Author: Bernama

  • RM13 juta sumbangan bina masjid, sekolah tahfiz, bukan rasuah  – Ahmad Zahid

    RM13 juta sumbangan bina masjid, sekolah tahfiz, bukan rasuah – Ahmad Zahid

    WANG RM13 juta yang disumbangkan seorang ahli perniagaan kepada Yayasan Akalbudi (YAB) bukan rasuah, sebaliknya bagi membangunkan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk, Perak, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid, 69, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau juga tidak pernah menjanjikan apa-apa projek MyEG kepada ahli perniagaan itu, Junaith Asharab Md Shariff, yang juga pemborong tekstil, sebagai balasan kepada sumbangan tersebut.

    Ini kerana kerana MyEG bukan di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi di bawah Kementerian Kewangan, katanya.

    Bekas menteri dalam negeri itu berkata sumbangan menerusi 23 cek (berjumlah RM13 juta) oleh syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co dan fakta itu disahkan oleh Junaith Asharab yang juga saksi pendakwaan ke-36 ketika beliau memberi keterangan di mahkamah.

    “Pihak pendakwaan sendiri tidak pernah mengemukakan apa-apa keterangan atau bukti di mahkamah yang menunjukkan terdapat apa-apa cadangan atau bukti yang menyatakan saya menjanjikan projek-projek tersebut kepada Junaith Asharab.

    “Malah, keterangan Junaith Asharab sendiri juga sangat jelas menyatakan bahawa cek-cek tersebut merupakan sumbangannya untuk pembinaan masjid dan sekolah tahfiz di Bagan Datuk,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi, semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik YAB.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sebelum ini Junaith Asharab memberikan keterangan di mahkamah dengan menyatakan bahawa: “Saya dari keluarga yang terkenal. Keluarga mertua saya kaya raya.”

    “Saya juga telah dimaklumkan bahawa Junaith Asharab adalah seorang India muslim yang datang daripada keluarga yang sangat kaya yang kemampuan beliau melampaui kemampuan orang-orang biasa. Saya juga difahamkan bahawa beliau mempunyai satu kemudahan dari segi wang ringgit untuk  disumbangkan kepada mana-mana pihak yang diingini.

    “Saya juga dimaklumkan bahawa Junaith Asharab turut menyumbang ke atas pembinaan sebuah masjid di India yang tulisan 30 juzuk ayat-ayat Al-Quran pada masjid tersebut dibuat daripada emas dan perkataan ‘Bismillah’ di permulaan setiap surah dibuat daripada berlian,” katanya.

    Selain itu, Ahmad Zahid menafikan bahawa beliau menerima rasuah RM250,000 daripada Junaith Asharab kerana wang tersebut adalah pinjaman yang diberikan kepada adiknya, Datuk Seri Nasaee.

    “Berdasarkan keterangan yang diberikan oleh Junaith Asharab semasa di peringkat pendakwaan di mahkamah, cek itu adalah pinjaman yang diberikan kepada adik saya (Nasaee). Saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan cek ini dan saya tidak mempunyai pengetahuan bahawa cek ini adalah pinjaman kepada adik saya.

    “Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkenaan pinjaman ini dan apa-apa kaitan dengan cek ini. Saya juga tidak mempunyai pengetahuan bahawa cek ini adalah pinjaman kepada adik saya,” katanya yang mengenali Junaith Asharab sejak 2016 melalui Nasaee.

    Bagi pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa dengan lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Aktivis wanita menangis teresak-esak mengaku salah buat hantaran jelik

    Aktivis wanita menangis teresak-esak mengaku salah buat hantaran jelik

    SEORANG aktivis wanita menangis teresak-esak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya berhubung isu agama Kristian dalam laman profil Facebook miliknya, tahun lepas.

    Wan Asshima Kamaruddin, 38, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM) dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak selepas menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan kesnya hari ini.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menetapkan 15 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes.

    Wan Asshima selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil miliknya ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ pada 9.23 pagi, 11 Mac 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 6.24 petang, 13 Mac 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap OKS dan orang awam mengambil kira faktor terdapat 61 laporan polis dibuat di seluruh Malaysia berkenaan hantaran yang dibuat oleh OKS.

    “Aduan yang paling banyak datang dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini yang memasuki peringkat perbicaraan dengan seramai tiga orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum OKS bertindak menukar pengakuannya kepada bersalah,” katanya.

    Peguam Dorina Abdullah, yang mewakili Wan Asshima memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga selain tidak berniat untuk menyakiti orang awam melalui hantarannya.

    “Anak guam saya juga sedang berhadapan dengan kes penceraian dan disebabkan itu, beliau tidak mendapat bantuan nafkah sejak bulan lepas. Saya mohon simpati mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kes ini,” kata peguam itu. – BERNAMA

  • Rotan anak: Bekas suami Ziana Zain didenda RM8,000

    Rotan anak: Bekas suami Ziana Zain didenda RM8,000

    BEKAS suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kerana merotan tangan anak lelakinya, empat tahun lepas.

    Hakim Hasbullah Adam membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Armin Zaharin, 57, bagi mengetepikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 Sept 2020.

    Hasbullah menggantikan hukuman penjara itu dengan denda dan memerintahkan bekas pramugara itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Armin Zaharin membayar denda.

    Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan Armin Zaharin bagi mengetepikan sabitan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Hasbullah turut menasihati Armin Zaharin supaya menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran.

    “Saya harap ini dijadikan satu pengajaran. Ingat kawal diri sedikit. Apa sahaja yang berlaku hubungan antara bapa dan anak tidak akan putus,” kata Hasbullah.

    Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar mewakili pihak pendakwaan selaku responden manakala peguam Amir Farid Mohd Nawawi serta Danish Manoharan mewakili Armin Zaharin sebagai perayu.

    Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.

    Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

    Armin Zaharin ditahan pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.

    Ziana yang popular dengan lagu “Madah Berhelah” dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

    Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan. – BERNAMA

  • Jurulatih wushu disyaki cabul 2 pelajar bawah umur

    Jurulatih wushu disyaki cabul 2 pelajar bawah umur

    POLIS menahan seorang jurulatih wushu kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, Isnin lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Habibi Majinji berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras, juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama baru-baru ini.

    Dalam kes terkini beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lepas.

    “Mangsa berusia 12 dan 13 tahun itu mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

    “Akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing dan laporan polis telah dibuat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas mengenai modus operandi suspek, Habibi berkata suspek akan mengajak mangsa untuk menaiki keretanya selepas selesai latihan dengan alasan untuk bersiar-siar sebelum mencabul mangsa.

    Suspek direman hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

    “Ketika ini kertas siasatan hampir selesai dan polis akan merujuk pihak pendakwa raya hari ini. Arahan pertuduhan akan diperoleh secepat mungkin apabila keterangan suspek mencukupi. Kalau tidak, siasatan akan diteruskan dan reman mungkin akan bersambung.

    “Namun, ia perlu diselesaikan segera bagi menjaga kebajikan mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.

    Habibi berkata, ketika ini mangsa dijaga keluarga masing-masing dan tidak lagi mengikuti latihan di akademi itu akibat fobia selain status penutupan akademi tersebut masih belum diputuskan.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan dilapor mengesahkan penahanan suspek berhubung kes cabul pelajarnya yang berusia 13 tahun dalam kejadian pada 11 hingga 19 Feb lepas di sekitar Taman Kajang Mewah, Kajang.

    Hari ini Habibi mendedahkan terdapat empat kes melibatkan suspek yang kini sedang disiasat iaitu masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Undi semula di 13 cabang Jumaat dan Sabtu

    Pemilihan PKR: Undi semula di 13 cabang Jumaat dan Sabtu

    PKR menetapkan proses pengundian semula melibatkan 13 cabang di lima negeri akan dilaksanakan pada Jumaat dan Sabtu ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, undian semula secara fizikal Jumaat ini melibatkan cabang Tumpat, Ketereh, Bachok, Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Tanah Merah di Kelantan.

    Beliau berkata, undian pada hari Sabtu ini pula membabitkan cabang Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman (Terengganu); Padang Serai (Kedah); Hulu Selangor (Selangor) dan Kota Kinabalu (Sabah).

    “Cabang terlibat akan mengadakan pengundian semula selaras dengan Notis Penangguhan Pengundian terdahulu. Pusat-pusat pengundian akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya menerusi notis makluman yang dimuat naik di Facebook rasmi Pemilihan PKR 2022, hari ini.

    Sebelum ini, JPP memaklumkan undian semula terpaksa dilakukan di 13 cabang berkenaan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

    Susulan itu tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan peringkat MPP dan Cabang turut dipinda dan tarikhnya akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 Ahad ini.

    Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita turut dipinda pada Ahad. – BERNAMA

  • Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa sembilan jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan terjadual seberat 43.1 tan susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara di Alor Gajah, hari ini.

    Komander operasi Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan treler yang membawa muatan serbuk kuprum dan aluminium itu pada 2.56 pagi tadi.

    “Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Ayer Keroh termasuk Pasukan HAZMAT digerakkan ke lokasi dan mendapati treler berkenaan terbabas di bahu jalan.

    “Pihak bomba juga mendapati dua lelaki iaitu pemandu treler berusia 29 tahun bersama kelindannya berusia 31 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkhairani berkata, Pasukan HAZMAT telah mengambil bacaan tahap pencemaran di lokasi tersebut dan mendapati keadaan di kawasan itu selamat.

    “Operasi ditangguhkan sementara disebabkan hujan. Kami perlu memastikan bahan tersebut dalam keadaan kering kerana dikhuatiri sisa buangan kimia itu akan memanas dan beracun apabila terkena air. Anggota turut bertindak menutup tumpahan bahan kimia itu dengan menggunakan kanvas kalis air.

    “Operasi disambung semua pada 12 tengah hari tadi bagi memindah dan membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan itu,” katanya. – BERNAMA

  • Pasangan suami isteri didakwa bunuh, dera anak saudara

    Pasangan suami isteri didakwa bunuh, dera anak saudara

    SEORANG pesara tentera dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara mereka dua minggu lepas.

    Zainuddin Noh dan Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, kedua-duanya berusia 40 tahun didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Aisha Farhana Muhammad Khirul Azral, lapan tahun, di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan Bandaraya 18, Desa Pengkalan, Lahat Ipoh antara 10 malam 13 Mei hingga 7 pagi 14 Mei lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pasangan suami isteri yang juga peniaga kecil itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof.

    Mereka juga menghadapi dua pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki yang juga adik si mati dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid.

    Kedua-duanya didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa berusia tujuh tahun telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal di tempat sama pada 1.30 petang dan 10.30 malam, 13 Mei lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hafizah Mohammad Pauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagi kes berkenaan.

    Nurul Hafizah tidak menawarkan jaminan kerana kedua-dua tertuduh telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan mahkamah menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula semua kes itu.

    Pada 15 Mei lepas, polis menahan pasangan suami isteri itu susulan laporan kematian kanak-kanak perempuan berkenaan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada  3.14 pagi.

    — BERNAMA

  • Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    PENDUDUK Kampung Ismail di Seremban menyifatkan banjir kilat yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut malam tadi antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.

    Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77, berkata, kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

    “Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu siren banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.

    “Dua minggu lepas ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lepas, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama di Seremban hari ini.

    Khairulnizam Ahmad, 47, pula berkata kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.

    Beliau berkata anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.

    Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor. – BERNAMA

  • Dr Adham sedia beri kerjasama kepada SPRM siasat isu perolehan COVID-19

    Dr Adham sedia beri kerjasama kepada SPRM siasat isu perolehan COVID-19

    BEKAS Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan berlaku isu rasuah dan penyelewengan berhubung perolehan berkaitan COVID-19.

    Beliau yang memegang portfolio itu semasa negara sedang berhadapan dengan wabak itu mula melanda negara mengakui pernah menerima sendiri aduan mengenai perkara itu sekali gus menjelaskan perkara itu berlaku di peringkat pentadbiran.

    Menurutnya sewaktu keadaan pandemik banyak proses pemerolehan tidak melalui prosedur biasa dan terdapat kekeliruan dalam melaksanakan perkara itu.

    “Kita gunakan perolehan kecemasan jadi keperluan mendesak banyak benda yang dilakukan nak cepat ada yang terpaksa pesan dahulu dan ada juga yang perlukan deposit, ini semua tak melalui proses-proses seperti biasa, ada perkara-perkara yang saya sedar dan saya sebagai menteri pada ketika itu menasihati mereka.

    “Saya sebagai menteri saya menjaga dasar dan pelaksanaan dilakukan oleh pihak pentadbiran, saya menyenaraikan semua keperluan pelaksanakan oleh mereka, saya bersedia untuk beri kerjasama kepada SPRM tidak ada keraguan kerana ini penggunaan kecemasan pertama kali,”  katanya.

    Dr Adham berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara National Instituteof Biotechnology Malaysia, Solution Biologics Sdn Bhd dan Cansino Biologics Inc (CanSino), di Serdang.

    Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perolehan berkaitan COVID-19 melibatkan rasuah dan penyelewengan selain turut melihat kepada penyalahgunaan kuasa. 

    Berkenaan majlis itu, Dr Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata MoU yang telah ditandatangani oleh tiga pihak itu bertujuan memupuk kerjasama jangka panjang dalam pembangunan, penyelidikan dan pengkomersialan vaksin manusia.  

    “MoU ini memberi tumpuan kepada program penyelidikan bersama pembangunan vaksin terpilih, pertukaran penyelidik dan pakar teknikal, pemindahan teknologi dan pengetahuan serta pengkomersialan produk vaksin untuk pasaran Malaysia dan antarabangsa.

    — BERNAMA

  • APMM gagalkan cubaan seludup keluar syabu bernilai RM1.04 juta

    APMM gagalkan cubaan seludup keluar syabu bernilai RM1.04 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 26 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM1.04 juta ke negara jiran di perairan Tanjung Sepat, Selangor, Isnin lepas.

    Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata dadah berkenaan ditinggalkan dalam sebuah beg pakaian yang diletakkan di tepi tebing pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.

    “Beg pakaian itu ditemukan oleh lima anggota APMM yang melakukan rondaan khas kira-kira 10 malam namun tiada sebarang bot atau individu dijumpai di kawasan berkenaan.

    “Beg kemudian dibawa naik ke atas bot APMM dan pemeriksaan menemukan 26 bungkusan berwarna kuning berisi hablur kristal dianggar seberat sekilogram setiap satu bungkus,” katanya kepada pemberita di Alor Gajar hari ini.

    Beliau berkata bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara ini sebelum cuba diseludup keluar sindiket pengedaran secara terancang menggunakan laluan darat dan laut.

    Iskandar berkata berdasarkan risikan, dadah tersebut akan dibawa oleh ‘transporter’ darat (ejen pengangkut) ke tepi tebing tersebut sebelum diambil ahli sindiket lain melalui jalan laut untuk diseludup keluar ke negara jiran.

    Beliau berkata ketika rondaan itu dijalankan, beg berisi dadah berkenaan disyaki baharu sahaja ditinggalkan di tepi tebing pantai tersebut sebelum dijumpai anggota APMM.

    Menurutnya dadah tersebut dipercayai boleh dibekalkan kepada 56,000 penagih manakala harga setiap satu kilogram dadah berkenaan di pasaran negara jiran adalah sekitar RM100,000 hingga RM200,000.

    Katanya kes berkenaan sedang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

    — BERNAMA