Author: Bernama

  • Gempa bumi Kundasang: Gunung Kinabalu rasa gegaran

    Gempa bumi Kundasang: Gunung Kinabalu rasa gegaran

    GEGARAN akibat gempa bumi lemah dengan magnitud 3.7 pada skala Richter pada 9.28 pagi tadi bukan sahaja dirasai di sekitar Kundasang, tetapi turut dirasai di Gunung Kinabalu.

    Malim gunung, Joeythine Musin, 29, berkata, beliau bersama beberapa pendaki sedang mula turun dari Gunung Kinabalu pagi ini apabila tiba-tiba mereka merasai gegaran sekitar beberapa saat.

    Beliau berkata, gegaran itu tidak menyebabkan kejadian tidak diingini seperti runtuhan batu-batu di gunung itu.

    “Ya ada pendaki sama saya di sini. Atas gunung (Gunung Kinabalu) pun ada rasa (gegaran juga) tapi tiada batu jatuh, rasa macam biasa saja dia orang (pendaki) bilang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

    Sementara itu, Ketua Stesen substesen Panalaban, Taman Kinabalu, Julaimin Kamin berkata, keadaan terkawal di check point Sayat-Sayat dan Kompleks Panalaban di Gunung Kinabalu dan tiada situasi kecemasan berlaku akibat gempa bumi itu.

    “Seramai 104 orang dijadual mendaki Gunung Kinabalu hari ini, manakala semalam seramai 110 orang mendaki gunung itu,” katanya.

    Seorang peniaga barangan bundle di Kundasang, Nordiana Zuhaidi, 34, berkata, beliau merasai gegaran itu yang berlaku dalam masa amat singkat apabila berada di kedainya di sini pagi tadi.

    “Dalam beberapa saat sahaja (gegaran) terperanjat juga tetapi saya tidak panik, selepas itu periksa kedai dan kawasan sekitar semua baik. Telefon juga bomba dan mereka kata semua baik, syukur tiada apa-apa,” katanya.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah berkata, sehingga kini tiada panggilan kecemasan diterima daripada penduduk mengenai kejadian tersebut.

    “Gegaran memang dirasai akibat gempa bumi tadi, jadi penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. – BERNAMA

  • Jenayah pecah rumah dijangka meningkat Aidilfitri tahun ini

    Jenayah pecah rumah dijangka meningkat Aidilfitri tahun ini

    Oleh NURUL IZZATI ZAINI

    KES jenayah pecah rumah dijangka meningkat pada musim Aidilfitri tahun ini susulan peralihan ke fasa endemik.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara sejak dua tahun lepas telah menyebabkan penurunan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan.

    “Pada 2019 sebanyak 28 kes jenayah pecah rumah dicatatkan di daerah Sentul dan jumlah ini turun kepada 19 kes pada 2020. Pada 2021, hanya 14 kes dicatatkan.

    “Setelah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang ke kampung, kita jangka tahun ini banyak rumah yang akan ditinggalkan kosong (ketika musim perayaan) dan ini merupakan satu cabaran bagi pihak polis untuk memastikan setiap rumah tersebut selamat dan tidak dipecah masuk pencuri,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

    Beh berkata, usaha pihak polis menjalankan operasi secara berkala bagi membanteras jenayah pecah rumah akan bermula dengan Kempen Rumah Selamat.

    Kempen sempena musim Aidilfitri itu dilancarkan hari ini seluruh negara.

    Kempen Rumah Selamat ialah pencegahan jenayah melalui rondaan oleh anggota PDRM di kawasan taman-taman perumahan yang didaftarkan sepanjang musim perayaan.

    Seramai 106 pegawai polis akan terlibat dalam kempen ini bagi daerah Sentul dan antara tempat yang disasarkan ialah Jinjang, Kepong dan Sentul.

    “Hebahan telah pun dibuat kepada komuniti setempat bagi menggalakkan orang ramai mengisi borang balik ke kampung. Polis akan meronda sekurang-kurangnya sekali sehari bagi setiap rumah yang didaftarkan.

    “Borang tersebut boleh diperolehi secara fizikal di Kawasan Rukun Tetangga terdekat atau melalui atas talian menerusi Facebook dan WhatsApp,” katanya.

    Beh turut berpesan kepada orang ramai yang hendak pulang ke kampung supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan rumah dikunci dengan baik, memasang lampu di sekeliling rumah serta memasang kamera litar tertutup jika berkemampuan.

