Author: Bernama

  • Anak berkorban di Tanah Suci, ibu berkorban di Tanah Air

    Anak berkorban di Tanah Suci, ibu berkorban di Tanah Air

    haramain

    MENINGGALKAN dua anak yang memerlukan rawatan rapi akibat masalah kesihatan demi mengerjakan ibadah haji adalah pengorbanan yang bukan sahaja melibatkan ibu bapa tetapi juga insan lain yang akan mengambil alih tanggungjawab.

    Bersama keyakinan keberkatan Tanah Suci, Rabeatul Husna Abdull Rahman, 40-an, tiba bersama suami, Mohd Amir Mohd Adris, 40-an dan anak sulung Qistina Mohd Amir, 15 sejak dua minggu lepas.

    Rabeatul Husna berkata ibunya yang tinggal di Perak adalah individu yang paling banyak berkorban kerana bukan sahaja perlu menjaga anak keduanya yang menghidap penyakit asma tetapi juga anak ketiga yang mengalami kerosakan buah pinggang.

    “Kami berharap anak-anak dapat bersabar. Saya memang berterima kasih pada emak dan ayah yang menjaga anak kami. Bukan mudah nak jaga terutama anak nombor tiga kami yang kurang sihat.

    Mak perlu uruskan ubat-ubatan anak saya…seperti yang mak saya dah pesan, serahkan urusan kepada Allah, semoga anak-anak terjaga dan kami akan balik ke pangkuan keluarga dengan selamat, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Lane Premium Mekah yang menempatkan jemaah haji Malaysia.

    Anak keduanya berusia 10 tahun, menghidap asma manakala anak ketiga berusia tujuh tahun bukan sahaja mengalami kerosakan buah pinggang sejak lahir, malah juga Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori masalah pembelajaran.

    Menurut Rabeatul Husna kedua-dua anaknya terpaksa ditukarkan ke sekolah sekitar Perak dan proses itu terpaksa dilakukan dalam tempoh 10 hari sahaja dengan bantuan pihak pentadbiran sekolah dan jabatan pendidikan di Johor Bharu.

    Tambah beliau, Tanah Suci menjadi tempat terbaik untuknya berdoa terutama untuk kesihatan anak-anak dan urusan mereka sekeluarga.

    “Mak saya dah pesan banyakkan berdoa dan semua itu kuasa Allah. Walaupun yang bongsu itu semasa dilahirkan doktor kata umurnya tidak panjang tapi Alhamdullillah sekarang umurnya dah tujuh tahun…peluang sebegini (ke Tanah Suci) tak selalu datang.

    Itu yang saya pesan pada Qistina supaya lakukan yang terbaik kerana peluang kita datang sekali seumur hidup. Kita buat sehabis baik dan semampu mungkin untuk beribadah,” katanya.

    Sementara itu, Qistina yang merupakan antara jemaah haji muda berkata beliau telah bersedia untuk berdepan dengan usikkan rakan-rakan dan guru apabila pulang ke tanah air kelak.

    “Kawan-kawan dah mula bergurau nak panggil hajah,” katanya yang memperoleh pelepasan daripada pihak sekolah selama dua bulan dan akan dibantu rakan-rakan untuk ulang kaji.

    *Ikutilah perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Malaysia negara pertama dapat permit operasi hospital musim haji 2022

    Malaysia negara pertama dapat permit operasi hospital musim haji 2022

    haramain

    MALAYSIA berjaya memperoleh pengiktirafan dan menjadi negara pertama mendapat permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443H/2022, kata Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata, berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

    “Satu majlis serahan permit yang dikeluarkan ini telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu, dan ia dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Ini menunjukkan komitmen dan susun atur kerja yang cekap daripada KKM serta petugas perubatan TH. Ini juga menunjukkan bahawa TH dan KKM menitikberatkan persiapan menjaga kesihatan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia, di Mekah.

    Syed Saleh berkata, kejayaan itu juga adalah bukti pasukan perubatan TH sentiasa menjalankan kerja secara tersusun dan komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.

    “Pencapaian yang agak membanggakan kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktikan pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan.

