Author: Bernama

  • Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendenda seorang pengurus RM21,000 kerana mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020.

    Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

    Mahkamah mengenakan RM7,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara 30 bulan, jika Teo gagal membayar denda.

    Dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa terhadap data sulit milik Syarikat Vision Four Multimedia Sdn Bhd (VFMM) dengan menyalin atau mengalihkan data terbabit kepada e-mel persendiriannya untuk mendapatkan data tanpa kebenaran daripada pemilik syarikat itu, Steven Harold Day, 72.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Vision di Jalan Liku, Bangsar di Kuala Lumpur antara 10.21 pagi hingga 4.41 petang dari 29 Dis 2016 hingga 26 Ogos 2020 mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

    Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam Segaren memohon tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan Teo adalah seorang ibu tunggal dan perlu menanggung ibunya yang sudah uzur selain tiada rekod jenayah serta telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis.

    Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif VFMM membuat laporan polis selepas tertuduh, yang sebelum ini bekas pembantu peribadinya, didapati menggunakan maklumat sulit syarikat itu antaranya data pelanggan dan rakan kongsi perniagaan syarikat pengadu untuk mempromosi jenis perniagaan sama selepas Teo menubuhkan syarikat lain.

    VFMM menjalankan perniagaan pengedaran, pembekalan dan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel di negara ini.

  • Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    SEPASANG remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ pada Mac lalu.

    Pengakuan mereka direkodkan di depan Majistret Fatinah Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Remaja lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu didakwa menunggang motosikal Honda EX-5 putih secara berbahaya, iaitu mengangkat tayar hadapan di Jalan Chendor di Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu pada 5.30 petang 12 Mac lalu.

    Remaja perempuan yang masih bersekolah pula didakwa membantu melakukan aksi itu selaku pembonceng pada masa dan di tempat sama.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, pasangan remaja terbabit yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM2,000 setiap seorang, yang ditawarkan pegawai pendakwa Nafizah Ismail atas alasan kewangan keluarga.

    Remaja lelaki itu memaklumkan ibunya merupakan pekerja am dengan gaji RM1,500 sebulan, manakala remaja perempuan terbabit memberitahu ayahnya hanya berpendapatan RM700 hingga RM1,000 yang digunakan untuk menanggung dia tiga beradik.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM800 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan 7 Jun untuk laporan akhlak serta jatuh hukum.

    Isnin lalu, polis mengesahkan penahanan sepasang remaja dipercayai kekasih di Balok, di Kuantan selepas video mereka melakukan aksi ‘wheelie’ tular di media sosial sehari sebelumnya.

    Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan itu milik ibu remaja lelaki berkenaan.

  • Sharnaaz Ahmad kemuka representasi gugur tuduhan cedera pengawal keselamatan

    Sharnaaz Ahmad kemuka representasi gugur tuduhan cedera pengawal keselamatan

    PELAKON Sharnaaz Ahmad telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim bahawa representasi tersebut telah difailkan oleh pihak pembelaan pada Selasa lepas (2 Mei).

    Sementara itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, berkata pihaknya memohon maaf kepada mahkamah kerana baru sahaja memfailkan representasi itu pada 2 Mei berikutan terdapat beberapa dokumen perlu diselesaikan.

    “Pihak kami memohon maaf kepada mahkamah dan tidak mahu mahkamah menganggap pihak pembelaan melambatkan pemfailan representasi itu.

    “Kami mohon satu tarikh ditetapkan awal Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi berikutan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut,” katanya ketika sebutan kes itu hari ini.

    Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium pada jun tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Majistret Atiqah Mohamed kemudian menetapkan 10 Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi tersebut.

    Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala uUmpur pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

    Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Ketika ditemui media, selepas prosiding, Abu Bakar berkata representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2 Mei lalu.

    Sementara itu, Sharnaaz berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan kes sebaik mungkin dan sekiranya tiada penyelesaian, beliau bersedia untuk perbicaraan.

  • Salah laku: 23 anggota SPRM dikenakan tindakan, berhenti kerja

    Salah laku: 23 anggota SPRM dikenakan tindakan, berhenti kerja

    SERAMAI 23 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terlibat dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.

    Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin berkata, kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota termasuk salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

    Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 10 anggota diberhentikan kerja kerana terlibat dengan aktiviti jenayah dan majoriti daripada yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

    “Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

    “SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya kepada Bernama baru-baru ini di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya.

    Asariah berkata, JKA yang merupakan satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009, bertanggungjawab untuk memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawainya.

    Selain itu, katanya, JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.

    “Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru melibatkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya.

    Pada masa yang sama, Asariah berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya dengan baik bagi memupuk sifat integriti dan tata kelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

    Beliau berkata, SPRM telah mewujudkan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 dan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM di samping melaksanakan program-program pengukuhan integriti antaranya menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman pada tahun lepas bagi menyiasat kes jenayah melibatkan pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

    “SPRM juga telah mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang merupakan satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

    “Terkini, SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas daripada dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja,” katanya.

  • Tentera udara siasat dakwaan anggota dibuli

    Tentera udara siasat dakwaan anggota dibuli

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan buli seorang anggota di pusat latihan di Kuantan, Pahang.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata siasatan dalaman dijalankan selepas bapa pelatih berkenaan membuat laporan polis terhadap kejadian menimpa anaknya di pusat latihan tersebut.

    Beliau berkata, polis juga hadir ke pusat latihan berkenaan baru-baru ini untuk menjalankan siasatan dan pihak TUDM turut memberikan kerjasama sepenuhnya.

    “Selain siasatan polis, TUDM juga melakukan siasatan dalaman terhadap laporan berkenaan, TUDM tidak menerima laporan mengenai kejadian buli ini, bapa mangsa hanya membuat laporan polis.

    “Polis akan memastikan kes buli berkenaan disiasat secara menyeluruh dan individu yang didapati bersalah melanggar tatatertib dan prosedur operasi standard bagi setiap anggota yang duduk di pusat latihan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan dan Kem Kementah di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu tular satu perkongsian di media sosial dengan seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.

    Dalam perkongsian berkenaan wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan.

  • Mahkamah Singapura tangguh kes lelaki serang Kamal Adli kepada 30 Mei

    Mahkamah Singapura tangguh kes lelaki serang Kamal Adli kepada 30 Mei

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan empat minggu lagi untuk pegawai penyiasat melengkapkan siasatan ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Ong Hian Sun turut mengekalkan perintah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Pada 4 April, mahkamah bersetuju terhadap permohonan pendakwa raya supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan penangguhan kes selama empat minggu sehingga hari ini (2 Mei).

    Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri.

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana ‘disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya.’

    Jika sabit kesalahan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

    Pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura dimaklumkan mengenai suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive di Singapura.

    Baton itu telah dirampas oleh polis sebagai barang bukti kes.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura ketika kejadian itu berlaku di penghujung acara.

  • Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu besbol

    Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu besbol

    SEPASANG suami isteri warga emas berdepan detik cemas apabila cermin kereta mereka dipecah menggunakan kayu besbol sebelum beg tangan serta dompet mereka disamun dua lelaki bermotosikal di Taman Muhibbah, Jalan Pantai Emas, Klebang Besar di Melaka, Sabtu lepas.

    Mangsa, Gan Chuei Lan, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika dia dan suami, Gue Boon Guan, 65, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara baru sahaja tiba di hadapan rumah mereka.

    “Suami (Gue) ketika itu keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar rumah manakala saya masih di dalam kereta dan sedang memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan. Saya mendengar lelaki menjerit ‘beg’ dan memecahkan cermin tingkap penumpang hadapan dengan kayu.

    “Serpihan cermin yang pecah terkena muka saya dan dalam keadaan panik, saya beralih ke tempat duduk pemandu untuk keluar dari kereta serta sempat mencampakkan beg tangan ke dalam pagar rumah sambil menjerit kuat meminta tolong,” katanya.

    Pasangan itu ditemui pemberita ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang Datuk Lim Ban Hong di kediaman mereka hari ini.

    Bercerita lanjut mengenai kejadian yang berlaku kurang dari lima minit itu, Gan berkata seorang lagi lelaki kemudian memanjat pintu pagar rumah mereka lalu mengambil beg tangannya.

    Menurut Gan, suaminya dipukul dengan kayu besbol di bahagian kaki kiri serta dompetnya dirampas manakala kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal sama.

     “Kejadian sangat mencemaskan, sampai hari ini saya dan suami masih ketakutan. Lagipun ini bukan kejadian pertama… sebelum ini, anak saya juga pernah disamun di hadapan rumah dan beberapa rumah jiran juga pernah dipecah masuk. 

    “Suami telah membuat laporan polis kira-kira 11.30 malam hari sama dan polis telah datang ke rumah untuk membuat siasatan lanjut,” katanya dan menambah mereka kerugian wang tunai kira-kira RM400 akibat kejadian itu.

    Sementara itu, Lim berkata beliau telah memohon kepada polis khususnya Balai Polis Batang Tiga untuk meningkatkan rondaan di Taman Muhibbah dan beberapa taman perumahan berhampiran.

    Beliau berkata insiden pecah rumah dan samun di kawasan berkenaan bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tetapi menimbulkan ketakutan khususnya dalam kalangan warga emas yang rata-ratanya telah menetap lebih 20 tahun di kawasan perumahan itu.

  • Bawa keluar 2 warga AS dari Sudan, Blinken rakam penghargaan kepada Malaysia

    Bawa keluar 2 warga AS dari Sudan, Blinken rakam penghargaan kepada Malaysia

    AMERIKA Syarikat (AS) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua orang warganya semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan.

    Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu telah disampaikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken menerusi satu panggilan telefon, hari ini.

    “Usaha yang dilakukan oleh pihak wakil Malaysia yang diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bahawa bantuan yang diberikan tanpa mengira warganegara sangat-sangat dihargai sehingga sanggup berhadapan dengan risiko yang tinggi,” kata Zambry dalam kenyataan.

    Katanya, dalam perbualan telefon itu, beliau dan Bliken juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, dan perubahan iklim, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    “Kedua-dua pihak sepakat untuk terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat.

    “Semoga hubungan antara Malaysia-Amerika Syarikat dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.

    Pada Khamis, Zambry berkata, 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, dijadualkan pulang hari ini.

    Kumpulan itu termasuk 22 rakyat negara asing iaitu 14 warga Singapura, enam warga Kemboja, dan dua warga Amerika.

  • Wanita berdepan 10 tuduhan membunuh

    Wanita berdepan 10 tuduhan membunuh

    SEORANG wanita rakyat Thailand yang didakwa melakukan beberapa pembunuhan menggunakan racun sianida, berdepan sekurang-kurangnya 10 pertuduhan pembunuhan terancang.

    Timbalan komander Bahagian Pencegahan Jenayah, Kolonel Anek Taosupap, berkata polis melakukan siasatan terperinci terhadap wanita berusia 36 tahun itu.

    Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai kaitan dengan suspek melalui skim pinjaman wang serta gadai janji kereta dan tanah.

    “Ramai daripada mangsa memindahkan duit (berjumlah) lima hingga enam digit kepada suspek sebelum kematian mereka,” katanya.

    Wanita dikenali Sararat Rangsiwuthaporn itu didakwa meracuni mangsa menggunakan sianida yang berlaku sejak 2020.

    Sehingga kini, polis mengenal pasti 10 orang menjadi mangsa termasuk seorang wanita yang maut di Nakhon Pathom pada Disember 2020.

    Turut menjadi mangsa dua anggota polis wanita dan dua orang guru yang meninggal dunia di Nakhon Pathom pada 2021 dan 2022.

    Seorang wanita dari Kanchanaburi terselamat daripada cubaan membunuh menggunakan racun itu.

    Terdahulu, ibu dan kakak kepada seorang daripada mangsa, mendiang Siriporn Khanwong dari Kanchanaburi memfailkan aduan yang membawa kepada penahanan Sararat pada 25 April lalu.

    Pada 14 April, Siriporn menemani suspek untuk membuat amalan Buddha yang dikenali ‘merit-making’, sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia di tebing sungai Mae Klong di Ban Pong di Ratchaburi.

    Siasatan awal menunjukkan suspek mencampurkan sianida dalam makanan Siriporn dan ketika mayatnya ditemukan, telefon bimbit, wang tunai dan beg mangsa didapati hilang.

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, sianida ialah bahan kimia yang bertindak pantas yang mengganggu keupayaan tubuh untuk menggunakan oksigen dan menyebabkan serangan jantung serta berpotensi membawa maut.

  • KSM akan pinda proses iktiraf kesatuan sekerja

    KSM akan pinda proses iktiraf kesatuan sekerja

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan membuat beberapa pindaan bagi proses pengiktirafan kesatuan sekerja untuk memberi ruang kepada pekerja memperjuangkan hak mereka dan mendapat keadilan.

    Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perkara itu akan diberi perhatian kerajaan memandangkan ada kalangan majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja di tempat mereka.

    “Saya difahamkan terdapat kes yang majikan enggan mengiktiraf kesatuan sekerja diterajui pekerja dan ini merumitkan lagi usaha pekerja dalam memperjuangkan hak mereka,” katanya ketika berucap pada Fiesta di Ambang Malam Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kuala Lumpur malam tadi.

    Pada masa sama, katanya, kerajaan juga sedang mengkaji beberapa isu lain, termasuk gaji kehidupan wajar, pencen pekerja swasta, jaminan pekerjaan, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta isu perlindungan pekerja asing.

    Sivakumar berkata, kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu itu sebaiknya, sekali gus memastikan semua pekerja mendapat perlindungan dan keistimewaan setimpal sumbangan mereka.

    “Isu perlindungan pekerja asing juga memerlukan perhatian dan tindakan lebih lanjut. Kita perlu memastikan semua pekerja asing di negara ini dilindungi undang-undang dan diberikan hak sama seperti pekerja tempatan.”

    Selain itu, katanya, kerajaan akan bekerjasama dengan majikan yang perlu memastikan pekerja berpendidikan rendah diberikan peluang meningkatkan taraf pendidikan serta kemahiran kerja melalui latihan dan kursus.

    Langkah itu bagi membantu meningkatkan kemahiran pekerja, selain memberi mereka peluang mengisi jawatan lebih baik serta gaji lebih tinggi.

    Beliau turut menyeru semua majikan menghormati hak pekerja dan memastikan mereka dapat bekerja dalam persekitaran selamat dan kondusif.

    “Kerajaan akan terus memperkenalkan dasar dan perubahan undang-undang yang memastikan keselamatan, kesejahteraan dan hak pekerja dari semasa ke semasa,” katanya.