Author: Bernama

  • Imigresen nafi tahan jurutera China lapan jam

    Imigresen nafi tahan jurutera China lapan jam

    JABATAN Imigresen Malaysia menafikan menahan seorang ketua jurutera warga China selama lapan jam seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaliknya urusan untuk memberikan Pas Khas kepada lelaki tersebut tidak dapat diteruskan kerana dia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.

    Beliau berkata, lelaki tersebut juga gagal mengemukakan tiket penerbangan pulang dalam masa 30 hari dan tidak memuat naik keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen COVID-19 dalam MySejahtera.

    “Pas Khas tidak dapat dikeluarkan kerana menunggu syarikat majikan lelaki tersebut membeli tiket penerbangan pulang dan keputusan saringan dimuat naik ke dalam MySejahtera,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan.

    Beliau menjelaskan bagaimanapun setelah tiket penerbangan pulang yang sah dalam tempoh 30 hari telah dikemukakan dan keputusan saringan itu dimuat naik dalam MySejahtera, pihaknya telah mengeluarkan Pas Khas dan Memo Periksa Keluar selaras dengan peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan.

    Khairul Dzaimee berkata demikian ketika mengulas laporan kenyataan pemain industri perkapalan (Maritim Network) yang menganggap tindakan jabatan berkenaan menahan ketua jurutera warga China selama tempoh lapan jam itu tidak profesional.

    “Orang ramai sama ada warga asing atau warga tempatan diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta menyediakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan sebelum hadir berurusan di kaunter atau mana-mana pejabat Imigresen,” katanya. – BERNAMA

  • Polis rejim Zionis serbu Al-Aqsa lagi, 10 rakyat Palestin cedera

    Polis rejim Zionis serbu Al-Aqsa lagi, 10 rakyat Palestin cedera

    POLIS Israel menyerbu pekarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada Ahad mencetuskan lagi pertempuran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Palestin cedera, lapor Xinhua.

    Rakyat Palestin yang berada di pekarangan masjid telah diusir menyebabkan berlaku pertempuran antara jemaah dengan polis Israel.

    Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan polis Israel telah menyekat rakyat Palestin daripada memasuki masjid untuk memberi laluan kepada beratus-ratus pendatang Yahudi.

    Menurut akhbar Haaretz, seramai 728 pendatang masuk ke kawasan masjid sambil diberi perlindungan yang ketat daripada polis Israel.

    Menurut saksi, polis menutup pintu Kota Lama Baitulmaqdis untuk menghalang penduduk Palestin dari luar bandar memasuki masjid.

    Bagaimanapun, sekatan itu kemudiannya dilonggarkan.

    Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ketegangan memuncak di seluruh wilayah Palestin selepas tentera Israel pada Jumaat menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa yang menyebabkan ratusan jemaah cedera. – BERNAMA

  • Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis jip di Jalan Kampong Sri Cheeding, Jenjarom, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata ketika kejadian pada 4.45 petang itu,  Koperal Muhamad Nazri Mohd Nor, 31, yang bertugas di Balai Polis Bukit Puchong, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam perjalanan pulang selepas siap bertugas pada 4 petang.

    “Akibat perlanggaran itu, Muhamad Nazri dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata Allahyarham yang telah berkhidmat selama sembilan tahun itu meninggalkan seorang isteri dan belum dikurniakan cahaya mata.

    Abd Khalid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Cawangan Trafik dan ketika ini pemandu jip tersebut masih belum membuat laporan polis.

    Beliau meminta saksi kemalangan tersebut untuk tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Langat Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili seluruh warga kerja polis kontinjen Selangor mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

    — BERNAMA

  • 11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    SEBELAS daripada 18 pelajar tahfiz dari sebuah madrasah di Rembau dekat sini, cedera selepas van dinaiki terbabas gara-gara cuba mengelak seekor musang yang melintas di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, Seremban awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi berusia 16 tahun cedera pada mulut, manakala sembilan yang lain cedera ringan.

    Beliau berkata kedua-dua pelajar itu dirawat di zon kuning di Hospital Rembau dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

    “Pemandu van Muhammad Tamimi Md Suhot, 26, cedera ringan di jari kiri, manakala baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan. 

    “Kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin dan setibanya di lokasi kejadian, van dipandu Muhammad Tamimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hazri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kes Bella: Rina sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

    Kes Bella: Rina sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun bersedia menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembahkan status perbicaraan kes penderaan Bella.

    Rina menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini memaklumkan kementerian berkenaan akan mempersembahkan tindakan yang telah disusuli pihak kementerian dalam membantu perbicaraan kes itu.

    “Titah DYAM Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.

    “Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku,” menurut hantaran itu.

    Rina berkata beliau terharu atas keprihatinan dizahirkan oleh baginda berdua yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan berkenaan.

    Rina turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk berdoa agar urusan perbicaraan kes penderaan Bella dipermudahkan dan kebenaran dapat dibuktikan pada akhir perbicaraan.

    Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

    Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

    — BERNAMA

  • Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak cedera apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah di Taman Chepor Impian di Ipoh hari ini.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 tengah hari tadi.

    “Mangsa, Taufik Asyarun Zainuddin berusia lingkungan 30-an merupakan pegawai kanan bomba daripada bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak dan dua anak lelakinya cedera pada bahagian kaki manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala.