    “Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

    Selain itu, Syed Saleh turut menasihati jemaah agar tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan, apatah lagi menjelang Hari Wukuf, tidak lama lagi.

    Cuaca yang terlampau panas dan kering hingga mencecah suhu 50 darjah Celsius, memudahkan jemaah haji dijangkiti penyakit.

    “Saya mahu menasihati jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli… pastikan bersih dan basuh dulu buah-buahan sebelum makan.

    “Dalam keadaan yang panas ini, kita harus menjaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk mengelak pelbagai penyakit, termasuk strok haba,” katanya.

    *ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji

    – Bernama

  • Khairy tarik balik rayuan saman fitnah Anwar

    Khairy tarik balik rayuan saman fitnah Anwar

    KHAIRY Jamaluddin menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang dibuat 14 tahun lepas.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nallini Pathmanathan, kemudian membatalkan dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan.

    Keputusan itu dibuat selepas peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu pada April lepas.

    Khairy memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Anwar dan keputusan mahkamah yang sama yang menolak rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaan berhubung saman fitnah oleh ketua pembangkang itu.

    Terdahulu, Sarah menawarkan kos sebanyak RM1,000 untuk setiap rayuan atas alasan penarikan dibuat pada peringkat awal.

    “Kami telah memfailkan usul itu pada 7 Mac dan perkara itu disenaraikan untuk e-Review (di mahkamah) pada 6 April.

    “Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 11 Ogos untuk perkara ini. Kami sebenarnya menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik rayuan pada April,” katanya kepada panel hakim itu yang termasuk Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar berkata RM5,000 bagi setiap rayuan di hadapan mahkamah tertinggi adalah munasabah.

    “Usul (permohonan kebenaran merayu) yang disampaikan kepada kami mengandungi 10 jilid. Kami terpaksa menjawab perkara yang dibangkitkan dan rakan saya yang hadir bersama saya, Cik Leela juga menyediakan draf penghujahan,” tambahnya.

    Pada 7 Feb tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khairy untuk mencabar saman fitnah Anwar selepas memutuskan bahawa tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

    BACA: Rayuan Khairy berhubung saman fitnah Anwar terhadapnya ditolak
    Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dipertikaikan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

    Selain itu, Mahkamah Rayuan juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kuantum ganti rugi RM150,000 yang diberikan kepada Anwar, tidak berlebihan.

    Pada 7 Mac 2008, Anwar, yang merupakan presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya semasa ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb tahun yang sama yang membawa kepada penyiaran klip video di portal berita.

    Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan mendapati Khairy bertanggungjawab atas fitnah dan oleh itu memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

    Hakim juga menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya dengan mengatakan bahawa kenyataannya adalah komen yang wajar.

    Khairy kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tetapi pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan telah membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

    Pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan.

    • Bernama
  • Anak mati di penjara, ibu dapat ganti rugi RM302,800

    Anak mati di penjara, ibu dapat ganti rugi RM302,800

    IBU kepada pekerja kilang Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia di penjara lapan tahun lalu akan mendapat ganti rugi sebanyak RM302,800 selepas kerajaan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Peguam M. Visvanathan yang mewakili Rahaya Salleh, ketika dihubungi berkata, kerajaan memfailkan notis pemberhentian permohonan kebenaran merayu pada 17 Jun lalu.

    Permohonan kebenaran merayu itu sepatutnya didengar di Mahkamah Persekutuan tadi.

    Visvanathan berkata, berikutan penarikan balik permohonan kebenaran merayu oleh kerajaan, keputusan Mahkamah Rayuan yang memberikan ganti rugi RM302,800 kepada Rahaya kekal.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu membayar faedah serta kos sebanyak RM36,000 untuk prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Julai tahun allu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M. Gunalan memberikan Rahaya ‘award’ sebanyak RM250,000 sebagai ganti rugi am untuk kecuaian dan RM40,800 untuk tanggungan tuntutan, RM10,000 sebagai ganti rugi khas dan RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian.

