Author: Bernama

  • Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    Kadar tol 4 konsesi kekal hingga tamat tempoh – Ismail Sabri

    KADAR tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, penstrukturan itu dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

    “Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

    “Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci dilakukan meliputi semua aspek iaitu bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan.

    Ismail Sabri, memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula melibatkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

    Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

    Ismail Sabri berkata, penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

    Katanya, perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula itu akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – BERNAMA

  • [VIDEO] 6 maut, 12 cedera dalam insiden tembakan

    [VIDEO] 6 maut, 12 cedera dalam insiden tembakan

    JABATAN Polis Sacramento mengesahkan enam terbunuh manakala 12 lagi cedera dalam insiden tembakan di Sacramento (California) pada Ahad pagi, lapor Xinhua.

    Pada sidang media, Ketua Polis Sacramento, Kathy Lester berkata, tiga lelaki dan tiga wanita maut dalam insiden itu namun, maklumat mengenai suspek atau motif kejadian tidak didedahkan.

    Beliau berkata, enam mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut laporan saluran berita tempatan, KCRA 3 sebanyak 76 das tembakan kedengaran di lokasi kejadian.

    Lester meminta orang ramai yang mempunyai rakaman mengenai kejadian itu untuk menghubungi polis.

    Kredit video: Saluran YouTube ABC 10

    Menurut data Gun Violence Archive, lebih 17,000 orang maut atau cedera akibat keganasan senjata api setakat tahun ini dan sekurang-kurangnya 110 insiden tembakan besar-besaran dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat. – BERNAMA

  • Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    SEORANG terbunuh manakala 24 lagi cedera dalam satu insiden letupan di sebuah pusat hiburan di Baku, Azerbaijan, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

    Letupan yang turut mencetuskan kebakaran itu berlaku di sebuah kelab malam kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ehsan Zahidov berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas.

    Kejadian itu turut menyebabkan beberapa kediaman dan kenderaan musnah. – BERNAMA

  • Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    PEGAWAI pasukan bakal Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu melawat Hybe, agensi pengurusan kumpulan K-Pop, BTS, dan tiada perbincangan mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera diadakan pada lawatan itu, lapor Yonhap.

    “Tiada perbincangan (pengecualian tentera untuk anggota). Isu itu perlu dibincangkan oleh kerajaan baharu di Parlimen,” kata ketua jawatankuasa pasukan itu Ahn Cheol-soo kepada pemberita.

    Ahn berkata, lawatan itu bertujuan mendapat maklumat apa yang boleh dilakukan oleh pentadbiran baharu untuk menyokong industri hiburan.

    Lawatan itu menjadi tumpuan di tengah-tengah spekulasi mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera untuk anggota BTS.

    Semua lelaki Korea Selatan yang sihat tubuh badan dikehendaki menyertai perkhidmatan tentera kira-kira dua tahun. Hanya atlet dan pemuzik klasik yang memenangi pingat atau anugerah di peringkat dunia diberikan pengecualian.

    Rang undang-undang mengenai selebriti pop lelaki terkemuka dikecualikan untuk perkhidmatan itu bakal dibahaskan di Parlimen.

    Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan dikatakan sedang mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan pengecualian perkhidmatan tentera kepada BTS. – BERNAMA

  • Ponteng puasa…mungkin kali ini dimandikan seperti jenazah – KM Melaka

    Ponteng puasa…mungkin kali ini dimandikan seperti jenazah – KM Melaka

    PENIAGA yang diberi kebenaran memulakan operasi perniagaan pada 2 petang sepanjang Ramadan ini, diberi amaran agar tidak bersubahat dengan individu ponteng puasa atau geng ‘plastik hitam’.

    Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata seharusnya peniaga tersebut menggunakan peluang tersebut, untuk berniaga dengan amanah malah menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memantau individu yang ponteng puasa.

    “Kita sudah berikan kebenaran berniaga, jadi hormatlah bulan yang mulia ini. Kedua-dua pihak jangan ambil kesempatan. Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang ponteng puasa dan juga peniaga yang bersubahat.

    “Jika ditahan, mungkin kali ini kita akan mandikan mereka seperti jenazah,” katanya pada pemberita selepas merasmikan pembukaan Premis Perniagaan Ar Rahnu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah hari ini.

    Katanya pemantauan berterusan akan dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), dengan penguatkuasan undang-undang yang tegas di restoran atau peniaga makanan yang membenarkan orang Islam makan dalam premis mereka.

    Dalam pada itu Sulaiman turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan tidak menaikkan harga jualan, walaupun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah di pasaran.

