Author: Bernama

  • Sumbangan RM9 juta buat bayi Naail berjaya dikumpul

    Sumbangan RM9 juta buat bayi Naail berjaya dikumpul

    LEBIH RM9 juta dana berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai bagi membantu seorang bayi 10 bulan, Wan Muhammad Naail Wan Aslam yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1.

    Bapa bayi itu, Wan Aslam Zakaria, 30, berkata dana yang telah dilancarkan menerusi Misi Rakyat sejak 13 April itu bertujuan membolehkan anaknya mendapatkan suntikan ubat jenis Gene Therapy Zolgensma bernilai AS$2.1 juta (RM9.28 juta) untuk sekali seumur hidup bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya yang terjejas akibat penyakit itu.

    Katanya beliau sekeluarga bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih atas keprihatinan semua penyumbang sehingga misi untuk mengumpul dana RM9 juta bagi merawat anak bongsunya itu tercapai.

    “Memang pada peringkat awal fikiran kami mustahil untuk capai jumlah dana RM9 juta, apatah lagi kami rakyat biasa yang tidak mampu untuk membeli ubat semahal itu, tapi dengan pertolongan yang tak disangka-sangka datang ini, jumlah itu dicapai.

    “Saya berharap dengan sumbangan ini juga mampu memberikan kebaikan (kesembuhan) kepada Naail dan membesar seperti kanak-kanak lain. Mudah-mudahan juga apabila beliau besar nanti memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial hari ini apabila video yang menyaksikan kutipan orang ramai dilakukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Misi Rakyat bagi membantu Wan Muhammad Naail telah mencecah RM9,088,404.

    Wan Aslam memaklumkan Wan Muhammad Naail disahkan menghidap penyakit SMA Type 1 ketika berumur empat bulan yang menyebabkan ototnya merosot hingga sukar menelan air liur sendiri, selain memerlukan bantuan mesin pernafasan, mesin penyedut kahak dan meminum susu menggunakan tiub melalui hidung.

    Ketika ini juga anaknya itu mengambil ubat Risdiplam bernilai RM40,400 sebotol setiap bulan untuk membantu mengurangkan keadaannya supaya tidak merosot otot sementara menunggu dana untuk membeli ubat jenis Gene Therapy Zolgensma yang perlu disuntik sebelum berumur dua tahun.

    Mengenai perancangan seterusnya, Wan Aslam yang menetap di ibu negara berkata beliau akan berjumpa dengan pihak hospital pada hari Isnin ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur yang perlu mereka lakukan termasuk penetapan tarikh suntikan.

    “Setakat ini saya dimaklumkan, biasanya prosedur (sebelum dicucuk) ia mengambil masa sebulan termasuk tempahan ubat Gene Therapy Zolgensma dari Amerika Syarikat yang mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk sampai ke Malaysia selepas pembayaran dibuat. Jadi maklumat terkini akan saya kemas kini dalam media sosial saya,” katanya.

  • Dua pegawai imigresen didakwa rasuah lepaskan PATI keluar Sabah

    Dua pegawai imigresen didakwa rasuah lepaskan PATI keluar Sabah

    DUA pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau hari ini atas pertuduhan rasuah bagi melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang menggunakan kad pengenalan individu lain untuk keluar dari Sabah menuju ke Semenanjung, dua bulan lepas.

    Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

    Rosmaini didakwa menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk pendatang tanpa izin berkenaan melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau antara 8.30 pagi hingga 9 pagi bagi menaiki penerbangan dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 Mac lepas.

    Rosmaini, yang bertugas di Pejabat Imigresen UTC Tawau, dituduh menerima rasuah itu di Bank Muamalat cawangan Tawau, Lot 69 & 70, Ground & First Floor No G4 & G6, Kubota Square, di Tawau, pada 22 Mac lepas.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Elmin yang bertugas di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Tawau didakwa bersubahat dengan Rosmaini serta menerima suapan di lokasi dan tarikh sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta serupa.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Jason membenarkan Rosmaini dan Elmin masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapife.

  • Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida

    Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida

    PELAKON Amelia Henderson memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit filem dan drama A. Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.

    Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson ketika dihubungi pemberita berkata, notis rayuan itu difailkan pada 18 April lepas di Mahkamah Tinggi.

    Menurut peguam itu, pengurusan kes untuk rayuan tersebut ditetapkan pada 26 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin.

    Pada 7 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A. Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon drama ‘Kisah Cinta Kita’.

    Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A. Aida selaku plaintif.

    Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April.

    Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.

    Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.

    Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.

  • 21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan

    POLIS Kenya pada Selasa menemukan 21 lagi mayat dari kubur di bandar Malindi, yang disyaki dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemujaan.

    Polis berkata setakat ini 133 mayat telah ditemukan sejak penemuan kubur besar itu di sebidang tanah di hutan Shakahola pada akhir April.

    Kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, lapor Xinhua.

    Pada April polis menyerbu kawasan milik paderi dikenali Paul Nthenge selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    Setiausaha Kabinet di Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, Kithure Kindiki berkata proses menggali kubur itu dibuat dengan berhati-hati untuk melindungi maruah dan privasi keluarga mangsa.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan 65 orang telah diselamatkan dari belukar setakat ini, termasuk dua yang telah diselamatkan sebelum ini.

    Presiden Kenya William Ruto menyifatkan insiden itu sebagai keganasan dan telah mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kejadian berkenaan.

  • 580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    POLIS menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, yang terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

    Beliau berkata, 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

    “Kita turut merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM190,890,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

    Kamarul Zaman berkata, tahun lepas 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau pun bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” katanya.

  • PRN:Pembahagian kerusi PN hampir selesai-Hamzah

    PRN:Pembahagian kerusi PN hampir selesai-Hamzah

    PERBINCANGAN mengenai pembahagian kerusi parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah hampir selesai.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata cuma terdapat beberapa kerusi yang masih belum dimuktamadkan. 

    “Banyak kali dah kita bincang, Insya-Allah tinggal tiga atau empat kerusi yang perlu kita lakukan perbincangan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Larut hari ini. 

    PRN di enam negeri tahun ini melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

    Mengenai Pemilihan Bersatu 2023, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata pemilihan parti akan diadakan setelah selesai PRN di enam negeri berkenaan. 

  • Sultan Selangor titah jemaah haji kekal disiplin ketika di Tanah Suci

    Sultan Selangor titah jemaah haji kekal disiplin ketika di Tanah Suci

    BAKAL jemaah haji Malaysia terutama dari Selangor diingatkan supaya mengekalkan disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Baginda turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya berbincang secara baik dengan pegawai Tabung Haji (TH) sekiranya ada sebarang kekurangan atau permasalahan.

    “Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

    “Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji Negara sentiasa terpelihara,” titahnya pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran TH dan Jabatan Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.

    Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

    Sementara itu Sultan Selangor turut memohon doa dari rakyat agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardhu haji dengan sempurna serta mendapat pahala haji yang mabrur.

    “Insya-Allah, beta juga akan menunaikan fardhu haji tahun ini walau pun telah menunaikan fardhu haji pada tahun 2002 lepas.
    “Pada kali ini, beta akan membawa bersama Tengku Permaisuri Selangor untuk menunaikan haji,” titah baginda.

    Seramai 6,000 bakal jemaah haji dari Selangor mengikuti kursus perdana haji tahun ini yang dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci.

  • Hafizah 30 juzuk al-Quran raih markah ACCA kedua tertinggi dunia

    Hafizah 30 juzuk al-Quran raih markah ACCA kedua tertinggi dunia

    SEORANG penghafaz al-Quran atau ‘hafizah’ meraih pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac lepas.

    Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan memperoleh markah 98 peratus, sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia.

    Safwa berkata beliau tidak mempunyai asas pengajian perakaunan kerana mengambil aliran sains tulen dan hafazan (agama) ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

    “Saya memperoleh keputusan 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua iaitu selepas dua tahun menghafaz al-Quran.

    “Ketika mahu menyambung pelajaran ke UiTM, ibu bapa saya mencadangkan supaya saya pilih jurusan perakaunan kerana sesuai dengan kebolehan saya, selain memang minat matematik.

    “Empat adik-beradik saya lulusan perubatan dan kejuruteraan, jadi biar ada seorang dalam bidang perakaunan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, dekat Besut.

    Pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu, berkata beliau bertekad memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, walaupun baru enam bulan belajar tentang perakaunan.

    “Ketika mula belajar akaun, saya sedikit buntu tapi saya atasinya dengan kerap membuat latihan dan ulang kaji hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang itu,” katanya.

    Safwa, yang merupakan anak kepada pasangan guru, Zamri Mohd Amin, 56, dan Rashidah Ab. Rahman, 57, cemerlang sejak sekolah rendah lagi (Sekolah Kebangsaan Tembila) apabila sentiasa memperoleh tempat pertama di dalam kelas.

    “Apabila hendak sesuatu benda (pelajaran), beliau akan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulangkaji pelajaran bagi memastikan beliau dapat menguasai sesuatu subjek,” kata Zamri.

  • AGC nafi keluar kenyataan berhubung pendakwaan Zuki Ali

    AGC nafi keluar kenyataan berhubung pendakwaan Zuki Ali

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menafikan sekeras-kerasnya telah mengeluarkan kenyataan media berhubung pendakwaan ke atas Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    AGC dalam kenyataan di Putrajaya hari ini berkata penafian itu merujuk kepada kenyataan media Ruj: PN. PRO.100-3/6/4 Jld.5(11) Pendakwaan ke atas Tan Sri Zuki Bin Ali – Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 5 Mei 2023.

    Kenyataan media palsu menggunakan jata negara dan nama AGC itu menyatakan susulan daripada arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, AGC telah menerima kertas siasatan daripada pegawai khas Perdana Menteri berhubung isu dakwaan terhadap Tan Sri Zuki Ali.

    Pemerhatian terhadap kenyataan palsu itu mendapati nama KSN adalah salah.

    Kenyataan palsu itu turut menyatakan AGC menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan dan bukan atas desakan oleh mana-mana pihak atau faktor lain.

  • Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    PERBICARAAN kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta akan bermula Januari 2025 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata kes itu akan didengar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

    “Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Januari 2025 manakala Februari pada 12 hingga 14, 17 hingga 21 dan 24 hingga 26,” kata peguam itu.

    Menurut Kwan, pada pengurusan kes di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 4 Ogos depan untuk pihak-pihak mengemas kini status perbicaraan.

    SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan GMSB, memfailkan writ saman pada 7 Mei 2021, mendakwa bekas perdana menteri itu sebagai defendan melakukan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    Plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang berkenaan atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.