Author: Bernama

  • Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    JABATAN Imigresen akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan terhadap tujuh pegawai jabatan itu yang ditahan suruhanjaya tersebut, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Beliau berkata penahanan tujuh pegawai disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta didakwa melindungi warga asing itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.

    “Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada Isnin lepas, SPRM dilaporkan menahan tujuh pegawai penguat kuasa dan dua individu termasuk warga asing bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.

    Enam pegawai penguat kuasa termasuk pegawai kanan itu ditahan di Sarawak manakala seorang lagi di Selangor.

    Khairul Dzaimee menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.

    “Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Suhu panas di Makkah mencecah 48 darjah celsius, elak strok haba

    Haji: Suhu panas di Makkah mencecah 48 darjah celsius, elak strok haba

    haramain

    JEMAAH haji bakal berdepan suhu panas mencecah 48 darjah Celsius, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman.

    Beliau berkata musim panas di Arab Saudi ketika ini, boleh menyebabkan berlaku strok haba sekiranya jemaah haji terlalu terdedah dan kurang minum air.

    “Sekarang ini musim haji dalam musim panas yang suhunya agak tinggi antara 38 hingga 48 darjah Celsius dan boleh lagi meningkat.

    “Dalam keghairahan jemaah melaksanakan ibadah dan membuat lawatan bersejarah dan sebagainya, mereka harus memberi perhatian supaya tidaklah terdedah kepada cuaca panas yang agak lama dan sentiasa minum air secukupnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriyah, di Mekah.

    Sementara itu, seorang jemaah Zaharri Hassan, 61, yang ditemui berkata beliau biasanya memilih waktu subuh, maghrib dan isyak untuk ke masjid.

    “Sebenarnya dalam banyak keadaan saya tetap akan cuba ke masjid kerana ini adalah peluang untuk beribadah yang tak tahu bila lagi akan dapat. Tetapi sekiranya cuaca terlalu panas saya akan cuba kuatkan diri dan memastikan minum air secukupnya,” katanya yang hadir ke Tanah Suci bersama isteri, Jamilah Othman, 54.

    Mohamad Bakri Hishamudin, 54 pula berkata beliau akan ke masjid dengan menaiki teksi sekiranya cuaca terlalu panas.

    “Memang cuaca panas kita kena reda dan TH pun dah nasihatkan supaya berhati-hati. Saya memang pilih buat umrah pun pada waktu pagi dan membeli barangan keperluan pun di kedai yang terdekat sahaja, katanya.

    Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata dalam keadaan jemaah yang masih belum ramai di Makkah, mereka yang berhasrat ke Masjidil Haram dan membeli barangan perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kemungkinan.

    “Keselamatan diri perlu dijaga dan jika jemaah perlu berjalan dari satu tempat ke satu tempat, bergerak secara kumpulan dan bukannya bersendirian yang boleh sebabkan risiko,” katanya yang turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa memakai pengenalan diri dan gelang yang dikhaskan.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    BERNAMA

  • Tiga termasuk penjawat awam direman kes tuntutan palsu

    Tiga termasuk penjawat awam direman kes tuntutan palsu

    TIGA lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan reman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan ketiga-tiga lelaki itu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Sumber memaklumkan kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor petang semalam.

    Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta atas seorang penama sedangkan tiada tuntutan insurans dibuat oleh penama berkenaan. – Bernama

  • Waspada pakej ibadah korban palsu

    Waspada pakej ibadah korban palsu

    ORANG ramai disaran berwaspada dengan pakej ibadah korban palsu yang diiklankan dengan harga terlalu murah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka pada 10 Julai ini. 

    Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain menyemak maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej di laman web semakmule.rmp.gov.my untuk transaksi secara dalam talian. 

    “Jika keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak tersebut dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata pihak yang mengeluarkan pakej ibadah korban palsu tidak patut mengambil kesempatan atas niat rakyat untuk beribadah, kerana mereka sudah cukup terbeban dengan masalah harga barang keperluan yang kian meruncing. 

    Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata orang ramai perlu mengesahkan kewujudan institusi yang menganjurkan program korban itu serta memastikan ia bersih daripada unsur penipuan dan penyalahgunaan wang.

    “Pakej korban palsu ini sangat memalukan agama kita kerana menipu orang ramai atas urusan agama yang penting ini demi keuntungan diri sendiri. Saya sarankan berhenti dan bertaubat serta jauhilah daripada urusan seperti ini,” katanya.

    Sementara itu Duta Yayasan Maghfirah dan penyanyi Mohammad Hafiz Hamidun berkata sudah tiba masanya pihak Jabatan Agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak terlibat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang menawarkan pakej korban palsu.

    “Antara tindakan (yang boleh diambil) ialah mewajibkan pihak yang ingin menganjurkan pakej korban untuk mendaftar di bawah jabatan agama negeri masing-masing supaya tidak wujud isu-isu yang tidak diingini.

    “Sebaiknya jika kita nak elakkan tertipu, pilihlah pakej korban dari pihak NGO yang berwibawa serta mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun (bank) yang tepat dan lebih baik jika ada nombor telefon untuk dihubungi,” katanya.

    Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata pengguna perlu melihat sama ada harga yang ditawarkan untuk pakej korban itu relevan dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.

    “Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, orang pergi haji pun ada penipuan, umrah pun ada penipuan, jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kebodohan dan kejahilan kita sendiri,” katanya. – Bernama

  • Lelaki mengamuk di lebuh raya ditahan

    Lelaki mengamuk di lebuh raya ditahan

    POLIS  telah menahan lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kereta di lorong kanan KM 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar pada Ahad lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.

    “Suspek dipercayai mengamuk kerana hilang kawalan emosi di bawah pengaruh dadah.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada hari ini untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata suspek telah direman pagi semalam dan difahamkan akan dituduh di mahkamah esok.

    Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan melakukan galangan di jalan awam serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

    Turut tular gambar lelaki itu berdiri di lorong kanan lebuh raya yang dimuat naik pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum turun dari kenderaan lalu mengamuk sambil memegang rantai emas dan memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya itu.

    — BERNAMA

  • Tokoh korporat Rozali Ismail mahu ceburi dunia politik wakili suara peneroka Felda

    Tokoh korporat Rozali Ismail mahu ceburi dunia politik wakili suara peneroka Felda

    TOKOH korporat Tan Sri Rozali Ismail menyuarakan hasrat untuk menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

    Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam, yang mengusulkan untuk persatuan itu mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

    “Usul ini akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia,” katanya kepada media.

    Beliau berkata parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

    “Saya rasa masalah yang dihadapi generasi Felda hari ini adalah disebabkan banyak program-program yang dilaksanakan untuk masyarakat Felda tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal,” katanya.

    Selain itu katanya terma dan syarat-syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka.

    “Sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan-kawasan yang majoriti pengundi-pengundi adalah masyarakat Felda sendiri.

     “…dan saya sebagai Presiden GWGF telah diminta untuk bertanding terutamanya di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam,” kata Rozali yang dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

    — BERNAMA

  • Saya tidak salah..parti belum putus lagi bila PRU’ – Annuar

    Saya tidak salah..parti belum putus lagi bila PRU’ – Annuar

    UMNO masih belum membuat ketetapan berhubung tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gesaan supaya PRU15 diadakan segera hanyalah pandangan individu, kata Ketua UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

    Ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya  hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) dan Ahli Parlimen Ketereh itu berkata hanya kepimpinan tertinggi parti yang layak dan mempunyai autoriti untuk bercakap soal PRU.

    “Biarlah presiden, timbalan presiden atau T5 (lima pemimpin tertinggi UMNO), itulah orang-orang yang berautoriti untuk bercakap soal bila (PRU).

