Author: Bernama

  • Lebih 5,000 kenderaan langgar had laju dirakam AWAS

    Lebih 5,000 kenderaan langgar had laju dirakam AWAS

    SEBANYAK 5,021 daripada 750,903 kenderaan yang melewati kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lebuh raya semalam didapati melanggar had laju dibenarkan.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan daripada sejumlah 236,671 kenderaan yang melewati kamera AWAS di lampu isyarat pula, 966 didapati melanggar lampu merah.

    Menurut kenyataan itu, sebanyak 29 kamera AWAS dipasang bagi memantau kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 untuk memantau kesalahan melanggar lampu isyarat merah beroperasi sepenuhnya sejak semalam.

    Kenyataan itu menyebut pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 semalam, kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah adalah yang tertinggi dilakukan pengguna jalan raya.

    Menurut kenyataan itu, pelaku kedua-dua kesalahan akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun mengikut Seksyen 79 Akta 333 (JPJ).

    “Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Keluarga Malaysia dijemput hadir Rumah Terbuka PM, Jemaah Menteri 8 Mei ini

    Keluarga Malaysia dijemput hadir Rumah Terbuka PM, Jemaah Menteri 8 Mei ini

    SELURUH Keluarga Malaysia dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli Jemaah Menteri pada 8 Mei ini.

    Menerusi hantaran di laman Facebook, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan majlis itu bermula dari 10 pagi hingga 4 petang di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

    “Semua yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard terkini semasa Fasa Peralihan Ke Endemik dan digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal,” menurut JPM.

    Hantaran itu turut melampirkan poster panduan pakaian dan maklumat perkhidmatan bas percuma untuk ke majlis tersebut.

    Berdasarkan poster itu, pakaian yang dibenarkan ialah baju berlengan, seluar panjang, skirt bawah paras lutut dan berkasut manakala pakaian yang dilarang ialah seluar pendek bawah paras lutut, skirt pendek atas paras lutut, baju tidak berlengan, seluar jeans koyak dan selipar.

    “Orang ramai hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Kegagalan mematuhi etika pemakaian ini boleh mengakibatkan anda tidak dibenarkan memasuki Kompleks Seri Perdana,” menurut petikan di poster itu.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan media sosial JPM dari semasa ke semasa.

    — BERNAMA

  • JPJ kenal pasti pemilik Toyota Vellfire guna lampu strob

    JPJ kenal pasti pemilik Toyota Vellfire guna lampu strob

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti pemilik kenderaan jenis Toyota Vellfire yang tular di media sosial kerana menggunakan lampu strob dan membunyikan hon hingga mengakibatkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberikan laluan kepada kenderaan itu.

    Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata tindakan penguatkuasaan akan segera diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit kerana pemasangan suar atau lampu strob tanpa kebenaran JPJ adalah satu kesalahan.

    Beliau berkata pemasangan lampu itu tanpa kebenaran adalah salah mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 serta Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 dan boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

      “Kenderaan yang terlibat dengan tugasan kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kenderaan kastam, kenderaan polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja dibenarkan untuk mendapat hak laluan kenderaan lain di jalan raya.

    ‘’Ia dengan cara menyalakan lampu strob dan membunyikan siren serta hon dua nada, dengan syarat pemandu kenderaan itu tidak memandu secara berbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan selepas JPJ menerima aduan awam melalui aplikasi TikTok berhubung penggunaan suar atau lampu strob oleh kenderaan jenis Toyota Vellfire.

    Dalam video tular berdurasi 16 saat itu, kenderaan terbabit yang menggunakan lampu strob bertindak membunyikan hon mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberikan laluan kepadanya.

    — BERNAMA

  • Tengku Ahmad Rithauddeen kembali ke rahmatullah

    Tengku Ahmad Rithauddeen kembali ke rahmatullah

    BEKAS Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam tadi, akibat sakit tua.

    Allahyarham berusia 94 tahun.

    Anak veteran UMNO itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.

    “Tetapi pagi ini Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Tengku Farith berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi esok (30 April), untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.

    Bagaimanapun, katanya  lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau  Bukit Kiara.

    Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).

    Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

    Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

    Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987).

    Bekas Pengerusi UMNO Kelantan itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

    Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

    — BERNAMA

  • JPJ tempatkan pegawai, anggota risik dalam bas ekspres

    JPJ tempatkan pegawai, anggota risik dalam bas ekspres

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan pegawai dan anggota risiknya di dalam bas-bas ekspres bagi tempoh musim perayaan Aidilfitri ini untuk memastikan pemandu membawa kenderaan dan penumpang dengan selamat.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota secara rawak di setiap pengangkutan awam darat.

