Author: Bernama

  • PRU-15: PBS mahu rampas semula Tuaran untuk GRS

    PRU-15: PBS mahu rampas semula Tuaran untuk GRS

    PARTI Bersatu Sabah (PBS) bersedia merampas semula kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Tamparuli ke-36 dan ke-37, dekat Tuaran, hari ini.

    Menegaskan bahawa Tamparuli dan jirannya Kiulu merupakan kubu kuat PBS, Ongkili yakin mereka mampu menawan semula Tuaran daripada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), terutamanya dengan sokongan daripada pengundi di kerusi DUN Sulaman dan Pantai Dalit.

    “Tuaran antara kawasan yang kita inginkan. Jentera PBS sudah bersedia dan akan diperkukuhkan lagi dengan penambahan keahlian dan cawangan.

    “Parti kita akan terus berkembang, dan dua ADUN kami di Kiulu dan Tamparuli telah berkhidmat dengan baik di peringkat akar umbi. Akar umbi sangat jelas tentang perjuangan parti, justeru akan berikan sokongan berterusan mereka kepada PBS,” kata Ongkili, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut menegaskan bahawa GRS, yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac lepas, juga akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan Sabah serta rakyatnya.

    Presiden UPKO ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, kerusi yang dimenangi beliau dengan majoriti 7,624 atas tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

    Penggal Parlimen semasa akan tamat pada Jun 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang Julai tahun sama. – BERNAMA

  • Senarai 30 ahli CEC DAP penggal 2022-2025

    Senarai 30 ahli CEC DAP penggal 2022-2025

    SEBANYAK 30 ahli dilantik menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas tamat sesi pengundian yang dijalankan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, petang tadi.

    Juruaudit dari firma Grant Thornton, John Lau Tiang Hua mengumumkan senarai itu pada kongres yang berlangsung selama satu hari itu.

    Berikut adalah senarai 30 ahli CEC untuk penggal 2022-2025:

    Gobind Singh Deo: 1,782 undi
    Chow Kon Yeow: 1,641
    Anthony Loke Siew Fook: 1,625
    Teresa Kok Suh Sim: 1,373
    Hannah Yeoh Tseow Suan: 1,346
    Fong Kui Lun: 1,341
    Steven Sim Chee Keong: 1,340
    Lim Guan Eng: 1,311
    Ng Sze Han: 1,282
    Ng Suee Lim: 1,279
    Tan Kok Wai: 1,263
    Nga Kor Ming: 1,262
    M. Kulasegaran: 1,226
    Lim Lip Eng: 1,156
    Lim Hui Ying: 1,155
    Chong Chieng Jen: 1,154
    Alice Lau Kiong Yieng: 1,119
    Chan Foong Hin: 1,101
    Teo Nie Ching: 1,071
    Ronnie Liu Tian Khiew : 1,070
    Wong Kah Woh: 1,069
    Liew Chin Tong: 1,008
    Tan Hong Pin: 992
    Young Syefura Othman: 991
    P. Kasthuriraani: 978
    Teo Kok Seong: 976
    Thomas Su Keong Siong: 953
    Vincent Wu Him Ven: 950
    Wong Shu Qi: 939
    Jannie Lasimbang: 877

    • BERNAMA
  • Hadi Awang disahkan positif COVID-19

    Hadi Awang disahkan positif COVID-19

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah disahkan positif COVID-19.

    Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil, yang juga anak Abdul Hadi melalui laman Facebook Abdul Hadi Awang.

    Muhammad Khalil berkata, bapanya yang juga Ahli Parlimen Marang itu, hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah serta dalam keadaan baik.

    “Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera. Beliau telah disahkan positif COVID-19 dan hanya mengalami gejala ringan. Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik.

    “Bersama kita doakan kesihatan Ayahanda Tuan Guru,” katanya. – BERNAMA

  • Bincang lanjut sebelum beku akaun bekas suami tak bayar nafkah

    Bincang lanjut sebelum beku akaun bekas suami tak bayar nafkah

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan tindakan membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyambut baik pengumuman itu berkata, KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

    “Berdasarkan maklumat KPWKM, ramai bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri. Jadi melalui pengumuman ini mereka yang berhak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi di Kota Damansara hari ini.

    Beliau berkata, bekas isteri yang mendapati nafkah mereka tidak dibayar boleh mengadu di Talian Kasih 15999 atau platform KPWKM yang lain.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

    Selain itu, Ismail Sabri berkata, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.

    Mengulas mengenai kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah bagi isteri yang kematian suami, Rina berkata, kelonggaran itu disifatkan sebagai satu perkara yang baik dan golongan wanita harus menyambutnya.

    “Wanita yang baru kehilangan suami dan masih dalam idah, mempunyai banyak urusan rumah tangga, anak serta keluarga yang perlu diselesaikan.

