Author: Bernama

  • Wanita maut, suami dan anak cedera, kereta terbabas langgar pokok

    Wanita maut, suami dan anak cedera, kereta terbabas langgar pokok

    SEORANG wanita maut, suami dan anaknya cedera apabila kereta yang dipandu suaminya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Dato Ali, Kuala Perlis, awal pagi Aidilfitri.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata wanita berusia 33 tahun itu maut di tempat kejadian manakala suami dan anaknya mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

    “Pada kejadian 7.15 pagi itu, mangsa yang dikenali Mira Azira Mohamad, 33, disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya Nor Radzuan Abd Rahman, 33, serta anaknya Rabiatul Adawiyah Nor Radzuan, empat tahun mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Yusharifuddin berkata kereta yang dipandu suami mangsa itu dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    Katanya siasatan awal mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian dan keadaan cuaca baik serta jalan kering.

    Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

    — BERNAMA

  • Singapura sambut Aidilfitri Selasa, Indonesia raya esok

    Singapura sambut Aidilfitri Selasa, Indonesia raya esok

    MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

    Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya pada 2 Mei.

    “Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.

    “Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei),” katanya dalam video yang disiarkan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Majlis Ugama Islam Singapura).

    MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

    Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok (2 Mei), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

    Sementara itu, rakyat Indonesia akan menyambut Aidilfitri esok, kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yaqut Cholil Qoumas.

    Menteri berkenaan membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri di kementeriannya di Jakarta malam ini.

    Umat ​​Islam di Thailand pula akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, umum Sheikul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.

    “Seperti yang diumumkan kepada umat Islam Thai di seluruh negara tarikh untuk melihat anak bulan baharu selepas matahari terbenam pada Ahad, 1 Mei, bagi menandakan hari pertama Syawal, disahkan bahawa anak bulan baharu telah kelihatan.

    “Jadi, dengan ini, saya mengisytiharkan Isnin, 2 Mei sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan. – BERNAMA

  • Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    SEORANG anggota polis trafik maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Supt Shuhaimi Jusoh berkata, dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang Selatan, Selangor maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Ariana Sofia, 3, cedera parah dan lima penumpang lain cedera ringan.

    “Mangsa yang memandu kereta Perodua Aruz itu dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghantar ahli keluarganya ke Kampung Manik Urai di Kuala Krai, dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    POLIS Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di Ipoh.

    “Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

    “Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

    Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – BERNAMA

  • Pemimpin politik Denmark bakar al-Quran sekali lagi

    Pemimpin politik Denmark bakar al-Quran sekali lagi

    PEMIMPIN parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line) mendakwa beliau membakar senaskhah lagi salinan al-Quran pada Sabtu.

    Di media sosial, Rasmus Paludan mengumumkan beliau membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan Masjid Raslatt di bandar Jönkoping di selatan Sweden meskipun polis Sweden tidak membenarkannya.

    Polis Sweden menolak permohonan daripada Paludan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan demonstrasi membakar kitab suci umat Islam itu pada 1 Mei, bertepatan dengan sambutan Hari Buruh Sedunia di seluruh Sweden, lapor Agensi Anadolu.

    Sementara itu, sekumpulan penduduk di Malmo memprotes provokasi yang dilakukan pemimpin terbabit yang membakar Al-Quran di pelbagai bandar Sweden semasa cuti Paskah.

    Menangani penunjuk perasaan, ahli politik kelahiran Turki Mikail Yuksel, yang mengasaskan Parti Different Colours (Nyan) di Sweden, menggesa provokasi Paludan dihentikan.

    Minggu lalu, kira-kira 500 orang menghadiri bantahan yang dianjurkan oleh Nyan di hadapan parlimen negara itu di ibu negara Stockholm.

    Penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis “Hentikan pembakaran Al-Quran” dan “Berhenti menghina umat Islam”.

    Pada 14 April, Paludan membakar satu salinan kitab suci umat Islam di bandar Linkoping, selatan Sweden. Beliau juga mengancam untuk membakar naskhah kitab suci itu semasa perhimpunan berikutnya.

    Awal bulan ini, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai provokasi terhadap Islam. – BERNAMA

  • Kerajaan beri ganjaran sempena Hari Pekerja 2022

    Kerajaan beri ganjaran sempena Hari Pekerja 2022

    SEBAGAI pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan pekerja dalam menjana kemajuan negara, kerajaan bersetuju memberi ‘ganjaran’ sempena sambutan Hari Pekerja 2022 bertemakan “Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara”.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hadiah itu termasuk kerajaan akan menanggung 80 peratus jumlah caruman individu bekerja sendiri menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia mendapat manfaat itu.

    Selain itu, melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia atau MyEzCover.com yang diperkenalkan mulai hari ini (1 Mei), penjawat awam akan ditawarkan pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah dan skim akan diperluaskan kepada sektor swasta.

    “Program ini akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

    Ismail Sabri berkata, gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini pula merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju mewajibkan penyediaan taska di tempat kerja bagi sektor awam kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum diperluaskan ke sektor swasta.

    Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan geran tahunan sebanyak RM10 juta pada 2019 dan RM30 juta sejak 2020 bagi inisiatif berkenaan, sekali gus memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata, pembukaan semula sempadan negara memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor tertentu terutama sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) namun tindakan itu bukan berhasrat membelakangkan pekerja tempatan.

    Ismail Sabri berkata, satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.

    “Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan juga meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen menghapuskan buruh paksa di Malaysia, sekali gus memastikan produk dan barangan negara tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa kerana didakwa menggunakan buruh paksa.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga melancarkan portal UPSkills Malaysia untuk pekerja meningkatkan kemahiran dan menjadikannya pusat rujukan tunggal yang menghimpunkan maklumat 6,143 penyedia latihan meliputi 35 bidang kemahiran.

    Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kehidupan antaranya Program Subsidi Upah (PSU) yang membantu lebih 350,000 majikan di seluruh negara dengan peruntukan RM20.34 bilion selain berjaya mengekalkan 2.95 juta individu dalam sektor pekerjaan.

    Menurutnya, kerajaan juga telah meningkatkan had siling gaji bulanan diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 yang memanfaatkan sembilan juta pekerja khususnya pencarum Perkeso di seluruh negara.

    “Kerajaan yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menjadi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara.

    “Sekali lagi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja, pemimpin dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja yang ada di negara ini,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilifitri kepada seluruh Keluarga Malaysia. – BERNAMA

  • Aliran trafik sesak 150 km dari Rawang ke Gopeng

    Aliran trafik sesak 150 km dari Rawang ke Gopeng

    ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara dari Rawang ke Gopeng sesak sepanjang 150 kilometer (km) berikutan pertambahan jumlah kenderaan setakat 1 tengah hari ini.

    Peningkatan aliran trafik itu juga adalah susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

    Umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada Selasa (3 Mei).

    Jurucakap PLUS ketika dihubungi Bernama di sini hari ini memaklumkan keadaan trafik dari Slim River ke Sungkai adalah antara laluan paling terjejas dan para pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya.

    Bagi laluan menghala ke selatan pula, kesesakan sepanjang 12km dilaporkan berlaku bermula dari Bandar Ainsdale sehingga ke Seremban dan di Putra Mahkota menuju ke Nilai dengan keadaan trafik perlahan sejauh 8km.

    “Trafik di lain-lain kawasan menghala ke selatan masih lancar dan dalam keadaan terkawal kecuali dari Skudai menuju ke Senai Utara yang bergerak perlahan,” kata jurucakap berkenaan.

    Sementara itu, tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 1 tengah hari tadi mendapati trafik lancar di laluan utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan hanya sesak sejauh 1.3km sebelum susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu menuju arah pusat bandar.

    Trafik juga lancar dari Plaza Tol Karak menuju ke Kuantan di kedua-dua arah.

    Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur semakin sesak pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

    Peningkatan aliran trafik hari ini sudah dijangka susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik mulai perlahan dari arah selatan di Nilai Utara menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban manakala kesesakan hampir tiga kilometer (km) berlaku di Senai Utara ke Kulai.

    Sementara tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 pagi ini mendapati aliran trafik tinggi dan kesesakan berlaku sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak.

    Sementara itu, di utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melaporkan aliran trafik turut perlahan sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Sungai Buloh ke arah Sungai Buaya selain dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan dari Terowong Menora menuju Sungai Perak.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – BERNAMA

  • Banyak negara Arab sambut Aidilfitri Isnin

    Banyak negara Arab sambut Aidilfitri Isnin

    ARAB Saudi dan kebanyakan negara Arab akan menyambut Aidilfitri pada Isnin, menandakan berakhirnya bulan Ramadan bagi umat Islam.

    Dalam satu kenyataan, Istana Diraja Saudi berkata anak bulan Syawal, bulan ke-10 dalam kalendar Islam, tidak kelihatan pada Sabtu (30 April).

    “Oleh itu, Ahad, 1 Mei akan menjadi hari terakhir Ramadan dan Aidilfitri akan disambut pada Isnin, 2 Mei,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

    Pihak berkuasa agama di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Yaman turut mengumumkan Aidilfitri pada Isnin.

    Hari Raya Aidilfitri juga akan disambut pada Isnin di Mesir, Sudan, Libya, Lubnan, Syria dan Palestin.

    Umat ​​Islam Sunni di Iraq juga akan menyambut permulaan Aidilfitri pada hari yang sama.

    Sementara itu, kumpulan Syiah di Oman, Jordan dan Iraq akan melihat anak bulan Syawal pada Ahad untuk menentukan permulaan Aidilfitri. – BERNAMA

  • 8 kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan jalan raya

    8 kanak-kanak terbunuh dalam kemalangan jalan raya

    SEKURANG-KURANGNYA lapan kanak-kanak maut pada Sabtu apabila sebuah kenderaan penumpang roda tiga terbalik dan tenggelam di saluran pengairan di wilayah Delta Nil, Beheira, Mesir kata pihak pendakwa raya awam negara itu dalam satu kenyataan.

    Mangsa antara 12 penumpang yang menaiki beca dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang di sebuah bandar di Beheira, utara ibu kota Kaherah.

    Empat yang lain terselamat dalam kemalangan itu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Pihak pendakwa menahan dan menyoal siasat pemandu beca berusia 19 tahun itu atas tuduhan membunuh tanpa sengaja dan membawa kenderaan tidak dibenarkan dan tidak dilesenkan dalam keadaan berbahaya.

    Dia juga disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia dan menggunakan buruh kanak-kanak. – BERNAMA

  • Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    SEORANG pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.

    “Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian…seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA