Author: Bernama

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke arah Bandar Saujana Putra, petang semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas dia mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di bahagian kepala di Hospital Banting sekitar pukul 4 petang semalam.

    Ahmad Ridhwan berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2 petang semalam, pemandu Perodua Bezza itu terlebih dahulu melanggar seorang penunggang motosikal yang berhenti di lorong kecemasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 SKVE.

    “Selepas itu, pemandu kereta itu terus bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC 135,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera di kaki dan tangan dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

    Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular aksi lawan arus sebuah kereta Perodua Bezza menerusi video berdurasi 2.30 minit di laman sosial Facebook. – BERNAMA

  • [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    [VIDEO] Polis buru geng main meriam karbaid tepi jalan

    POLIS sedang mengesan sekumpulan lelaki yang bermain meriam karbaid di tepi Jalan Permatang Rawa, di Bukit Mertajam selepas video mereka tular menerusi media sosial sejak semalam dan menerima kecaman netizen kerana berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Shafee Abd Samad berkata rakaman video berdurasi dua minit dan 20 saat itu mendapati mereka bermain meriam berkenaan di tepi jalan raya dan membuat gangguan bising kepada penduduk.

    “Semalam pihak polis telah mengesan sebuah video membabitkan sekumpulan lelaki sedang bermain meriam yang tular menerusi laman sosial Twitter. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai video itu termasuk mengesan beberapa lelaki yang yang terlibat dalam video itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain meriam karbaid sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana ia kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    Video yang tular itu memaparkan sekumpulan lelaki sedang seronok bermain meriam karbaid yang diperbuat daripada paip polivinil klorida (PVC) di hadapan deretan rumah kedai.

    https://twitter.com/i/status/1513333500753358850

    Ia menunjukkan meriam berkenaan dihalakan ke arah jalan raya yang dilalui banyak kenderaan tanpa menghiraukan keselamatan orang ramai.

    Perbuatan itu mendapat kecaman netizen kerana bukan sahaja tidak menghormati bulan Ramadan malah memberi ancaman kepada pengguna jalan raya terutama warga emas yang mungkin akan terkejut selepas mendengar dentuman kuat. – BERNAMA

  • Ahli politik Thailand didakwa hina institusi diraja

    Ahli politik Thailand didakwa hina institusi diraja

    Oleh LINDA KHOO HUI LI

    SEORANG ahli politik terkenal Thailand berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun kerana menghina raja dan melanggar Akta Jenayah Komputer ketika siaran langsung menerusi Facebook pada Januari, 2021.

    Thanathorn Juangroongruangkit, 43, ketua parti politik yang telah dibubarkan iaitu Parti Future Forward (FFW) mengkritik rancangan perolehan vaksin COVID-19 kerajaan.

    Dia dituduh atas kesalahan lese-majeste (derhaka) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, serta melanggar Akta Jenayah Komputer dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

    Thanathorn, kini pengerusi Pergerakan Progresif, dibenarkan ikat jamin 90,000 baht dengan seorang penjamin pada Isnin.

    Dalam satu kenyataan, Thanathorn berkata kritikannya ditujukan kepada kerajaan Thailand dan bukannya institusi diraja.

    “Kritikan saya adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.

    Semasa siaran langsung di Facebook, Thanathorn menuduh kerajaan melakukan kesalahan dalam mengendalikan perolehan vaksin dan memihak kepada syarikat biofarmaseutikal dimiliki Raja Maha Vajiralongkorn.

    Thanathorn telah diharamkan terlibat dalam politik selama 10 tahun pada 2020 susulan tindakannya memberi pinjaman kepada bekas parti pembangkangnya. – BERNAMA

  • MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    MPV bawa mercun bola terbalik dalam parit, pemandu lari

    SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa enam guni berisi mercun bola ditemukan terbabas di dalam parit berdekatan Taman Prima dekat Lubok Jong, Pasir Mas, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian dimaklumkan orang awam yang melaporkan sebuah Toyota Wish telah terbabas dalam keadaan terbalik ke dalam parit air pada pukul 3.15 petang.

    Beliau berkata, dua anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati pemandu kenderaan terbabit sudah tiada.

    “Pemeriksaan lanjut di dalam kereta terbabit menemukan enam guni plastik bercorak jalur-jalur berada di tempat duduk penumpang belakang yang berisi sejumlah mercun bola.

    “Anggota yang membuat semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, tiada rekod kesalahan dan ia telah didaftarkan atas nama seorang individu yang beralamat di Kluang, Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, anggotanya telah menunggu selama sejam di lokasi tersebut sekiranya terdapat mana-mana individu yang menuntut barangan terbabit.

    Mohd Nasaruddin berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM45,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – BERNAMA

  • Tanah bernilai RM4.3 juta hasil edar dadah disita

    Tanah bernilai RM4.3 juta hasil edar dadah disita

    POLIS Terengganu menyita tujuh lot tanah di beberapa lokasi di negeri itu termasuk yang menempatkan 10 unit chalet bernilai RM4.3 juta, disyaki diperoleh daripada pendapatan kegiatan mengedar dadah.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejayaan itu susulan penangkapan dua suspek pengedar melibatkan rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan syabu seberat 46.7 gram pada 9 Dis 2020.

    “Satu siasatan kewangan telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek oleh Bahagian Perlucuthakan Harta Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, yang pada permulaan kes ini tiada sitaan dibuat.

    “Siasatan lanjut melalui penjejakan harta (asset tracing) melalui bank dan institusi kewangan telah berjaya menemukan pemilikan tujuh harta tak alih oleh suspek yang diperoleh secara pembelian yang meragukan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

    Katanya, salah satu lot tanah yang disita ialah di Batu Rakit di Kuala Nerus dengan keluasan 9,105 meter persegi termasuk 10 buah chalet yang dibina di atas tanah berkenaan dengan anggaran nilai RM900,000.

    Rohaimi berkata, turut disita, beberapa lot tanah termasuk di Kemaman, Dungun dan Marang.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan harta berkenaan adalah yang terbesar melibatkan pengedar dadah di negeri itu.

    “Polis Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan ‘asset tracing’ ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset-aset ini dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

  • Pemilihan PKR: Jawatan naib presiden saksi pertandingan 17 calon, Anwar calon tunggal presiden

    Pemilihan PKR: Jawatan naib presiden saksi pertandingan 17 calon, Anwar calon tunggal presiden

    PENCALONAN bagi jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025, setakat 7 malam ini.

    Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat, ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Turut bertanding adalah bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang G Manivannan dan ADUN Sentosa Dr G Gunaraj.

    Lima lagi calon turut menghantar borang pencalonan naib presiden adalah Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) S. Thiban, ADUN Chuah Datuk Michael Yek Diew Ching, serta ADUN Bukit Selambau Dr R. Summugam.

    Bagaimanapun, penyandang Tian Chua pada 27 Mac lepas, mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu, Rafizi Ramli pula menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar pula telah meletak jawatan pada 2018.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita di sini hari ini, bagaimanapun berkata jumlah calon berkenaan belum muktamad, memandangkan proses pencalonan bagi pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya akan ditutup pada 11.59 malam ini, sejak ia dibuka pada 9 pagi tadi.

    Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Zaliha berkata setakat ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan nombor satu parti, manakala jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK Zaliha berkata masing-masing dua pencalonan telah diterima pihaknya.

    Bagi Ketua Wanita, ia ditandingi Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita PKR Selangor yang juga ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail, manakala jawatan untuk Ketua AMK, ia menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu  Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

    Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam (Ahad) melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung hari ini.

    Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Feb lepas.

    Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

    Zaliha juga berkata ahli yang bersetuju menjadi pemilih dalam talian tidak boleh mengundi secara fizikal.

    Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, di kongres tahunan masing-masing. 

    — BERNAMA

  • ADUN di Kelantan rugi RM84,529 diperdaya Macau Scam

    ADUN di Kelantan rugi RM84,529 diperdaya Macau Scam

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan mengalami kerugian RM84,529 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan ACP Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 57 tahun itu menyedari ditipu selepas mendapati baki simpanan dalam dua bank miliknya berkurangan ketika membuat semakan semalam.

