Author: Bernama

  • Beberapa lokasi di Ipoh dilanda banjir kilat

    Beberapa lokasi di Ipoh dilanda banjir kilat

    HUJAN lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Ipoh dilanda banjir kilat petang ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir melanda di pusat beli-belah Aeon Kinta City, Canning Garden dan Taman Cempaka bermula pukul 4.08 petang tadi.

    “Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta Simpang Pulai segera dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat dan memantau keselamatan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

    banjir Ipoh
    Gambar: Bomba Perak

    Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati terdapat kereta yang terperangkap di dalam kawasan banjir dan beberapa rumah dinaiki air namun paras air mulai surut pada kira-kira pukul 5 petang.

    “Semua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan setakat ini,” katanya. – BERNAMA

  • Jemaah haji sembunyikan pangkat demi pupuk keakraban

    Jemaah haji sembunyikan pangkat demi pupuk keakraban

    haramain

    MENYEMBUNYIKAN pangkat, jawatan dan taraf pendidikan menjadi satu daripada cara terbaik bagi memupuk keakraban dan hubungan harmoni dalam kalangan jemaah haji.

    Perkara itu dikongsikan dua jemaah wanita yang merupakan doktor pakar dan pensyarah kanan apabila mereka perlu tinggal sebilik dengan empat wanita lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

    Siti Norhafiza Mohamad Azmi, 35, pakar patologi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang berkata rahsia pekerjaannya hanya terbongkar beberapa minggu selepas tinggal sebilik dan ketika itu kesemua mereka telah akrab bagaikan adik-beradik.

    “Saya tidak ‘membawa’ jawatan ke Tanah Suci. Di sini, kita sama sahaja dan itu tujuan kita menunaikan haji. Dalam bilik ini ada profesor, guru tadika, kerani dan ada juga tukang jahit… tetapi kita semua sama, dari segi ilmu atau apapun.

    “Kesemua rakan sebilik juga akan saling membantu kalau ada perkara yang kita tak tahu. Pada saya, bersikap rendah diri akan membolehkan kita lebih akrab… apa yang berlaku sekarang adalah satu pengalaman yang menginsafkan,” katanya kepada pemberita di bilik penginapan jemaah haji di bangunan Abraj Al Janadriyah, Mekah.

    Sebahagian jemaah haji Malaysia yang kini berada di Mekah.

    Menurut Siti Norhafiza, kesemua rakan sebiliknya bukan sahaja saling menjaga ketika sakit malah akan menunaikan solat berjemaah di bilik jika tidak berpeluang ke masjid selain sentiasa sepakat menyertai pelbagai program yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Ditanya adakah beliau bersedia untuk bertugas sekiranya diperlukan TH, Siti Norhafiza yang disifatkan seorang yang pemurah oleh rakan sebilik berkata: “Saya telah maklumkan kepada pegawai TH dan sedia berkhidmat terutama dalam urusan membabitkan COVID-19.”

    Sementara itu, Prof Madya Noriah Ismail, 50, pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat, Johor berkata apabila rahsia kerjaya mereka terbongkar, masing-masing hanya ketawa dan meneruskan rutin seperti biasa.

    “Sepertimana rakan sebilik lain, saya tidak memikirkan tentang sebarang perbezaan… inilah peluang untuk kita beribadah. Tempoh lebih 40 hari agak lama dan saya rasa persamaan dan keserasian itu amat penting,” katanya.

    Nora Jusin, 54, pula berkata beliau selesa dengan semua rakan sebilik dan dalam kebanyakan masa, mereka akan makan bersama-sama.

    Lebih menarik apabila suami keenam-enam wanita tersebut juga tinggal sebilik yang berdekatan dengan bilik mereka sekali gus mencetuskan suasana harmoni.

    Dilaporkan antara aduan yang diterima unit kaunseling ketika musim haji ialah gangguan emosi, masalah komunikasi antara suami isteri serta ketidakserasian antara rakan sebilik.

    TH menyediakan khidmat kaunseling di setiap bangunan penginapan jemaah bagi membolehkan mereka membuat aduan dan mendapatkan khidmat nasihat agar mampu beribadah dengan selesa.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    BERNAMA

  • [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang awam terbunuh dan tiga anggota keselamatan cedera dalam tiga siri letupan di sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu yang terletak di Kabul, Afghanistan pada Sabtu, lapor Xinhua.

    “Kami mendengar satu letupan kuat di pintu pagar sebuah kuil di kejiranan Kart-e-Parwan sekitar 6 pagi waktu tempatan.

    “Dua lagi letupan berlaku di dalam kuil itu,” kata seorang saksi.

    Pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga dan beberapa das tembakan amaran turut dilepaskan oleh pasukan keselamatan.

    Menurut laporan awal, lelaki bersenjata menyerbu masuk bangunan itu dan tiga anggota keselamatan cedera akibat kejadian itu.

    Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan asap kelihatan daripada bangunan dua tingkat itu yang dikelilingi tembok. Media dan orang ramai tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

    Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.

    Pada Mac 2020, seramai 24 penganut terbunuh apabila sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu diserang di pusat bandar Kabul.

    Pada Jumaat, seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas letupan melanda sebuah masjid di wilayah Kunduz di utara negara itu. – BERNAMA

  • Johor berhak tentukan had umur minimum calon ADUN

    Johor berhak tentukan had umur minimum calon ADUN

    JOHOR berhak memutuskan sama ada untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, autonomi negeri perlu dihormati terutama dalam perkara tertentu yang kerajaan Persekutuan tiada kuasa ke atasnya.

    “Untuk negeri bersetuju atau tidak bersetuju (terhadap sesuatu) mereka masih mempunyai autonomi untuk membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka mahu.

    “Sekiranya Johor tidak akan meluluskan mana-mana undang-undang untuk membenarkan calon mereka bagi DUN dikurangkan kepada umur 18 tahun itu… adalah hak mereka,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 di Kuching hari ini.

    Khamis lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan menjelaskan mengapa baginda belum memberi persetujuan mengenai pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Pindaan) untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

    Pada pembukaan rasmi Penggal Persidangan Pertama DUN yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor, Sultan Ibrahim bertitah had umur minimum untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor masih kekal 21 tahun.

    Sultan Johor bertitah pada hemat baginda, cadangan menurunkan umur itu tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan namun baginda tetap menyokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

    Pada 6 Jan lepas, DUN Johor meluluskan enakmen berkenaan untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

    Sementara itu, Wan Junaidi berkata, di peringkat Persekutuan, umur minimum calon pilihan raya untuk Ahli Parlimen masih 18 tahun dan ini mungkin menimbulkan kekeliruan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama dalam pilihan raya serentak.

    “Dalam pilihan raya serentak terdapat senarai calon untuk Parlimen dan DUN, jika anda mempunyai had umur yang berbeza maka kita bimbang wujud kekeliruan oleh petugas SPR yang tidak terlatih dalam mengendalikan pilihan raya.

    “SPR perlu bekerja lebih masa untuk melatih pegawai mereka untuk membenarkan dua jenis had umur untuk calon bertanding terutama apabila pilihan raya dijalankan serentak,” katanya. – BERNAMA

  • PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berjaya mengatur langkahnya dalam membawa Sarawak ke era pembangunan yang seiring dengan perkembangan semasa dunia.

    Presidennya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu kini tidak lagi terhad kemampuannya dalam memperjuangkan isu tempatan negeri tetapi sedang memacu potensi baharu yang boleh meningkatkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

    “PBB bukan lagi parti kampung. PBB hari ini melangkah satu langkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia… dunia telah mengiktiraf potensi Sarawak di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di Kuching hari ini.

    Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, PBB telah melalui beberapa cabaran getir sewaktu beliau mengambil alih tampuk kepimpinan namun dengan niat ikhlas untuk memastikan negeri ini terus maju, cabaran berkenaan telah berjaya diatasi.

    Ini termasuk menghadapi ketidaktentuan politik nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dengan PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

    Abang Johari berkata, tindakan yang dibuat PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membolehkan mereka membuat keputusan tanpa terikat dengan konsensus yang perlu diikuti sewaktu masih dalam BN.

    Menurutnya, ini turut membawa PBB memperjuangkan agenda ‘Sarawak Diutamakan’ dengan lebih berkesan khususnya dalam mendapatkan kembali hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

    Katanya, beberapa kejayaan dalam mendapatkan kembali hak-hak tersebut telah ditempa dalam tempoh lima tahun lepas yang membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya seterusnya digunakan untuk membantu seluruh rakyat negeri ini.

    Beliau berkata, pendapatan yang meningkat juga membolehkan kerajaan GPS membuat perancangan pembangunan jangka panjang termasuk cadangan menubuhkan dana berdaulat untuk manfaat rakyat Sarawak.

    “Daripada sumber yang kita ada, kita tambah nilai kepada sumber kita (untuk meningkatkan pendapatan) dan seterusnya kita bangunkan seluruh Sarawak. Niat mesti betul. Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat yang betul. Tapi kalau niat tak betul, Tuhan pun memerhati kita juga,” katanya. – BERNAMA

  • Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    Mayat wartawan Britain ditemukan, polis sahkan identiti

    IDENTITI mayat yang ditemui di Amazon disahkan milik wartawan Britain, Dom Philips, lapor Agensi Anadolu.

    Pengesahan dibuat setelah ujian forensik dan rekod pergigian dijalankan terhadap mayat yang ditemui itu, menurut polis persekutuan Brazil pada Jumaat.

    Selain itu, proses pengecaman seorang jurupandu yang juga pakar pengkaji masyarakat orang asli, Bruno Pereira diteruskan serta punca kematian Philips dan Pereira kini masih disiasat.

    Phillips, 57, yang bekerja untuk akhbar The Guardian berpangkalan di Britain, mengembara ke wilayah itu untuk menulis buku mengenai orang asli di Amazon manakala Pereira, 41, seorang pakar di Yayasan Pribumi Nasional milik kerajaan. Kedua-dua mereka dilaporkan hilang sejak 5 Jun lepas. – BERNAMA

  • Harga ayam dijangka melambung lebih RM10 sekilogram

    Harga ayam dijangka melambung lebih RM10 sekilogram

    PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga sekilogram ayam akan mencecah lebih RM10 selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam dan pemberian subsidi kepada penternak ayam pada 30 Jun ini.

    Penasihat FLFAM, Datuk Jeffery Ng Choon Ngee berkata, penamatan kedua-dua insentif daripada kerajaan itu sekali gus akan menyebabkan kos keseluruhan yang ditanggung penternak akan meningkat melebihi RM7 sekilogram selaras dengan peningkatan harga makanan ayam.

    “Sekarang ini, harga sekilogram ayam adalah RM8.90 iaitu harga ayam segar dari ladang adalah RM5.60 sekilogram tetapi sekarang ini kami masih mendapat subsidi sebanyak RM1.40 bagi sekilogram ayam.

    “Harga dedak hari ini satu beg lebih kurang RM130… paling murah. Satu kilogram dedak pula lebih kurang RM2.60. Ini hanya dedak sahaja dan bagi kira-kira 1.7kg ayam, kos dedak sudah lebih RM4 manakala anak ayam yang kami beli berharga RM2.30 hingga RM2.40 seekor,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Beliau berkata, penternak bukan sahaja perlu menanggung harga pembelian anak ayam dan dedak, tetapi juga perlu mengambil kira kos lain seperti gaji, ubat vaksin dan elektrik.

    Katanya, justeru FLFAM berharap dapat melakukan perbincangan dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menentukan harga baharu ayam yang munasabah dan mengambil kira kepentingan rakyat serta penternak ayam di negara ini.

    Jeffery Ng berkata, perbincangan berkenaan penting bagi memastikan tiada pihak akan mengambil kesempatan terhadap penamatan kedua-dua insentif itu dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

    Semalam, media melaporkan harga ayam dijangka naik pada bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini. – BERNAMA

  • Pekerja warung mengaku tidak bersalah guna wang palsu

    Pekerja warung mengaku tidak bersalah guna wang palsu

    SEORANG pekerja warung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu awal bulan ini.

    Sekh Ali Subuhal, 54, didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 100 keping mata wang AS$100 dengan pelbagai nombor siri di sebuah pusat tukaran mata wang asing di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 4.30 petang, 7 Jun lepas.

    Pertuduhan ke atas Sekh Ali dilakukan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jufri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun peguam Keshreena Sidhu yang mewakili Sekh Ali memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.

    Keshreena berkata tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan menanggung isteri serta tujuh anak selain menghidap kencing manis dan darah tinggi.

    Nurliyana kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

    Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan Sekh Ali diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

  • Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Tiga sahabat dihantar ke penjara selepas mereka gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 2018.

    Ahmad Moslem Haqqani Rosli, 23; dan Muhamad Amyrul Nazmy Rusdi, 25; masing-masing diperintah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara 20 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 20 tahun (ketika kesalahan itu dilakukan berusia 17 tahun), diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan mereka selepas mendapati rayuan mereka tidak mempunyai merit.

    Pemuda itu masing-masing diikat jamin RM30,000 sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

    Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun berhampiran pantai Bachok, Kelantan pada 3 pagi, 27 Mei 2018.

    Mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei 2019 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb, tahun lepas.

    Dalam keputusan mahkamah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, Hakim Hadhariah berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan dalam keputusannya.

    Peguam Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Asmadi Husin mewakili pemuda itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA

  • Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu

    Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebagai Mufti Perak yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos depan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, Wan Zahidi yang kini Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan berasal dari Gerik merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

    “Beliau memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.

    “Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Mufti Wilayah Persekutuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 30 Mei 2021, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan COVID-19. – BERNAMA