KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Justeru, beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.
“Soal pembubaran ini kalau kita tengok pilihan raya umum sebelum ini pun bukan berdasarkan desakan. Kabinet kena buat keputusan kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, Kabinet serta perdana menteri cuma boleh menasihatkan, namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.
“Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah Yang di-Pertuan Agong sebut kurangkan ‘politiking.’ Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan pimpinan perdana menteri ketika ini mahu terus memberi tumpuan melaksanakan banyak agenda kepada rakyat.
“Tetapi cuba digambarkan kerajaan ini tidak stabil, kerajaan ini perlu dibubarkan, adakan pilihan raya umum dan sebagainya sedangkan ini dua dunia berbeza, ini adalah sebuah kerajaan yang cukup stabil.
“Jangan lupa kerajaan ini turut ditadbir berasaskan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang, MoU tentang kestabilan dan transformasi,” katanya.
KENAIKAN kos mengerjakan haji tahun ini diharap seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kebajikan yang bakal dinikmati jemaah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata keadaan kenaikan kos bukan sahaja menjadi topik utama di tanah air tetapi juga negara lain, malah TH meletakkan harapan tinggi agar perjalanan haji tahun ini lebih baik dari sebelumnya.
“Perkara ini ada dibincangkan dengan negara-negara serantau bahawa kos haji yang meningkat begitu ketara berbanding tahun sebelum ini… ia disebabkan beberapa faktor luar kawalan seperti inflasi, percukaian dan sebagainya.
“Ada juga penambahbaikan perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi serta Muassasah Asia Tenggara. Ini adalah selaras dengan visi dan misi 2030 kerajaan Arab Saudi. Kita berharap kenaikan kos turut meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya semasa Masyair,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di Mekah, iaitu hotel kedua yang dibuka untuk jemaah Malaysia.
Menurut Syed Saleh perkhidmatan Makkah Route atau pra pelepasan untuk jemaah haji Malaysia juga adalah salah satu perkhidmatan terbaik, apatah lagi Malaysia terpilih di antara lima negara lain yang dipilih Arab Saudi.
Selain itu, kemudahan lain yang diharapkan ditambah baik termasuklah keselesaan di khemah sama ada di Arafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian serta kelancaran pergerakan bas.
“Makkah Route mampu memberi kemudahaan dan keselesaan yang sangat baik kepada jemaah haji kita kerana apabila mereka sampai sahaja di lapangan terbang sama ada di Terminal Madinah atau Jeddah, mereka terus menaiki bas tanpa melalui imigresen, kastam dan tanpa perlu menunggu beg.
“Mereka juga akan terus menaiki bas ke hotel dan barangan mereka akan dihantar ke hotel masing-masing. Perkhidmatan tambah baik juga akan dirasai oleh jemaah ketika di Arafah dan Mina. Khemah adalah yang baharu serta mempunyai pendingin hawa,” katanya.
Tegas beliau, walaupun kos meningkat, hanya sebahagian sahaja ditanggung oleh jemaah haji manakala selebihnya diuruskan oleh TH melalui pelbagai pendapatan, pelaburan dan perniagaan, malah ia melibatkan perbelanjaan tambahan yang besar.
Jemaah yang telah berada di Madinah dan Makkah juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga makanan di restoran serta barangan lain.
“Sebenarnya kenaikan kos yang ketara ini turut melibatkan semua barangan dan perkhidmatan di Arab Saudi…bukan sahaja mengerjakan haji tetapi juga kehidupan harian. Jemaah akan rasai kenaikan harga barangan untuk mereka beli sebagai cenderahati apabila mereka balik ke tanah air nanti,” katanya.
Sementara itu 3,882 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Madinah menerusi 15 penerbangan.
Seterusnya mereka akan tiba di Makkah secara berperingkat untuk mengerjakan umrah pertama serta mengikuti pelbagai program menarik yang dianjurkan pihak TH.
Sepertimana jemaah dari penerbangan lain, malam tadi kesemua mereka yang melalui penerbangan KT04 disambut meriah dengan menerima jambangan bunga, manisan serta dihidangkan dengan air zam-zam oleh pihak pengurusan.
Salah seorang jemaah, Isnaini Raman, 48, berkata beliau sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih ke Tanah Suci, meskipun adakala rindu dengan keluarga apatah lagi suami tidak dapat menemaninya.
“Saya menerima tawaran haji pada 2020 tetapi tertangguh kerana COVID-19, alhamdullillah kali ini dapat dilaksanakan. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Layanan dari pengurusan TH juga buat ramai jemaah terharu,” katanya.
Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.
PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor juga berkuat kuasa serta-merta.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.
Mereka termasuk Lau, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya. – BERNAMA
SEORANG wanita mengalami kecederaan dipercayai diserang seekor anjing milik jirannya ketika cuba menghalang haiwan itu daripada menyerang anak-anaknya di parkir sebuah kondominium di Batu 9, Cheras, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 5.43 petang itu, wanita berusia 35 tahun itu diserang anjing jenis Labrador dan menerima rawatan di Hospital Kajang, selain menjalani rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang, memandangkan beliau sedang hamil.
