Author: Bernama

  • Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Hukuman mati rakyat Malaysia edar dadah di Singapura ditangguh

    Oleh MASSITA AHMAD

    MAHKAMAH Tinggi Singapura pada Khamis membenarkan penangguhan hukuman mati terhadap warga Malaysia, K Datchinamurthy, yang sepatutnya menjalani hukuman pada Jumaat, 29 April, dua hari selepas pelaksanaan hukuman Nagaentran Dharmalingam.

    Menurut peguam Singapura, M Ravi, kebenaran penangguhan itu diberikan berasaskan alasan “menunggu keputusan perbicaraan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan penjara yang dijadual pada 20 Mei”.

    “Datch (Datchinamurthy) sepatutnya dihukum gantung esok,” kata M Ravi dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

    Datchinamurthy, 36, didakwa mengedar 44.96 gram (g) diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dihukum mati pada 2015, manakala Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009.

    Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan sendiri oleh Datchinamurthy dan perbicaraan mengenai penangguhan itu dibuat secara tertutup pada 9.30 pagi Khamis.

    M Ravi sebelum ini menjadi peguam untuk Datchinamurthy berkata perbicaraan yang dijadual pada 20 Mei adalah berkait mengenai aduan terhadap peguam negara mengenai hak komunikasi antara banduan dengan peguamnya.

    “Isunya adalah apakah mereka boleh menggantungnya pada Jumaat 29 April ketika ada perbicaraan dijadualkan pada 20 Mei,” tulisnya. – BERNAMA

  • [VIDEO] 4 maut dalam kejadian tembakan di motel

    [VIDEO] 4 maut dalam kejadian tembakan di motel

    EMPAT maut dalam dua kejadian tembakan di sebuah motel di Mississippi, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, menurut polis.

    Dalam kejadian di sebuah motel, tiga mangsa terbunuh selepas ditembak oleh penyerang dikenali sebagai Alexander Reynolds.

    Suspek yang berusia 32 tahun itu turut dilaporkan terbunuh.

    Seorang saksi memberitahu WLOX-TV mangsa yang maut itu terdiri pemilik motel, pekerja dan tetamu.

    Menurut anak perempuan pekerja motel itu, kejadian berlaku akibat pertengkaran mengenai duit antara penyerang dengan mangsa.

    Koroner Brian Switzer berkata mangsa kejadian tembakan itu dikenal pasti sebagai pemilik motel dan pekerjanya serta tetamu motel.

    Penyerang kemudian melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan menembak seorang lagi mangsa di Gulfport.

    William Waltman, kakitangan Gulfport berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. – BERNAMA

  • SPRM ada kuasa siasat hakim

    SPRM ada kuasa siasat hakim

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah menerima laporan atau aduan rasmi.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah diberikan kuasa, untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta tersebut.

    “Pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.

    “Selain itu, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan SPRM itu dikeluarkan susulan kritikan yang diterima agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

    Kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

    “SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

    “Berhubung siasatan terhadap hakim tersebut, SPRM telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April lepas. Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menegaskan, apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan.

    “Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Bicara kes dadah Ismahalil mula 19 Oktober

    Bicara kes dadah Ismahalil mula 19 Oktober

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tiga hari bermula 19 Okt ini untuk perbicaraan kes penyampai radio Ismahalil Hamzah, yang didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, Ogos tahun lepas.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 19, 20 dan 31 Okt untuk perbicaraan, selepas peguam yang mewakili Ismahalil Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memohon tarikh bicara ketika sebutan kes itu, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya bercadang untuk memanggil enam hingga tujuh saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

    “Pada prosiding hari ini, pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan,” katanya.

    Ahmad Zaharil mengesahkan perkara tersebut, selain memaklumkan pihaknya akan menulis surat kepada mahkamah untuk mendapatkan tarikh sebutan baharu sekiranya terdapat representasi atau perkembangan terbaru mengenai kes.

    Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    SEORANG  lelaki berhadapan hukuman mati selepas didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah dengan berat keseluruhan kira-kira 13.75 kilogram, di Mahkamah Majistret Marang di Marang.

    Tertuduh Aziz Said, 55, juga hari ini didakwa atas tuduhan mengambil dadah di mahkamah yang sama dan ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 13,199.52 gram (g) dan 555.2g pada 18 April, lebih kurang 12.50 tengah malam di Kampung Surau Haji Yaakob di Marang.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu, boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa telah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya sendiri pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 4 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

    Aziz melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB (Pindaan 2002) antara dua hingga tiga tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam, dan mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

     — BERNAMA

  • MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini sudah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas dan akan diteruskan pada masa akan datang.

    “MARA meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan bumiputera untuk belajar dalam bidang-bidang tertentu di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceria ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta majlis berbuka puasa bersama pelajar tingkatan enam dari tiga sekolah di Kuala Nerang semalam.

    Beliau berkata, MARA tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik COVID-19 memuncak sejak dua tahun lepas kerana kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

    “Sekarang tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab pelajar mengikuti pengajian secara online, cuma kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu,” katanya.

    Ditanya mengenai pembayaran balik wang tajaan pelajar, Mahdzir berkata MARA tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu.

    Katanya MARA juga tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi tersebut, sebaliknya pelajar yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi di negara ini.

    Ketika ini, sejumlah 3,391 pelajar tajaan MARA sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia dengan 1,422 pelajar berada di United Kingdom.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar tingkatan enam tiga sekolah dari daerah Padang Terap manakala dua keluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB. – BERNAMA

  • Bersatu, Pas Kelantan sudah bincang agihan kerusi PRU15

    Bersatu, Pas Kelantan sudah bincang agihan kerusi PRU15

    PARTI Bersatu dan Pas Kelantan telah mengadakan perbincangan di peringkat negeri berhubung pengagihan kerusi, bagi kedua parti politik itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata hasil perbincangan itu, pihaknya telah memutuskan untuk mengekalkan kerusi masing-masing yang dimenangi kedua-dua parti itu pada PRU sebelum ini.

    Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu akan dibuat peringkat pusat, hasil cadangan yang dikemukakan oleh kedua-dua parti di peringkat negeri.

    “Bagi kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14, membabitkan tiga kerusi Parlimen dan tujuh DUN kita akan runding dan bincang kawasan mana Bersatu dan Pas, sebelum dibawa ke peringkat pusat.

    “Manakala untuk kerusi yang belum diputuskan, pertimbangan perlu dibuat terlebih dahulu dengan melihat potensi calon dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra dan berbuka puasa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama pengamal media Kelantan, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Pengerusi Lembaga KADA berkata tidak mustahil juga sekiranya Bersatu meletakkan calon di kerusi yang disandang PAS, disebabkan faktor timbal balas dan berharap partinya akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

    — BERNAMA

  • Pelajar USM maut terjatuh ketika mahu ambil pakaian

    Pelajar USM maut terjatuh ketika mahu ambil pakaian

    POLIS  mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian seorang pelajar lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan Desasiswa Tekun dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan berusia 22 tahun itu dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil pakaiannya yang terjatuh daripada ampaian.

    “Menurut keterangan rakan-rakan mangsa, pelajar itu pada mulanya memanjat tembok koridor di tingkat lapan itu untuk mengambil pakaiannya yang terjatuh dari ampaian di kawasan bahagian luar koridor iaitu terdapat ruang kira-kira dua kaki persegi di situ (ruang simen) sebelum mangsa terjatuh ke bawah.

    “Mereka (rakan-rakan mangsa) hanya menyedari mangsa terjatuh selepas dia tidak masuk ke bilik semula sebelum bertindak mencarinya dan menemui mayatnya di kawasan bawah bangunan asrama tersebut kira-kira pukul 10.30 malam sebelum memaklumkan kepada pengurusan universiti serta menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau juga menafikan mangsa membunuh diri sebaliknya ia adalah kemalangan dan kejadian itu disiasat sebagai mati mengejut.

    Terdahulu tular di media sosial berhubung kejadian seorang pelajar USM ditemukan mati dipercayai terjatuh daripada bangunan asrama di situ.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) USM Prof Dr Md Roslan Hashim berkata USM telah melantik sebuah pasukan kerja untuk memeriksa fasiliti pelajar terutama di desa siswa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

    Katanya pasukan itu sedang meneliti semua aspek yang perlu dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak kejadian yang sama berulang.

    “Pihak universiti juga menasihatkan semua pelajar agar lebih berhati-hati untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang,” katanya dan menambah USM dari semasa ke semasa akan terus memantau keselamatan pelajar dari semua aspek yang berkaitan menerusi pengurusan desa siswa dan majlis penghuni desa siswa.

    — BERNAMA

  • Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan kapasiti penuh – Khairy

    Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan kapasiti penuh – Khairy

    SOLAT sunat Aidilfitri tahun ini dibenarkan dengan kapasiti 100 peratus namun semua jemaah perlu memakai pelitup muka ketika bersolat dan sepanjang berada di masjid atau surau, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Mengumumkan protokol sambutan Hari Raya 2022 hari ini dalam sidang media di sini, Khairy berkata turut dibenarkan ialah takbir hari raya di masjid, surau dan rumah ke rumah dengan sentiasa memakai pelitup muka.

    Aktiviti lain dibenarkan dengan keperluan memakai pelitup muka adalah jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan serta rumah terbuka atau majlis hari raya sama ada secara indoor (dalam bangunan) atau outdoor (terbuka),” katanya.

    “Protokol ini adalah sebagai panduan umum, namun ia tertakluk kepada ketetapan dan SOP (prosedur operasi standard) oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

    Khairy berkata kesemua aktiviti yang dibenarkan itu bagaimanapun tidak boleh dihadiri oleh individu yang positif COVID-19 atau bergejala.

    “Kesemua individu atau jemaah terbabit perlu mengelakkan 3S (kawasan yang sesak, sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak dekat),” katanya.

    Beliau menasihatkan jemaah masjid atau surau untuk berwuduk di rumah serta membawa sejadah masing-masing dan memasuki premis berkenaan mengikut giliran bagi mengelak kesesakan serta bersurai dengan tenang.

    “Semua boleh balik kampung dan enjoy your (menyambut) Hari Raya dalam keadaan selamat,” katanya.

    — BERNAMA

  • Op Lancar PDRM tumpu ‘hotspot’ kesesakan trafik – KPN

    Op Lancar PDRM tumpu ‘hotspot’ kesesakan trafik – KPN

    POLIS  Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar di kawasan-kawasan panas berlaku kesesakan trafik akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula sempena sambutan Aidilfitri.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jentera PDRM di seluruh negara akan diatur gerak dalam tempoh operasi itu.

    Beliau berkata ia melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan rondaan bit secara holistik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri dan perbandaran.

    “Pengguna jalan raya diminta peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi PDRM yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

    “Orang ramai juga melaksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Acryl Sani berkata PDRM juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik dengan berkongsi video serta gambar kepada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) agar tindakan lanjut dapat diambil.

    — BERNAMA