    “Pandemik COVID-19 telah membuktikan kita boleh bekerja dari rumah. Kelonggaran yang diberikan ini merupakan satu pengumuman yang baik dan harus disambut oleh golongan wanita,” katanya.

    Mengenai penjenamaan semula wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi Kota Damansara, Rina berkata, beliau optimis pembaharuan itu menjadi platform kepada perkhidmatan rawatan kesihatan dengan kemudahan infrastruktur moden dan terbaik bagi ibu dan anak. – BERNAMA

  • PAS Sabah mahu tahu hala tuju GRS selepas pendaftaran

    PAS Sabah mahu tahu hala tuju GRS selepas pendaftaran

    PAS Sabah menyokong pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi, namun memerlukan maklumat terperinci mengenai kandungan dan hala tuju pendaftaran berkenaan.

    Sehubungan itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS Sabah akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai pendaftaran GRS baru-baru ini.

    “Secara prinsipnya PAS Sabah dan semua komponen parti dalam GRS yang ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bersetuju dengan penubuhan GRS namun bagi PAS Sabah, kita akan mengikut perkembangan terkini.

    “Kita akan teliti semula semua keputusan yang akan kita buat. Kita masih bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan kita tidak berpisah dengan Bersatu…cuma pendaftaran itu perlu kita dapatkan maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tukar Minyak Enjin PAS Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    GRS kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional dan PAS.

    Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, sebelum ini dilaporkan berkata kerjasama parti dalam GRS bersama PAS adalah melalui PN.

    Mengenai program itu, Aliakbar berkata ia adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melalui Alternative Riding Club (ARC) dan seramai 50 orang penghantar Foodpanda dan Grab yang berdaftar dengan ARC akan mendapat perkhidmatan menukar minyak enjin motosikal secara percuma. – BERNAMA

  • Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    Bentang RUU anti lompat parti atau MoU batal, DAP gertak PM

    DAP akan mendapatkan kepastian daripada kerajaan berhubung tarikh muktamad pembentangan rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti di Parlimen, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

    Beliau berkata, DAP akan mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu, jika tidak, Memorandum Persedahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang dari gabungan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal secara automatik.

    Ahli Parlimen Bagan itu berkata, parti DAP tiada bantahan sekiranya kerajaan berhasrat melanjutkan persidangan parlimen bagi tujuan meluluskan rang undang-undang itu, selagi ia tidak terus menangguhkannya.

    “Sekiranya persidangan dilanjutkan namun ia masih tidak mendapat kelulusan awal, atau sebagainya, ia boleh diterima selagi kita dapat tarikh muktamad.. kita akan bincang berkara itu apabila Perdana Menteri kembali daripada lawatan rasmi di Vietnam.

    “Sekiranya ini (Rang Undang-undang Anti Lompat) tidak dapat diluluskan, ia bermakna MoU tamat,” katanya dalam persidangan media pada Kongres Nasional DAP ke-17 2022 di Shah Alam hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata, rang undang-undang bagi Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh, dan semua sesi libat urus tamat.

    Bagaimanapun Guan Eng berkata, MoU yang dicapai antara kerajaan dan gabungan PH akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana syarat, termasuk yang berkaitan rang undang-undang Anti Lompat Parti, tidak dipenuhi.

    MoU yang ditandatangan pada bulan September lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan setidak-tidaknya sebelum 21 Julai ini.

    Ismail memulakan lawatan rasmi pertama beliau ke Vietnam mulai hari ini hingga 22 Mac. – BERNAMA

  • Projek naik taraf LTSIP lewat kerana kurang buruh asing

    Projek naik taraf LTSIP lewat kerana kurang buruh asing

    KERJA-KERJA naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di Kota Bharu mengalami kelewatan selama 83 hari berikutan kekurangan buruh asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf dan pembesaran LTSIP ketika ini hanya mencapai kemajuan sebanyak sembilan peratus yang sepatutnya sudah mencecah 14 peratus, jika mengikut perancangan asal.

    Mustapa berkata, selain kekurangan buruh asing, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan untuk mendapatkan bekalan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembesaran.

    “Sekarang kita hanya mempunyai seramai 180 pekerja untuk melaksanakan proses menaik taraf dan pembesaran LTSIP, daripada jumlah itu 30 pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing. Apabila pembinaan sampai ke kemuncak (peringkat akhir) keperluan tenaga kerja akan mencapai sehingga 400 pekerja.

    “Bagaimanapun, isu kekurangan pekerja asing ini merupakan masalah yang dihadapi di peringkat nasional bukan sahaja di Kelantan terutamanya membabitkan kerja-kerja di tapak pembinaan dan juga sektor perlandangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan LTSIP di Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan buruh asing, pihak kontraktor yang menguruskan projek berkenaan telah memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan buruh asing.

    “Selain itu, Kementerian Pengangkutan juga sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja untuk membantu syarikat. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan kita hanya mempunyai sekitar dua tahun lagi untuk menyiapkan projek ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera memandangkan projek ikonik bernilai RM440 juta itu merupakan antara projek terbesar kerajaan dan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Kelantan.

    “Apabila projek ini siap, ia mampu mengendalikan sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta penumpang sekarang dengan kemudahan bertaraf antarabangsa ditawarkan selain mempunyai kemudahan 11 parkir pesawat berbanding 5 sebelum ini,” katanya.

    Menurut Mustapa, kadar pemulihan membabitkan bilangan penumpang yang mengggunakan LTSIP juga bergerak pantas dan ia menjadi antara lapangan terawal pulih seperti keadaan sebelum pandemik COVID-19 dengan jumlah penumpang menggunakan LTSIP mencecah sehingga 90 peratus kapasitinya. – BERNAMA

  • Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    SEBUAH rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Temiang di Seremban awal pagi ini.

    Ketua Balai Bomba Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.06 pagi, dan sebaik tiba api didapati sedang marak memusnahkan rumah papan itu.

    Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, kerana semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

    “Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bengkel besi berkeluasan 40×80 kaki persegi di sebelah rumah berkenaan, dan api berjaya dikawal setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama.

    Difahamkan rumah itu didiami tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak. – BERNAMA

  • Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    PARTI Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

    Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Walaupun tak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU15.

    “Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang sahaja. Gerakan masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.

    Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada 12 Mac lepas bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor, dan sedia melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.

    PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan dalam PRN Johor lepas iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

    Sementara itu, Dominic berkata, Gerakan akan memastikan senarai penyelaras dan calon yang akan bertanding dalam PRN dan PRU15 kelak, dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.

    “Kita akui memang pada PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding (tapi) tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.

    “Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terlibat untuk persiapan PRU15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.

    Menurutnya, PRU15 boleh diadakan hanya apabila kes COVID-19 menurun dan dalam keadaan terkawal, bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80 peratus. – BERNAMA

  • Wakil UMNO Terengganu dakwa PAS tiada ‘nafsu’ perkukuh MN

    Wakil UMNO Terengganu dakwa PAS tiada ‘nafsu’ perkukuh MN

    KERJASAMA antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) perlu dikaji semula kerana PAS disifatkan sudah tidak ‘bernafsu’ untuk memperkuatkan muafakat berkenaan.

    Itu antara suara perwakilan yang dilontarkan pada perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

    Bazlan Abd Rahman, pembahas dari Terengganu mencadangkan muafakat itu ditamatkan kerana banyak tindak-tanduk PAS yang membelakangi UMNO dan mula bersifat prejudis menyebabkan MN ‘umpama retak, menanti belah’.

    “Di peringkat akar umbi UMNO di Terengganu, jelas mereka mahukan MN ini ditamatkan. Pada mereka untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

    “Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 hari ini.

    Malah, Bazlan berkata UMNO sebagai sebuah parti yang kuat tidak memerlukan sokongan daripada pihak lain dan perlu menentukan hala tuju yang benar-benar tuntas terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “…dan lebih besar daripada itu, kekuatan UMNO adalah kerana kita mempunyai pengikut setia yang melebihi tiga juta orang. Tiap-tiap satu daripada 10 orang rakyat Malaysia adalah ahli UMNO.

    “Inilah kekuatan sebenar kita. Oleh yang demikian, yakinlah bahawa perjuangan kita ini tidak akan mati hanya kerana kita tidak mahu bersama-sama dengan PAS,” katanya.

    Perwakilan Kelantan, Datuk Zawawi Othman meminta pimpinan parti menilai semula MN kerana PAS seolah-olah mudah memberikan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan sesama sendiri.

    “Bukan kita menolak PAS, di Kelantan kita tidak menolak PAS, tetapi kita menolak pimpinan PAS yang mulut celupar, tiada pegangan dalam sesuatu perkara.

    “Pemimpin UMNO tidak pernah mengkritik PAS demi menjaga kemuafakatan dalam parti,” katanya.

    Zawawi juga menyeru semua kepimpinan tertinggi UMNO berpegang pada prinsip parti dan tidak memberi ruang kepada individu lain yang cuba memecahbelahkan hubungan serta merosakkan parti.

    Katanya, menjadi harapan ahli melihat semua pimpinan tertinggi UMNO kekal kuat dan bersatu supaya dapat menguatkan perpaduan dalam kalangan peringkat akar umbi.

    “Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) merangkap Naib Presiden parti adalah permata parti. Lakukan terbaik untuk parti, bahagiakanlah kita, berpecah anda, marahlah kami,” katanya.

    Pada 14 Sept 2019, pada Himpunan Penyatuan Ummah Piagam MN dimeterai antara UMNO dan PAS, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara. – BERNAMA