Author: Bernama

  • Lelaki bunuh, kerat mayat ibu tak puas hati pembahagian harta pusaka

    Lelaki bunuh, kerat mayat ibu tak puas hati pembahagian harta pusaka

    *Polis temui 15 potongan bahagian tubuh dalam tangki kumbahan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh dan memotong badan ibunya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.

    Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai penemuan potongan-potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah berkenaan kira-kira 3.30 petang semalam.

    “Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian dengan dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah hadir ke tempat kejadian dan menemukan 15 keratan bahagian tubuh badan yang telah dipotong,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 68 tahun dan hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lepas selepas suami mangsa meninggal dunia.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap pembahagian harta pusaka mendiang bapanya.

    “Selain penahanan lelaki itu, polis turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang digunakannya bagi melakukan pembunuhan tersebut,” katanya dengan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

  • Pejuang tak gerak solo, tapi takkan kerjasama ‘penyangak’ – Tun M

    Pejuang tak gerak solo, tapi takkan kerjasama ‘penyangak’ – Tun M

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuka pintu kerjasama dengan golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang tidak bergerak secara solo, namun menegaskan tidak akan bekerjasama dengan ‘penyangak’.

    “Banyak NGO sudah kita jumpa termasuklah pesara guru dan tentera kerana kumpulan ini juga berhak mengundi. NGO ini masing-masing ada penyokong, kita tahu mereka bercakap tentang masalah orang Melayu dan mereka juga berminat menyelamatkan masa depan (orang Melayu),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan permukiman Pejuang negeri Melaka di Ayer Keroh hari ini.

    Mengulas mengenai pemukiman berkenaan, Dr Mahathir berkata ia adalah usaha menerangkan hala tuju parti itu menerusi pertemuan dengan pemimpin di peringkat negeri.

    “Ramai yang tidak kenal apa itu Pejuang walaupun dalam kalangan ahli dan pemimpin parti ini. Mereka tak mengetahui dengan mendalam kenapa parti ini diwujudkan.

    “Jadi kita datang ke setiap negeri untuk jelaskan dan diharap permukiman ini dapat memberi semangat kepada ahli parti untuk bekerja lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.

    – Bernama

  • Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham

    Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham

    SEORANG jururawat mendakwa kerugian lebih RM20,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan berganda, menerusi media sosial.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa berusia 44 tahun itu, berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat tawaran menarik di aplikasi TikTok pada 20 Mei lepas.

    Beliau berkata wanita berkenaan ditawarkan empat pakej pelaburan dan memilih ‘pakej gold’ yang dikenakan bayaran RM250, dengan dijanjikan pulangan berjumlah RM7,800 dalam masa lapan hingga 12 jam.

    “Mangsa melakukan enam transaksi berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun yang diberikan suspek dari 29 Mei hingga Khamis lepas (2 Jun).

    “Bagaimanapun, dia berasa ditipu apabila suspek memintanya membayar RM5,620 lagi, sebagai komisen staf pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, Yap berkata jururawat tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Temerloh semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

    — BERNAMA

  • Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi di kondominium

    Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi di kondominium

    JABATAN Imigresen menahan 49 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dokumen perjalanan disyaki palsu dalam operasi di sebuah kondominium di Ampang, di sini tengah malam tadi.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, seramai 205 warga asing dari Afghanistan, Libya dan India berumur antara enam bulan dan 68 tahun telah diperiksa.

    “Operasi malam ini melibatkan seramai 31 orang pegawai Imigresen dan seramai 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak diperiksa melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

    Beliau berkata kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang berlindung di negara ini susulan konflik di negara mereka.

    Menurutnya, kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 61C Akta Imigresen 1963.

    — BERNAMA

  • Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    SEORANG pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau semalam.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian pada 9.20 malam itu, mangsa  Shazman Sabarudin, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

    Beliau berkata ibu mangsa, Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang juga mengalami kecederaan parah kini menerima rawatan di zon merah, Hospital Tampin.

    “Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut dan kereta Proton Saga dinaiki lima individu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya berdasarkan siasatan awal terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian dan keadaan jalan lurus tetapi tidak rata, tidak berturap, berbatu halus serta mempunyai satu lorong sehala.

    Hazri berkata kereta Perodua Axia yang dipandu dari arah Tampin menghala ke Rembau itu dipercayai hilang kawalan disebabkan permukaan jalan tidak berturap serta tidak rata, sebelum berpusing dan masuk ke laluan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kejadian itu juga, pemandu kereta Perodua Axia serta lima individu menaiki Proton Saga mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya.

    Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat pada pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Nenek jatuh dari bangunan 21 tingkat, tetapi selamat

    [VIDEO] Nenek jatuh dari bangunan 21 tingkat, tetapi selamat

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    SEORANG wanita berusia 55 tahun berpantang maut sebelum ajal selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri setinggi 21 tingkat, lapor media tempatan.

    Wanita itu tergelincir ketika menyidai pakaian di balkoni rumahnya di Gading Nias, Kelapa Gading, Jakarta Utara, di Jakarta pada Khamis.

