Author: Bernama

  • Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    DATUK Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes mereka.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tanpa perintah berhubung kos.

    Beliau berkata, persoalan undang-undang yang Najib dan Muhammad Shafee mahu mahkamah pertimbangkan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang mengenai pelantikan peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya telah selesai dan mahkamah tidak mempunyai sebab untuk tidak menerima keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

    Dalam kes berkenaan, Anwar memohon untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa ad hoc untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan dalam kes liwat.

    Hakim Mahkamah Persekutuan (Mohd Zawawi) berkata, Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan dengan dua cara pelantikan, pertama pelantikan terus oleh pendakwa raya dan Seksyen 379 adalah melalui fiat pendakwa raya.

    Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Disember 2018.

    Muhammad Shafee, yang juga peguam bekas perdana menteri itu, turut memfailkan semakan kehakiman kerana beliau juga mahu menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

    Najib dan Muhammad Shafee juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

    Kedua-dua semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mereka gagal dalam rayuan mereka yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

    Semasa prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata terdapat persoalan undang-undang baharu dan kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan pelantikan peguam sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah.

    Persoalan lain adalah sama ada pihak pendakwa raya boleh melantik peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya kanan tanpa pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dibuat di tempat dahulu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram membantah permohonan kebenaran dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar. – BERNAMA

  • 8 cabang undi semula, keputusan pemilihan PKR tangguh

    8 cabang undi semula, keputusan pemilihan PKR tangguh

    Oleh RATCHARATHAN RAWE SHANGGAR

    PENGUNDIAN fizikal semula Pemilihan PKR 2022 bagi lapan cabang di empat negeri akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini dan keputusan tidak rasmi pemilihan parti hanya akan diketahui selepas proses pengundian itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di lapan cabang yang melibatkan cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

    Beliau berkata, pengundian semula di lapan cabang tersebut disebabkan beberapa masalah termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

    “Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang membincang serta menilai semua bantahan tersebut. Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang tersebut,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Justeru itu, beliau berkata keputusan tidak rasmi pemilihan parti berusia 23 tahun yang dijadualkan untuk dipaparkan di laman web rasmi PKR pada hari ini terpaksa ditangguhkan dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula cabang-cabang berkenaan.

    Sebelum ini, dilaporkan lima cabang di Kelantan, Dungun dan Padang Serai telah mengalami masalah teknikal ketika pengundian fizikal manakala cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan peralatan logistik seperti kerusi dan meja tidak disediakan.

    Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan PKR 2022.

    Katanya, sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli PKR telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.

    Seramai 1,118,423 ahli PKR layak mengundi pada Pemilihan PKR 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

    Pencalonan bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Ahli Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) dijadualkan pada 28 Mei.

    Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing. – BERNAMA

  • Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    Tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, rakyat

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa tiada satu sen dana Yayasan Akalbudi datangnya daripada kerajaan atau rakyat, sebaliknya wang puluhan juta ringgit dalam yayasan itu adalah miliknya.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, sumber dana yayasan tersebut adalah daripada lebihan pendapatannya ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

    “Sebelum saya menganggotai pentadbiran iaitu timbalan menteri, menteri atau timbalan perdana menteri, saya telah menjalankan urus niaga korporat, saya pernah mengetuai empat syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur, saya juga pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

    “Memang terdapat beberapa sumbangan daripada rakan dan ahli perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang saya pegang, namun tidak ada satu sen pun yang datang dari sumbangan kerajaan atau wang rakyat atau pembayar cukai,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari ketiga prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pendapatan dan elaun sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi eksekutif dan pengerusi dalam syarikat korporat melebihi perbelanjaan dan keperluan keluarganya.

    “Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir atau pengetua sekolah agama di Bagan Datuk untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan kebajikan dan keagamaan dalam Yayasan Akalbudi.

    “Dana Yayasan Akalbudi adalah daripada pendapatan peribadi saya serta elaun yang saya peroleh daripada aktiviti urus niaga korporat berkenaan,” jelasnya.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau memperoleh dividen daripada syarikat berkenaan untuk dimasukkan dalam tabung yayasan dan menjalankan urus niaga pasaran saham sama ada dalam saham blue chip atau saham disenaraikan dan saham tawaran permulaan awam (IPO) bagi memperoleh pendapatan.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    [VIDEO] Feri penumpang terbakar, tujuh mangsa maut

    SEBUAH feri membawa 124 penumpang dan 10 anak kapal terbakar pada Isnin ketika dalam perjalanan menuju ke wilayah Quezon di Pulau Luzon, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut, lapor Agensi Berita Xinhua memetik jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG).

    Komodor Armand Balilo berkata, kapal Mercraft 2 itu berlepas pada 5 pagi waktu tempatan dari bandar Polillo, di wilayah itu, menuju ke pelabuhan Real sebelum terbakar kira-kira 900 meter dari pelabuhan.

    Kebakaran memaksa penumpang dan anak kapal terjun ke laut, 105 orang berjaya diselamatkan dan enam penumpang dihantar ke hospital.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • UMNO, BN Perlis gerak solo tanpa kerjasama PAS

    UMNO, BN Perlis gerak solo tanpa kerjasama PAS

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perlis bersedia untuk bergerak solo tanpa melibatkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak ingin meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

    Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, UMNO negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS dan apa yang dilakukan sebelum ini dibuat secara bersendirian.

    “Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan PAS pada masa ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kepada pemberita di Kangar malam tadi.

    Beliau berkata, dapat dilihat bahawa isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS dilihat tidak konsisten sama ada mahu meneruskan atau menamatkan kerjasama MN dengan meletakkan kesalahan kepada UMNO menerusi kenyataan negatif oleh beberapa pemimpin PAS sebelum ini.

    “Kenyataan sebegini tidak memberikan semangat untuk kita menghidupkan kembali MN namun ia tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO nanti,” katanya menambah bagi meneruskan MN, ia terpulang kepada PAS untuk membuat pilihan dan UMNO juga mempunyai pilihan sendiri. – BERNAMA

  • Tambang e-hailing melambung, kerajaan mungkin galak lebih banyak saingan

    Tambang e-hailing melambung, kerajaan mungkin galak lebih banyak saingan

    KEMENTERIAN Pengangkutan sedang meneliti dan berbincang dengan syarikat perkhidmatan e-hailing berhubung aduan serta rungutan orang ramai mengenai kenaikan kadar tambang yang dikatakan semakin mahal sehingga membebankan pengguna.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah mengarahkan pengurusan tertinggi memanggil syarikat terbabit untuk memberi penjelasan segera berhubung perkara itu.

    “Kalau dikatakan RM20 jadi RM70 dalam keadaan sekarang ia dilihat membebankan rakyat, jadi saya rasa sebagai penggubal dasar, kita akan melihat sama ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan.

    “Saya juga telah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat tengok balik, minta syarikat terangkan dan bagi penjelasan apa sebenarnya berlaku, saya jangka dalam sehari dua syarikat patut terangkan barulah kita boleh lihat dari segi apa patut kita buat sama ada galakkan saingan lebih banyak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan lif dan eskalator di stesen LRT Ampang Park hari ini.

    Beliau juga berkata, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang dikesan cuba mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan meningkatkan harga atau memanipulasi kadar tambang e-hailing.

    Tambang perkhidmatan itu dilaporkan meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna dan beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan. – BERNAMA

  • Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    Peragut rantai emas wanita warga asing ditahan

    SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki meragut rantai emas seorang wanita warga asing dalam kejadian pada 4 petang di tepi Jalan Kuchai Maju 10, di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 10.15 malam hari yang sama.

    Beliau berkata, ketika kejadian wanita warga asing berumur 31 tahun itu sedang berjalan berseorangan dan telah didatangi oleh suspek dari arah belakang dan terus meragut rantai emas yang dipakainya.

    “Semasa tangkapan dibuat, polis turut membuat rampasan barang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah iaitu sepasang pakaian, sebuah beg Grab Food, satu telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha NVX berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu mengaku meragut rantai emas milik wanita itu dan telah menjual rantai tersebut di kedai pajak gadai di kawasan Bandar Sri Permaisuri dengan nilai pajakan RM600.

    Katanya suspek telah ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. – BERNAMA

  • Sukan SEA: Skuad B-23 bawa pulang tangan kosong

    Sukan SEA: Skuad B-23 bawa pulang tangan kosong

    SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pulang dengan tangan kosong, selepas tewas kepada Indonesia 3-4, dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan merebut pingat gangsa saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, hari ini.

    Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 1-1 selepas Ronaldo Joybera R Junior dan penyerang gantian pasukan negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, masing-masing menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.

    Pada penentuan sepakan penalti itu, penjaga gol lawan Ernando Ari Sutaryadi muncul wira apabila menyelamatkan dua daripada lima sepakan lemah yang diambil Muhammad Hadi dan Luqman Hakim Shamsudin, sementara sepakan pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar menggegar palang.

    Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dicatat skuad bimbingan Brad Maloney dalam kempen temasya sukan dwitahunan itu, selepas kecundang di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir Khamis lepas.

    Beraksi dalam hujan dan cuaca sejuk, pasukan muda negara dilihat bergelut dalam mencipta peluang berbahaya sepanjang 45 minit pertama, sementara Indonesia kendalian jurulatih dari Korea Selatan Shin Tae Yong lebih bernafsu untuk merobek gawang dikawal Muhammad Rahadiazli Rahalim.

    Indonesia memberikan amaran awal menerusi dua percubaan berbahaya di awal permainan yang menyaksikan Muhammad Rahadiazli, dipaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan minit ketiga Ronaldo Joybera R Junior sebelum menafikan rembatan deras Witan Sulaiman pada minit kelima.

    Separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol, memaksa Maloney membuat tiga pertukaran dengan membawa masuk dua penyerang Luqman Hakim, Muhammad Hadi serta pemain pertahanan Muhammad Hairiey Hakim Mamat.

    Percaturan itu membuahkan hasil apabila gerakan serangan lebih tersusun untuk memberi tekanan kepada skuad Garuda Muda yang mula goyah, sebelum Muhammad Azam Azmi Murad hampir membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-50 tetapi percubaannya gagal tepat ke sasaran.

    Aksi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan lebih berani mengambil risiko, sebelum giliran Indonesia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-60, namun pemain pertahanan negara Muhammad Azrin Afiq Rusmini bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol tandukan pemain lawan.

    Lima minit kemudian, pemain tengah Muhammad Syahir Bashah mensia-siakan peluang keemasan meletakkan Malaysia di depan, apabila gagal memanfaatkan keadaan satu lawan satu berdepan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi yang menyaksikan rembatannya ditepis keluar.

    Beliau kemudian sekali lagi kempunan untuk mencetak nama sebagai penjaring selepas percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-66 hanya menggegar palang, sebelum Indonesia akhirnya mendapat gol yang ditunggu-tunggu menerusi Ronaldo Joybera dua minit kemudian.

    Malaysia yang ketinggalan tidak menyerah kalah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi Muhammad Hadi yang melepaskan rembatan padu dalam kotak penalti yang terkena pemain pertahanan Rizky Ridho Ramadhani, sebelum menewaskan Ernando di gawang.

    Sebagai rekod, ini merupakan edisi kedua berturut-turut skuad B-23 kebangsaan gagal meraih sebarang kilauan pingat di Sukan SEA, selepas meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee. – BERNAMA

  • WCare: 10,759 wanita terima manfaat setakat Mac

    WCare: 10,759 wanita terima manfaat setakat Mac

    SERAMAI 10,759 wanita atau 43.03 peratus telah mendapat manfaat daripada program kesihatan Kanser Reproduktif Wanita (WCare) yang merangkumi program subsidi ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara dan saringan kanser serviks (HPV DNA) sehingga Mac lepas.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah berkenaan 4,837 (19.35 peratus) wanita telah mendapat manfaat dengan 192 daripadanya dikesan positif HPV DNA di peringkat awal.

    Beliau berkata, bagi program subsidi ujian mamogram pula seramai 5,922 wanita atau 23.68 peratus menerima manfaat di bawah program berkenaan dan daripada jumlah itu, lima daripada mereka dikesan positif kanser payudara.

    “Ayuh ibu-ibu sekalian, jalani saringan awal dengan segera untuk kebaikan dan kesihatan anda,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Ibu 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

    Rina berkata, kementerian juga pada tahun ini menyasarkan seramai 50,000 wanita akan mendapat manfaat daripada kedua-dua program berkenaan.

    Bersempena sambutan Hari Ibu yang disambut pada 8 Mei setiap tahun, Rina berkata, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan saringan kesihatan percuma kepada 100 ibu di setiap negeri bermula 8 hingga 31 Mei.

    Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan boleh didapati di 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.

    “Suka saya menggesa dan menggalakkan para ibu dan wanita yang layak untuk segera mendapatkan kemudahan ini demi kesejahteraan diri dan keluarga tercinta,” katanya. – BERNAMA

  • Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    Love Scam: Guru wanita pencen rugi RM472,941

    MALANG berganda buat seorang pesara guru wanita selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendakwa dirinya kerugian RM472,941.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, DSP Yap Huat Tian berkata, mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.

    “Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.

    “Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mangsa seterusnya mendakwa dirinya telah dihubungi oleh individu mendakwa mereka sebagai ejen syarikat pemberi pinjaman wang tersebut yang memintanya untuk memasukkan sejumlah wang ke akaun diberikan atas pelbagai alasan termasuk bagi mengaktifkan akaun itu sebelum wang pinjaman dapat dipindahkan.

    Mungkin didorong oleh perasaan kasihan kepada rakan lelakinya, guru wanita terbabit membuat 49 transaksi pemindahan wang ke akaun diarahkan oleh suspek terlibat sebelum menyedari dia ditipu kerana pinjamannya masih belum diluluskan walaupun wang simpanannya habis dipindahkan seperti arahan suspek.

    “Mangsa mendakwa turut diugut oleh seorang suspek apabila memaklumkan dirinya tidak mahu meneruskan pinjaman selepas berasa ragu-ragu dengan kesahihan syarikat. Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam,” katanya.

    Yap berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan memberi pinjaman wang di internet, sebaliknya berurusan secara fizikal dengan syarikat peminjam berlesen sahaja bagi mengelakkan risiko ditipu. – BERNAMA