    Beliau berkata ini adalah untuk memastikan pemandu bas memandu mengikut arahan jalan raya yang ditetapkan dan tidak memandu secara melulu.

    “Pemandu-pemandu bas ekspres ini hanya akan mengetahui pegawai dan anggota risik JPJ (berada di dalam bas) apabila mereka (pemandu) sampai ke destinasi.

    “Pegawai dan anggota JPJ yang ditugaskan akan memperkenalkan diri kepada pemandu seterusnya mengeluarkan saman kepada pemandu-pemandu yang melanggar arahan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan bas-bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan, di sini, malam tadi.

    Oleh yang demikian, Lokman menasihatkan kepada pemandu-pemandu bas ekspres supaya mematuhi arahan jalan raya dan mengelakkan daripada diperiksa seterusnya ditahan.

    Mengulas mengenai pemeriksaan bas ekspres itu, Lokman berkata ia adalah untuk memberi fokus kepada aspek teknikal kenderaan seperti penggunaan tayar mengikut standard piawaian ditetapkan serta pemeriksaan sistem brek, lampu dan reflector yang perlu berfungsi dengan baik.

    “Dalam tempoh pemeriksaan berkenaan, sebanyak 217 bas diperiksa dan 11 daripadanya diambil tindakan notis larangan penggunaan bas.

    “Aktiviti penguatkuasaan ke atas bas ekspres ini bertujuan memastikan bas ekspres berada dalam keadaan road worthiness iaitu selamat beroperasi,” katanya.

    Selain itu, Lokman mengingatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak melakukan lima kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat, tidak mematuhi had laju, mengguna telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan, yang merupakan kesalahan tidak dikompaun serta dikenakan tindakan mahkamah.

    — BERNAMA

  • Lori 10 tan rempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat di Nilai

    Lori 10 tan rempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat di Nilai

    SEBUAH lori 10 tan membawa muatan kertas gulung seberat kira-kira lapan tan merempuh 11 kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar dekat sini petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata kejadian pada 5.50 petang itu berlaku apabila lori terbabit, yang dipandu seorang lelaki berumur 26 tahun dan dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Beranang, Selangor, mengalami masalah brek sehingga hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar deretan kereta di lampu isyarat merah.

    “Akibat kemalangan itu, seorang pemandu kereta mengalami kecederaan ringan iaitu luka di kepala. Bagaimanapun, pemandu lori dan pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini

    Beliau berkata keputusan ujian air kencing pemandu lori didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Polis menasihati orang awam agar memandu dalam keadaan selamat dan patuh kepada kelajuan ditetapkan terutama ketika musim perayaan ini.

    — BERNAMA

  • Semua parti perlu terbuka untuk bincang bersama

    Semua parti perlu terbuka untuk bincang bersama

    SEMUA parti politik perlu bersikap terbuka untuk duduk berbincang bersama-sama bagi menentukan masa depan rakyat, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, perbincangan antara parti politik bukan hanya menumpukan tentang soal untuk menang pilihan raya semata-mata, malah tanggungjawab lebih besar menanti dalam menentukan hala tuju negara.

    “Untuk kepentingan rakyat ini biarlah kita mempunyai sikap yang terbuka. Maknanya apa? Maknanya kita boleh duduk, bincang semata-mata untuk menentukan masa depan rakyat.

    “Jadi selalunya kita membincangkan perkara-perkara seperti ini, bukan hanya nak membincangkan soal pilihan raya, tapi nak membincangkan soal kepentingan bagaimana nak menentukan masa depan negara yang lebih baik, cara mana, strategi bagaimana… apa semua itu harus difikirkan bersama-sama kalau benar-benar mahu berkecimpung dalam politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar ala Madinah peringkat Parlimen Tangga Batu anjuran Bersatu Bahagian Tangga Batu, di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di Melaka malam ini.

    Hadir sama ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Mengulas mengenai idea kerjasama ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Hamzah berkata, semua parti politik mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai perkara tersebut.

    Kata Hamzah, apa yang penting adalah matlamat dan tujuan berpolitik adalah demi kepentingan rakyat. – BERNAMA

  • Nagaenthran selamat disemadikan

    Nagaenthran selamat disemadikan

    JASAD rakyat Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pada Rabu lalu disemadikan di Hindu Crematorium Buntong di Ipoh, hari ini.

    Jasadnya selamat disemadikan mengikut adat dan tradisi masyarakat India, selepas dibawa dari rumahnya di Tanjung Rambutan, 3 petang dan tiba di pusat krematorium itu sejam kemudian.

    Suasana pilu menyelubungi perkarangan krematorium itu, apabila lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai mendiang tidak dapat menahan kesedihan, selain ada yang nampak tenang sejurus jasad Nagaenthran tiba.

    Mereka memberi penghormatan terakhir kepada mendiang, sebelum pengurusan jasadnya disempurnakan pada 5 petang.

    Selasa lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu mendiang, S Panchalai, 60, untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Nagaenthran dijatuhkan hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin ke Singapura pada 2009, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi diberi penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

  • Kartel ayam: MyCC nafi siasat ahli politik

    Kartel ayam: MyCC nafi siasat ahli politik

    SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan bahawa pihaknya sedang menyiasat ahli politik tertentu berhubung siasatan terhadap industri ayam.

    Menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan berkaitan perkara itu sedang berjalan lancar dan hanya menumpukan kepada sekumpulan pemain industri ayam dengan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

    “Anggapan bahawa MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu adalah spekulasi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi ‘kartel’ di bawah Akta Persaingan 2010.

    “Kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing-pesaing dalam pasaran sama. Sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan. Biasanya, kumpulan pesaing ini telah bersetuju, antara lain, untuk menetapkan harga produk mereka pada harga yang sama, atau membahagikan pasaran mereka, atau mengehadkan pengeluaran mereka,” katanya.

    Iskandar berkata, kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya dengan monopoli adalah satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.

    “Jika terdapat lebih daripada seorang pemain dalam pasaran tersebut, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang lebih kurang 60 peratus pasaran. Oleh itu, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai satu konsep yang sama adalah salah sama sekali,” katanya.

    Beliau berkata, sehubungan itu, MyCC berharap orang ramai dan rakan-rakan media memahami kerumitan penyiasatan yang melibatkan ramai pemain dalam rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai subsektor.

    “Penyiasatan yang teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Kami menggalakkan pihak yang merasakan mereka terlibat dalam amalan kartel dalam industri ayam datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat,” katanya yang menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan terhadap penyiasatan MyCC dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

    MyCC turut menggalakkan perusahaan, pihak berkepentingan yang berkaitan dan orang ramai untuk tampil ke hadapan dalam membantu MyCC dengan pihak yang berminat dinasihatkan menghubungi MyCC di talian 03-2273 2277 (IED) atau emel di [email protected].

    Media tempatan sebelum ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

    Laporan media berkenaan turut mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari. – BERNAMA

  • Penduduk berarak guna lori berhias alun takbir raya

    Penduduk berarak guna lori berhias alun takbir raya

    PENDUDUK Kampung Sungai Tiram di Johor Bharu bakal mencipta kelainan tersendiri dalam mengalunkan takbir Hari Raya Aidilfitri pada malam terakhir Ramadan nanti, dengan berarak menaiki lori berhias berkonsepkan reka bentuk masjid.

    Pengasasnya Saiful Abdul Rashid, 67, berkata idea untuk mengadakan perarakan yang dinamakan Program Malam Gema Takbir itu tercetus bagi menarik anak-anak muda daripada berhimpun atau melepak di kampung pada malam raya.

    Beliau berkata program tradisi yang diadakan sejak 1997 tersebut berjaya menarik perhatian ramai sehinggakan penduduk sanggup menanti di hadapan rumah dan tepi jalan raya untuk menyaksikan perarakan yang dilimpahi pelbagai cahaya berwarna-warni itu.

    “Pada awalnya kita bermula dengan hanya sebuah lori dan menggunakan lampu kalimantang yang digantung, selepas itu, pada tahun berikutnya, barulah ada ilham supaya lori dihias dan ia diteruskan tahun demi tahun,” katanya kepada Bernama di sini.

    Menurutnya, program pada tahun ini pastinya lebih meriah kerana sebanyak lima lori akan digunakan untuk perarakan yang akan membabitkan jarak sejauh 10 kilometer.

    Saiful berkata setiap lori memerlukan tenaga kira-kira 10 orang untuk menyiapkan hiasan yang menggunakan bahan seperti kayu sebelum ditambah dengan pelbagai dekorasi dan cahaya.

    “Kita giat membuat persiapan sejak pertengahan Ramadan ini dan tentunya program ini akan lebih meriah kerana orang ramai dapat pulang ke kampung halaman pada tahun ini,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang Fauzi Faizal berkata usaha penduduk kampung yang mengekalkan tradisi itu sehingga kini perlu diberikan pujian dan ia juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan di negeri ini berdasarkan keunikannya.

    Beliau turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar bagi memasukkan program berkenaan dalam kalendar pelancongan Johor.

    “Saya fikir di Johor, kampung ini satu daripada kampung yang menganjurkan program seumpama ini dan ia konsisten sejak lebih 20 tahun lepas, jadi saya fikir ia layak dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri sekali gus menarik pelancong ke sini,” katanya.

    — BERNAMA