    “Juallah pada harga berpatutan. Cuba rendahkan kadar harga dan sudah pasti ramai yang akan beli,” katanya.

    — BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri jalani kuarantin kendiri setelah positif COVID-19

    Agong, Raja Permaisuri jalani kuarantin kendiri setelah positif COVID-19

    YANG  di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara setelah disahkan positif COVID-19.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri hingga Khamis (7 April) manakala Tunku Azizah hingga Jumaat (8 April).

    Beliau berkata Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi kes positif COVID-19 yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.

    “Adalah dimaklumkan Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan. Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata bersempena ketibaan bulan Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, semalam.

    Seluruh rakyat turut diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta keafiatan yang berpanjangan.

    — BERNAMA

  • Polis tahan guru wanita disyaki dera empat murid tadika

    Polis tahan guru wanita disyaki dera empat murid tadika

    POLIS menahan seorang guru wanita di Muar, awal pagi ini, yang disyaki mendera empat muridnya di sebuah tadika swasta baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Shahurinain Jais berkata wanita berusia lewat 50-an itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Muar kira-kira pukul 2 pagi tadi.

    Beliau berkata dua hari lepas salah seorang ibu kanak-kanak itu telah menerima rakaman video yang memaparkan kejadian anaknya didera oleh guru berkenaan.

    “Kejadian disyaki berlarutan sejak bulan November lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya wanita itu dipercayai bertindak kasar terhadap empat murid lelaki berusia lingkungan umur tiga hingga lima tahun, dan kesemua murid berkenaan telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk pemeriksaan perubatan.

    Shahurinain berkata wanita itu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • 314 kes penipuan menyamar rakan media sosial libatkan kerugian lebih RM2 juta

    314 kes penipuan menyamar rakan media sosial libatkan kerugian lebih RM2 juta

    SEJUMLAH 314 kes penipuan dengan menyamar sebagai rakan/kenalan menerusi media sosial direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac lepas melibatkan kerugian lebih RM2 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)  Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

    Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menggodam akaun media sosial seperti  WhatsApp, Telegram dan Facebook milik individu tertentu, kemudian menyamar sebagai pemilik akaun berkenaan.

    Penyamar itu kemudian menghubungi semua rakan pemilik asal akaun berkenaan untuk meminjam sejumlah wang.

    “Sejak awal tahun ini, sindiket terbabit didapati mula melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram milik mangsa seterusnya menghubungi senarai rakan mangsa untuk meminjam wang.

    “Pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses ataupun menerima panggilan daripada kenalan yang bertanya mengenai kesahihan peminjaman wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebagai langkah pencegahan, Mohd Kamarudin menasihati pengguna akaun Telegram untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan ‘two-step verification’ di akaun Telegram masing-masing.

    Katanya melalui tetapan itu, tahap keselamatan akaun Telegram akan dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah mengaktifkan akaun tersebut melalui peranti lain.

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah percaya kepada mesej yang diterima daripada kenalan terutama apabila melibatkan pinjaman wang dan akaun bank yang digunakan milik individu lain,” tambahnya.

    Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101599.

    — BERNAMA

  • Pekerja Bangladesh maut ketika periksa mesin penampat kertas

    Pekerja Bangladesh maut ketika periksa mesin penampat kertas

    SEORANG pekerja maut ketika memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas, di sebuah kilang pengumpulan bahan kitar semula di Menglembu, di Ipoh, kira-kira 6.50 petang semalam.

    Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan berkata mangsa yang merupakan warganegara Bangladesh berumur 34 tahun, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 

    “Difahamkan mangsa memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas yang sedang beroperasi secara automatik. Mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran mesin pemampat tersebut dengan kecederaan parah pada belakang leher oleh rakan sekerjanya.

    “Susulan daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP mengeluarkan lima notis larangan kepada pihak majikan berkaitan pengoperasian mesin pemampat dan seterusnya mengarahkan supaya aktiviti kerja melibatkan mesin pemampat dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi oleh pihak majikan

    “JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan tersebut turut menyebut, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

    “Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” menurut kenyataan itu.

    — BERNAMA

  • Umat Islam berpuasa mulai Ahad

    Umat Islam berpuasa mulai Ahad

    UMAT Islam di Malaysia akan mula berpuasa mulai Ahad (3 April), demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

    Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

    Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

    Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini (Jumaat) bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.

    Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara antaranya di Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

    Setelah dua tahun umat Islam di negara ini menyambut Ramadan dalam keadaan Malaysia masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kali ini ia akan disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang bermula 1 April.

    — BERNAMA