Author: Bernama

  • Bicara kes rasuah projek solar tangguh, peguam Rosmah positif COVID-19

    Bicara kes rasuah projek solar tangguh, peguam Rosmah positif COVID-19

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif COVID-19.

    Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa, bukan Akberdin sahaja yang dijangkiti COVID-19, malah dua lagi anggota pasukan pembelaan iaitu Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat dengan Akberdin dan mereka perlu dikuarantin.

    Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti COVID-19.

    “Saya difahamkan beliau (Akberdin) telah didiagnosis pada 12 Feb. Malang mendengar perkhabaran itu. Saya doakan beliau sihat,” katanya.

    Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan disambung semula pada 23 Feb.

    Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod juga sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

    Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – BERNAMA

  • Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    Kes rogol amah: Paul Yong, isteri kontak rapat, bicara tangguh

    MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lepas setelah Yong dan isterinya menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan peguam Datuk Rajpal Singh dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

    Rajpal berkata, Yong yang juga saksi pembelaan utama dan isterinya, Too Choon Looi iaitu saksi pembelaan kedua memaklumkan mereka menjadi kontak rapat adik perempuan isteri Yong yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Feb selepas melakukan ujian PCR dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

    “Aplikasi MySejahtera (status) kedua-duanya telah bertukar sebagai kontak rapat dan berubah menjadi warna oren. Kami terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan utama iaitu tertuduh (Yong) sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini dan esok,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin, manakala Yong diwakili Rajpal dan Salim Bashir.

    Sementara itu, Azlina berkata, tiada bantahan daripada pihak pendakwaan kerana ia merupakan alasan yang sah berikutan COVID-19 adalah sangat berbahaya.

    Rajpal turut memaklumkan penyataan saksi kedua-dua suami isteri itu telah diserah kepada pihak pendakwaan sejak 31 Jan lepas.

    Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Rajpal berkata, Yong yang sudah mendapatkan dos penggalak, perlu menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sehingga esok.

    Yong, 52, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Yong yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, sepatutnya membela diri hari ini. – BERNAMA

  • PRN Johor: Amanah umum calon Jumaat ini

    PRN Johor: Amanah umum calon Jumaat ini

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan mengumumkan kesemua 16 calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Jumaat ini.

    Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, maklumat lanjut mengenai pengumuman tersebut akan dimaklumkan sehari sebelum itu.

    Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor berkata, apa dijanjikan adalah calon yang diketengahkan itu boleh dipercayai dan tidak lompat parti.

    “Kita mahu beri satu jaminan kepada rakyat yang mengundi di Johor ini, keluarlah mengundi.

    “Jangan bimbang. Insya-Allah wakil rakyat yang diundi itu tidak akan dapat melompat parti lagi selepas ini. Itu komitmen yang kita berikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Jentera PH + MUDA’ di Pulai Springs Resort di Johor Bahru hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Amanah bertanding 12 kerusi DUN dan menang sembilan kerusi iaitu Kemelah, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang. – BERNAMA

  • Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).

    Berikutan itu sumber SPRM berkata, pihak pengurusan MARA Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.

    “Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.

    Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.

    Dalam pada itu mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.

    “Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat. – BERNAMA

  • Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    PEJABAT UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di Mersing dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

    Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

    “Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

    “Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • 7 rakyat Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

    7 rakyat Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

    KESEMUA tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino akibat kelayakan vaksin COVID-19 digital mereka tidak diiktiraf pihak berkuasa Filipina sudah dibenarkan memasuki republik itu.

    “Sukacita Wisma Putra memaklumkan bahawa tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino telah dibenarkan memasuki Filipina, berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila,” ciap Kementerian Luar (Wisma Putra).

    Terdahulu, laporan menyatakan 13 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan, bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan jumlah sebenar ialah tujuh orang dan bukan seperti dilaporkan.

    Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

    Pengembara berkenaan memaklumkan kepada media Malaysia bahawa pasport mereka turut dirampas dan akan dihantar pulang pada Selasa, selain terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tiada kemudahan hotel disediakan.

    Laporan itu juga menyatakan Duta Malaysia ke Filipina telah bertemu pengembara berkenaan di lapangan terbang dan mengemukakan rayuan timbal balik vaksinasi, namun belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina. – BERNAMA

  • Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    Elak guna ejen nikah Siam, pesan Timbalan Menteri Agama

    PASANGAN yang mempunyai hasrat untuk berkahwin tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran sebaliknya menggunakan saluran betul yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau ejen perkahwinan di negara jiran, akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam jangka masa panjang.

    “Perkara ini penting supaya perkahwinan itu tidak berbangkit dengan pelbagai isu dan masalah di depan hari kepada kedua-dua pasangan.

    “Gunalah saluran yang betul dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan (Malaysia), kerana kita telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan lengkap, tidak perlu mencari sindiket perkahwinan di negara jiran,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Seragam Sekolah di Dataran Lemang, Manik Urai, di Kuala Krai hari ini.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pasangan perlu memikirkan keabsahan perkahwinan mereka apabila menggunakan khidmat sindiket perkahwinan di negara jiran.

    “Perlu juga fikir dari sudut berpanjangan contoh daripada aspek pendaftaran anak dan sebagainya sekiranya perkahwinan itu tidak sah apabila menggunakan ejen atau sindiket perkahwinan. Gunalah jurunikah yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri dan wilayah,” katanya. – BERNAMA

  • Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    DUA penyeludup daun ketum warga tempatan yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam cubaan meloloskan diri, di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar di Kuala Perlis, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, suspek mengemudi bot secara berbahaya dan bertindak merempuh bot penguat kuasa Maritim Malaysia.

    “Maritim Malaysia berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 37 dan 48 tahun, setelah bot yang mereka naiki mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan bocor akibat rempuhan itu.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam serta 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan berat 3.2 tan metrik dianggarkan bernilai RM576,000 dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Menurutnya, turut dirampas tiga enjin sangkut dianggarkan bernilai RM380,000 dan bot fiber bernilai RM180,000.

    Mohd Hashim berkata, ini merupakan kali pertama penyeludup menggunakan bot penumpang mewah berkuasa tinggi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Daripada hasil siasatan, kami dapati bot tersebut akan berlabuh di negara jiran dan hanya bergerak ke Malaysia untuk menyeludup keluar daun ketum,” katanya.

    Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. – BERNAMA

  • Kes rasuah Bung Moktar: Pendakwaan mahu soal balas saksi sendiri yang dianggap belot

    Kes rasuah Bung Moktar: Pendakwaan mahu soal balas saksi sendiri yang dianggap belot

    PIHAK pendakwaan memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya yang dianggap sebagai saksi belot dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950, bagi menyoal balas sendiri perunding unit amanah yang merupakan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45.

    “Terdapat percanggahan yang material antara keterangan saksi itu di mahkamah sebelum ini, dengan rakaman percakapan yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan,” katanya pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob hari ini.

    Law memaklumkan pihaknya telah menyerahkan rakaman percakapan saksi itu kepada pihak pembelaan.

    Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar mengesahkan menerima rakaman tersebut pada 11 Feb lepas, manakala peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette juga memaklumkan perkara sama.

    Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan tersebut atas alasan ia tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.

    Hakim Rozina menetapkan 24 Feb ini untuk mendengar permohonan tersebut, dan menasihatkan Norhaili agar tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pegawai penyiasat.

    Terdahulu Norhaili semasa pemeriksaan utama oleh pendakwaan mengekalkan keterangannya pada 27 Jan lepas bahawa Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta, memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Dalam keterangannya itu, saksi berkenaan berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya, apabila pelakon itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    Lelaki Iraq suspek bunuh wanita Somalia di Ampang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagi membantu siasatan kejadian kes bunuh seorang wanita warga Somalia di sekitar Ampang Point, Ampang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam tadi.

    Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab. Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, suspek warga Iraq itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mohamad Farouk meminta orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

    Semalam, beliau berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12 tengah hari berhubung kejadian seorang wanita warga asing berusia 28 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang.

    Beliau dalam kenyataan berkata maklumat orang ramai mengatakan mangsa pada mulanya dilihat bertengkar dengan seorang lelaki di hadapan premis itu sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam. – BERNAMA