Author: Bernama

  • Status agama:Mahkamah Persekutuan beri kebenaran wanita kemuka rayuan

    Status agama:Mahkamah Persekutuan beri kebenaran wanita kemuka rayuan

    SEORANG wanita berusia 37 tahun mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai orang Islam.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan wanita itu untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengemukakan bantahan.

    Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

    Susulan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan enam isu perundangan pada perbicaraan yang akan ditetapkan tarikhnya kelak.

    Wanita itu telah membangkitkan empat isu perundangan manakala MAIS dan kerajaan negeri masing-masing dibenar mengemukakan satu persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada perintah Mahkamah Syariah sah dan bolehkah ia dicabar di Mahkamah Tinggi sivil serta jika Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

    Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.

    Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau sebagai bukan Islam.

    Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

    Dia berkata, ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

    Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

    Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

    Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

    Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

    Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili wanita itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi pihak MAIS manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri

  • Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia, polis tahan pengasuh

    Polis menahan seorang wanita yang disyaki melakukan pengabaian ketika mengasuh seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, sehingga mengakibatkan bayi itu meninggal dunia, di sekitar Sungai Way di Kuala Lumpur, pada 9 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berumur 31 tahun itu ditahan di kediamannya di Petaling Jaya pada 5.30 petang, selepas polis menerima laporan daripada bapa bayi itu pukul 3.56 petang, pada hari kejadian.

    “Siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kematian bayi berkenaan manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dengan menelefon 03-79662222 bagi membantu siasatan.

  • Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 6,990,000 batang rokok seludup bernilai RM805,200 dalam tiga serbuan berasingan di Gua Musang dan Tumpat, minggu lalu.

    Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan di Gua Musang dilakukan pada hari Khamis lepas, manakala dua rampasan lagi di Tumpat dibuat pada hari Sabtu, dan semua rokok berkenaan melibatkan duti/cukai berjumlah kira-kira RM4.6 juta (RM4,693,920).

    Beliau berkata serbuan di Gua Musang melibatkan rampasan 4,940,000 batang rokok, manakala yang kedua di Tumpat melibatkan 1,250,000 batang rokok, dan rampasan ketiga juga di Tumpat melibatkan 800,000 batang rokok.

    “Anggota operasi turut menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan merampas tiga lori,” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu, hari ini.

    “Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk rokok-rokok seludup itu dari negara jiran melalui jalan laut dan sungai untuk dipasarkan ke luar Kelantan, dan ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Katanya jika disabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    “Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya.

  • Tragedi Everest: SAR Hawari diteruskan di kawasan ceruk, jejaki telefon bimbit

    Tragedi Everest: SAR Hawari diteruskan di kawasan ceruk, jejaki telefon bimbit

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim, 33, seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang pada Jumaat di kawasan pergunungan Everest, diteruskan di kawasan ceruk, selain menjejaki telefon bimbitnya.

    Pengurus Pasukan Misi Malaysia Everest 2023 (ME23) Ayu Wanirah Naharuddin berkata operasi itu dikendalikan oleh salah seorang pendaki, Tiong Ling Yang, yang turut dikenali sebagai Vincent.

    Beliau berkata SAR menerusi udara telah dilakukan semalam namun tidak menemukan kesan manusia di kawasan pendakian.

    “SAR darat di kawasan ceruk terus dilakukan di atas Kem Dua. Mencari di ceruk memerlukan tenaga mahir dan kita telah kerahkan sebanyak mungkin tenaga mahir yang ada di kawasan sekitar.

    “Kita telah jumpak jaket Gore-Tex yang mengandungi ‘recco’ (sejenis peralatan pengesan) milik Muhammad Hawari di Kem Dua. Pihak (Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu) telah berhubung dengan polis Nepal untuk bantuan menjejaki iPhone milik Muhammad Hawari,” katanya kepada Bernama, hari ini. 

    Jumaat lepas, Muhammad Hawari dilaporkan hilang di kawasan pergunungan itu ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.

    Pada hari sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga peserta misi disahkan meninggal dunia selepas terjatuh semasa pendakian sehari sebelumnya.

    Ayu Wanirah berkata terdapat sekumpulan orang Sherpa akan membuat pemeriksaan bagi mencari Muhammad Hawari di setiap khemah di Kem Dua, Tiga dan Empat, hari ini.

    “ (Pihak) Suunto Malaysia ada memberitahu akan membantu menjejaki pendaki tersebut sekiranya Hawari menyimpan segala aktiviti di dalam aplikasinya. Suunto juga melaporkan kejadian ini ke pihak berkuasa Finland untuk berkongsi data tersebut.

    “Mereka akan cuba. Jika data tidak disimpan kita mungkin tak dapat cari Hawari tapi akan tetap cuba. Kini terserah kepada pihak polis Finland dan ibu pejabat Suunto,” katanya.

    (Suunto ialah jam tangan pintar buatan Finland yang antaranya mempunyai ciri navigasi dan komunikasi, selain boleh menyimpan data berkaitan aktiviti penggunanya)

    Selain itu, Ayu Wanirah berkata usaha membawa turun jenazah Awang Askandar dari Everest Base Camp ke Kathmandu, Nepal sedang giat dijalankan yang dikendalikan sendiri oleh beliau.

    “Enam orang Sherpa akan berada di Kem Empat menjelang petang ini. Esok pagi, jenazah akan dibawa turun ke kawasan selamat bagi helikopter melakukan ‘long line rescue’. Seterusnya akan dibawa ke Kathmandu, Nepal.

    “Pihak kedutaan (Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu) berhubung rapat dengan saya dan mereka akan menerima jenazah tersebut di Kathmandu. Cuaca sekarang agak berawan dan bersalji, semoga cuaca baik esok,” katanya.

    ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud dan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu turut disertai bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak yang juga ketua eskpedisi.

    Misi itu bermula 2 April lepas.

  • Loke seru penyokong PH sokong calon BN pada PRN nanti

    Loke seru penyokong PH sokong calon BN pada PRN nanti

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini menyeru penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong calon Barisan Nasional pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Beliau berkata ia adalah satu tindakan yang logik bagi ahli mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan, untuk berganding bahu ketika berkempen nanti.

    “Apabila kita bekerjasama sudah tentu rakan-rakan komponen dalam sesuatu gabungan itu akan menyokong satu sama lain.

    “Sama juga pemimpin PH masa berkempen pada PRN nanti juga akan meminta penyokong-penyokong kita menyokong calon Barisan Nasional, di kawasan (kerusi) PH tidak bertanding” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, Jumaat lepas, yang meminta pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN untuk menyokong calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Ahmad turut dilaporkan berkata, tindakan itu wajar dan ahli parti hendaklah mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

  • Tiada subsidi elektrik,bantuan kewangan haji kepada T20-PM

    Tiada subsidi elektrik,bantuan kewangan haji kepada T20-PM

    GOLONGAN berpendapatan tinggi (T20) tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan untuk mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

    “Kita tidak naikkan kadar elektrik, melainkan untuk T20. Untuk T20 sahaja, iaitu rumah-rumah besar yang tidak akan diberikan subsidi elektrik.

    “PADU akan dapat menyelaras semua angka-angka yang disebut. Ini sama dengan Bantuan Kewangan Haji, kepada B40 kita tambah. Bagi T20 tidak akan ada lagi tambahan atau pun subsidi daripada kerajaan. Mereka harus belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu dasar-dasar baharu dan drastik yang dilaksanakan semenjak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko pengucupan ekonomi dunia.

    Beliau berkata pengecualian subsidi itu adalah bagi melaksanakan pemberian subsidi yang lebih bersasar.

  • Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia Jumaat lepas dari Everest Base Camp ke Kathmandu menggunakan helikopter akan dijalankan hari ini, sekiranya operasi dari Camp 4 itu berjalan lancar mengikut jadual.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

    “Usaha SAR udara dijalankan sejak 20 Mei, namun masih tidak berjaya mengesan pendaki berkenaan. Proses mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan darat di kawasan lurah-lurah ais, sejak 21 Mei,” menurut kenyataan itu.

    Menurutnya pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.

    “Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

  • Bidaan nombor plat ‘FF’ berjumlah RM34.2 juta, tertinggi dalam sejarah

    Bidaan nombor plat ‘FF’ berjumlah RM34.2 juta, tertinggi dalam sejarah

    BIDAAN nombor pendaftaran kenderaan bagi siri “FF” catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata 34,032 orang menyertai bidaan itu, yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas, dengan 8,348 daripada mereka berjaya mendapatkan nombor plat siri berkenaan.

    Beliau berkata nombor plat yang mendapat bidaan tertinggi adalah FF8 dengan harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).

    “Lima nombor yang mendapat minat paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 pembida, FF51 dengan 32 pembida dan seterusnya FF155, FF555 dan FF1688 dengan masing-masing 29 pembida.

    “Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi dalam talian JPJeBid dilancarkan pada 15 April 2019,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

    Loke berkata rebutan pembida begitu memberangsangkan sehingga menyebabkan sistem itu gagal Khamis lepas akibat trafik yang tinggi, memaksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan selama 24 jam.

    Beliau memohon maaf atas kesulitan dan mengakui bahawa terdapat perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran sistem itu.

    Menjawab dakwaan bahawa tiga nombor dengan nilai bidaan tertinggi dimenangi oleh seorang individu yang sama seperti yang tular di media sosial, Loke berkata ia tidak menjadi masalah sekiranya benar kerana setiap pembida boleh membida sehingga tiga nombor dalam sesuatu siri.

    “Selagi dia ikut peraturan dan membuat bidaan tertinggi, maka dia dapat (nombor plat). Kita tidak lihat kepada latar belakang pembeli,” katanya.

  • Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    Polis Narathiwat gagalkan cubaan seludup ‘ice’ lebih 900kg ke Malaysia

    POLIS Narathiwat menggagalkan cubaan menyeludup hampir satu tan metrik dadah jenis ‘ice’ atau kristal methamphetamine bernilai hampir 350 juta baht di Narathiwat, selatan Thailand.

    Ketua Polis Narathiwat, Mej Jen Anuruth Imarb berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) pada 18 Mei, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai ‘runner’ dan anggota sindiket pengedaran dadah.

    “Polis menahan sebuah pikap yang mencurigakan pada sekatan jalan raya dan menemukan dadah jenis kristal methamphetamine seberat 925 kilogram tersembunyi dalam kenderaan itu.

    “Pemandu pikap itu ditahan. Siasatan awal, lelaki itu mendapatkan stok dadah di Bangkok sebelum menghantar ke Tak Bai di Narathiwat dengan upah 400,000 baht.

    “Dadah itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia,” katanya pada satu sidang media di Narathiwat.

    Anuruth berkata polis turut merampas tiga buah kereta, lima buah motosikal dan barangan kemas serta menyita sebuah rumah dan akaun bank milik sindiket itu.

  • Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    POLIS menahan empat lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dalam kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Assisten Komisioner Yahaya Hassan, dalam kenyataan hari ini berkata polis mengesahkan kejadian berlaku pada 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular memaparkan berlakunya kekecohan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada tahanan mendapati positif dadah jenis TFC (ganja),” katanya menambah keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.

    Yahaya berkata semua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Justeru, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

    Media melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.