari ini

    Arab Saudi wajibkan jemaah umrah kemuka keputusan negatif PCR mulai hari ini

    BERMULA hari ini, Arab Saudi mewajibkan jemaah umrah tempatan dan antarabangsa yang ingin menziarahi Tanah Suci untuk mengemukakan keputusan negatif ujian PCR COVID-19.

    Menurut jurucakap rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hesham A. Saeed, hanya jemaah yang terbukti negatif COVID-19 melalui ujian PCR atau RTK (Ag) dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh keberangkatan ke Tanah Suci dibenarkan memasuki Arab Saudi.

    Selain itu, jemaah juga masih diwajibkan untuk melengkapkan vaksinasi di negara masing-masing dan berdaftar melalui aplikasi “Tawakkalna” dan “Eatmarna”, katanya dalam temubual dengan Saudia TV.

    Hesham menambah pihaknya menerima lebih daripada 282,000 permohonan visa umrah sejak bermulanya musim umrah 1443 Hijrah dan menjangkakan bilangan permohonan akan bertambah terutamanya ketika menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.

    Beliau turut mengingatkan jemaah umrah dan ziarah agar sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan sepanjang masa, demi menjaga maslahat mereka dalam menghadapi varian Omicron COVID-19 ketika berada di Tanah Suci.

    Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mewajibkan rakyatnya yang berumur 16 tahun ke atas untuk mengambil dos penggalak bagi mereka yang telah melepasi tempoh tiga bulan daripada tarikh pengambilan dos kedua, sebelum dibenarkan untuk ke luar negara.

    — BERNAMA

  • Ejen hartanah dituduh langgar anggota polis dalam sekatan jalan raya

    Ejen hartanah dituduh langgar anggota polis dalam sekatan jalan raya

    SEORANG ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis sehingga cedera parah dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR), awal bulan ini.

    Yap Kah Wai, 29, didakwa melanggar Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, menggunakan kereta di SJR Jalan Besar Seri Kembangan, menghala ke Pekan Seri Kembangan pada 1.50 pagi, pada 5 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat tidak menawarkan jaminan kerana mangsa mengalami cedera parah selain tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau antaranya dadah, samun dan mencuri kenderaan.

    Peguam Kailash Sharma memohon jaminan mengambil kira faktor anak guamnya itu belum dibuktikan bersalah, namun Hakim Jamaludin Mat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

    Pada 5 Feb lepas, Bernama melaporkan seorang anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika bertugas dalam SJR dan akibat kejadian itu, mangsa patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua tangan. – BERNAMA

  • Muhyiddin positif Covid-19, jalani kuarantin kendiri di rumah

    Muhyiddin positif Covid-19, jalani kuarantin kendiri di rumah

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19, selepas melakukan ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

    Menerusi catatan di laman Facebook beliau, bekas perdana menteri itu memaklumkan beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Alhamdulillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik,” menurut catatan itu.

    Muhyiddin turut meminta mereka yang berkemungkinan menjadi kontak rapatnya, untuk mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.

    Beliau juga memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatannya dan keluarga.

    — BERNAMA

  • Mahkamah keluar injunksi beku aset Najib hingga AS$681 juta

    Mahkamah keluar injunksi beku aset Najib hingga AS$681 juta

    1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) dan satu anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang Datuk Seri Najib Tun Razak melupus atau mengurangkan nilai mana-mana aset miliknya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Sekiranya Najib memerlukan lebih daripada jumlah tersebut, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

    Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding dalam talian semalam selepas membenarkan permohonan injunksi mareva ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa yang lain.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah di mana mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Perintah itu berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 21 Feb.

    Seorang peguam Tetuan Skrine yang mewakili 1MDB ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah itu.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas Peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan iaitu Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA

  • Malaysia ikut kehendak Arab Saudi wajibkan dos penggalak ke atas jemaah umrah

    Malaysia ikut kehendak Arab Saudi wajibkan dos penggalak ke atas jemaah umrah

    PROSEDUR operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan pengambilan dos penggalak ke atas jemaah umrah Malaysia adalah berdasarkan kepada kehendak Kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

    “Dos penggalak adalah salah satu kehendak (kerajaan) Saudi ke atas jemaah umrah. Mereka ada mengeluarkan circular (pekeliling), jadi kita kena ikut.

