Author: Bernama

  • Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    PETUGAS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air hari ini berikutan hujan lebat.

    Komander Operasi Mohd Rizuan Suliman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengunjung pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba ke tempat kejadian 27 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota.

    “Setakat ini, 60 pengunjung berjaya dibawa ke tempat selamat manakala 20 pengunjung lagi masih berada di kawasan air terjun berikutan mahu meneruskan aktiviti berkhemah di tempat tersebut.

    “Namun anggota bomba dan polis yang berada di lokasi menasihatkan mereka untuk menangguhkan aktiviti tersebut sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, kesemua mangsa diselamatkan dengan menyeberang kawasan sungai yang cetek dengan bantuan anggota bomba dan tiada pengunjung yang cedera dalam kejadian kepala air terbabit. – BERNAMA

  • Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota badan manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di Ipoh semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemukan di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

    “Kita telah menjumpai separuh anggota badan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti lagi milik siapa dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) telah membawa turun anggota badan itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh untuk tindakan selanjutnya.

    “Anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki yang ditemukan petang semalam. Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari ini bergantung kepada keadaan faktor cuaca iaitu operasi akan berhenti sementara sekiranya hujan.

    Muhammad Shahrizal berkata, seramai 53 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak serta Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands.

    Terdahulu, kelihatan pasukan SAR membawa keluar anggota tubuh berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • COVID-19: Radzi hargai pengorbanan warga KPM, pendidik lalui waktu sukar

    COVID-19: Radzi hargai pengorbanan warga KPM, pendidik lalui waktu sukar

    PENGALAMAN menguruskan operasi persekolahan penularan wabak COVID-19 bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan sekiranya tidak mempunyai kerjasama yang baik oleh semua pihak, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Katanya, tanpa komitmen dan kecekapan pengurusan Kementerian Pendidikan (KPM) serta warga pendidik agak mustahil untuk beliau memimpin tanggungjawab tersebut.

    “Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya mempunyai barisan pengurusan di KPM dan warga pendidik yang sentiasa memberi komitmen terbaik dalam memastikan sistem pendidikan negara terus berjalan lancar.

    “Kita melalui tempoh yang sangat sukar ketika penularan wabak COVID-19 kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga kita terpaksa merangka semula sistem pendidikan dengan mengeluarkan buku garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata hatinya cukup tersentuh melihat pengorbanan para guru yang sentiasa bertungkus lumus memahami setiap perincian garis panduan yang dikeluarkan pihak kementerian bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran kepada murid dapat dicapai.

    “Alhamdulillah segala panduan yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin seperti perlu menunggu di hadapan pintu pagar untuk memeriksa suhu dan kesihatan pelajar, mengajar secara dalam talian, mematuhi sistem penggiliran dan sebagainya.. Terima kasih kepada cikgu-cikgu semua,” katanya.

    Radzi berkata walaupun dalam tempoh tersebut sistem pendidikan berdepan dengan cabaran yang hebat, namun pihaknya berjaya menyelesaikan 87 peratus daripada 18,702 kekosongan guru yang dihadapi sejak sekian lama.

    “Baki lagi 23 peratus itu akan diisi secara berperingkat memandangkan kementerian berdepan masalah kekurangan guru dalam pasaran terutama membabitkan subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual,” katanya. – Bernama

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering, di Kuala Terengganu hari ini.

    Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

    “Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

    “Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan. – BERNAMA

  • Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga maut direman 7 hari

    Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga maut direman 7 hari

    PASANGAN suami isteri yang ditahan semalam berhubung kematian kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai didera, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di Ipoh.

    Pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu yang merupakan ibu dan bapa saudara yang menjaga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada kira-kira 3.14 pagi.

    Mior Faridalathrash berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.

    Katanya bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul. – Bernama

  • [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    [VIDEO] Tembakan pasar karat: 2 maut, 3 lagi cedera

    DUA maut di tempat kejadian dan tiga lagi parah dalam insiden tembakan di pasar karat di Houston, Texas Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kejadian dipercayai akibat pertengkaran membabitkan lima lelaki, menurut Pejabat Syerif Harris County.

    Kesemua mangsa berusia awal dan pertengahan 20-an, berkemungkinan mengenali antara satu sama lain.

