Author: Bernama

  • 15 warga Malaysia terbabit kemalangan bas di Arab Saudi

    15 warga Malaysia terbabit kemalangan bas di Arab Saudi

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) mengesahkan insiden kemalangan melibatkan bas pekerja dinaiki 15 warganegara Malaysia yang terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi semalam.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, mereka merupakan pekerja di syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Mekah.

    Susulan insiden itu, mereka yang terlibat dibawa ke Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Mekah bagi mendapatkan rawatan.

    “Dua daripada mangsa mengalami kecederaan serius patah tulang di bahagian bahu dan tengkuk, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

    Menurut Wisma Putra, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi berhubung kemalangan itu.

    Tambahnya, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan insiden itu dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

    “Kementerian Luar mendoakan agar kesemua mangsa kembali pulih dengan segera,” katanya.

  • Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Taburan bunga, manisan sambut ketibaan jemaah Malaysia

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    DISAMBUT dengan taburan bunga mawar, alunan doa dan dihidangkan dengan pelbagai jenis manisan serta air zam-zam.

    Ia merupakan momen yang akan menjadi kenangan manis buat kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah malam tadi dan diberikan sambutan meriah di bangunan Abraj Al Janadriyah yang merupakan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) serta hotel penginapan jemaah di Tanah Suci.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketibaan seramai 295 jemaah itu disambut meriah, bukan sahaja oleh pihak pengurusan Lembaga TH tetapi juga Syarikat Tewafah Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam pergerakan jemaah haji Malaysia.

    “Kesemua jemaah ini merupakan kumpulan pertama yang bergerak dari Madinah dan mereka yang bertolak kira-kira pukul 2 petang tadi (waktu Arab Saudi), selamat tiba pada pukul 10 malam.

    “Alhamdulillah jemaah haji disambut baik dengan aturan dan persediaan yang dibuat oleh TH dan Syarikat Tewafah Asia Tenggara. Ia menunjukkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak dalam menyantuni tetamu Allah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Makkah.

    Datuk Seri Syed Saleh berkata, setiap jemaah yang baru tiba di Makkah, sama ada pada waktu siang ataupun malam, akan diberi layanan istimewa oleh Syarikat Tewafah Asia Tenggara dengan hidangan nasi beriani bersama pelbagai minuman.

    Lebih istimewa, makanan tersebut akan dihantar terus ke bilik masing-masing bagi membolehkan jemaah berehat seketika sebelum mengerjakan umrah, kira-kira dua jam selepas ketibaan.

    Sementara itu, Pengerusi Syarikat Tewafah Asia Tenggara, Adnan Husin Abdullah Mandura berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan kedatangan jemaah haji kali ini sangat istimewa setelah tertunda hampir dua tahun akibat pandemik.

    Katanya, bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan serta mengatur persiapan dengan lebih tersusun.

    “Kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji Malaysia dan menjaga hubungan baik dengan TH…Insya-Allah kita akan sediakan perkhidmatan kepada jemaah haji ke arah untuk mendapatkan haji yang mabrur.

    “Pihak syarikat dan semua petugas akan bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik pada tahun ini setelah terhenti akibat wabak COVID-19…pihak kami mengalu-alukan kedatangan dan berdoa supaya jemaah peroleh haji yang diterima Allah,” katanya. – BERNAMA

    * Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Ahli politik India hina Nabi, umat Islam diseru bersatu

    Ahli politik India hina Nabi, umat Islam diseru bersatu

    UMAT Islam di negara ini diseru supaya bersolidariti dalam menentang penghinaan yang dilakukan oleh dua ahli politik India terhadap Nabi Muhammad SAW.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, penghinaan berkenaan dianggap sebagai perbuatan melampau dan tidak boleh diterima.

    “Malah perkara ini juga boleh dijadikan iktibar dan pengajaran bahawa orang Islam perlu bangkit dan bersatu barulah orang tidak boleh hina agama dan Nabi kita, sekali gus akan berasa gerun apabila melihat umat Islam bersatu, kalau kita berpecah orang boleh buat apa sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.

    Sebelum ini media melaporkan Malaysia bersama Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik daripada parti pemerintah India yang didakwa menghina Islam baru-baru ini.

    Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu turut menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak bertindak tegas dalam isu tersebut, malah katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terlebih dahulu telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu dan mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

    “Saya juga telah mengeluarkan dua kenyataan untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan Alhamdulillah kita tengok sensitiviti orang Islam terhadap Nabi masih tinggi yang memberi respon pada kenyataan yang dikeluarkan.

    “Selain itu, saya juga difahamkan hari ini terdapat beberapa penyertaan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sedang berarak ke kedutaan India untuk membuat bantahan, jadi kita sokong bantahan tersebut,” katanya.

    Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) mewakili 140 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di Jalan Pahang di sini, berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.

    Pengerusi MAIM, Muhammad Najhan Shahir Halim berkata, memorandum itu dihantar untuk memohon kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas melucutkan jawatan dalam parti atau kerajaan terhadap dua pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

    “Kami kesal dan dukacita terhadap kenyataan pemimpin BJP India, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan juga Naveen Jindal atas komennya di media sosial terhadap Nabi Muhammad.

    “Kerajaan India khasnya Parti BJP perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan.

    Muhammad Najhan Shahir berkata, pihaknya menyokong usaha dan tindakan tegas Kerajaan Malaysia yang memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia serta menyatakan bantahan rasmi terhadap negara itu.

    Baru-baru ini dua jurucakap BJP yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

    Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India daripada rak jualan. – BERNAMA

  • Warisan tuduh DAP tidak ikhlas kerjasama PRU-15

    Warisan tuduh DAP tidak ikhlas kerjasama PRU-15

    PELAWAAN DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah dibuat secara tidak ikhlas, kata Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

    Dalam kenyataannya hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu berkata, dalam menghadapi PRU-15, keikhlasan adalah sesuatu yang penting bagi Warisan, dalam menjalinkan sebarang kerjasama.

    Beliau berpandangan ia sesuatu yang agak melucukan, apabila Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa DAP akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang mereka menang di Sabah.

    “…bukankah itu sudah meletakkan satu syarat (untuk kerjasama itu),” katanya.

    Semalam, Loke dilaporkan sebagai berkata, kerjasama dengan Warisan untuk PRU-15 berkemungkinan tidak berlaku, kerana tidak mendapat sambuatan daripada parti itu dan menyatakan untuk bekerjasama, keikhlasan diperlukan daripada kedua-dua pihak.

    Loke juga menafikan bahawa beliau angkuh apabila menyatakan bahawa DAP mahu mempertahankan kerusi Parlimen mereka pada PRU15, iaitu Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.

    Sementara itu, Awang Ahmad turut menemplak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe kerana menuduh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai seorang yang hipokrit.

    “Ada beberapa contoh sikap hipokrit DAP yang perlu ditonjolkan. Satu yang paling ketara ialah keenganan mereka untuk melaksanakan tuntutan Sabah ke atas 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan pada ketika (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

    “Kini mereka telah memfailkan tindakan undang-undang bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa formula itu masih terpakai. Satu waktu yang amat tidak sesuai. Kenapa sekarang ini ketika mereka menjadi pembangkang dan pilihan raya semakin hampir?” katanya.

    Awang Ahmad berkata, terdapat juga contoh lain kegagalan DAP melaksanakan janji mereka kepada rakyat, bukan sahaja di Sabah tetapi kepada seluruh negara.

    Semalam Phoong yang juga Setiausaha DAP Sabah, menyelar Mohd Shafie kerana menuduh parti itu angkuh ketika berunding kemungkinan bekerjasama untuk PRU-15, dengan menuduh presiden Warisan itu sebagai hipokrit.

    Pada 3 Jun, 13 wakil rakyat Sabah dari Pakatan Harapan (PH) memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharaan mengenai 40 peratus hasil hak Sabah yang diperoleh kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun. – BERNAMA

  • [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    [VIDEO] 7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang disahkan maut manakala 46 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pejabat di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.

    Kebakaran berlaku kira-kira 10.55 pagi waktu tempatan di bangunan pejabat tujuh tingkat di Daegu.

    Tujuh orang ditemukan maut dan 46 lagi cedera akibat terhidu asap.

    Kira-kira 50 jentera bomba bersama 160 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran.

    Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat. – BERNAMA

  • Anak tendang, ugut ibu dipenjara lima bulan

    Anak tendang, ugut ibu dipenjara lima bulan

    GARA-GARA menendang ibu dan mengugut wanita itu serta adik perempuannya menggunakan gunting, bekas pemandu lori dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

    Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu ke atas Alif Najmi Abdul Halim, 22, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

    Alif Najmi dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mencederakan ibunya, Suhaila Mohd Jidin, 47, dengan menendang bahagian belakang pinggang kiri wanita itu di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul pada 8.30 pagi, semalam (8 Jun).

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

    Bagi kesalahan kedua, Alif Najmi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut ibu dan adiknya, Nur Alia Wardina, 21, menggunakan sebilah gunting sehingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan secara serentak bermula dari tarikh tangkap semalam.

    Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah mental serta menanggung keluarga selain insaf atas perbuatannya. – BERNAMA

  • Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    KEGEMBIRAAN tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat Jeli hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

    “Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

    “Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    Zuraida terus diangkat sebagai bakal Presiden PBM

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin diterima sebagai anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan terus diangkat sebagai bakal Presiden parti.

    Presiden PBM, Larry Sng berkata, Biro Politik dan Majls Tertinggi parti memutuskan untuk meluluskan permohonan kemasukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ke dalam PBM, yang diterima pada 26 Mei lepas.

    Beliau berkata, Zuraida juga dinobatkan sebagai bakal Presiden parti sebagaimana yang diinginkan oleh akar umbi, dan akan menerajui parti dalam menentukan hala tuju politiknya.

    “Semasa ketiadaan saya, beliau akan menerajui parti. Saya juga telah memberikan mandat kepadanya untuk mengetuai delegasi serta pemimpin parti, dari segi kemasukan parti untuk menyertai mana-mana pakatan politik,” katanya dalam persidangan media di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, dalam menghormati hak prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan Zuraida sebagai menteri, parti itu berharap Zuraida akan dikekalkan dengan jawatan itu, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan PBM kepada kerajaan.

    “PBM adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia dan kami menyokong perdana menteri. Soal berhubung kedudukan menteri, kita serahkan kepada prerogatifnya.. PBM harap perdana menteri akan mengekalklan kedudukan Zuraida sebagai menteri berdasarkan kepada prestasinya dan sokongan yang diberikan PBM kepada kerajan,” katanya.

    Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keputusannya menyertai PBM, dan katanya beliau akan berjumpa dengan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang mengenai kedudukannya dalam kabinet.

    Sementara itu Zuraida berkata, beliau masih belum menemui perdana menteri untuk berbincang mengenai perkara itu.

    “Saya belum dapat tarikhnya kerana Perdana Menteri sedang sibuk. Dia sekarang berada di Kedah untuk berjumpa dengan Sultan Kedah dan saya masih lagi menunggu,” katanya. – BERNAMA

  • Tiada dam untuk wanita yang pakai pelitup muka ketika ihram

    Tiada dam untuk wanita yang pakai pelitup muka ketika ihram

    WANITA yang memakai pelitup muka ketika berada dalam ihram tidak perlu membayar dam, kata Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah.

    Beliau berkata ia merupakan keputusan yang dicapai menerusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 sempena musim haji tahun ini berikutan timbul beberapa persoalan mengenai pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi ketika ini.

    Tengku Aziz berkata semasa wabak melanda, pemakaian pelitup muka yang diarahkan oleh pihak berkuasa bagi wanita adalah diharuskan dan tidak berdosa.

     “Menutup muka dalam masa ihram mengikut hukum asalnya bagi lelaki tiada masalah dan tidak dikenakan dam, bagi wanita jika dia menutup muka maka akan dikenakan dam kerana ia larangan dalam ihram.