    Beliau berkata terdahulu, mangsa menerima satu panggilan daripada suspek lelaki menyamar sebagai pegawai LHDN Melaka yang mendakwa mangsa mempunyai satu kes tunggakan bayaran cukaisebanyak RM52,900.78.

    “Suspek mendakwa cukai tersebut disebabkan daripada kemasukan wang tunai sebanyak RM 200,000.00 kepada akaun syarikat dikatakan milik mangsa, namun mangsa menafikan dakwaan tersebut.

    “Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada dua suspek berikutnya yang menyamar sebagai anggota dan pegawai polis bergelar ‘Datuk’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

    “Semasa perbualan bersama ‘Datuk Puan Jasmine Kaur’, mangsa diminta untuk mengesahkan akaun-akaun miliknya dengan mengisi pautan Bank Negara melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata mangsa menyedari ditipu selepas pergi ke dua buah bank untuk menyemak baki akaun dan membuat kad baharu.

    “Semalam, mangsa telah pergi ke Bank Islam Kota Bharu untuk menyemak baki akaun dan membuat kad baharu. Mangsa dimaklumkan oleh pegawai bank bahawa baki akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM71,480.

    “Mangsa juga ke Bank Muamalat Kota Bahru untuk membuat kad bank baharu dan dimaklumkan bahawa baki dalam akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM13,049 melalui dua pengeluaran iaitu pada hari Sabtu (9 April),” katanya.

    Mohd Wazir berkata mangsa telah membuat laporan polis di bu Pejabat Polis Daerah (IPD) tengah hari tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    Banduan kedua lari dari Penjara Jelebu ditangkap

    POLIS menahan seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu semalam, di Kampung Petasih Tengah, Pertang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, yang sedang menunggu perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ditahan kira-kira pukul 5.15 pagi tadi.

    “Lelaki terbabit telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu dan cuba melarikan sebuah kereta Proton Waja tetapi berjaya dihalang seterusnya ditangkap oleh orang kampung dan polis.

    “Menerusi tangkapan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu menjadikan keseluruhan dua daripada tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara semalam berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jelebu, hari ini.

    Banduan pertama yang ditahan semula, Sohaimi Khalid berusia 50 tahun diberkas di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 malam semalam.

    Menurut Maslan, banduan pertama ditahan semua itu telah dibenarkan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk banduan kedua ditahan semula akan dijalankan esok di mahkamah sama.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi di tepi blok itu.

    Susulan itu, polis mengadakan empat sekatan jalan raya di sempadan Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol dalam usaha mengesan kesemua mereka yang masih lolos termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

    Dalam pada itu, beliau berkata, lima banduan yang menunggu perbicaraan bagi kesalahan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dipercayai sudah menukar pakaian masing-masing sebaik berjaya melarikan diri dan disyaki berjalan kaki dan bersembunyi di kawasan pinggir kampung.

    Menurutnya, polis sedang giat mengesan kesemua baki banduan berkenaan dan dipercayai masih berada di daerah ini dengan tumpuan pencarian dilakukan di sekitar kawasan Pertang.

    Lima lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096996, katanya. – BERNAMA

  • Tiga beranak maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    Tiga beranak maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    TIGA beranak maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 128 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

    Mangsa terkorban adalah Nur Rawiyah Abu Samah, 25, yang juga pemandu kereta manakala dua lagi mangsa iaitu ibu dan bapa Nur Rawiyah – Saripah Ab Malek, 59, dan Abu Samah Mohamed, 74, kesemuanya beralamat di Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah, Rompin.

    Cucu Abu Samah dan Saripah yang berusia satu tahun Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu pekerja syarikat penghantaran dari Leban Chondong ke Kuala Rompin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa dan sebuah lori,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    Kamarulzaman berkata pemandu van berusia 24 tahun dari Kampung Tengah, Kuantan dilaporkan patah bahu dan cedera kedua-dua kaki manakala pemandu lori berumur 49 tahun dari Rompin luka di tangan.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA