Author: Bernama

  • Saya sudah maklumkan Tun Dr Mahathir terma penyelesaian saman – Peguam Negara

    Saya sudah maklumkan Tun Dr Mahathir terma penyelesaian saman – Peguam Negara

    PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun hari ini berkata beliau telah memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai terma penyelesaian berkaitan saman yang difailkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan Malaysia.

    Beliau berkata berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Mohamed Apandi, telah menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara

    Idrus berkata mahkamah kemudiannya membatalkan tuntutan plaintif tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

    “Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkan kepadanya syarat penyelesaian,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

    Semalam Dr Mahathir, menerusi hantaran di laman Facebooknya melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju dengan cara kes saman itu yang diselesaikan di luar mahkamah dan mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian walaupun merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

    “Saya menulis kepada Peguam Negara (Idrus). Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

    “Semasa saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara bagi persediaan kes saman Mohamed Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan Rule of Law,” katanya.

    Ahli Parlimen Langkawi itu turut membangkitkan persoalan sama ada pampasan perlu dibayar jika tindakan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi dibuat mengikut undang-undang.

    Beliau juga mempersoalkan mengapa terma penyelesaian itu dirahsiakan kerana rakyat berhak mengetahuinya lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.

    Dr Mahatir juga menegaskan tidak mengaku bersalah dan bersedia untuk tuntutan Mohamed Apandi diadili di mahkamah.

    Pada 13 April lepas,  Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April  2022 untuk perbicaraan kes saman tersebut.

    — BERNAMA

  • 10 lelaki ditahan gaduh gempar bunga api di Seremban

    10 lelaki ditahan gaduh gempar bunga api di Seremban

    POLIS menahan 10 lelaki awal pagi tadi dipercayai melakukan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri di Taman Bandar Prima Senawang di Seremban seperti tular dalam laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata kesemua individu berusia 19 hingga 42 tahun itu ditahan pada 4.40 pagi di sekitar daerah Seremban dan direman selama tiga hari sehingga 9 Mei.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku 2 Mei lepas pada sekitar tengah malam.

    “Turut dirampas sejumlah besar bunga api dan mercun dengan siasatan lanjut masih dijalankan. Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tular satu video berdurasi 29 saat di Facebook yang memaparkan sekumpulan lelaki melakukan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri.

    — BERNAMA

  • Pemandu bas ekspres ditahan positif dadah

    Pemandu bas ekspres ditahan positif dadah

    SEORANG pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis ganja dalam operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri di Terminal Bas Melaka Sentral di Melaka malam tadi.

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelaki berusia 38 tahun yang juga pemandu gantian digaji sebuah syarikat bas ekspres di terminal berkenaan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal ujian saringan urin kira-kira 9.30 malam.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sepatutnya membawa bas ekspres dari Melaka ke Kedah dan jadual perjalanan bas tersebut adalah pada 10 malam tadi.

    “Tindakan segera telah dilakukan pihak syarikat bas ekspres berkenaan dengan menukar pemandu lain bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi mereka mengikut jadual perjalanan ditetapkan dengan selamat.

    “Pemandu tersebut juga adalah individu dalam pengawasan AADK di Kedah atas kesalahan dadah dan dimaklumkan datang ke Melaka untuk menggantikan pemandu syarikat bas ekspres terlibat,” katanya kepada pemberita di Terminal Bas Melaka Sentral lewat malam tadi.

    Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 122 pemandu bas ekspres dan 326 bas ekspres di terminal berkenaan telah diperiksa serta sebanyak 53 slip pemeriksaan bas telah dikeluarkan bagi memastikan kenderaan selamat digunakan khususnya dari aspek keselamatan tayar dalam operasi dijalankan pada 26 April hingga Khamis (5 Mei).

    Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 37 pemandu dikenakan tindakan mahkamah kerana melakukan lima kesalahan sepanjang tempoh operasi berkenaan dijalankan di negeri itu.

    Katanya, daripada jumlah itu, 22 pemandu dikenakan tindakan mahkamah kerana melanggar lampu merah, menggunakan telefon bimbit semasa memandu (enam orang), memotong barisan (lima orang) dan memandu di lorong kecemasan (empat orang).

    “Sebanyak 28 kompaun juga dikeluarkan sepanjang tempoh operasi tersebut iaitu 13 kompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, membawa lebih muatan (14 kompaun) dan membawa muatan dalam keadaan bahaya (satu kompaun).

    “Kita juga telah mengeluarkan 203 notis atas pelbagai kesalahan dan empat kenderaan iaitu tiga motosikal dan satu kereta telah disita. Dua daripada kenderaan itu disita kerana kerana lesen kenderaan motor dan insuran telah tamat tempoh manakala dua lagi kenderaan disita kerana dipandu warga asing,” katanya.

    Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan sehingga Khamis itu, sebanyak 944 kenderaan telah diperiksa dan 174 daripadanya telah diambil tindakan lanjut atas pelbagai kesalahan.

    Sementara itu, katanya pengusaha bas yang menggunakan bas tambahan diingatkan supaya memastikan bas tersebut telah mendapat permit atau lesen perubahan sementara (LPS) daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka gagal mematuhinya. – BERNAMA

  • KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.

    Perkara itu dimaklumkan KKM dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan laman Facebook Ainalienshop-TW yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan gambar yang telah diubah suai, memaparkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berserta kapsyen ‘blood sugar returns to normal’ (paras gula dalam darah kembali normal).

    “KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.

    “KKM juga sekali lagi ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai,” menurut hantaran itu.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter beliau malam ini berkata, perkara itu adalah satu lagi berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan perniagaan. – BERNAMA

  • Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    PASUKAN bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran di sebuah gudang menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor di Sungai Bakap, di Nibong Tebal hari ini.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Tarmizi Abdul Salam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Ketika bomba tiba, api sedang marak dan peratusan kebakaran pada masa itu (ketika sampai ke lokasi) dianggar lebih 70 peratus iaitu membabitkan tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ.

    “Gudang itu berkeluasan 3,716 meter persegi yang menyimpan pelbagai bahan kimia dan cecair mudah terbakar sekali gus menyebabkan api cepat merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata lebih 100 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 10 jentera terlibat dalam operasi pemadaman.

    Mohamad Tarmizi berkata setakat 5 petang tadi, operasi pemadaman sudah di peringkat akhir dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.

    Beliau berkata kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.

    “Cuma sebuah jentera bomba PBS yang terlibat dalam operasi itu nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang sedang marak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    POLIS menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.

    Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.

    “Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.

    “Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Menurut kenyataan itu, apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’ dan sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.

    Kenyataan itu memberitahu, mangsa akan menerima mesej daripada pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.

    “Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya dan jangan mendedahkan username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyamar polis dan memeras ugut sepasang kekasih di kawasan pemandangan pendaratan pesawat di landasan kapal terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini hari ini.

    Beliau berkata, lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas dan polis merampas sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    “Dalam kejadian 3 Mei lepas, pasangan terbabit yang berada di kawasan pemandangan tersebut didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal yang mendakwa sebagai anggota polis Balai Bayan Lepas, suspek kemudiannya memeras ugut mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam kejadian menyamar polis sebelum memeras ugut atau menyamun mangsa-mangsa lain.

    Menurutnya, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Kadar tambang ECRL tidak bebankan pengguna

    Kadar tambang ECRL tidak bebankan pengguna

    KERAJAAN memberi jaminan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditetapkan kelak tidak akan membebankan pengguna.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dakwaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail bahawa tambang ECRL sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.

    Beliau berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.

    “Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Semalam, media melaporkan Azan dipetik sebagai berkata, tambang ECRL dijangka mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi dan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat untuk membayar tambang perkhidmatan projek prasarana pengangkutan itu yang dijangka siap pada penghujung 2026.

    Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

    Mengulas lanjut, Wee berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ia adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

    Malah katanya, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak.

    Beliau berkata, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi selaras dengan keperluan APAD dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa APAD sebagai pengawal selia. – BERNAMA

  • Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas mereka dihanyutkan arus semasa mandi di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Amirun Mohamad, 14, dari Jabor, Terengganu difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah. 

    “Mangsa didakwa turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam kira-kira pukul 2.30 petang.

    Orang awam yang berada di lokasi cuba untuk membantu, namun hanya dapat menyelamatkan tiga remaja manakala Amirun terus dihanyutkan ke bahagian hilir sungai dan gagal dilihat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16, kedua-duanya dari daerah ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai Kuantan dan Pekan yang menggunakan teknik selaman bagi mencari mangsa.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    ENAM pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran tom yam di Jalan Hang Li Po, Bukit Baru di Melaka berdepan detik cemas apabila sebuah kereta merempuh masuk restoran tersebut semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian 7.15 malam itu berpunca apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu warga emas lelaki berusia 66 tahun, tertekan pedal minyak lalu merempuh masuk ke dalam restoran tom yam tersebut.

    “Siasatan mendapati pemandu tersebut baru selesai makan di restoran itu dan hendak menghidupkan kenderaan yang diletakkan di ruang parkir di hadapan restoran berkenaan.

    “Bagaimanapun pemandu tersebut tertekan pedal minyak dan menyebabkan keretanya terus merempuh masuk ke dalam restoran lalu melanggar tembok dinding dan beberapa meja makan batu di dalam restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, insiden itu menyebabkan enam pelanggan berusia setahun hingga 56 tahun yang berasal dari Melaka, Johor dan Pulau Pinang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    https://youtu.be/kimLoE2xoP4
    Kredit video: Saluran YouTube Viral Online Channel

    Jelasnya, ketika kejadian cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58. – BERNAMA

  • Polis Kelantan buru tiga lelaki samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

    Polis Kelantan buru tiga lelaki samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

    POLIS Kelantan memburu tiga lelaki dipercayai menyamun sebuah kedai pajak gadai emas dekat Jalan Besar di Pasir Mas, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut daripada mangsa pada 4.45 petang yang memaklumkan tiga lelaki bertopeng telah menggunakan senjata menyerupai pistol dan pisau menyamun kedainya.

    “Mangsa bersama lima pekerjanya telah diikat serta dipaksa berada di bawah meja sebelum penyamun itu mengarahkan mangsa membuka laci di dalam peti besi.

    “Suspek turut meminta mangsa mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1,000,000 dan pelbagai barangan kemas di dalam beg yang telah disediakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang turut menambah suspek juga telah melarikan kereta Jenis Perodua Alza berwarna putih milik mangsa.

    Muhamad Zaki berkata bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima, pihaknya telah mengadakan Op Tutup dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh Kelantan serta mengatur gerak pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA) ke pintu-pintu sempadan dengan Thailand dan juga pangkalan haram bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan.

    “Susulan daripada itu, lebih kurang pukul 12.30 tengah malam, sepasukan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 PGA yang membuat rondaan di kawasan Kuala Jambu, Pengkalan Kubor telah ternampak kenderaan milik mangsa ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan.

    “Kenderaan tidak berkunci dan kunci kenderaan tersebut berada di atas kerusi penumpang hadapan. Hasil semakan mendapati kenderaan itu berkait dengan kes rompakan kedai pajak gadai emas di Pasir Mas sebelum itu,” katanya yang telah memanggil mangsa serta beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    — BERNAMA