“Siasatan mendapati anjing peliharaan itu adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang merupakan jiran di kawasan yang sama dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing itu.
“Kejadian berkenaan berpunca daripada pemilik anjing yang telah cuai dan terlepas tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya.
Mohd Zaid menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian, supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal rapi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sjn Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134. – BERNAMA
PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) tidak mengeluarkan arahan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata, tindakan mengeluarkan air secara manual itu tidak sepatutnya dilakukan kerana venue tesebut mempunyai sistem perparitan yang berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air yang bertakung di padang.
“PSM memang tidak mencadangkan mengeluarkan air secara manual seperti itu terutama sekali menggunakan penyodok dan kadbod seperti membersihkan lantai…sepatutnya tidak begitu.
“Padang ini ada sistem perparitan dan kalau tengok bila perlawanan bermula tiada lagi kelihatan air bertakung kerana ia memerlukan masa untuk air surut keluar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Semalam, tular beberapa petugas dilihat menggunakan penyodok dan kadbod dalam usaha mengatasi masalah air bertakung di Stadium Nasional selepas hujan lebat yang mengakibatkan hampir sepenuhnya permukaan padang digenangi air.
Mengulas lanjut, Mohd Faidz berkata, sistem perparitan di Stadium Nasional membolehkan permukaan padang yang bertakung kembali normal dalam tempoh 15 minit selepas hujan berhenti sementara sekiranya hujan lebat disusuli hujan renyai ia mengambil masa antara 20 hingga 25 minit untuk air surut.
Beliau berkata, permukaan padang menjadi lebih teruk akibat penggunaan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air kerana ia merosakkan rumput.
“Ini seperti hendak mengeringkan rambut menggunakan sikat… anda menggunakan peralatan yang tidak sepatutnya, tak perlu gunakan alatan kerana ada parit di bawah itu yang akan mengalirkan air keluar,” katanya.
Sementara itu, PSM dalam kenyataan menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.
PSM menjelaskan, pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran permukaan padang Stadium Nasional yang dijadual bermula suku pertama tahun depan selain kerja-kerja penambahbaikan lain sejurus tamat komitmen acara-acara lain tahun ini. – BERNAMA
SEBUAH helikopter yang hilang daripada radar trafik udara pada Khamis telah ditemukan dan kesemua tujuh penumpang disahkan terkorban, menurut pihak berkuasa Itali pada Sabtu.
Seorang pengembara yang melalui kawasan berhampiran Monte Cusna — sebuah gunung di wilayah tengah Itali Emilia Romagna berhampiran sempadan dengan Tuscany — menghubungi pihak berkuasa selepas menemui serpihan bangkai pesawat itu, lapor Xinhua.
Menurut laporan, seorang juruterbang, seorang warga Itali, termasuk empat warga Turki dan dua rakyat Lubnan terkorban dalam nahas itu.
Pihak berkuasa Itali telah menjalankan operasi mencari bagi mengesan helikopter dan penumpangnya sejak Khamis.
Helikopter itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari bandar Tuscan Lucca ke Treviso, sebuah bandar yang terletak di utara Venice.
Pegawai Itali masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca nahas.
BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Januari lepas.
Tertuduh, Rasman Ithnain, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire, di Muar kira-kira 5 petang, 13 Jan lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail yang mewakili Rasman merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan polis.
Amalina Basirah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan. – BERNAMA
KERAJAAN Negeri Sembilan membenarkan jemaah untuk merapatkan saf ketika solat di semua masjid dan surau di negeri ini berkuat kuasa esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah tidak lagi diwajibkan membawa sejadah bersaiz standard selain aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliah, tazkirah dan ceramah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.
“Bagaimanapun, jemaah masih wajib memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada dalam ruang masjid dan surau yang tertutup,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini juga dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negeri.
Aminuddin berkata, pemohon atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di http://equrbans.jheains.my bermula 2 petang esok hingga 4 petang, 3 Julai depan.
Menurutnya, jemaah juga dibenarkan merapatkan saf ketika solat sunat Aidiladha namun pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan. – BERNAMA
BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di Kuching, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi Allahyarham ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Tan Sri (Abang Ahmad Urai) telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Normah selepas rebah ketika menghadiri satu acara di sebuah hotel (di Kuching). Beliau meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi.
“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di Kuching, selepas Zohor.
Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.
Sementara itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Abang Ahmad Urai sebagai seorang yang banyak berjasa dalam arena politik Sarawak.
Beliau berkata allahyarham telah terlibat dalam politik sebelum kemerdekaan dan turut menyumbang jasanya dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman, dan secara peribadi saya kehilangan seorang ayah saudara (Allahyarham Tan Sri). Beliau di antara generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana hendak berkhidmat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PBB berkata demikian semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini. – BERNAMA
DUA wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di Tawau awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mayat Kamisah Mapiasah, 40, dan Sadiah Jabar, 70, ditemukan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.
“Sepasukan 19 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.53 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 3 pagi turut dibantu anggota Bomba Komuniti Sri Titingan.