    “Setakat yang saya tahu dan saya rasa saya tidak salah, parti belum lagi memutuskan apa-apa,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyelarnya kerana menolak gesaan supaya PRU15 diadakan segera.

    Annuar berkata kerajaan hari ini dibentuk daripada gabungan pelbagai parti dan setiap parti berhak menyatakan pandangan mereka bilakah masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.

    “Bila nak bubar kerajaan, selain UMNO, parti-parti lain juga berhak untuk nyata pandangan sebab kalau setakat UMNO saja bubar atau Barisan Nasional (BN) saja (bubar) atau kita tak teruskan (dan) kita keluar dengan 42 (Ahli Parlimen), kalau 80 (Ahli Parlimen) yang lain masuk, kerajaan tetap ada.

    “Parti kata T5 akan bermesyuarat dengan perdana menteri, itupun belum buat apa-apa keputusan. Soal tajuk pilihan raya tidak berbangkit, lebih baik tumpu kerja masing-masing,” katanya.

    Mengenai desakan sesetengah pihak agar PRU segera diadakan kerana terdapat usaha mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Annuar menafikan perkara itu.

    “Ini adalah penggal kelima Parlimen ke-14. Penggal kelima memang penggal pilihan raya. Jadi kalau orang bercakap tentang pilihan raya, memang inilah masanya.

    “Pada saya tak kisah siapa-siapa boleh beri pendapat, tak ada betul atau salah. Saya sudah beri pendapat saya. Kalau BN, parti saya sudah sedia, segerakanlah pilihan raya,” katanya.

    Annuar berkata kerajaan pimpinan Ismail Sabri adalah stabil dan komited untuk meneruskan segala kerja yang telah diputuskan dan diasaskan dalam pentadbirannya.

    “Ada orang kata kerajaan ini lemah, saya kata kerajaan ini kuat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, satu kerajaan yang didukung bersama anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang.

    “Saya dah jadi menteri banyak penggal, belum ada satu kerajaan yang tertulis hitam putih, pembangkang dan kerajaan sanggup menyokong perdana menteri sehingga perdana menteri mempunyai sokongan lebih dua pertiga,” katanya.

    Annuar dalam pada itu berkata Parlimen Ketereh telah membuat persiapan kerana PRU15 akan berlaku dalam tempoh 10 bulan.

    “Daripada bercakap bila (PRU), lebih baik kita buat persediaan, itu lebih penting,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tiga lelaki termasuk penjawat awam buat tuntutan palsu

    Tiga lelaki termasuk penjawat awam buat tuntutan palsu

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu yang dilakukan sekitar tahun lepas.

    Kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor petang tadi.

    Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta atas seorang penama sedangkan tiada tuntutan insurans dibuat oleh penama tersebut.

    Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • Suami isteri ditahan ceroboh e-mel perniagaan libat kerugian RM3.9 juta

    Suami isteri ditahan ceroboh e-mel perniagaan libat kerugian RM3.9 juta

    SEPASANG  suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat pencerobohan e-mel perniagaan atau ‘business email compromise’ (BEC) berjumlah RM3.9 juta melibatkan mangsa di sebuah syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata suspek wanita warga tempatan berusia 41 dan pasangannya warga Nigeria, 43 tahun, ditahan di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih, , semalam.

    “Suspek telah melakukan penipuan terhadap seorang lelaki warga UAE di Dubai melibatkan kerugian berjumlah RM3,907,308.86, yang sebelum itu mangsa telah berurusan dengan  syarikat Oyak Cimento Fabrikalari di Amerika Syarikat melalui e-mel, untuk pembelian simen.

    “Bagaimanapun, polis percaya suspek telah menggodam e-mel syarikat mangsa untuk melihat urusan perniagaan yang dibuat, terutamanya yang membabitkan transaksi,” katanya dalam sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata mangsa kemudian menerima e-mel daripada [email protected] oleh suspek yang mempunyai sedikit perbezaan daripada alamat e-mel syarikat di AS, sewaktu perbincangan bersama mangsa.

    “Suspek menghantar e-mel kepada mangsa mengarahkan transaksi dibuat ke akaun milik syarikat Oyak Cement Fabrikalari Trading di Malaysia. Bagaimanapun, pengadu tidak menerima sebarang barangan selepas transaksi dibuat,” katanya.

    Mohd Kamarudin berkata pengadu melalui wakil di Malaysia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, pada 8 Jun lepas.

    Menurutnya, polis merampas sebuah kereta jenis Mercedes Benz S300L, Proton Exora, enam buah telefon bimbit, dua utas jam tangan, dua buah komputer riba, 10 unit cop, sejumlah barang kemas, dokumen dan pelbagai barangan lain dipercayai berkait dengan penipuan yang dijalankan.

    Beliau berkata hasil tangkapan, polis telah membeku RM1.8 juta dari akaun suspek dipercayai hasil penipuan ke atas mangsa di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan baki wang yang dilesapkan suspek.

    Mohd Kamarudin mengingatkan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel daripada mana-mana pihak, yang mendakwa pernah berurus niaga dengan mereka.

    “Jika ada e-mel yang meminta untuk membuat transaksi ke akaun lain daripada yang lazim diguna pakai, sila buat pengesahan melalui medium lain seperti panggilan telefon dan lain-lain,” katanya.

    Mohd Kamarudin berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sehingga 17 Jun, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sementara itu, beliau berkata 57 kes penipuan BEC telah dicatatkan melibatkan jumlah kerugian RM49 juta pada tahun 2021 dan bagi tempoh Januari hingga 13 Jun, 23 kes telah dicatatkan dengan jumlah kerugian RM15.1 juta.

    — BERNAMA

  • Saksi hanya tahu akaun milik Najib selepas siasatan 1MDB bermula

    Saksi hanya tahu akaun milik Najib selepas siasatan 1MDB bermula

    SEORANG pengurus kanan jabatan sebuah bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau hanya mengetahui akaun persendirian dengan kod nama AmPrivate Banking-MR adalah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula.

    Bekas Pengurus Kanan di Jabatan Jualan Pertukaran Mata Wang Asing Ambank Rosliza Ishak, 48, berkata sewaktu beliau mengambil alih portfolio pelanggan ‘AM Private Banking Division’ daripada pegawai atasannya, beliau tidak diberitahu mengenai butiran pemilik akaun.

    “Saya tahu ada pelanggan daripada ‘AM Private Banking Division’ yang lebih suka sekiranya identiti mereka tidak didedahkan, walaupun kepada pegawai bank itu sendiri.

    “Mereka (pegawai atasannya) juga tidak menyebut akaun tersebut adalah milik Datuk Seri Najib. Saya hanya diberitahu kod nama dan tiada maklumat lain didedahkan,” katanya ketika disoal balas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

    Terdahulu, Rosliza ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau telah menukar mata wang pound sterling GBP8.7 juta (RM45,837,485.70) dalam enam transaksi, antara 23 Jun dan 19 Dis 2014 selepas menerima arahan daripada bekas Pengurus Perhubungan Pelanggan Ambank Joanna Yu.

    “Yu akan memberikan arahan kepada jabatan saya selepas pelanggan bersetuju dengan kadar tukaran wang asing yang diberikan. Jabatan saya kemudiannya akan membuat pertukaran (wang asing) mengikut arahan yang diberikan oleh Yu, selepas pelanggan mengesahkan pertukaran tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-25 itu.

    Bagaimanapun, Rosliza berkata Yu tidak menyebut secara spesifik identiti pelanggan bagi akaun yang dikendalikannya, kerana kesemua transaksi hanya menggunakan kod nama.

    Yu merupakan saksi penting dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA