Author: Bernama

  • SIS Forum ke Mahkamah Persekutuan untuk batal fatwa

    SIS Forum ke Mahkamah Persekutuan untuk batal fatwa

    SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan dalam usaha terakhir membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang melabelkan organisasi itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

    Organisasi itu dan seorang daripada pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar memfailkan permohonan tu pada 14 April lepas, untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya bagi membatalkan fatwa tersebut.

    Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan mojoriti 2-1, menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.

    Mereka telah merayu ke Mahkamah Rayuan selepas semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

    Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu telah mengisytiharkan bahawa SIS Forum, mana-mana individu, serta kumpulan yang mengamalkan fahaman menyeleweng liberalisme dan pluralisme, telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

    Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural terhadap Islam hendaklah diharamkan dan dirampas serta mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menapis laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

    Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 Mei untuk pengurusan kes bagi permohonan kebenaran merayu tersebut.

    Dalam notis usul memohon kebenaran itu, kumpulan berkenaan telah mencadangkan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalannya adalah sama ada fatwa, yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan yang diwakilkan. – BERNAMA

  • Empat lelaki mengaku bersalah lakukan kekerasan jenayah, cederakan polis

    Empat lelaki mengaku bersalah lakukan kekerasan jenayah, cederakan polis

    EMPAT lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Pontian hari ini terhadap pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan menyebabkan kecederaan seorang anggota polis dekat Kulai, pada pagi 1 Syawal.

    Khalid Khamis, 38, Mohamed Efendi Mohamed Said, 40, dan adiknya Muhammad Fazli Mohamed Said, 24, didakwa bersama-sama menggunakan kekerasan terhadap Lans Koperal Muhammad Hasrull Mohd Namiri dengan niat menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 7, Jalan Kulai menghala Kota Tinggi, dekat Kulai pada kira-kira 3 pagi, Sabtu lepas.

    Sementara itu, Mohamad Haikal Karim, 23, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Hasrull dengan menggunakan tangan dan kaki, di lokasi dan waktu yang sama.

    Khalid, Mohamed Efendi dan Muhammad Fazli dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Mohamad Haikal pula didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membenarkan Mohamad Haikal diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin manakala tiga yang lain – Khalid, Mohamed Efendi dan Muhammad Fazli, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah menetapkan 30 April ini di Mahkamah Majistret Kulai untuk hukuman.
    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • PLSB Sungai Golok: Kelantan beri subsidi rumah sewa RM300 kepada mangsa banjir

    PLSB Sungai Golok: Kelantan beri subsidi rumah sewa RM300 kepada mangsa banjir

    KERAJAAN Kelantan menyediakan Subsidi Rumah Sewa sebanyak RM300 selama enam bulan kepada mangsa banjir termenung di kawasan yang terkesan akibat Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata setakat ini 58 keluarga sudah dikenali pasti dari Kampung Gual To’Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang di Rantau Panjang, Pasir Mas, yang bakal menerima manfaat tersebut.

    “Pemilihan penerima subsidi ini dilakukan melalui tapisan ketua kampung serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan.

    “Subsidi ini diberi selama enam bulan ketika musim tengkujuh berlaku pada setiap tahun bermula 2023 hingga 2026,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Kunci 10 Rumah ‘Home2Live’ di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Ahmad berkata subsidi itu diberikan bertujuan membolehkan penerima menyewa kediaman lain yang bebas banjir selama enam bulan sebelum kembali ke kediaman masing-masing.

    “Kita amat prihatin dengan nasib keluarga yang terlibat banjir akibat projek PLSB dan saya berharap bantuan yang diberikan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk meringankan beban mereka,” katanya.

    Terdahulu, Ahmad menyerahkan 10 kunci rumah ‘Home2Live’ kepada penerima asnaf di Rantau Panjang yang disumbangkan Muslim Care Malaysia Society dengan peruntukan berjumlah RM600,000.

    “Kesemua rumah berkenaan dibina serentak bermula Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya pada Januari sebelum diserahkan kunci kepada penerima iaitu dalam kalangan asnaf termasuk mangsa kebakaran.