    “Kereta yang dipandu mangsa jenis Proton Persona telah berlanggar dengan bahagian belakang sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

    Jurucakap itu berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dan menyerahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.29 petang. – BERNAMA

  • [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi oleh pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden.

    Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad menyifatkan tindakan itu melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara.

    “Tindakan itu merupakan suatu usaha provokasi dan menghasut kebencian yang mesti ditolak semua pihak yang inginkan keamanan dan hidup bersama dalam budaya damai.

    “Malaysia juga menekankan kepentingan menghapuskan semua bentuk keganasan dan kebencian, termasuk Islamofobia.

    “Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen Islamofobia dan pelampau agama,” menurut kenyataan itu.

    Menurut laporan media, pada Khamis pemimpin Denmark dari parti sayap kanan, Stram Kurs bertindak membakar senaskah al-Quran di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam di Sweden.

    https://twitter.com/Intel_sky/status/1515605944851435522

    Paludan dilaporkan melakukan tindakan tersebut di kawasan terbuka di selatan Linkoping dan tidak menghiraukan orang ramai yang membantah perbuatannya itu. – BERNAMA

  • Ismail Sabri tidak tergugat walaupun UMNO tak teruskan MoU

    Ismail Sabri tidak tergugat walaupun UMNO tak teruskan MoU

    KEDUDUKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya tidak tergugat dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini Perdana Menteri masih terus mendapat sokongan daripada parti kerajaan campuran dan juga blok pembangkang.

    “Saya nampak ada kebijaksanaannya apabila MoU ini tidak lagi disambung. Itu bukan bermakna pembangkang tidak boleh menyokong Perdana Menteri, sebaliknya Perdana Menteri tidak lagi terikat, dan beliau boleh mengambil tindakan yang memang menjadi tanggungjawab beliau, termasuklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, itu sebagai contoh.

    “Jadi dengan tidak ada ikatan bertulis yang tidak membolehkan perkara itu (membubarkan Parlimen) dilakukan, ini adalah kebijaksanaan MT UMNO yang memberi lebih kebebasan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi seniman veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahya di kediaman beliau di Jalan Rajawali, Larkin, Johor Bahru hari ini.

    Selasa lepas, MT UMNO dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk tidak meneruskan MoU antara kerajaan dan PH selepas 31 Julai ini.

    Sementara itu, Annuar berkata apa yang penting ketika ini ialah semua pihak termasuk parti-parti politik perlu bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Kita perlu siap siaga.. parti masing-masing untuk PRU-15 dalam masa terdekat. Tidak ada lagi keraguan kerana kita dah masuk tahun kelima, ertinya dah sampai masanya PRU-15 diadakan.. soal bila, bulan berapa – kita serah kepada Perdana Menteri untuk memikirkan masa yang sesuai.

    “Banyak faktor kena fikir, satu kesiapsiagaan parti pihak yang nak membubarkan, nak lepaskan kuasa… aspek keadaan rakyat, negara dan lain-lain, jadi gabungan faktor banyak yang perlu difikir,” katanya. – BERNAMA

  • Lima cedera tembakan rambang di masjid Scarborough

    Lima cedera tembakan rambang di masjid Scarborough

    SERAMAI lima orang cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Toronto, Kanada pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

    Jurucakap Jabatan Polis Toronto, David Rydzik berkata, kejadian berlaku di daerah Scarborough apabila sekumpulan lelaki melepaskan tembakan sebaik selesai menunaikan solat tarawih.

    Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan manakala bilangan suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih belum dapat dipastikan.

    “Motif sebenar kejadian masih disiasat,” kata Rydzik. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    Pemilihan PKR: Sistem ‘cai’ tak berkesan – Fahmi Fadzil

    CALON Naib Presiden bagi Pemilihan PKR 2022, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil lebih meletakkan kepercayaan terhadap kebijaksanaan ahli PKR dalam mengundi berbanding strategi pembentukan ‘cai’ atau kem.

    Beliau berkata, ini kerana sistem ‘cai’ belum dapat dipastikan keberkesanannya kerana pada akhirnya ia bergantung kepada penilaian ahli PKR dalam sesuatu kem untuk memilih calon yang mereka rasa layak bagi memegang sesuatu jawatan yang dipertandingkan.

    “Ini yang baiknya satu anggota, satu undi. Kerana pada akhirnya, pemilihan itu bergantung kepada penilaian anggota terhadap mana-mana satu pimpinan dan sebenarnya sistem ‘cai’ ini lebih kepada sekiranya tokoh-tokoh (calon) itu mungkin kurang dikenali atau senarai (calon) itu panjang…

    “Dulu semasa pemilihan pada 2018, sememangnya wujud (keadaan) di mana (calon) tidak berapa dikenali maka mereka pilih siapa yang dicadangkan oleh mana-mana pihak tetapi bila kami teliti keputusan ia tidak memberi bayangan bahawa ‘cai’ ini berkesan,” katanya yang diminta mengulas mengenai pembentukan ‘cai’ bagi pemilihan parti itu tahun ini.

    Pengarah Komunikasi PKR itu berkata demikian pada sidang media berkenaan ‘Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak’ di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil. – BERNAMA