Author: Bernama

  • Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera apabila alat memasak stimbot di sebuah restoran meletup dalam kejadian di Alam Mesra di Kota Kinabalu, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.06 malam dan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan ringan pada kulit akibat letupan dari dapur alat memasak stimbot ketika mula dihidupkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kanak-kanak yang cedera itu dihantar orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

    “Mangsa dewasa diberi rawatan awal pihak Kementerian Kesihatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menambah pihak bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di restoran berkenaan bagi memastikan tiada unsur bahaya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.41 malam. – BERNAMA

  • Kerajaan beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan aset dalam penyediaan bajet 2023

    Kerajaan beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan aset dalam penyediaan bajet 2023

    UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah diminta supaya memberi keutamaan terhadap peruntukan penyelenggaraan aset bagi semua kementerian dalam penyediaan Bajet 2023.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada April lepas EPU membentangkan kertas Jemaah Menteri mengenai keperluan menyediakan peruntukan lebih besar untuk menyelenggara aset-aset kerajaan termasuk peralatan, bangunan dan jalan raya.

    “Peruntukan penyelenggaraan bagi kementerian yang mempunyai prestasi perbelanjaan rendah dicadang diagih semula bagi menampung keperluan perbelanjaan penyelenggaraan kepada kementerian yang memerlukan.

    “Budaya penyelenggaraan perlu dititik berat bagi memastikan aset dan kemudahan kerajaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Laluan Persekutan FT004 di sempadan Gerik, Perak dan Jeli, hari ini, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

    Mustapa berkata kerajaan juga akan mengambil langkah proaktif pada tahun ini untuk menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaran aset.

    Sementara itu, mengulas mengenai aduan kerosakan Lebuhraya Timur-Barat yang sering dibangkitkan oleh pengguna, beliau berkata JKR Kelantan telah mengemukan laporan terperinci mengenai isu penyelenggaraan lebuh raya tersebut terutama berkaitan kekangan peruntukan.

    “Bagi jajaran Kelantan, sebanyak RM16.6 juta telah dibelanjakan pada 2021 untuk kerja-kerja penyelenggaraan manakala sebanyak RM10.9 juta pula diperuntukan bagi penyelenggaraan di 11 lokasi jajaran pada tahun ini.

    “Secara keseluruhan, penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya ini telah dilaksanakan secara berperingkat namun peruntukan lebih besar diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya terutama bagi jajaran di Perak dan sempadan di Kelantan” katanya. – Bernama

  • Lebih 20,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina

    Lebih 20,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina

    SERAMAI 22,156 orang lelaki di negara ini mendapatkan khidmat kaunseling daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.

    “Kebanyakan lelaki yang telah menghadiri sesi kaunseling sama ada secara individu atau berkelompok tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan usia perkahwinan antara setahun hingga lima tahun.

    “Khidmat kaunseling yang diberikan melalui Helpline FamilyCare@LPPKN ini adalah secara bersemuka dalam talian dan panggilan telefon,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2022 di perkarangan Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN, Dungun hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dan Timbalan Pengerusi LPPKN Mastura Mohd Darby.

    Sehubungan itu Rina menyeru lebih ramai kaum lelaki khususnya golongan bapa supaya memanfaatkan bantuan psikososial yang disediakan LPPKN tersebut dan tidak menunggu sehingga masalah semakin kritikal, demi kesejahteraan mereka dan keluarga.

    Dalam pada itu Rina berkata bersempena dengan Hari Bapa yang disambut hari ini dengan tema Kasih Bapa Pelindung Keluarga, kementerian melalui LPPKN menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan di setiap negeri secara percuma kepada 100 peserta lelaki terawal bermula hari ini hingga 25 Jun.

    “Istimewanya sempena majlis perasmian Hari Bapa pada hari ini, LPPKN menyediakan 300 lagi tambahan saringan kesihatan kepada kaum Adam di sekitar Dungun,” katanya.

    Selain itu Rina turut mengumumkan KNS LPPKN Dungun akan menjadi projek rintis pertama peringkat negeri yang menyediakan perkhidmatan tambahan khusus untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

    Katanya ia sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS LPPKN yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita.