    “Yang atas jalan raya juga diingatkan supaya berhati-hati, jangan pandu laju lebih-lebih lagi ketika hari hujan. Ingat, walaupun kita dibenarkan beraya di kampung, jaga SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung COVID-19,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk Taman Ehsan Kepong, Ahmad Nabil Ismail, 27, berkata beliau dan keluarga telah pun mengisi borang Kempen Keluarga Selamat sebagai antara persiapan pulang ke kampung pada Mei ini.

    Ahmad Nabil berkata maklumat tentang kempen tersebut diketahui daripada kumpulan WhatsApp komuniti setempat di kawasan rumahnya.

    “Kes jenayah pecah rumah beberapa kali pernah terjadi di kawasan rumah saya. Sebab itulah saya mengisi borang ini sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pulang ke kampung untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Manakala seorang penduduk Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Nur Aqilah Aina Aizhar, 26, berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kempen ini dan berharap lebih banyak pendedahan dilakukan.

    “Ini kali pertama saya mendengar tentang kempen ini. Lagi pun kebiasaannya jiran tetangga di sini saling bantu-membantu tengokkan rumah, jadi tidak berapa risau sangat apabila pulang ke kampung,” katanya yang dihubungi Bernama. – BERNAMA

  • Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan untuk membenarkan Solat Sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda bertitah dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.

    “Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

    Menurutnya, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula Solat Maghrib, Khamis ini.

    Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

    “Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” katanya.

    Beliau berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka. – BERNAMA

  • Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    Babi hilang: Kerajaan NS ambil tindakan undang-undang

    KERAJAAN Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya meminta Exco dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menyiasat perkara itu, selain membuat laporan polis berhubung kejadian.

    Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

    “Disebabkan itu kita serahkan pada pihak polis menyiasat bagaimana haiwan itu dipindahkan. Sepatutnya babi itu tidak dipindahkan sehingga JPVNS selesai memeriksa dan mengesahkan kesemuanya selamat daripada jangkitan ASF,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Hari Raya Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) Negeri Sembilan kepada golongan fakir dan miskin bagi daerah Seremban di sini, hari ini.

    Sementara itu, Aminuddin berkata, pihak JPVNS juga seharusnya lebih peka kerana mereka ditugaskan untuk memastikan tiada perpindahan haiwan itu keluar dari ladang terbabit.

    Semalam media melaporkan kesemua 2,000 ekor babi yang ditempatkan berhampiran dengan ladang yang dikesan dijangkiti penyakit ASF di kampung berkenaan, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

    Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak itu telah dilupuskan pada 13 April lepas.

    Sementara itu dalam majlis malam ini Aminuddin berkata seramai 4,629 fakir dan miskin di negeri ini masing-masing menerima RM700 dan RM500 daripada MAINS, manakala MBI negeri turut menyumbang RM300 sempena perayaan Aidilfitri ini. – BERNAMA

  • Permohonan Rosmah hakim tarik diri gagal lagi

    Permohonan Rosmah hakim tarik diri gagal lagi

    DATIN Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal dalam permohonan beliau supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kesnya berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

    Ini adalah kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan selepas Mohamed Zaini, yang juga merupakan hakim bagi kes hibrid solar melibatkan Rosmah, menolak permohonan Rosmah yang dibuat pada 14 Dis, bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

    Hakim Mohamed Zaini dalam menolak permohonan Rosmah itu berkata permohonan kedua ini adalah berdasarkan kepada asas yang sama dengan permohonan pertama, iaitu beliau juga merupakan hakim yang membicarakan kes perbicaraan hibrid solar Rosmah.

    Hakim itu berkata, bagaimanapun pemohon (Rosmah), kini telah memohon untuk memasukkan dua lagi kes yang beliau kendalikan iaitu kes pelucuthakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana pemohon adalah salah seorang responden dan kes audit 1MDB.

    “Apa yang pemohon lakukan dengan memasukkan dua kes tambahan itu, hanya menambahkan ‘warna’ pada permohonannya. Bagaimanapun pada asasnya sama seperti alasan yang dikemukakan pada permohonan pertama, kerana ia berkaitan kepda penglibatan dan keputusan yang saya buat dalam kes-kes ini.

    “Saya perlu tambah bahawa saya bingung apabila pemohon telah menyebut kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB dalam permohonannya. Dalam kes pelucuthakan 1MDB, saya telah menolak permohonan pendakwaan untuk melucuthakan harta miliknya.

    “Kes audit 1MDB sebaliknya tidak berkaitan dengan pemohon langsung. Saya berpandangan bahawa pemohon perlu dihentikan daripada mengemukakan permohohanan lagi untuk penarikan diri hakim. Doktrin ‘res judicata’ terpakai dalam permohonan kedua ini,” katanya.

    Mohd Zaini berkata, hujah-hujah awal yang telah dikemukakan oleh pemohon dalam kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB boleh dilihat semula dalam permohonan pertama, kerana ia berada dalam pengetahuan pemohon pada ketika permohonan pertama dibuat.

    “Kepentingan awam menuntut bahawa mesti ada penamat kepada litigasi, dan pihak-pihak berkenaan tidak seharusnya dibenarkan untuk membuat litigasi terhadap isu yang sama berulang kali. Maka dengan ini permohonan pemohon adalah ditolak,” katanya.

    Bagaimanapun Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin untuk menangguhkan perbicaraan kes pengubahan wang haram, yang pada asalnya telah ditetapkan pada Rabu (27 April), sementara menunggu penyelesaian rayuan Rosmah mengenai keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

    “Dengan ini perbicaraan ditangguhkan,” kata hakim itu selepas pihak pendakwaan tidak menolak permohonan untuk penangguhan itu.

    Rayuan Rosmah berhubung permohonan pertama masih lagi belum dibacarakan di Mahkamah Rayuan. Kes rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Mei.

    Sementara itu Hakim Mohamed Zaini juga menetapkan 24 Mei untuk sebut semula kes permohonan Rosmah untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persektuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes pengubahan wang haramnya.

    Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – BERNAMA

  • Peruntukan lebih RM100 juta bina jalan di Pulau Sebatik

    Peruntukan lebih RM100 juta bina jalan di Pulau Sebatik

    KERAJAAN telah meluluskan peruntukan lebih RM100 juta bagi pembinaan jalan raya di Pulau Sebatik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan secara berterusan di kawasan itu.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek itu melibatkan pembinaan jalan raya dari Kampung Sungai Pukul ke Kampung Sungai Bergosong bernilai RM59 juta, yang dilaksanakan pada tahun ini menerusi Pelan Tindakan Kedua, RMK12.

    “Satu lagi projek bernilai kira-kira RM64 juta melibatkan jalan raya dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Pukul akan dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Ketiga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana untuk rakyat di Pulau Sebatik hari ini.

    Selain itu katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan di bawah kementerian lain bagi projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 6) di Sungai Tamang.

    “Pada saya, selepas lawatan di Pulau Sebatik ini, ada banyak perkara yang perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar antaranya menaik taraf sama ada jalan raya, jeti dan bekalan air luar bandar yang patut diambil tindakan segera,

    “Perkara ini juga diambil perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim,” katanya. – BERNAMA

  • 4 lelaki termasuk jurulatih renang ditahan edar syabu RM10.3 juta

    4 lelaki termasuk jurulatih renang ditahan edar syabu RM10.3 juta

    POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang yang disyaki mendalangi sindiket penyeludupan dan pengedaran syabu, dalam serbuan di Selangor dan Johor pada 22 dan 23 April lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas syabu seberat 287 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM10.3 juta dalam serbuan itu.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun itu ditahan dalam empat serbuan dengan dua daripadanya ditahan di kediaman masing-masing di Puchong, di sini manakala dua lagi di sekitar Johor Bahru.

    Katanya, siasatan awal polis mendapati syabu itu diseludup masuk ke dalam negara menerusi sempadan di utara negara menggunakan kapal, dan ia akan “transit’ Lembah Klang terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke negara jiran melalui sempadan di selatan negara, dan sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

    “Syabu yang dirampas menerusi kerjasama JSJN Bukit Aman, JSJN kontinjen Selangor dan JSJN Johor itu dipercayai boleh digunakan oleh 1.4 juta penagih dadah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

    Ayob Khan berkata, polis turut menyita pelbagai jenis aset melibatkan kenderaan dan wang tunai yang digunakan sindiket itu yang dianggar bernilai RM173,000.

    Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki terbabit negatif dadah dan tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod dalam kes dadah dan jenayah.