    “Pemilihan penerima rumah ‘Home2Live’ dilakukan dengan kerjasama pejabat DUN dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang,” katanya.

  • 30 Apr, 15 Mei, tarikh akhir kemuka borang nyata LHDN

    30 Apr, 15 Mei, tarikh akhir kemuka borang nyata LHDN

    Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 (TT 2022) bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan adalah pada 30 April secara manual dan 15 Mei bagi e-Filing.

    Menurut LHDN dalam kenyataan hari ini, ia meliputi pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (BE), Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan / berkepakaran) (BT), Individu Bukan Pemastautin (M), Individu Bukan Pemastautin (pekerja berpengetahuan) (MT), Pertubuhan (TF), Harta Pusaka (TP) dan Keluarga Sekutu Hindu (TJ).

    “Sebagai panduan berkenaan pengemukaan BN, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail BN bagi tahun 2023 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, pembayar cukai disaran supaya mengemukakan BN dan membayar baki cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai dikenakan.

    Dalam kenyataan sama, LHDN memaklumkan pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai.

    “Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas, menurut kenyataan itu.

  • Serangan siber terhadap perniagaan di Malaysia meningkat 197%

    Serangan siber terhadap perniagaan di Malaysia meningkat 197%

    ANCAMAN laman sesawang yang menyasarkan perniagaan di Malaysia meningkat sebanyak 197 peratus tahun lalu, menurut keselamatan siber global dan penyedia anti-virus, Kaspersky.

    Kaspersky dalam kenyataan berkata semasa pandemik berada di kemuncak pada 2020, ia menghalang 10,200,817 serangan laman sesawang daripada menjangkiti perniagaan di Asia Tenggara.

    “Serangan laman sesawang melonjak pada 2022 dengan merekodkan 13,381,164, jumlah itu menurun sedikit pada 2021 kepada 9,180,344,” katanya.

    Kaspersky berkata, Singapura mencatatkan lonjakan tertinggi tahun ke tahun daripada segi ancaman sesawang yang menyasarkan perniagaan tahun lalu.

    “Negara-negara di Asia Tenggara mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda (329 peratus) selepas penyelesaian perniagaan Kaspersky menyekat sejumlah 889,093 serangan siber, kenaikan yang mengejutkan daripada jumlah keseluruhan 207,175 pada 2021.

    “Peningkatan itu juga dicatatkan di negara-negara Asia Tenggara lain dengan Malaysia (197 peratus), Thailand (63%), Indonesia (46 peratus) dan Filipina (29 peratus).

    Hanya Vietnam yang menyaksikan penurunan sedikit (-12 peratus) selepas merekodkan hanya 2,485,168 insiden ancaman sesawang tahun lepas berbanding 2,822,591 pada 2021, kata Kaspersky.

    Ancaman berasaskan laman sesawang atau ancaman dalam talian, merujuk kepada percubaan untuk memuat turun objek/perisian berniat jahat daripada tapak laman sesawang berniat jahat atau dijangkiti dengan perisian hasad.

    Kaspersky berkata ancaman laman sesawang disebabkan kesilapan pengguna, pembangun dan pengendali perkhidmatan sesawang atau perkhidmatan laman sesawang itu sendiri.

    “Tidak kira niat atau punca, akibat ancaman laman sesawang boleh merosakkan individu dan organisasi,” katanya.

  • Tadika Pasti, dua premis di Kampung Jalan Kebun terbakar

    Tadika Pasti, dua premis di Kampung Jalan Kebun terbakar

    SEBUAH bangunan tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di Shah Alam musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.37 tengah hari dan sepasukan anggota dari empat balai bomba dikerah ke lokasi kejadian.

    “Dilaporkan kebakaran melibatkan sebuah Sekolah Pasti dua tingkat berukuran (40 x 80 k/p) bangunan kelas B.

    “Ketika bomba sampai di lokasi, api telah merebak ke bangunan kedai dan rumah bersebelahan sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata api berjaya dikawal pada 1.22 tengah hari dan proses pemadaman sedang dijalankan oleh pihak bomba.

    “Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.

  • CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja

    CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja

    KETUA Pegawai Eksekutif Hankook Steel & Mill Co dijatuhi hukuman penjara setahun hari ini, berhubung kematian seorang pekerja di kilangnya, sekali gus menjadi ketua korporat pertama yang dihukum penjara kerana kawalan keselamatan industri yang longgar, lapor Yonhap.

    Cawangan Mahkamah Daerah Changwon di bandar tenggara Masan, kira-kira 300 kilometer tenggara Seoul, mensabitkan kesalahan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif itu kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi berhubung kematian seorang pekerja pada Mac tahun lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif itu ditahan di bilik mahkamah dan dibawa ke penjara selepas dijatuhkan hukuman.

    Pekerja berusia 60an itu meninggal dunia di kilang syarikat itu di daerah Haman berhampiran selepas kakinya dihempap plat keluli seberat 1.2 tan.

    Ia merupakan kali pertama seorang ketua korporat dipenjarakan kerana melanggar Akta Hukuman Kemalangan Serius yang membolehkan pemilik perniagaan atau CEO syarikat yang mempunyai 50 atau lebih pekerja dikenakan penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (AS$747,663) sekiranya berlaku bencana yang membawa maut semasa bertugas yang disebabkan oleh langkah keselamatan yang lemah di tempat kerja.

    Undang-undang itu berkuat kuasa pada Januari 2022.

  • Profesor wanita Melayu pertama, Fatimah Hamid Don meninggal dunia

    Profesor wanita Melayu pertama, Fatimah Hamid Don meninggal dunia

    PROFESOR wanita Melayu pertama, Puan Sri Profesor Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia pada usia 89 tahun awal pagi ini.

    Anak Allahyarham, Dr Fawziah Tan Sri Ishak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 2.35 pagi ketika dalam fasa pemulihan selepas mengalami strok sejak setahun lepas, di Hospital KPJ Tawakal.

    “Kami terkejut kerana masa raya pertama ibu saya beritahu beliau dapat jalan enam langkah dan sangat positif untuk pulih daripada strok. Beliau merupakan role model saya,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya selepas solat zohor.

    Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan dua cucu perempuan.

    Pada masa sama, cucunya, Dr Dima Marlina Mohd Rafi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pemergian Allahyarham bukan sahaja sebagai seorang ibu dan nenek, tetapi juga sebagai tokoh pendidikan negara dan pemerkasaan wanita.

    Antara pencapaian Allahyarham ialah menjadi wanita Melayu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti California, Amerika Syarikat dan dianugerahkan Pingat Fatimah sempena Hari Wanita pada 1988.

    Allahyarham juga telah berkhidmat dalam bidang pendidikan sejak 1956 dan menjawat pelbagai jawatan tinggi termasuk sebagai pegawai pelajaran, guru serta pensyarah maktab.

    Fatimah bersara sebagai profesor pada 1990 setelah berkhidmat 26 tahun di Universiti Malaya.

  • Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    KAKITANGAN Institut Integriti Malaysia (IIM) diarah bekerja dari rumah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan institut itu tengah hari semalam.

    Kenyataan IIM malam tadi memaklumkan arahan itu dibuat atas faktor keselamatan dan berkuatkuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

    “IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terlibat.

    “Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.

    Ketika kejadian pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran MACA dan IIM, yang terletak bersebelahan akademi itu, berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

  • Lelaki disyaki hina Sultan Johor direman 4 hari

    Lelaki disyaki hina Sultan Johor direman 4 hari

    LELAKI yang ditahan semalam kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui media sosial, direman empat hari bermula hari ini.

    Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata suspek berusia 35 tahun direman hingga Jumaat ini selepas permohonan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

    Semalam, polis menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Puchong, Selangor, dan merampas satu telefon bimbit jenama Samsung serta sekeping kad sim jenama redONE.

    Noorsiah dalam kenyataannya semalam berkata, lelaki terbabit dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook ‘Indera Mulia’ pada Khamis lalu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.