    “Sebelum ini perkhidmatan bantuan psikososial ini hanya disediakan di KNS LPPKN di Kuala Lumpur,” katanya.

    Beliau menambah, setakat ini terdapat 49 KNS LPPKN yang beroperasi dalam premis di seluruh negara manakala terdapat 15 lagi KNS LPPKN yang beroperasi secara bergerak. –Bernama

  • Badal haji: Hati-hati siapa pelaksananya

    Badal haji: Hati-hati siapa pelaksananya

    BERHATI-hati dengan taktik tawaran pakej badal haji terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya.

    Bukan itu sahaja, pakej harga amat mencurigakan dan tidak berasas sedangkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kos permit haji pada kadar tertentu termasuk untuk rakyat tempatan.

    Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.

    Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari  pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi.

    “Kalau tengok dari senario di Malaysia, ada yang mengambil upah badal haji pada pakej serendah RM500, RM1,500 bahkan ada yang menawarkan RM2,500 hingga RM3,000.

    Persoalannya ialah TH sendiri pun tidak laksanakan badal haji pada masa sekarang kerana peraturan kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kita untuk laksana badal haji atau pungut duit untuk badal haji,” katanya kepada pemberita.

    Tengku Aziz berkata sesetengah pakej menggunakan nama pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah dan Makkah, sedangkan pelajar di situ hanya tinggal kira-kira 15 orang, malah mereka sendiri telah menyatakan ketidaksanggupan mengambil badal haji kerana kos yang mahal.

    Tambahnya, Arab Saudi menetapkan kos permit kira-kira SR10,000 dengan penguatkuasaan ketat dan disebabkan itu adalah mustahil sekiranya pelaksana badal haji mengambil upah terlalu murah.

    “Apabila tiba di Tanah Suci, saya bertanya kawan-kawan berkaitan badal haji dan kebanyakan mereka tidak sanggup dengan bayaran RM3,000 sebab untuk pergi haji pun penguat kuasa Arab Saudi akan teliti permit atau surat kebenaran..pakej tersebut harganya lebih kurang SR10,000 atau lebih.

    “Jadi mana mungkin dia nak ambil badal haji sedangkan dia kena bayar SR10,000…memanglah tidak berbaloi untuk mereka laksana badal haji. Mereka pun berhati-hati juga untuk laksana badal haji. Jadi permasalahan timbul apabila ada iklan sampai ada harga lebih rendah daripada itu.

    Sesetengah mendakwa upah akan diberi kepada pelajar di Tanah Suci ini sedangkan kalau pelajar itu hendak mengerjakan haji, mereka perlu ada permit untuk pergi, jadi berapa orangkah pelajar kita yang dapat permit untuk laksana ibadah haji,” katanya. 

    Menurut Tengku Aziz, badal haji bermaksud melaksanakan haji bagi orang lain yang telah meninggal dunia ataupun tidak sempat menunaikannya dan berkemampuan, malah dibolehkan juga mengerjakan badal haji untuk mereka yang tidak ada harapan untuk sembuh daripada penyakit.

    “Badal itu dibolehkan dalam Islam. Dalam hukum fiqh pun ada..oleh kerana kita melaksanakan untuk orang-orang tersebut maka dibolehkan untuk individu itu sendiri atau waris beri habuan sedikit sebagai perbelanjaan mereka untuk mengerjakan ibadah haji tersebut.

    “Saya berharap bagi mereka yang memungut badal haji janganlah menipu, janganlah mengoda dan buat perkara yang tidak benar, duit yang kita kumpul, kita dapat dosa, jangan guna agama untuk dunia kita, takutlah pada Allah,” katanya.

    Pihak yang berminat dengan badal haji juga disaran memainkan peranan dengan mengenal pasti identiti pelaksananya dan tidak hanya membayar tanpa usul periksa kerana terdapat syarat tertentu dan bukannya boleh dilakukan oleh sesiapa jua.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis akan menerima sijil, air zam zam dan sejadah sebagai hadiah penyertaan badal haji kerana ia boleh dibeli di mana-mana sahaja dan apatah lagi tiada pengesahan jelas ia dapat dilakukan pada musim haji kali ini.

