Author: Bernama

  • Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    Bayi masih bertali pusat ditemukan berhampiran kilang

    SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, di Kuantan hari ini dengan kesan gigitan serangga.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu oleh orang awam pada 12.10 tengah hari tadi.

    Beliau berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

    “Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata wanita itu telah meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

    “Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya dan menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi itu.

    Sementara itu, beliau berkata siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi tadi.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • 11 kubur ‘hilang’ batu nisan

    11 kubur ‘hilang’ batu nisan

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru, ‘hilang’ batu nisan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.

    Menerusi tinjauan yang dilakukan di tanah perkuburan itu pagi tadi, kebanyakan batu nisan dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.

    Penggali kubur Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, berkata terdapat beberapa waris yang menemuinya selepas terkejut melihat ketiadaan batu nisan ketika menziarahi kubur pada pagi raya seminggu lepas, sebelum ia tular di laman Facebook, sejak semalam.

    Katanya, perkuburan di tanah wakaf itu tidak dikunci atas permintaan orang ramai terutama waris bagi memudahkan ia untuk diziarahi, sekali gus terdedah kepada pencerobohan.

    “Ada ramai (waris) mengadu ketika ziarah kubur pada pagi raya batu nisan (ahli keluarga) hilang, kita tidak boleh buat apa kerana kubur ini tanah wakaf dan pada waktu malam juga tiada siapa jaga.

    “Kita syak kegiatan ini dilakukan ketika waktu tiada pengebumian, mungkin waktu malam. Kebanyakan batu nisan yang dicuri adalah batu sungai dalam sembilan set, kerana boleh dijual semula dan nama si mati boleh dipotong,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, hari ini.

    Muhammad Izzul Hafiq berkata selain batu sungai, batu nisan putih yang kebiasaannya digunakan dan bernilai RM350 bagi satu set turut dicuri, dan turut menjelaskan kejadian tersebut kali pertama berlaku di tanah perkuburan yang dibuka sejak awal 90-an itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

    Justeru, beliau menasihati orang ramai terutama waris untuk membuat laporan bagi memudahkan siasatan dilakukan. — BERNAMA

  • Polis Malaysia tahan dua ahli kongsi gelap Taiwan terlibat kes tembak

    Polis Malaysia tahan dua ahli kongsi gelap Taiwan terlibat kes tembak

    DUA warga Taiwan yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di negara berkenaan, ditahan pada 20 April lepas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika memasuki Malaysia melalui penerbangan dari Taiwan.

    Kedua-dua suspek juga dipercayai ahli kongsi gelap serta anggota sindiket scammer di Taiwan.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan, di samping pasport kedua-dua mereka dibatalkan oleh kerajaan Taiwan, dan tangkapan dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

    “Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan pihak berkuasa Taiwan, dan kolaborasi ini akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua suspek telah diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA semalam untuk dibawa pulang ke negara asal.

    Acryl Sani berkata PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

    “PDRM juga akan mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan negara transit atau destinasi bagi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

    — BERNAMA

  • Polis buru lelaki curi beg dalam Masjid Muhammadi

    Polis buru lelaki curi beg dalam Masjid Muhammadi

    POLIS  sedang memburu seorang lelaki yang dilihat mencuri beg silang seorang jemaah yang sedang bersolat pada waktu Zohor di Masjid Muhammadi di Kota Bharu Rabu lepas, setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 25 tahun pada pukul 2.50 petang hari yang sama, dan kerugian dianggarkan RM2,000 termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM150.

    “Suspek ketika itu memakai seluar panjang berwarna hitam, berkemeja putih dan berkopiah, dianggarkan berumur sekitar 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Sarjan Mohd Hafiz Muhammad Khila dengan menelefon 013-9529828 atau 09-7752200, atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- BERNAMA

  • Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 11 kuarters polis

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Kuarters Polis USJ 8, Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.35 pagi tadi.

    “Menurut ibunya, sebelum kejadian, dia berada di bahagian dapur manakala dua anaknya sedang bermain di ruang tamu.

    “Namun selepas itu, dia terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu itu, tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Wan Azlan berkata ibu mangsa kemudian mendengar suara anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik bersebelahan dan apabila melihat dari luar tingkap mendapati anaknya itu telah terjatuh ke bawah.

    Menurutnya, petugas kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

    “Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

    Wan Azlan berkata mangsa adalah anak pertama daripada dua adik beradik dan ibu bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kediaman tersebut. – BERNAMA

  • Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia mendengar sebarang keluhan atau bantahan daripada nelayan tempatan berhubung projek Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

    “Kalau mereka mahu kemukakan bantahan kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    Perdana Menteri menegaskan projek PSI itu pada masa ini menerima kelulusan bersyarat daripada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

    “EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan,” katanya.

    Sebelum ini Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) melahirkan rasa kecewa dan mendakwa usaha mereka untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu PSI ‘tidak dilayan’.

    Projek penambakan laut secara besar-besaran itu mendapat bantahan nelayan tempatan di situ yang mendakwa bakal terjejas sumber pendapatan dan hasil laut mereka.

    Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan PSI mendapat kelulusan EIA daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lepas, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

    Chow berkata laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.

    PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. – BERNAMA

  • Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    SEORANG lelaki berumur 24 tahun yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan reman itu dilakukan susulan pihaknya telah mengesan satu ciapan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak @apanakdikato.

    Katanya, menerusi ciapan berkenaan ia memaparkan tangkap layar individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan “Boleh Pasang nanti bang Non Mai klate, Kasi ajar sikit” untuk membaling mercun bom.

    “Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri.

    “Hasil pemerhatian mendapati sumber asal hantaran tersebut telah dimuat naik oleh suspek di akaun Tiktok @najibnafi99, namun mengikut semakan video tersebut telah dipadam.

    “Semalam, lebih kurang pukul 10.30 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di pekarangan Balai Polis Binjai untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • 11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    11 maut, 9 hilang bot penumpang karam di Riau, Indonesia

    SEBUAH bot laju penumpang yang terlebih muatan karam di perairan wilayah barat Riau, Indonesia pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan lebih sembilan lagi hilang, lapor Xinhua memetik seorang penyelamat.

    Bot laju SB Evelyn Calisca 01 karam di perairan Pulau Burung daerah Indragiri Hilir, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari sebuah pelabuhan di daerah itu.

    Bot itu sedang menuju ke sebuah pelabuhan di Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau, kata I Nyoman Sidakarya, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah.

    “Kini, jumlah korban mencecah 11 orang, dan lebih 9 lagi disahkan hilang,” katanya dalam kenyataan yang diterima Xinhua.

    Sidakarya berkata jumlah korban dan orang hilang mungkin meningkat kerana ramai penumpang tidak disenaraikan dalam senarai penumpang.

    Beliau berkata 58 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat bersama terdiri daripada pejabat mencari dan menyelamat, tentera, polis dan sukarelawan.

    Pejabat mencari dan menyelamat akan menunggu laporan daripada saudara atau keluarga mengenai kehilangan anggota mereka dalam beberapa hari akan datang, menurut Kukuh Widodo, pegawai akhbar di pejabat mencari dan menyelamat di wilayah Riau kepada Xinhua melalui telefon.

    “Bot laju ini terlalu kecil untuk membawa lebih 80 orang. Ia membawa terlalu ramai penumpang,” katanya. – BERNAMA

  • Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    PIHAK pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika dihubungi pemberita berkata notis bantahan awal itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas.

    Berdasarkan notis tersebut, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Pada 9 Dis 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

    Sementara itu, Law berkata pengurusan kes bagi rayuan Bung Moktar dan isterinya itu ditetapkan pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Menurut Law prosiding bela diri kedua-dua tertuduh sebelum ini ditetapkan pada 15 Jun di Mahkamah Sesyen di sini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Pembinaan semula LCS selepas kontrak tambahan dimuktamad

    Pembinaan semula LCS selepas kontrak tambahan dimuktamad

    PROJEK pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dijangka dapat disambung semula tiga bulan selepas kontrak tambahan keenam projek itu dimuktamadkan, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

    Beliau berkata kontrak yang sedang disediakan Kementerian Pertahanan itu akan melibatkan beberapa pindaan termasuk tempoh masa dan kos.

    Seperti sedia maklum mesyuarat jemaah menteri pada 19 April lalu membuat keputusan bersetuju meneruskan projek LCS, ia satu keputusan penting bagi meneruskan proses selanjutnya.

    “Jika perjanjian (kontrak) itu dimuktamadkan, kita berharap projek LCS dapat dimulakan semula secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Istiadat Perbarisan Hari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

    Terdahulu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata projek LCS tetap akan diteruskan dan kapal pertama dijangka beroperasi pada 2026.

    Sebelum ini pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada sebuah pun kapal tersebut disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

    Sementara itu, Abdul Rahman kontrak tambahan tersebut dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan.

    Mengenai projek Kapal Misi Pesisir (LMS) pula, beliau berkata keutamaan kini diberikan kepada rancangan perolehan aset bagi menggantikan kapal TLDM yang telah usang.

    “Fokus utama pada masa ini adalah perolehan LMS Batch 2 seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2023.

    “Aset yang kita terima daripada kumpulan pertama tidak menepati piawaian, kita jangkakan yang kedua mempunyai keupayaan tempur yang lebih baik, kita harap proses perolehan dapat dimuktamadkan segera,” katanya. – BERNAMA