Author: Bernama

  • Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    POLIS sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

    “Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

    “Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di IPD Perak Tengah, Bota dekat Seri Iskandar malam tadi.

    Pada 15 Mei, Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci hari ini

    Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci hari ini

    KUMPULAN pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

    Penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah itu akan berlepas pada 2.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 5.50 pagi waktu tempatan.

    Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Ini

    Pada majlis itu, Syed Hamadah berkata seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

    “Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda. Insya- Allah, TH telah bersedia menyantuni kesemua jemaah haji negara dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan dari agensi lain bagi memastikan perjalanan mereka lancar,” katanya.

    Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

    Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

    Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

    Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan KLIA.

  • Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    SEORANG wanita mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) kepada warga asing ditahan dalam Ops Serkap di sebuah kondominium di Taman Melati Utama, Setapak, pagi semalam.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata siasatan mendapati wanita berumur 48 tahun itu bertindak seolah-olah seperti ejen Jabatan Imigresen (JIM) sejak setahun lalu dengan menawarkan khidmat kepada warga asing dan majikan dengan harga tinggi.

    Bayaran dikenakan adalah bagi pendaftaran RTK membabitkan RM2,500 dan perbaharui PLKS sebanyak RM8,000 walaupun JIM tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk melakukan urusan berkenaan, katanya.

    “Kita menjalankan risikan dan operasi selama sebulan apabila ada majikan membuat laporan mengenai aktiviti wanita terbabit.

    “Siasatan kita mendapati wanita ini menjalankan aktiviti tersebut dengan bantuan daripada rakannya yang dipercayai warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan dan mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan 11 pagi itu, tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.

    “Kita merampas 314 pasport Bangladesh, sebuah komputer, telefon bimbit, 17 keping kad CIDB dan wang tunai RM61,550,” katanya.

    Syamsul berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan di premis pejabat milik wanita berkenaan di Taman Sri Rampai, Setapak pada hari sama tangkapan dibuat, 12.20 tengah hari.

    Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, 198 keping kad CIDB, tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat dan tiga keping lesen syarikat.

    Beliau berkata, wanita dan tiga lelaki warga asing itu, kini berada dalam tahanan dan kes disiasat mengikut Akta Pasport 1959/63.

  • Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    Lelaki rugi RM50,000 akibat pelaburan Bitfine

    GARA-gara tertarik dengan pulangan lumayan ditawarkan menerusi pelaburan (Bitfine) di aplikasi Telegram, seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM58,800.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata mangsa berusia 37 tahun itu telah berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 17 Mac lepas, namun tidak melayan individu terbabit.

    “Bagaimanapun pada 27 April lepas, mangsa telah mula berkomunikasi dengan individu itu dan menunjukkan minat dan yakin dengan pelaburan Bitfine yang ditawarkan susupek selepas menerima pulangan sebanyak RM543,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April hingga 8 Mei, dengan membuat sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM 58,800.

    Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Ahad lepas setelah menyedari dirinya tertipu.

    Ahmad Sukarno berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.

    Beliau turut meminta jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan diminta menghubungi National Scam Response Centre di talian 997.

    “Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan,” katanya.

  • KSN: Mad Zaidi dilantik KSU Kementerian Perladangan dan Komoditi

    KSN: Mad Zaidi dilantik KSU Kementerian Perladangan dan Komoditi

    DATUK Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkuat kuasa hari ini.

    Mad Zaidi, 53, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) di kementerian sama.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Mad Zaidi berpengalaman luas dalam pelbagai bidang meliputi perancangan strategik, pengurusan dan bidang-bidang teras berkaitan perladangan dan komoditi.

    “Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian dalam meningkatkan daya saing global Malaysia menerusi produk-produk agrikomoditi yang bernilai tinggi dan lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dari Universiti Putra Malaysia dan Sarjana Sains dari University of London, Mad Zaidi telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dengan jawatan pertama disandang adalah Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

  • Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    GARA-GARA menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret.

    Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Maula Azanan, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, yang juga pembantu pegawai perubatan, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

    Faizal, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda dikenakan terhadapnya dengan alasan dia menyesal dengan perbuatannya itu.

    “Saya minta maaf kerana telah mencederakan isteri saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan mohon hukuman denda kerana saya mempunyai anak selain ingin memperbaiki kehidupan saya,” katanya.

  • Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    TIGA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka atas pertuduhan melakukan pecah masuk ke dalam pejabat dan mencuri wang tunai milik sebuah syarikat bernilai sekitar RM900,000, Februari lepas.

    Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal yang masing-masing berusia 43 tahun, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 21 Feb lepas, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

    Ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas, melakukan kesalahan itu di SRT-EON Security Services Sdn Bhd yang beralamat di Jalan TU2, Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di Melaka.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama kerana bersubahat.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan jika kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh, namun ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan pergigian dan nelayan, selain menanggung keluarga.

    Majistret Mazana Sinin menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

  • Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    SEORANG bekas pengurus syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan membabitkan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000 enam tahun lepas.

    Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md Sabri, 41, yang ketika kejadian merupakan Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    “Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB, menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain yang menyebabkan kerugian kepada MBSB.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga menghadapi pertuduhan membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama, mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Muhamad Shahrul turut didakwa melakukan pecah amanah wang sama (RM220,000) mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya antara 10 Ogos dan 12 September 2017.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

    Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 2019.

  • Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    SEORANG tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh kerana mendera anak teman wanitanya yang berusia empat tahun, sejak April lepas.

    Abdul Rahman Abdullah, 37, didakwa melakukan penganiayaan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, di sebuah rumah di Taman Chateau, di Ipoh.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh kemudian mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut, bagaimanapun Darinee memohon menetapkan satu tarikh baharu bagi melengkapkan fakta kes dan laporan perubatan penuh mangsa.

    Darinee bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa.

    Hakim Azizah kemudian menetapkan 19 Jun ini bagi menetapkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Mengikut fakta kes tertuduh sejak April telah mula memukul mangsa dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka berulang kali, diketuk di kepala dan diterajang di badan kerana menangis dan berbuat bising.

    Ibu mangsa yang juga teman wanita tertuduh berusia 34 tahun yang ada bersama ketika itu cuba menghalang tertuduh namun turut dicederakan.

    Pada 12 Mei tertuduh sekali lagi telah memukul kepala mangsa menggunakan batang besi aluminium menyebabkan wanita itu tekad untuk membuat laporan polis.

    Pasangan kekasih itu berkenalan sejak Februari tahun ini dan tertuduh mengajak mangsa serta dua anaknya untuk tinggal bersama.

  • PRN: Negeri Sembilan bubar DUN hujung Jun – Aminuddin

    PRN: Negeri Sembilan bubar DUN hujung Jun – Aminuddin

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada hujung Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

    Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata keputusan itu dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    “Kita sudah membuat keputusan pembubaran DUN itu nanti tidak sama hari dan tarikh tetapi dalam bulan yang sama dengan negeri yang lain.

    “Ada (negeri) yang mungkin (bubar) awal iaitu hujung bulan ini, awal bulan Jun dan ada juga bubar hujung bulan Jun dan awal Julai. Kita akan ambil hujung bulan Jun, insya-Allah, mungkin 1 Julai itu hari terakhir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baharu bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di Seremban hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki dimenangi BN.

    Pada majlis hari ini Aminuddin berkata nama Allahyarham Dato’ Syeikh Mohd Murtadza Syeikh Ahmad merupakan bekas Mufti negeri ini dan merupakan tokoh ulama yang dihormati dan disanjungi kerana sumbangannya dalam bidang agama dan masyarakat.

    Katanya Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza itu melibatkan 7.9 kilometer dari Jalan Pantai, Seremban sehingga Persimpangan Kem Askar Sikamat.

    “Tujuan penukaran nama jalan ini bagi memperingati dan memberikan penghormatan kepada keluarga serta pengorbanan Allahyarham dalam memajukan syiar Islam di negeri ini,” katanya.