    “Bagi mereka yang memberi, pastikan betul-betul bagaimana mereka boleh laksanakan kerana kita di Tanah Suci pun memang kalau situasi sekarang susah hendak laksanakan badal haji dan mereka sendiri (penduduk dan pelajar)  tidak sanggup dengan kadar permit yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya.–Bernama

  • SPRM siasat penerima wang disebut saksi kes Zahid Hamidi

    SPRM siasat penerima wang disebut saksi kes Zahid Hamidi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan di bawah Akta SPRM 2009 terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan penama-penama berkenaan disebut saksi ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

    “SPRM juga telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan,” menurut SPRM.

    Dalam prosiding kes itu semalam, saksi memberitahu enam penama ahli politik iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

    Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM. – Bernama

  • Ali Imran hilang sejak Khamis

    Ali Imran hilang sejak Khamis

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja itu dikenali sebagai Ali Imran Naseruddin yang beralamat di No 5, Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang Sarjan Nur Arfidah Mohamed di talian 012-7955 961 atau balai berdekatan untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kali terakhir Ali Imran dikesan melalui kamera litar tertutup pos kawalan sedang berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan itu pada 3.57 pagi.

    “Laporan polis dibuat oleh ibu remaja berkenaan pada 6.52 pagi hari yang sama.

    “Remaja berkenaan memakai seluar jeans, kemeja T, jaket, bertopi, kasut serba hitam dan menggalas sebuah beg kalis air berbentuk silinder warna biru, mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berambut hitam pendek,” katanya. – BERNAMA

  • ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kompaun terhadap Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) bukan atas dasar budi bicara beliau sebaliknya berlandaskan undang-undang sedia ada.

    “Banyak sangat fitnah yang mengatakan saya melindungi Rumah Bonda dan sebagainya… kena faham dan ingat …kita memberikan saman itu mengikut akta, jadi akta itu menyebut kompaunnya RM5,000 …bukan saya yang tentukan.

    “Ia mengikut undang-undang sedia ada… itu bukan di bawah budi bicara saya, itu adalah yang termaktub di dalam akta,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dihadiri kira-kira 250 peserta di Kuantan hari ini.

    Rina berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan beliau melindungi Rumah Bonda.

    Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan menafikan Rina bersubahat melindungi Rumah Bonda selain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah.

    KPWKM turut memaklumkan bahawa segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Julai 2021 ke atas Rumah Bonda adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

    Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di laman Instagram pada 12 Jun lepas yang mempertikai nilai kompaun penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda hanya RM5,000 dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.

    Dalam pada itu, Rina berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Sumber Manusia berkaitan inisiatif perlindungan sosial untuk suri rumah.

    Beliau berkata, KPWKM turut menyokong penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah dan berharap ia akan dilulus serta dilaksanakan demi kepentingan wanita.

    Rabu lepas, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan perlu mengumumkan segera pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial suri rumah yang telah dipersetujui sebelum ini.

    Mengulas program hari ini, Rina berkata ia memanfaatkan hampir 18,000 peserta secara keseluruhan selain membantu melatih wanita dalam bidang keusahawanan dan ia akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang serta Sarawak. – BERNAMA

  • Penyanyi, pelakon terkenal Adibah Noor meninggal dunia

    Penyanyi, pelakon terkenal Adibah Noor meninggal dunia

    PENYANYI dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar atau lebih dikenali sebagai Adibah Noor, 51, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, pada kira-kira 7.45 malam tadi.

    Berita kematian itu disahkan dan dikongsi oleh rakan-rakan artis menerusi media sosial antaranya Datin Emylia Rosnaida Abdul Hamid.

    Sementara itu, penyanyi dan pelakon Ani Mayuni atau nama penuhnya Aishah An-Nur Osman ketika dihubungi berkata Adibah pernah memberitahunya bahawa dia menghidap penyakit kanser namun meminta agar perkara itu dirahsiakan.

    “Arwah minta jangan hebohkan mengenai dia sedang menanggung kesakitan,” katanya menambah kesihatan arwah semakin merosot selepas menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV).

    “Selepas habis GV dan masa nak shooting GV Raya, masa itu Arwah mula demam sekejap sekejap dan lama sangat dia dimasukkan ke dalam wad. Rasa macam pelik kenapa tak keluar (dari hospital)?, ingatkan COVID-19 tetapi bila tanya secara peribadi, baru dapat tahu dia ada kanser dan baru sahaja jalani pembedahan.

    “Arwah sedang berpantang, nak berehat dan tak ambil show semua, yang kamu tengok dia muat naik gambar, masa dia dah kurus baru-baru ini, itu adalah shownya yang pertama selepas berehat,” kata Ani yang merupakan bekas peserta GV pada musim sama disertai Adibah Noor.

    Sementara itu, Emylia Rosnaida dalam hantaran di laman Facebooknya berasa terkejut dan sedih dengan berita pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang artis yang serba boleh.

    Pelakon Dynas Mokhtar turut meluahkan kesedihannya menerusi hantaran di akaun Instagram beliau.

    “Saya masih terkejut! KakDip (Adibah Noor) seorang periang, mengambil berat dan mempunyai suara yang merdu. Saya akan merindui awak KakDip. Hilang di mata, tapi di dalam hati jangan,” katanya.

    Allahyarhamah Adibah merupakan penyanyi dan penulis lirik lagu hit ‘Terlalu Istimewa’ pada 2005, dicipta khas sebagai penghormatan terhadap tragedi pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa kes jenayah pedofilia.

    Pelakon filem Sepet dan Mukhsin itu juga dikenali dalam pelbagai iklan televisyen dan pernah bertugas sebagai penyampai Radio Suria FM.

    Sebelum melangkah ke dalam karier seni, penyanyi bersuara lunak itu merupakan guru bahasa Inggeris, penterjemah untuk syarikat korporat dan duta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Sepanjang karier seninya, Adibah pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006. – BERNAMA

  • Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    Rugi RM583,555 ditipu pelaburan melalui WhatsApp

    SEORANG peniaga wanita dari Port Dickson kerugian RM583,555 selepas menjadi mangsa skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Feb lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berusia 35 tahun itu telah menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi ‘RRR68.club’.

    “Tertarik dengan tawaran tersebut, wanita berkenaan melakukan pembayaran sebanyak 52 transaksi berjumlah RM583,555 ke dalam 13 akaun bank bermula 15 Feb sehingga 23 April lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa berasa ditipu selepas mendapati aplikasi WhatsAppnya telah disekat oleh individu terbabit pada bulan lepas.

    Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Warisan pilih kerusi boleh menang di Perak

    Warisan pilih kerusi boleh menang di Perak

    PARTI Warisan (Warisan) hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak yang diyakini mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    “Di Perak, kita tidak akan bertanding semua kerusi yang ada, kita akan selektif iaitu di mana kerusi yang kita yakin boleh menang.

    “Ia bergantung kepada penemuan pihak pimpinan di peringkat Perak yang kita minta selaraskan bagaimana keadaan untuk mengenal pasti mana kawasan bersesuaian,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Borang Keahlian Warisan dan Sembang Santai di Ipoh hari ini.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata, setakat ini, Warisan giat memperkuat parti dan lima bahagian telah digerakkan di Perak sejak tahun lepas iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Parit serta Padang Rengas.

    Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi di negeri lain dan perkara itu akan diumum setelah kajian diselaras di peringkat negeri.

    “Warisan adalah parti pelbagai bangsa dan selepas ini mungkin ada gabungan parti lain kerana ada yang sudah menghubungi saya,” katanya.

    Terdahulu, Mohd Shafie menerima 1,200 borang keahlian daripada Ketua Penyelaras Warisan Perak Noor Hasnida Mohd Hashim pada majlis itu. – BERNAMA