Author: Bernama

  • Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    SEORANG pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 juta, dua tahun lepas.

    Mazne Che Mohd Amin, 32, didakwa telah memindahkan RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya, NMOQ Trade Sdn Bhd, menerusi 14 transaksi yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

    Wanita itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di cawangan sebuah bank di Sungai Besi antara 9 Sept hingga 17 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87 (1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta serupa.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Beliau turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

    Peguam Luqman Mazlan yang mewakili Mazne memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akan akur dengan syarat-syarat jaminan lain.

    Hakim Helina Sulaiman menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Helina membenarkan kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Semakan arah kiblat boleh dibuat petang esok – Mufti Selangor

    Semakan arah kiblat boleh dibuat petang esok – Mufti Selangor

    SEMAK ketetapan arah kiblat khususnya di kediaman masing-masing boleh dibuat esok, bermula pukul 5.10 petang hingga 5.35 petang susulan peristiwa Istiwa A’dzam.

    Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata Istiwa A’dzam yang akan berlaku pada 5.18 petang esok merupakan satu peristiwa yang kedudukan matahari akan berada tepat di atas Kaabah, dan masyarakat di Selangor berpeluang membuat semakan arah kiblat yang tepat dengan menggunakan bayang daripada objek yang tegak.

    “Semakan boleh dibuat dengan menggunakan sebarang objek lurus dan tegak yang berada di sekitar. Tempoh masa semakan bayang bermula pukul 5.10 petang hingga 5.35 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Hospital terbakar, 11 bayi maut, Menteri Kesihatan dipecat

    [VIDEO] Hospital terbakar, 11 bayi maut, Menteri Kesihatan dipecat

    PRESIDEN Senegal, Macky Sall pada Khamis memecat Menteri Kesihatan, Abdoulaye Diouf Sarr, susulan insiden kebakaran hospital yang mengorbankan nyawa 11 bayi baru lahir.

    Dalam ucapannya di televisyen, Sall menamakan Marie Khemesse Ngom Ndiaye sebagai menteri kesihatan baharu, lapor Agensi Anadolu.

    Ndiaye pernah berkhidmat sebagai ketua pengarah kesihatan awam.

    Pada Rabu, 11 bayi baru lahir maut dalam kebakaran di unit neonatal Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di Tivaouane yang mencetuskan kemarahan rakyat.

    Sarr, yang berada di Geneva untuk menghadiri perhimpunan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terpaksa memendekkan lawatannya.

    Sementara itu, pihak pendakwa raya memaklumkan siasatan masih diteruskan untuk menentukan punca sebenar kejadian. – BERNAMA

  • Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    SEORANG jurulatih wushu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

    Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.

    Bekas atlet negara itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan pelatihnya.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu sekitar Februari lepas di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017  yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.

    Bong ditahan polis pada 11 Mei lepas, sehari selepas pengadu membuat laporan polis.

    Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji pada sidang medianya berkata mangsa mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

    Katanya akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa dan laporan polis telah dibuat.

    — BERNAMA

  • Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    LEBIH 1,000 kekosongan tempat untuk jemaah haji yang menolak tawaran disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan sudah dipenuhkan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, kekosongan itu telah diberikan keutamaan kepada mereka yang telah disenaraikan untuk mengerjakan ibadah haji pada 2020 dan 2021.

    “Ia (kemas kini senarai jemaah haji) berjalan setiap hari, kalau ada yang kosong maknanya kita akan ikut senarai menunggu dan masukkan nama-nama jemaah mengikut urutan.

    “Bagi peringkat pertama ini 1,000 orang telah menolak, maka kita masukkanlah dan sekarang ini sudah penuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun ini.

    Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

    Berhubung MTHQK yang akan berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor bermula 9 hingga 18 Jun ini, Idris berkata, program itu akan disertai seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri.

    Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan majlis pembukaan pada 12 Jun, manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pada 17 Jun akan disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

    MTHQK merupakan program tahunan yang dianjurkan kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1979 bertujuan meninggikan syiar Islam di Malaysia. – Bernama

  • Asrama pekerja kilang telur ayam dalam keadaan daif dibongkar

    Asrama pekerja kilang telur ayam dalam keadaan daif dibongkar

    KOTOR dan tidak berperikemanusiaan. Demikian gambaran suasana tempat tinggal 27 pekerja di sebuah kilang pengeluaran telur ayam di Alor Gajah.

    Tanpa kemudahan asas seperti tilam, bekalan elektrik dan air  yang terhad serta dapur yang kotor, pekerja asing yang rata-ratanya dari Myanmar itu terpaksa hidup dalam keadaan tersebut gara-gara majikan gagal mematuhi peraturan penginapan pekerja yang ditetapkan.

    Keadaan tersebut yang dibongkar melalui Op Rumah Pekerja selama lebih dua jam itu juga mendapati terdapat dua pekerja “diarahkan” majikan kilang berkenaan untuk tinggal di pondok usang bagi menjaga gudang penyimpanan dedak ayam di situ.

    Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem berkata hasil pemeriksaan mendapati majikan berkenaan menyediakan 15 unit penginapan pelbagai jenis kepada 27 pekerja asing yang digajikan tanpa sebarang perakuan penginapan.

    “Kita juga dapati majikan belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut di samping pelbagai kesalahan dikesan dilakukan di bawah Akta Standard  Minimum  Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446),” katanya kepada media selepas mengadakan operasi bersepadu Op  Rumah  Pekerja di Kuala Sungai Baru hari ini.

    Hadir sama Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka Rohana Bakar dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melaka Dr Rabaayah Daud.

    Katanya majikan tersebut  turut melanggar peraturan di bawah Seksyen 24D iaitu penginapan tidak mempunyai perakuan, Seksyen 24K (tidak melakukan penyelenggaraan ke atas penginapan) serta Peraturan-Peraturan Minimum Penginapan iaitu tidak menyediakan katil, tilam dan almari berkunci.

    Ngwe juga berkata majikan berkenaan turut melanggar kesalahan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu gagal membayar caruman tiga pekerja dan gagal mendaftar pekerja.

    “Jadi satu kertas siasatan telah dibuka dan dalam masa yang sama kita akan memantau penambahbaikan yang telah kita diarahkan kepada majikan dan syarikat tersebut,” katanya.

    Kata Ngwe keadaan tersebut amat mengecewakan terutama apabila majikan berkenaan sudah dimaklumkan dan diberikan surat peringatan tentang kesalahannya sebelum ini.

    “Bagaimanapun majikan masih gagal patuh (peraturan). Malah apabila kita datang untuk operasi hari ini pun masih keadaan yang sama, sejak kali terakhir pemeriksaan dilakukan pada Febuari lepas.

    Majikan hanya memberi alasan penginapan itu sudah disediakan di suatu tempat (lain) tetapi belum pindah lagi. Tapi pihak JTK anggap itu hanya alasan kerana di sinilah penginapan sebenar mereka (pekerja),” katanya yang turut menjelaskan ada pekerja yang sudah bekerja lebih daripada tujuh tahun dan masih menginap di tempat yang sama.

    Kata beliau pihaknya tidak akan berkompromi malah memberi amaran kepada majikan yang masih gagal mematuhi peraturan rumah penginapan pekerja agar mengambil tindakan segera.

    “Kita akan lebih kerap adakan operasi dan turun padang agar rumah penginapan pekerja berada dalam keadaan yang memenuhi standard ditetapkan kerana keadaan tersebut setakat ini sangat mengecewakan,”  katanya.

    –BERNAMA

  • RM6 juta sumbangan politik, bukan rasuah – Zahid

    RM6 juta sumbangan politik, bukan rasuah – Zahid

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan bukannya rasuah.

    Ahmad Zahid, 69, berkata tuduhan bahawa cek itu yang diterima melalui bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben sebagai balasan untuk melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport selama lima tahun adalah tidak benar dan fitnah.

    “Saya menegaskan bahawa keputusan untuk melantik DTSB bukan keputusan daripada saya. Saya tiada kuasa membuat keputusan akhir kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

    “Proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen berhubung penganugerahan projek kontrak polikarbonat  kepada DTSB adalah teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak tersebut dianugerahkan kepada DTSB,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Ahmad Zahid berkata ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (bekas Pengarah DTSB) mengemukakan surat “Permohonan Untuk Membekalkan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 Juta Cip yang akan Dimasukkan Ke Dalam Halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia Kepada Kerajaan Secara Rundingan Terus.”

    “Apabila melibatkan rundingan terus, ia melibatkan arahan perbendaharaan dan juga perolehan dalaman Kementerian Dalam Negeri. Seterusnya, saya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan yang akan menentukan rundingan terus telah dianugerahkan kepada mana-mana syarikat yang telah membuat permohonan bukan di peringkat Perolehan Kementerian Dalam Negeri,” jelasnya.

    Kepada soalan Ahmad Zaidi, bagaimana beliau mengenali Mohamed Hashim, Ahmad Zahid berkata beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri pertahanan mengenali Mohamed Hashim yang ketika itu Panglima Tentera Darat.

    “Beliau (Mohamed Hashim) seterusnya menjadi pengarah beberapa syarikat tersenarai termasuk pengarah DTSB. Saya mengenali beliau lebih 20 tahun sejak berada di Kementerian Pertahanan bukan kerana penglibatannya dalam perniagaan tetapi sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata syarikat Sarana Kencana adalah milik Mohamed Hashim dan Datuk Abu Hanifah Noordin (bekas Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad).

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata Abu Hanifah yang merupakan saksi pendakwaan ke-32 telah memberitahu mahkamah bahawa cek tersebut diberikan kepadanya sebagai dana politik, sebahagian daripada amal jariah.

    “Chew Ben Ben (saksi pendakwaan ke-34) juga ada memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan yang mana beliau menyatakan berdasarkan kefahaman beliau, wang politik juga termasuk sebagai amal jariah.

    “Datuk Abu Hanifah dan Chew Ben Ben juga menyatakan pemberian kedua-dua cek ini tiada kena mengena dengan lantikan DTSB untuk melaksanakan kontrak polikarbonat, malah cek tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co adalah sumbangan politik kepada saya,” katanya.

    Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik DTSB untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen menerusi rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Bukan cacar monyet tapi HFMD – KP Kesihatan

    Bukan cacar monyet tapi HFMD – KP Kesihatan

    KEPUTUSAN ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mengesahkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan bukannya dijangkiti wabak cacar monyet atau monkeypox.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan ujian ke atas kanak-kanak itu adalah positif virus Coxsackie A6 dan negatif cacar monyet serta lain-lain virus yang diuji. 

    “Diagnosis awal kanak-kanak ini adalah HFMD. Kanak-kanak ini kemudiannya dipantau di Hospital Kuala Lumpur oleh pakar pediatrik. Dua sampel telah diambil yang mana MKAK  telah membuat pengujian beberapa jenis virus termasuk untuk HFMD dan cacar monyet,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami gejala demam (13 Mei)  dan ruam (16 Mei).

    “Ruam itu menjadi blister (19 Mei) dan mula pecah (21 Mei),” katanya. 

    Sebelum ini, tular mesej di media sosial  memaparkan gambar seorang kanak-kanak dengan dakwaan kononnya cacar monyet sudah mula berjangkit di Malaysia. – Bernama

  • Wanita cedera parah ditikam anak berusia 14 tahun di Pasir Puteh

    Wanita cedera parah ditikam anak berusia 14 tahun di Pasir Puteh

    SEORANG wanita cedera parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau oleh anak lelakinya yang berusia 14 tahun di rumahnya dekat Bukit Yong, Pasir Puteh, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata kejadian dipercayai berlaku lebih kurang 11.45 malam ketika mangsa yang berusia 41 tahun sedang tidur bersama anaknya itu di dalam bilik, sebelum tiba-tiba terasa sakit pada bahagian dada.

    “Mangsa kemudian melihat sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.

    “Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri setelah bertindak mengeluarkan pisau tersebut sendiri sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Nor berkata wanita itu kehilangan banyak darah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta doktor mengesahkan paru-paru bahagian kirinya bocor.

    “Siasatan awal polis mendapati mangsa telah ditikam oleh suspek yang juga anak ketiga dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dan menambah ketika kejadian remaja itu demam sejak dua hari dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.

    Beliau berkata suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA

  • Aset US$1.4 bilion : Jho Low, bapa gagal ketepi injunksi

    Aset US$1.4 bilion : Jho Low, bapa gagal ketepi injunksi

    AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya gagal untuk mengetepikan perintah mahkamah yang menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset mereka di Malaysia, masing-masing berjumlah US$1.03 bilion dan US$401.5 juta.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz yang menolak permohonan Jho Low dan Tan Sri Larry Low Hock Peng untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya.

    Hakim membuat keputusan itu  selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian hari ini.

    Peguam 1MDB Siva Kumar Kanagasabai berkata mahkamah menolak permohonan kedua-dua mereka dengan kos RM5,000.

    Beliau berkata mahkamah juga memberikan beberapa perintah tambahan termasuk penyampaian ke diri perintah antara pihak itu diketepikan, dan penyampaian dengan meninggalkan salinan di alamat terakhir kedua-dua mereka yang diketahui di Tanjung Bungah dan diserahkan kepada peguam mereka.

    Siva Kumar berkata mahkamah turut memerintahkan Jho Low dan bapanya supaya mematuhi perintah pendedahan inter-parte Mareva (aset dan lokasi mereka) dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu disampaikan melalui peguam mereka.

    “Jika Jho Low dan bapanya tidak mematuhi perintah pendedahan Mareva antara pihak itu, mereka akan dihalang daripada didengar dalam prosiding, pembelaan mereka akan dibatalkan dan 1MDB akan bebas untuk memohon untuk membuat penghakiman terhadap mereka.

    “Mahkamah juga membenarkan permohonan kami untuk meminda writ (saman) tetapi ia berkaitan dengan perkara kecil dalam pengiraan tuntutan. Pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 13 Jun,” kata peguam itu ketika dihubungi.

    Pada 15 Mac, Hayatul membenarkan permohonan injunksi Mareva oleh 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

    Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

    Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman dan jika mereka mahu amaun yang lebih, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman US$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakak Jho Low, May Lin dan adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    — BERNAMA