Author: Bernama

  • Jana Wibawa:Kes rasuah Adam Radlan dipindah ke dua Mahkamah Sesyen

    Jana Wibawa:Kes rasuah Adam Radlan dipindah ke dua Mahkamah Sesyen

    DUA kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali supaya pertuduhan menerima rasuah RM2 juta yang dihadapi tertuduh dipindahkan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan satu lagi pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

    Terdahulu, Siti Amirah berkata Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan hakim membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    “Tertuduh juga telah didakwa meminta rasuah RM2 juta di mahkamah ini. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. 

    Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad (kiri) bersama peguamnya ketika hadir bagi pertuduhan berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kami telah menyerahkan sebahagian dokumen kes itu kepada pihak pembelaan. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan baki dokumen,” katanya.

    Azura menetapkan 14 Julai untuk sebutan kes bagi serahan baki dokumen itu.

    Sementara itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memaklumkan bahawa kes menerima rasuah RM2.1 juta yang dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Natrah Fareha kemudian memohon supaya pertuduhan itu dibacakan kepada Adam Radlan dan ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

    “Kami mohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dan mohon sebutan kes pada 14 Julai,” kata Natrah Fareha.

    Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan tidak membantah tarikh sebutan kes itu.

    Siti Aminah membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengguna pakai jaminan itu dan menetapkan sebutan kes pada 14 Julai.

  • Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula September

    Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula September

    PERBICARAAN kes Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan akan bermula September ini, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan tarikh 5, 6, 7, 11 dan 18 Sept serta 9,10,11, 23 dan 24 Okt sebagai  tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan daripada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh pada sebutan kes tersebut hari ini.

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan pihak kami dimaklumkan representasi difailkan pihak pembelaan Lokman masih di Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Pada tarikh sebutan seterusnya, pihak kami akan menyerahkan sekali penyataan saksi,” katanya dengan turut memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 saksi pendakwaan untuk perbicaraan tersebut.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman tidak membantah tarikh perbicaraan tersebut.

    Priscilla kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi mengetahui perkembangan status representasi yang difailkan pembelaan. 

    Pada 1 Sept tahun lalu, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, Lokman didakwa melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022 yang kemudiannya hantaran itu dibaca pada 8.15 pagi,  24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

  • Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan memiliki 128 gambar lucah dalam telefon bimbit. 

    Mengikut pertuduhan, Saiful Anuar Ab Rani, 27, didakwa memiliki gambar lucah berkenaan dalam telefon bimbit jenama Samsung model Galaxy A20, di alamat No.1949, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang pada 1 April 2021.

    Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan serta lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri.

  • Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    SEORANG warga emas maut selepas dilanggar sebuah lori ketika sedang menunggang motosikal di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam. 

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata akibat perlanggaran tersebut mangsa Ishak Musa, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas tercampak di atas bahu jalan raya. 

    “Kejadian berlaku kira-kira 4.20 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum dipercayai sedang bergerak masuk perlahan-lahan ke laluan utama selepas berhenti di tepi jalan sebelah kiri. 

    “Dua kenderaan yang berada di hadapan lori jenis Isuzu sempat mengelak ketika mangsa sedang masuk ke laluan tersebut, namun pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa dari arah belakang di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Sik berkata pemandu lori yang berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa yang maut dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori yang melanggar bahagian belakang motosikal warga emas berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

  • Ringgit dibuka lemah, RM4.61 berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka lemah, RM4.61 berbanding dolar AS

    RINGGIT dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan Isnin di tengah-tengah kebuntuan mengenai siling hutang AS baru-baru ini

    Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6160/6205 berbanding dolar AS berbanding penutupan Jumaat pada paras 4.5970/6035.

    Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata petunjuk daripada Presiden AS, Joe Biden dan speaker lain mencadangkan ahli-ahli kongres akan bersetuju dengan terma pada hari Rabu.

    Pada Jumaat, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen menunjukkan tarikh akhir untuk tarikh tamat had hutang telah dilanjutkan kepada 5 Jun.

    Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun ia meningkat kepada 3.2791/2825 daripada 3.2918/2967 pada penutupan Jumaat.

    Ringgit akan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.9474/9523 daripada 4.9340/9409 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6975/7031 daripada 5.6819/6899 sebelum ini.

    Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

    Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thailand pada 13.2510/2697 dari 13.2539/2784 tetapi merosot berbanding dolar Singapura pada 3.414/4150 daripada 3.4012/4062 hari Jumaat.

    Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 308.6/309.1 daripada 307.3/307.9 dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.28 daripada 8.24/8.25

  • Akidah bersih mampu selamatkan diri dari syirik – Pemangku Raja Perlis

    Akidah bersih mampu selamatkan diri dari syirik – Pemangku Raja Perlis

    AKIDAH yang bersih mampu menyelamatkan seseorang itu daripada syirik dan membawa kepada jalan hidup yang benar, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Baginda bertitah syirik adalah ‘ibu kesalahan fikir’ yang membawa seseorang ke arah cara berfikir yang salah dalam pelbagai perkara.

    “Sementara khurafat atau kepercayaan yang tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia,” titah baginda pada Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi di Kangar malam tadi.

    Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

    Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, barisan exco kerajaan negeri dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

    Tuanku Syed Faizuddin bertitah jika dibiarkan manusia akan mengharap kepada sesuatu yang tidak wujud ataupun tidak benar.

    “Dalam membetulkan cara fikir seseorang insan, syirik dan khurafat hendaklah dibersihkan dari merosakkan akal fikirannya.

    Maka tema Perkampungan Sunnah yang dipilih kali ini iaitu ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ mengangkat ketinggian intelektualisme atau keupayaan fikir dan kekuatan akidah umat Islam,” titah baginda.

    Baginda bertitah Islam adalah suatu agama yang meletakkan tauhid kepada Allah Aza Wajalla sebagai teras dalam penerimaan segala amal ibadah.

    “Apa yang menggusarkan apabila sebahagian daripada umat ini melakukan perkara yang boleh menjerumuskan diri mereka kepada dosa syirik,” titah baginda.

    Baginda bertitah dalam berakidah, seseorang Muslim wajib menjadikan al-Quran dan al- Sunnah sebagai panduan dalam kehidupannya.

  • Pendakwah perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran – Pemangku Raja Perlis

    Pendakwah perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran – Pemangku Raja Perlis

    PENDAKWAH Islam perlu sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu supaya dihormati dan menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    “Sebagai umat Islam kita semua mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi keindahan Islam sesama umat manusia,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

    Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau kali ke-9 yang diadakan di Kangar malam tadi.

    Titah baginda usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat selain umat Islam juga perlu menjaga akidah dan melindunginya daripada sebarang anasir tidak baik.

    Menurut kenyataan itu, persidangan yang dihadiri 200 peserta dari 40 negara itu dianjurkan dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation, MyGuide Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia dan MAIPs.

  • Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu 10 tan

    Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu 10 tan

    SEORANG pemandu jengkaut ditemui maut selepas dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai semalam.

    Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja pembersihan batu di kawasan kuari.

    Ketika sedang bekerja, katanya, sebuah bongkah seberat 10 tan jatuh dari ketinggian 25m dan menghempap kokpit menyebabkan mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat itu.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan, selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 6.45 petang,” katanya dalam kenyataan.

    Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memperagakan kayuhan cemerlang untuk meraih emas dalam acara pecut lelaki pada Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong, hari ini.

    Pada perlumbaan berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, penguasaan The Pocket Rocketman ternyata sukar digugat selepas dengan mudah menewaskan pelumba China Kang Shing Feng, yang terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kedua.

    Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam pada itu berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pelumba Korea Selatan Kang Seojun, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

    Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengiringi kejayaan kedua-dua pelumba negara tersebut, dengan turut mengungguli emas bagi acara pecut bagi kategori wanita.

    Pelumba berusia 20 tahun itu, lebih mendominasi saingan dan berjaya menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Jihae.

  • Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    DIREKTORAT Pertahanan Awam Arab Saudi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai hari ini, hingga Selasa depan.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

    Menurut SPA, angin kencang berdebu turut diramal berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan Masyair di Makkah dan Madinah selain Taif, Maysan, Adham, Al-Khurma, Al-Ardiyat dan beberapa kawasan berhampiran di wilayah sempadan utara.

    Direktorat itu menjelaskan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dan angin kencang berdebu akan melanda wilayah Riyadh, Afif, Dawadmi, Al-Quwaiyah, Al-Majma’a, Al-Zulfi, Al-Ghat dan Ramah.

    “Kami menasihatkan orang ramai, termasuk jemaah haji dan umrah supaya berhati-hati semasa fenomena hujan lebat dan menjauhi lokasi air hujan terkumpul bagi mengelakkan insiden luar jangka”, menurut direktorat itu.