Author: Bernama

  • PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    GERAKAN akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Beliau berkata bagaimanapun, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Feb ini.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding (di Johor) satu Parlimen dan dua DUN, kali ini memang kita akan bertanding lebih daripada dua DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina PN di Pontian malam tadi, yang turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengulas lanjut, Lau berkata, keputusan jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN dan fokus Gerakan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu pada PRN Johor.

    Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu, kalah di kedua-dua kerusi.

    Gerakan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Feb, pengundian awal pada 8 Mac dan 12 Mac sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Wanita larikan kereta ditahan

    Wanita larikan kereta ditahan

    SEORANG  wanita ditahan kerana disyaki melarikan sebuah kereta milik sepasang suami isteri yang ditinggalkan tanpa mematikan enjin kenderaan di Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, petang semalam.

    Suspek berusia 38 tahun dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah bertindak memandu kereta jenis Honda City secara agresif dan kemudian melanggar beberapa kenderaan seperti dipaparkan menerusi rakaman video yang tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang di hadapan Kolej Vokasional Setapak, ketika mangsa lelaki bersama isterinya keluar dari kenderaan tanpa mematikan enjin untuk mengangkat barang.

    “Mangsa kemudian mendapati kenderaannya dibawa lari seorang wanita menghala ke pusat bandar. Mangsa kemudian bertindak meminjam motosikal milik pengawal keselamatan yang berada berdekatan untuk membuat laporan polis.

    “Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati kenderaannya terbabit dalam kemalangan selain suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

    — BERNAMA

  • Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    CADANGAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengenai pembukaan semula sempadan dibuat hasil persetujuan bersama dan bukannya keputusan sendiri, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata cadangan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh ahli-ahli majlis berkenaan dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikan beliau, baru-baru ini.

    Muhyiddin berkata pembukaan sempadan itu amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan.

    Justeru, beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan majlis itu untuk membuka semula sempadan negara seawal 1 Mac ini.

    “’Please’ (tolong) PM (perdana menteri), MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib, beliau kata tak payah, ada Jabatan Imigresen, (ditanya) bila boleh buka, boleh buka 1 Mac.

    “Maka, kita buat keputusan atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di sini malam tadi.

    Turut hadir, Presiden Gerakan yang juga Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN.

    Awal Februari lepas, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, namun cadangan itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

    Semalam, Mohamed Azmin berkata Kementerian Kesihatan dijangka mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat, sebelum memutuskan tarikh pembukaannya.

    — BERNAMA

  • Keputusan rayuan Abdul Azeez batalkan tuduhan rasuah,pengubahan wang haram Rabu depan

    Keputusan rayuan Abdul Azeez batalkan tuduhan rasuah,pengubahan wang haram Rabu depan

    KEPUTUSAN rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, ditetapkan pada  23 Feb ini.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nik Haslinie Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pihak-pihak terlibat telah menerima surat makluman daripada Mahkamah Rayuan minggu lepas, berhubung tarikh keputusan rayuan itu.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, 55, mengesahkan perkara tersebut.

    Azura menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan status keputusan rayuan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.

    Perbicaraan kes Abdul Azeez yang bermula 19 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan ditangguhkan sementara menunggu  keputusan rayuan itu.

    Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata mahkamah mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

    — BERNAMA

  • Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    Jenayah bitcoin haram meningkat secara drastik tahun lalu – Bukit Aman

    JENAYAH  melombong bitcoin haram menunjukkan peningkatan drastik pada tahun lepas apabila 570 kertas siasatan dibuka selain penahanan 528 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM54 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata jumlah itu amat tinggi apabila dibandingkan dengan statistik tahun sebelumnya yang merekodkan 20 kertas siasatan dibuka dan penahanan 26 orang dengan nilai rampasan RM1.26 juta.

    “Majoriti mereka yang ditahan merupakan golongan muda iaitu antara 18 hingga 30 tahun yang dipercayai mudah terjebak kerana tertarik dengan pendapatan lumayan secara mudah manakala suspek paling tua berusia 61 tahun.