    Wanita terbabit mengalami patah tangan kiri, dan bumbung parkir kereta rosak akibat insiden itu.

    Ketua Polis Daerah Kelapa Gading, Vokky Sagala berkata, wanita itu masih memberi respons ketika dalam perjalanan ke hospital.

    “Kejadian berlaku kira-kira 3 petang. Penduduk setempat segera membawanya ke Hospital Gading Nias.

    “Dia kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

    Pihak polis sedang menyiasat kejadian itu. – BERNAMA

  • Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    POLIS menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.

    “Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.

    “Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    SEORANG suri rumah mengalami kerugian RM71,100 selepas ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud “Sifuku Millennium” menerusi aplikasi laman sosial yang menawarkan pulangan lumayan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa berusia 54 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan selepas melihat iklan “Sifuku Millennium” menerusi laman Facebook.

    “Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lumayan itu kemudian membuat pindahan wang permulaan berjumlah RM8,600 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 24 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa membuat beberapa pemindahan wang dalam tempoh seminggu bermula 24 sehingga 30 Mei.

    Katanya, wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada semalam selepas suspek menyedari bahawa beliau telah diperdaya oleh suspek.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.

    Wan Aeidil berkata, mengikut statistik polis sebanyak 22 kertas berhubung kes penipuan babitkan pelaburan tidak wujud dibuka dalam tempoh Januari hingga 2 Jun melibatkan kerugian berjumlah RM211,393.16.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial dan dapat melakukan semakan terlebih dahulu menerusi perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya. – BERNAMA

  • Jemaah yang masih keliru, tak sempat kursus akan terus dibimbing

    Jemaah yang masih keliru, tak sempat kursus akan terus dibimbing

    JEMAAH yang masih keliru dengan ibadah haji dan penerima tawaran saat akhir, tanpa sempat menghadiri kursus persediaan, tidak perlu gusar kerana akan tetap dibimbing dengan baik.

    Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci  (PIHTAS) Ustaz Mohd Hishamuddin Mansor berkata pihaknya akan cuba mengajar secara persendirian serta menyediakan nota sebagai rujukan jemaah haji.

    Katanya, pembimbing haji di Madinah dan Makkah bukan sahaja dalam kalangan ustaz tetapi juga ustazah kerana pelbagai persoalan tentang wanita dan ibadah akan berbangkit serta memerlukan jawapan yang tepat.

    “Ada juga yang akan datang secara persendirian…mungkin ada juga yang belum memahami sepenuhnya  cara melaksanakan ibadah haji kerana tidak menghadiri kursus haji di tanah air, itu pun kami akan bantu dari awal sampai akhir.

    Kalau mereka perlukan nota pun kami akan sediakan…biar mereka puas hati,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, di Madinah.

    Mohd Hishamuddin berkata bagi memastikan jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur, pihaknya turut membuat post-mortem agar tidak ada perkara wajib yang tertinggal dan jemaah tidak melakukan larangan sepertimana yang telah ditetapkan dalam ibadah itu.

    “Kalau mereka hendak balik ke Malaysia nanti pun kami akan adakan post-mortem…ada sesi menyemak senarai semak ibadat haji yang disedaikan sebelum itu untuk pastikan jemaah pulang ke tanah air dalam keadaan hati lega dapat selesaikan haji dengan sempurna,” katanya.

    Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan emosi serta keraguan jemaah haji berkata pembimbing bukan sahaja perlu menjawap persoalan agama tetapi juga perlu bijak memujuk mereka yang mula berasa tidak selesa dengan keadaan semasa.

    Katanya, dalam tempoh lebih 40 hari di Madinah dan Makkah, jemaah haji bukan sahaja akan diuji dengan perasaan rindu pada kampung halaman, tetapi juga cabaran cuaca panas dan kepadatan yang mencecah sejuta orang dalam satu masa.

    Dilaporkan seramai 340 petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah.

    Sementara itu, menurut Mohd Hishamuddin, jemaah haji Malaysia yang bakal tiba esok ke Madinah akan dibawa ke Masjid Nabawi serta melawat beberapa lokasi bersejarah.

    Antaranya Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan Nabi Muhammad SAW serta Bukit Pemanah dan Bukit Uhud iaitu lokasi peperangan Uhud pada 7 Syawal Tahun 3 Hijrah yang mengorbankan 70 tentera Islam. – BERNAMA

    *Ikuti laporan Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    POLIS Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 696 kilogram (kg) bernilai RM25.35 juta dalam serbuan di Selangor dan Kedah pada Khamis serta awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama di sekitar Selangor pukul 2.30 pagi Khamis, polis merampas dadah jenis syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta.

    “Selain itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sebahagian dadah seberat 696 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25.35 juta yang berjaya dirampas selepas menahan beberapa suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri Selangor dan Kedah pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, dalam serbuan awal pagi tadi di Kedah dan Selangor, Ayob Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

    Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 248.7 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8.95 juta.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia.

    “Modus operasi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar di pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.

    “Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM360,000 iaitu kenderaan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger,” katanya.

    Ayob Khan menegaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku dalam komuniti. – BERNAMA