    Syerif Harris County, Ed Gonzalez berkata dianggarkan terdapat “ribuan” orang awam di pasarkarat itu ketika tembakan dilepaskan.

    Dua suspek telah ditahan dan suspek ketiga menerima rawatan di hospital, menurut ABC News.

    Sekurang-kurangnya dua pucuk pistol turut dijumpai. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Peratusan keluar mengundi terlalu rendah

    Pemilihan PKR: Peratusan keluar mengundi terlalu rendah

    JUMLAH ahli parti yang keluar mengundi secara fizikal pada Pemilihan PKR 2022 yang memasuki hari ketiga masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan pemilihan pada 2018, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.

    Tanpa mendedahkan peratusan mengundi setakat ini, beliau berkata, jumlah itu dijangka meningkat ketika hari pengundian dalam talian dari 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi ADIL dan di Selangor serta Sabah kerana kedua-dua negeri mempunyai ahli PKR yang ramai.

    “Setakat ini, ahli parti yang keluar mengundi di Terengganu, Kelantan, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang memang kurang.

    “Kesemua negeri juga mempunyai ahli parti yang sederhana dan rendah,” katanya kepada Bernama di pusat pengundian cabang Wangsa Maju hari ini.

    Mengulas kenyataan calon Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung masalah teknikal di beberapa kawasan termasuk membabitkan peranti, Dr Zaliha berkata JPP akan meneliti isu itu yang berlaku ketika proses pemilihan secara fizikal.

    Beliau berkata, jawatankuasa teknikal sentiasa memantau sistem yang terlibat dan menjelaskan tiada keperluan untuk menangguhkan pemilihan kali ini akibat masalah teknikal setakat ini.

    Terdahulu, Rafizi berkata, beliau akan menulis surat rasmi kepada JPP meminta masalah teknikal ketika proses pemilihan secara fizikal parti itu diselesaikan dengan segera.

    Menyentuh proses pengundian hari ini, Dr Zaliha berkata, proses di Wilayah Persekutuan yang melibat 14 cabang termasuk Labuan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit ‘ketegangan’ di tiga kawasan panas iaitu Wangsa Maju, Batu dan Bandar Tun Razak.

    Beliau turut memaklumkan, 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

    Di PAHANG, Koordinator JPP Pahang, Wong Ming Hui berkata 14 cabang iaitu Bentong, Bera, Cameron Highlands, Indera Mahkota, Jerantut, Kuala Krau, Kuantan, Lipis, Maran, Paya Besar, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh terlibat dalam pemilihan yang bermula 8.30 pagi hingga 5 petang itu.

    “Pemilihan hari ini lancar dan tenang malah di setiap pusat pengundian juga mempunyai pengawas pemilih yang akan memantau proses pengundian sepanjang ia berlangsung.

    “Pengundi secara fizikal dan dalam talian sama banyak dengan ahli di kawasan pedalaman serta berusia dilihat cenderung melakukan pemilihan secara fizikal,” katanya.

    Pengundian bagi Pemilihan PKR 2022 akan diteruskan esok di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan manakala pengundian di Selangor berlangsung pada 21 Mei.

    Ahli parti di Perak, Sabah dan Sarawak pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 22 Mei manakala pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara diadakan pada 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya dari 18 hingga 20 Mei. – BERNAMA

  • 3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    TIGA pelajar di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Nilai mendakwa dipukul senior mereka sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar tingkatan dua terbabit berhubung perkara itu semalam.

    “Mereka mendakwa dipukul pelajar dipercayai Tingkatan 4 sehingga cedera di beberapa bahagian badan. Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebagai pesakit luar.

    “Sehubungan itu, kita telah mengenal pasti dua pelajar senior dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian yang dilaporkan ini dan siasatan lanjut masih diteruskan sama ada masih ada lagi pelajar lain terlibat,” katanya dalam kenyataan.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi kejadian berkenaan yang boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga siasatan dilengkapkan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan, katanya. – BERNAMA

  • Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah tersebut dan melihat terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan kanak-kanak itu.

    “Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya kini sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lepas kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan,”katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

  • Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    Pemandu CRV halang ambulans ada masalah pendengaran

    POLIS akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

    “Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

    https://www.tiktok.com/@info.semasa.my/video/7097933801275280667?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=halang%20ambulans&t=1652620052682

    Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri. – BERNAMA