    “Polis juga telah membuka 20 fail di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, 10 individu dikenakan sekatan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelupusan barang kes kecurian elektrik bagi kegiatan bitcoin oleh Polis Kontinjen Pahang di Rompin hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua JSJ Pahang SAC Mohd Yusri Othman, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood dan Majistret Rompin Wahidah Zainal Abidin.

    Berdasarkan statistik, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang merekodkan jumlah kes melombong bitcoin haram paling tinggi, kerana dapat berselindung di sebalik jumlah kawasan perindustrian yang banyak memandangan kegiatan itu banyak menggunakan tenaga elektrik.

    “Kebanyakan suspek menggunakan premis perniagaan terpencil atau tersorok kerana kegiatan itu akan mengeluarkan bunyi bising dan haba panas selain akan kerap menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan penggunaan arus elektrik yang tinggi,” katanya.

    Abd Jalil berkata polis juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara supaya pendakwaan terhadap kesalahan bitcoin haram lebih dibuat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara berbanding Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Wan Nazmy berkata sebanyak 7,209 kes kecurian elektrik melibatkan premis bitcoin direkodkan selama tiga tahun bermula 2018 selain menyebabkan banyak kebakaran memandangkan aktiviti itu tidak mematuhi spesifikasi Suruhanjaya Tenaga dan TNB.

    “TNB juga kini menggunakan dron yang berkeupayaan mengesan haba panas dari udara di premis yang disyaki mejalankan aktiviti mencuri elektrik bagi melombong bitcoin secara haram selain memantau kawasan yang merekodkan penggunaan elektrik terlalu banyak namun bacaan meter adalah rendah,” katanya.

    Pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB yang ditubuhkan sejak 10 tahun lepas juga menurut Wan Nazmy lebih diperkasakan sejak tiga tahun lepas, untuk membanteras kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan bitcoin haram.

    — BERNAMA

  • Lebih 300,000 warga emas dijangkiti Covid – Dr.Noor Hisham

    Lebih 300,000 warga emas dijangkiti Covid – Dr.Noor Hisham

    SEBANYAK 336,848 warga emas atau 11.5 peratus daripada golongan itu di negara ini telah dijangkiti COVID-19 sehingga 7 Feb lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata jumlah kematian melibatkan kumpulan itu pula adalah sebanyak 61.3 peratus atau 19,646 kes daripada keseluruhan 32,034 kes direkodkan bagi tempoh yang sama.

    “Bagi suntikan vaksinasi pula, seramai 2,258,521 atau 67.7 peratus warga emas telah menerima dos penggalak dan 3,335,309 atau 96 peratus daripada populasi tersebut telah lengkap dua dos vaksinasi COVID-19.

    “Lindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19, lengkapkan vaksinasi dan dos penggalak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Akta baharu larang aktiviti merokok untuk generasi lahir selepas 2005 -KJ

    Akta baharu larang aktiviti merokok untuk generasi lahir selepas 2005 -KJ

    AKTA  baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata pengenalan akta baharu tersebut akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

    Beliau juga berkata kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta.

    “Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini.

    varian Omicron Indonesia
    Khairy Jamaluddin GAMBAR: Warta Rakyat

    Dalam pada itu, Khairy berkata terdapat peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus di negara ini iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

    Beliau berkata dianggarkan setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada sembilan wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit kanser.

    Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki ialah kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.8 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

    Sementara dalam kalangan wanita adalah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

    Menurut Khairy, kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

    Khairy berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM137 juta untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi dan jumlah tersebut tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi dan perkhidmatan paliatif.

    Pada sambutan Hari Kanser Peringkat KKM itu, Khairy turut melancarkan buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025.

    Menurutnya, NSPCCP 2021-2025 mengandungi sasaran serta strategi bagi semua aspek kawalan kanser yang merangkumi Pencegahan, Pengesanan Awal, Diagnosa, Rawatan, Rehabilitasi, Penjagaan Paliatif, Rawatan Tradisional & Komplimentari (T&CM), Surveilan & Pemantauan (Registri Kanser), Penyelidikan dan Sumber Manusia.

    NSPCRC 2021-2025 pula adalah subset daripada NSPCCP 2021-2025 dan merupakan pelan tindakan kanser kolorektal bagi peringkat KKM untuk mengawal kanser kolorektal, kanser kedua penting di Malaysia.

    — BERNAMA

  • Pukat ‘malas’ pembunuh utama penyu di Terengganu

    Pukat ‘malas’ pembunuh utama penyu di Terengganu

    PENGGUNAAN pukat pari atau lebih dikenali sebagai ‘pukat malas’ oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.

    Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Sharum Yusof berkata berdasarkan kajian pihaknya, sebanyak 45 peratus kematian penyu yang direkodkan setakat ini adalah akibat tersangkut pada pukat pari, manakala 38 peratus terperangkap dalam pukat tunda.

    “Apabila penyu tersangkut pada pukat pari atau pukat malas yang diletakkan di dasar laut selama dua hingga tiga jam, haiwan itu akan kelemasan dan mati kerana gagal timbul di permukaan air untuk bernafas.

    “Insiden terperangkap pada pukat kerap berlaku sehingga menyebabkan kematian dan lebih menyedihkan ada nelayan yang sanggup bunuh penyu yang terperangkap sebab tak mahu rosakkan pukat mereka ketika mahu keluarkan haiwan itu,” katanya kepada Bernama di sini.

    Kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila 22 kes kematian dilaporkan dalam tempoh Januari lepas sehingga semalam. Pada 2019 sebanyak 78 kes kematian penyu direkodkan, manakala 55 kes dicatat pada 2020 dan 51 kes (2021).

    Mengulas lanjut Sharum berkata penyu juga lebih mudah terperangkap jika pukat yang digunakan nelayan melebihi saiz yang dibenarkan pihak berkuasa iaitu saiz mata pukat tidak boleh melebihi 25 sentimeter (10 inci).

    “Masih ramai nelayan di negeri ini tidak memahami (peraturan) dan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa,” kata Sharum.

    Sehubungan itu katanya pelbagai program kesedaran dan kursus diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran nelayan tentang kepentingan mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus dapat menyelamatkan reptilia berkenaan.

    “Malangnya peratus kehadiran amat sedikit, sedangkan banyak lesen nelayan dikeluarkan, tambah buruk lagi ada ramai yang turun ke laut tanpa lesen dan golongan inilah yang sukar dididik dan diberi kesedaran,” katanya yang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan sehingga menjejaskan ekosistem marin.

    Sementara itu menurut Pegawai Penyelidikan Penyu FRI Rantau Abang Nazuki Sulong, punca lain yang menyebabkan kematian penyu ialah akibat terkena kipas bot, manakala peratusan penyu yang mati akibat termakan plastik sangat kecil iaitu hanya kira-kira lima peratus.

    Beliau berkata kematian penyu yang disebabkan termakan plastik sebenarnya jarang berlaku kerana kebiasaannya ia melibatkan penyu Belimbing yang makanan utamanya ubur-ubur dan spesies berkenaan sudah agak lama tidak kelihatan mendarat di pantai negeri ini.

    “Penyu Belimbing mungkin keliru, tak dapat beza plastik terapung dengan ubur-ubur. Penyu lain seperti Agar, Lipas dan Karah yang banyak terdapat di negeri ini biasanya lebih banyak makan rumpai laut, span (karang lembut) atau udang, ia jarang memakan ubur-ubur.

    “Ada kes yang kita jumpa, walaupun ada plastik dalam mulut penyu yang mati tu, bukanlah sebab ia makan plastik, tapi mungkin perbuatan khianat (orang masukkan),” katanya menambah spesies penyu Agar kini mendominasi populasi penyu di Terengganu iaitu sehingga 90 peratus.

    Oleh itu katanya, keutamaan yang perlu diberi dalam usaha mengurangkan kematian penyu ialah dengan mendidik dan memberi kesedaran yang optimum kepada golongan nelayan supaya mereka mematuhi setiap undang-undang serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

    Katanya penggunaan Peranti Penyisih Penyu pada pukat tunda sepanjang musim tengkujuh (November hingga Mac) juga dapat menyelamatkan penyu daripada terperangkap di dalam keroncong pukat sehingga menyebabkan kematian. 

    “Penyu yang memasuki pukat tunda dapat keluar melalui injap yang terdapat pada peranti ini, jadi penyu tidak akan terperangkap dan lemas dalam pukat,” katanya.

    Terdapat antara 800 sehingga 1,000 ekor penyu akan mendarat dan berada di perairan Terengganu semasa musim reptilia itu bertelur iaitu sekitar April sehingga Oktober.

    — BERNAMA

  • Daftar pemilih tambahan Januari 2022 dibuka untuk semakan

    Daftar pemilih tambahan Januari 2022 dibuka untuk semakan

    3

    DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang telah diperakui dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari, hingga 17 Mac depan.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR menyediakan empat kaedah semakan iaitu seperti di Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan juga di Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

    “DPT BLN1/2022 ini mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Jan 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.

    “Turut disenaraikan dalam DPT BLN1/2022 adalah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Beliau seterusnya menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status/kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Jan, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.

    Menurutnya jika mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    Katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    “Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPTBLN1/2022.

    “Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPTBLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

    — BERNAMA

  • 27,831 kes, rekod tertinggi negara sejak pandemik bermula

    27,831 kes, rekod tertinggi negara sejak pandemik bermula

    KES positif COVID-19 harian hari ini mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat ini 3,111,514 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata, daripada kes yang dilaporkan hari ini 27,734 kes atau 99.65 peratus adalah dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 97 kes atau 0.35 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

    Jumlah kes COVID-19 yang direkodkan pada hari ini menunjukkan peningkatan lebih 5,000 kes berbanding semalam yang mencatatkan 22,133 kes.

    Sebelum ini kes tertinggi yang dicatatkan negara adalah pada 26 Ogos 2021 apabila 24,599 kes dilaporkan.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghadapi cabaran varian Omicron COVID-19 dengan mematuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial termasuk prosedur operasi standard (SOP).

    Beliau menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata, banyak negara di rantau ini menunjukkan trend peningkatan kes COVID-19.

    “Sila dapatkan vaksinasi dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

    Malaysia merekodkan kes COVID-19 harian tertinggi hari ini sejak kes positif pertama dilapor pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan.

    Daripada jumlah itu, 27.33 peratus atau 7,606 kes adalah dalam kategori satu, 72.32 peratus atau 20,128 kes kategori dua, 0.21 peratus atau 59 kes kategori tiga, 0.1 peratus atau 28 kes kategori empat dan 0.04 peratus atau 10 kes kategori lima.

    Dalam satu ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata, walaupun semasa kes diuji dan baharu didiagnosis, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah seperti contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori satu dan dua, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital.

    Menurut beliau, sehingga 5 petang hari ini, kes COVID-19 baharu dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes dan daripada jumlah itu 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

    “Sebanyak 841 kes atau 66.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

    Menurut Dr Noor Hisham, bilangan pesakit COVID-19 di katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat manakala pesakit di PKRC menurun hari ini berbanding semalam.

    Beliau berkata, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor 61 peratus dan Kuala Lumpur 51 peratus.

    Katanya, bagi katil PKRC, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus dengan Melaka mencatatkan kadar 100 peratus diikuti Selangor 82 peratus.

    Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri lain yang mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus ialah Negeri Sembilan (79 peratus), Pahang (71), Kelantan (67), Sabah (64), Johor (63), Kedah (62) dan Perak (56). – BERNAMA