Author: Bernama

  • Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    Penjawat awam minta habuan RM100,000 projek sanitasi ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya pada Jumaat lepas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000.

    Sumber berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah agensi kerajaan itu disyaki meminta habuan berkenaan sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja berkaitan sanitasi di pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, baru-baru ini.

    Menurutnya, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.

    “Suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, lelaki tersebut direman selama empat hari yang berakhir pada hari ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000. – BERNAMA

  • Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    BEKAS finalis program MasterChef Malaysia 2012, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong yang menghadapi pertuduhan membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M. Gunalan dalam keputusan sebulat suara, membenarkan Etiqah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkannya menyerahkan pasport kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan melapor diri di Balai Polis Penampang pada hari Isnin setiap minggu.

    Peguam Etiqah, Datuk Seri K. Rakhbir Singh memberitahu pemberita bahawa Hakim Lee yang menyampaikan keputusan, memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan ikat jamin Etiqah dan mahkamah berpuas hati terdapat keadaan khas untuk memberikan ikat jamin.

    Bekas finalis MasterChef Malaysia berusia 34 tahun itu yang juga jurutera Petronas didakwa bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @Unos, 41, seorang kontraktor, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Dis tahun lepas kerana membunuh pembantu rumah mereka.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Etiqah dan Mohammad Ambree.

    Pasangan itu didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 dan 13 Dis tahun lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya hari ini, Rakhbir Singh memohon anak guamnya (Etiqah) dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dengan mengatakan bahawa Etiqah sakit dan mempunyai anak kembar yang kedua-duanya autistik.

    Beliau memohon Etiqah diberi ikat jamin di bawah Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit yang dituduh melakukan kesalahan itu dibebaskan dengan ikat jamin.

    Rakhbir Singh berkata sebelum ini Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan anak guamnya.

    Menurut Rakhbir Singh kes itu masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan. – BERNAMA

  • Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    Moped, skuter elektrik dilarang guna atas jalan raya

    KENDERAAN mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

    PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

    Wee berkata, larangan terhadap tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Dis 2021.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut tetapi pengguna lain.

    “Seperti nahas basikal lajak yang telah meragut lapan nyawa, penggunaan kenderaan ini dengan percampuran dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlaku tragedi yang sama,” katanya dalam sidang media penggunaan mikromobiliti di kementeriannya di sini hari ini.

    Wee berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

    “Kita bimbang apabila Aidilfitri nanti ramai pengguna kenderaan mikromobiliti akan ke bandar untuk berkumpul kerana tahu tiada kenderaan di jalan. Ia sesuatu yang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu bagaimanapun dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

    “Saya tiada halangan kalau mereka ingin gunakan kenderaan ini di rumah atau tanah persendirian asalkan ia bukan di jalan raya.

    “Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur jalan yang menyokong penggunaan kenderaan itu,” katanya.

    Sementara itu, Wee berkata penggunaan basikal, beca dan basikal elektrik adalah dibenarkan namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Bagi penggunaan basikal dengan bantuan elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514 : Electric Bicycles Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    Lelaki Kanada didenda RM100 tunjuk isyarat lucah, RM700 tak pakai pelitup muka

    SEORANG lelaki warga Kanada didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya dan tidak memakai pelitup muka, dua minggu lepas.

    Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Theberge Travis Lee, 44, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda.

    Tertuduh didenda RM100 atau sehari penjara untuk pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dia didenda RM700 atau dua minggu penjara dan lelaki itu membayar denda berkenaan.

    Bagi pertuduhan pertama, Travis Lee didakwa melakukan perbuatan kurang sopan dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada Padam Giri dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini, pada 9.30 malam, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu juga didakwa tidak memakai pelitup muka di pasar raya berkenaan yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022.

    Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa dan tarikh yang sama boleh dihukum di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2022, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Peguam Jayananda Rao memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas baru sahaja bekerja di negara ini dan perlu menanggung tiga kakaknya yang berada di Kanada.

    “Anak guam saya memohon maaf dan kesal atas tindakannya yang melulu itu serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya menambah ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

    Pada 17 April lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif lelaki itu terhadap pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan. – BERNAMA

  • Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    SEORANG pemandu treler dan kelindannya maut selepas kenderaan muatan besi yang dinaiki mereka terbabas semasa menuruni kawasan berbukit di KM55 Jalan Lipis-Merapoh, Lipis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, yang beralamat di Tapah, Perak dan kelindannya Mohd Faizal Mohd Noor, 35, beralamat di Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke arah Merapoh itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri ketika menuruni bukit dan laluan berselekoh.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu treler telah tersepit di tempat duduknya manakala kelindan tercampak keluar dari kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    Polis tahan suami isteri seludup mercun di Pasir Mas

    POLIS menahan sepasang suami isteri selepas disyaki menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM17,660 menggunakan kereta jenis Proton Saga di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis peronda mengesan pasangan berumur 38 dan 42 tahun itu berdekatan lampu isyarat di Kampung Lati-Lubuk Jong kira-kira 10 malam sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan di dalam kereta didapati ada puluhan bungkusan dan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

    “Kita dapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kereta tersebut termasuk mercun bola, Sky Thunder, Cracker Ball, mercun mancis dan mercun papan.

    “Kesemua mercun itu disyaki diperoleh dengan cara menyeludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata, siasatan juga mendapati nombor plat kenderaan yang digunakan oleh suspek tidak didaftarkan.

    “Kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan jenis Proton Saga itu dianggarkan bernilai RM72,660,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mercun tersebut kemungkinan untuk pasaran di sekitar Kota Bharu kerana terdapat permintaan yang tinggi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Kes basikal lajak: Pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting 11 Mei

    Kes basikal lajak: Pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting 11 Mei

    RAYUAN kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lepas, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Mei ini.

    Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi hari ini.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video.

    Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – BERNAMA

  • Diskriminasi terhadap orang Islam di AS meningkat

    Diskriminasi terhadap orang Islam di AS meningkat

    DISKRIMINASI terhadap orang Islam di Amerika Syarikat (AS) meningkat sembilan peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan kumpulan hak sivil dan advokasi Islam pada Isnin.

    Laporan Badan Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) mendapati sepanjang tahun lepas pihaknya menerima 6,720 aduan di seluruh negara membabitkan pelbagai isu antaranya imigresen, diskriminasi perjalanan, penguatkuasaan undang-undang, kebencian dan kebebasan bersuara.

    “Ini mewakili jumlah kes tertinggi yang pernah dilaporkan kepada CAIR dalam tempoh 27 tahun. Angka ini membimbangkan,” kata Pengarah Eksekutif CAIR Nihad Awad pada sidang media.

    Awad berkata, berdasarkan laporan itu jelas membuktikan “Islamofobia telah menular dalam masyarakat kita.” dan “menjadi arus perdana di Amerika”.

    Awad yakin kerajaan AS boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi membendung Islamofobia.

    “Kami menggesa Kongres menerima pakai undang-undang membenarkan pendokumentasian dan laporan terhadap jenayah kebencian dalam pangkalan data FBI.

    “Ia sekali gus menjadikan penguatkuasa undang-undang tempatan mengambil serius ancaman Islamofobia,” katanya. – BERNAMA

  • Penjara 5 tahun gara-gara miliki 2 bilah parang tanpa kebenaran

    Penjara 5 tahun gara-gara miliki 2 bilah parang tanpa kebenaran

    SEORANG penganggur dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana memiliki dua bilah parang pemotong daging di kawasan awam tanpa kebenaran, tahun lepas.

    Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Zamani Muhammad, 31, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2021.

    Mohammad Zamani didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu dua bilah parang pemotong daging tanpa kebenaran sah di tepi jalan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Pasir Pantai di sini pada 7.10 malam, 13 Okt tahun lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ingin berjumpa dengan keluarganya. – BERNAMA

  • Peniaga ayam dituduh guna wang palsu berjumlah RM700

    Peniaga ayam dituduh guna wang palsu berjumlah RM700

    SEORANG peniaga ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM700 pada minggu lepas.

    Rohamad Mohamad Saaid, 58, didapati menggunakan sebagai tulen mata wang Malaysia iaitu tujuh keping RM100 yang palsu pada 12.15 tengah hari 18 April lepas, yang didepositkan ke akaun seorang individu di sebuah bank di Indera Mahkota di sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan sebanyak RM8,000 atas alasan menanggung isteri dan seorang anak.

    Hakim Mohd Kafli Che Ali kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Mei untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim. – BERNAMA