    “Keempat-empat mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Pegawai polis wanita buat ‘live’ TikTok dari JSJN – Ayob Khan

    Pegawai polis wanita buat ‘live’ TikTok dari JSJN – Ayob Khan

    PEGAWAI polis wanita yang tular di media sosial kerana membuat ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi TikTok semasa operasi di sebuah premis hiburan merupakan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan awal mendapati TikTok pegawai polis berkenaan memang bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikTok miliknya.

    “TikTok miliknya mengandungi kandungan dan ucapan promosi (peribadi), saya tidak akan bertolak ansur dan tidak akan memilih bulu sama ada pegawai atau anggota polis yang terlibat.

    “Sebarang salah laku melanggar prosedur operasi standard pasti tindakan akan diambil, kalau di Johor bukan setakat berpangkat ASP, Supt dan OCPD (Ketua Polis Daerah) pun saya ambil tindakan tatatertib, tiada tolak ansur,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

    Beliau berkata perkara itu memang tidak dibenarkan dan Polis Diraja Malaysia ada mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

    Ayob Khan berkata, pihaknya kini menunggu tindakan susulan sama ada pegawai terlibat akan ditukar jabatan, dikenakan tindakan tatatertib atau diberi amaran, namun ia bergantung kepada hasil siasatan penuh.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes pegawai polis wanita yang membuat ‘live’ TikTok semasa operasi.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain hari ini mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman membuat siasatan secara menyeluruh berhubung seorang pegawai polis wanita membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan itu.

    Ia berikutan tular sebuah video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan. – BERNAMA

  • Pakej taubat RM20 ada unsur penipuan – Mufti Kelantan

    Pakej taubat RM20 ada unsur penipuan – Mufti Kelantan

    PAKEJ taubat dengan bayaran RM20 yang ditawarkan dalam laman sosial bertujuan mengaut keuntungan semata-mata dan menunjukkan kejahilan masyarakat, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

    Beliau berkata, tindakan mengupah taubat itu perlu dihentikan segera kerana ia berunsurkan penipuan.

    “Bertaubat ini perlulah berlaku secara langsung dengan Allah, kecuali dengan manusia kita hendaklah mendapat kemaafan daripada sesama manusia sekiranya ada melakukan kesalahan.

    “Dengan Tuhan (Allah), kita boleh terus memohon keampunan untuk memohon taubat tiada upah untuk bayaran kerana kesalahan seseorang itu hanya dia sahaja yang mengetahuinya dan individu yang mengambil kesempatan terhadap orang lain dianggap jahil,” katanya kepada pemberita, di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kemunculan laman sosial yang didakwa menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

    Terdahulu, Mohamad Shukri menghadiri Majlis Penerangan Kesedaran Zakat Pertanian dan Zakat Penternakan Serta Muamalat dalam Pertanian Negeri Kelantan.

    Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

    Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai individu yang mengambil upah doa taubat di Kelantan.

    Dalam perkembangan lain, Mohamad Shukri berkata berdasarkan fatwa Kelantan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 tidak wajib membayar zakat kerana belum mencapai nisab yang ditetapkan.

    “Pencarum-pencarum yang menyimpan wang dalam KWSP dianggap belum sempurna, ia bermaksud mereka bebas menguruskan wang yang dikeluarkan termasuk membeli barangan kemas dan apa sahaja keperluan mereka.

    “Kadar nisab yang mencapai syarat minimum ialah RM20,000 ke atas wajib membayar zakat, oleh itu pengeluaran RM10,000 belum mencapai nisab, sekiranya pencarum mahu membayar zakat, ia tidak menjadi masalah,” katanya. – BERNAMA

  • Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

    Tol percuma, diskaun hingga 50 peratus sempena Aidilfitri

    KERAJAAN bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini, serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing.

    Beliau berkata, pemberian tol percuma itu melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    “Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April sehingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Perdana Menteri berkata, langkah berkenaan diambil, selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya diadakan.

    Beliau berkata secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati pengguna adalah sebanyak RM77.11 juta.

    “Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya.

    Tol percuma melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 serta Lebuhraya KL-Karak (KLK).

    Lebuh raya menawarkan diskaun 50 peratus pula adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

    Sementara, lebuh raya yang menawarkan diskaun 30 peratus adalah Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

    Turut menawarkan diskaun 30 peratus adalah Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL- Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

    Ismail Sabri dalam pada itu berharap, pemberian tol percuma dan diskaun tol tersebut akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

    “Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

    “Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya. – BERNAMA