    “Jadi timbul persoalan apabila musim wabak, sebagaimana yang kita putuskan dalam muzakarah haji iaitu sekiranya pelitup muka itu diarahkan oleh pemerintah dan terpaksa setiap orang mesti memakai pelitup muka kerana wabak maka ketika itu hukumnya akan jadi harus dan tidak dikenakan dam,” katanya.

    Tengku Aziz berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan penginapan dan pengurusan TH di Abraj Al Janadriah, Makkah susulan timbul pendapat berbeza berkaitan larangan terkini kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan tertutup.

    Dam ialah satu daripada kaedah untuk menyempurnakan ibadah haji dan umrah di atas sebab-sebab tertentu.

    Bagi memastikan semua jemaah haji memperoleh maklumat tepat berhubung perkara itu, pihaknya telah mengarahkan semua pembimbing yang bertugas di bawah TH memaklumkannya menerusi sesi kursus serta ceramah di tanah air dan Tanah Suci.

    Menurut Tengku Aziz, perkembangan itu mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, berdasarkan arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

    Dalam perkembangan lain, seramai 200 petugas mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin malam tadi, bagi mendoakan agar urusan menyambut  ketibaan 295 jemaah di Makkah, kira-kira 8 malam ini waktu Arab Saudi dipermudahkan.

    Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.

    SEMENTARA itu, seramai 287 orang jemaah haji telah bertolak dari Movenpick Hotel and Convention Centre, Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9:40 pagi dan telah berlepas ke Madinah pada jam 12:47 tengah hari, dan dijangka sampai pada jam 4:10 petang waktu Arab Saudi (pukul 10.10 malam waktu Malaysia).

    *Ikuti laporan perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Jabatan Penjara berjaya lahir ramai banduan berkemahiran

    Jabatan Penjara berjaya lahir ramai banduan berkemahiran

    PENCAPAIAN Jabatan Penjara Malaysia yang berjaya melahirkan ramai banduan berkemahiran disifatkan sebagai satu tahap membanggakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, perkara itu dapat dibuktikan dengan pengiktirafan Jabatan Penjara di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2021 kali ke-5 yang dinobatkan Lifetime Achievement for Contribution to the Sustainable Development of Craft Sector and Social Inclusion dan penyertaan di London Craft Weeks Mei lepas yang mempamerkan hasil tenunan penghuni penjara.

    Menurutnya, Jabatan Penjara kini mengalami transformasi daripada pelbagai aspek iaitu tahanan, rawatan, layanan mahupun pemulihan menerusi program yang dapat memberi manfaat kepada banduan dan juga masyarakat.

    “Kita nampak dari segi peningkatan perkara dilakukan Jabatan Penjara sudah mencapai satu tahap boleh dibanggakan kerana ramai penghuni penjara sudah mula diberikan kemahiran baharu yang boleh digunakan selepas keluar dari penjara.

    “Ini sesuatu yang baik sekali dan saya difahamkan dengan ada program seperti ini jumlah mereka yang kembali ke penjara itu juga sudah menurun,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 243 pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara di Auditorium Jabatan Penjara di Kajang, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, transformasi Jabatan Penjara melibatkan pelbagai aspek utama iaitu keselamatan, pemulihan, layanan dan rawatan, reintegrasi serta percubaan dan koreksional komuniti.

    Beliau berkata, kerjasama pengusaha dan pemilik pelbagai sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang menyediakan asrama di luar penjara yang boleh disifatkan sebagai ‘Pusat Koreksional Komuniti’ mampu menghasilkan Orang Diparol, Orang Diselia, Orang Bebas Berlesen serta bekas banduan yang menyertai Program Penempatan Semula.

    “Penjara termasuklah bagi zon tengah iaitu Selangor dan Negeri Sembilan mempunyai jumlah penghuni paling ramai berbanding zon lain iaitu melebihi 16,000 orang atau 26.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni (61,435 orang).

    “Walau bagaimanapun melalui usaha dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berasaskan latihan pekerjaan serta jaminan pendapatan untuk banduan dan bekas banduan memulakan kehidupan sebenar membolehkan kadar residivis (jenayah berulang) bagi keseluruhan banduan yang menyertai program pemulihan di luar penjara hanyalah 0.39 peratus,” katanya. – BERNAMA