    “Pintu untuk ke Tanah Suci dah dibuka mulai hari ini. Jadi jemaah kita kena ikut syarat yang ditetapkan untuk ke sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Usrah Anak Muda anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Zayan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di Kuala Lumpur  semalam.

    Mengenai data terkini bakal jemaah umrah yang telah menerima dos penggalak, Idris berkata pihaknya tidak mempunyai data berkenaan.

    Katanya statistik mengenai bakal jemaah umrah Malaysia yang sudah menerima suntikan dos penggalak ada pada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana urusan SOP umrah itu adalah di bawah kementerian itu.

    Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,

    Jemaah umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara SOP  baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini.

    Beliau berkata, selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

    “Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

  • PRN Johor: Pejuang tiada hasrat sertai khemah besar PH

    PRN Johor: Pejuang tiada hasrat sertai khemah besar PH

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

    “Kami (Pejuang) tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan calon-calon kita akan bertanding di atas tiket Pejuang.

    Pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita di bawah lambang PH atau menyertai khemah besar PH,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat “Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir” di Kuala Lumpur hari ini.

    Mukhriz bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan bersama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun sebarang bentuk keputusan kerjasama politik sewaktu PRN Johor belum dimuktamadkan.

    Beliau berkata, sekiranya perbincangan itu mencapai kata putus, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

    “… tapi dengan pihak lain tiada perbincangan yang betul-betul mendalam, contohnya seperti PH,” katanya.

    Pada 24 Jan, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH, berkata, semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda perlu bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi PRN Johor.

    Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jan lepas untuk memberi laluan kepada PRN Johor. – BERNAMA

  • Sempadan negara dibuka selepas bincang dengan 3 agensi

    Sempadan negara dibuka selepas bincang dengan 3 agensi

    SEMPADAN negara hanya akan dibuka selepas diadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen dan dibawa kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan perdana menteri, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, hasil perbincangan antara ketiga-tiga pihak itu akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk diperhalusi terlebih dahulu, sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri atau Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

    Bagaimanapun, katanya, dua kementerian itu dan Jabatan Imigresen telah diarah untuk membuat persiapan bagi pembukaan sempadan negara.

    “Pembukaan semula sempadan negara adalah satu keputusan yang besar terutamanya melibatkan negara yang mempunyai hubungan dua hala yang masih lagi menutup sempadan terhadap warga Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mengesyorkan agar sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

    Menurut Muhyiddin, syor yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

    Mengulas sama ada sempadan negara boleh dibuka mengikut tarikh yang disyorkan oleh MPN, Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada perbincangan dengan dua kementerian dan Jabatan Imigresen.

    “Tarikh berkenaan (1 Mac) hanyalah syor MPN, dan kaedah kita, apa juga syor dan cadangan daripada MPN akan dibawa semula ke kabinet (jemaah menteri) untuk mendapat keputusan yang muktamad,” katanya.

    Sementara itu Hishammuddin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk kembali memainkan peranan penting dalam menangani COVID-19 seperti sebelum ini dengan pengaktifan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

    Menurutnya, penubuhan semula RRTF adalah tepat ketika negara sedang menghadapi peningkatan kes COVID-19 akibat varian Omicron, dan ATM bersedia untuk terus terlibat, bersedia pada bila-bila masa untuk mendirikan hospital medan di mana-mana lokasi di seluruh negara jika diperlukan.

    “Ia hanya mengambil masa selama seminggu untuk kita dirikan hospital medan ini, tetapi untuk masa sekarang ia tidak perlu kerana hospital di seluruh negara tidak berada dalam keadaan tertekan dengan jumlah pesakit COVID-19, jadi orang ramai jangan bimbang, kita tidak berada dalam keadaan seperti dahulu,” katanya. – BERNAMA

  • SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah

    JEMAAH umrah kini diwajibkan menerima dos penggalak yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) baharu, berkuat kuasa 14 Feb ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, selain itu, jemaah umrah dibenar menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

    “Jemaah juga dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

    Selain itu, mereka yang dipertanggungjawabkan dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA (pintu masuk antarabangsa) Malaysia,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, jemaah umrah yang akan berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb terikat dengan SOP sedia ada namun apabila pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan.

    Pada 26 Jan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan Kabinet membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb (hari ini).

    Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Jan lepas berikutan penularan jangkitan varian Omicron. – BERNAMA