    Semasa menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan, Ahmad Nasfy berkata, Kamarulnizam, 39, diletakkan di bawah reman dari satu lokap ke lokap yang lain dan melalui proses soal siasat yang panjang oleh pasukan penyiasat berbeza.

    Beliau berkata Kamarulnizam didakwa pada 4 Mac 2014 dan dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan dimasukkan ke dalam lokap sebelum dibawa ke penjara Tapah sehari kemudian.

    Ahmad Nasfy berkata, keadaan kesihatan Kamarulnizam merosot dan tiada seorang pun dalam pasukan polis yang mempedulikan perkara itu.

    Beliau berkata, penyakit radang paru-paru Kamarulnizam tidak mungkin berlaku dalam tempoh semalaman dan dia juga tidak mendapat perhatian dari segi perubatan.

    Dilaporkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari terhadap Kamarulnizam selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

    Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya hadir di mahkamah untuk membayar denda.

    Rahaya, 72, memfailkan saman itu terhadap polis, pegawai penjara dan kerajaan pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas setelah anaknya meninggal dunia di penjara Tapah pada 2014. – Bernama

  • Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    SEBUAH rumah setingkat kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar di Kampung Gong Limau, Chukai, Kemaman, terbakar 50 peratus malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.49 malam dan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Chukai serta BBP Kemaman dikerah ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah bilik sebelum api merebak ke ruang tamu dan stor melalui siling.

    “Operasi pemadaman agak mencabar kerana kerangka bumbung daripada kayu menyebabkan api cepat merebak namun kepantasan anggota bomba dapat menyelamatkan rumah tersebut dari terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Difahamkan, ketika kejadian berlaku, pengarah hospital itu tiada di rumah kerana mempunyai tugasan rasmi di Kuala Lumpur.

    Mohd Zailani berkata, hanya dua anak dan isteri Dr Amran sahaja yang berada di rumah namun mereka berjaya menyelamatkan diri lebih awal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

    Katanya, operasi selesai sepenuhnya pada 1.45 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, pihaknya sudah menyediakan sebuah rumah inap desa untuk didiami selama tiga hari oleh keluarga Dr Amran.

    “Semoga beliau tabah dengan dugaan ini dan saya difahamkan beliau sekeluarga akan berpindah masuk ke kuarters kosong di Hospital Kemaman selepas ini,” katanya. – Bernama

  • Pendakwaan akan buktikan semua kesalahan Syed Saddiq berniat jahat, tidak jujur

    Pendakwaan akan buktikan semua kesalahan Syed Saddiq berniat jahat, tidak jujur

    PIHAK pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumentar dalam membuktikan kes terhadap tertuduh.

    “Keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh.

    “Kami juga tidak akan menggunakan anggapan di bawah Seksyen 409A Kanun Keseksaan dalam membuktikan kes kami ke atas tertuduh kelak,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid.

    Syed Saddiq, 29, yang memakai kemeja batik biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi. – Bernama

  • RM20,000 wang pesara kerajaan lesap ditipu Macau Scam

    RM20,000 wang pesara kerajaan lesap ditipu Macau Scam

    SEORANG pesara kerajaan di Teluk Intan mengalami kerugian apabila wang simpanan persaraannya sebanyak RM20,000 lesap akibat menjadi mangsa sindiket Macau Scam, minggu lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 76 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

    “Suspek mendakwa mangsa mempunyai bungkusan barangan penghantaran ke Sabah dengan kandungan sekeping kad pengenalan milik mangsa dan lima keping kad ATM dari pelbagai bank namun pengadu telah menafikan.

    “Seterusnya mangsa telah disambungkan pula ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah supaya membuat laporan polis dan kemudian disambungkan kepada pihak mahkamah kononnya pengadu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Adnan berkata mangsa sekali lagi dihubungi  pada 16  Jun lepas oleh sindiket tersebut dan meminta mangsa melakukan pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi memastikan wang yang dimiliki oleh mangsa adalah bersih daripada kesalahan jenayah penggubahan wang haram.

    Menurutnya mangsa telah melakukan pindahan wang untuk dimasukkan ke dalam akaun suspek di sebuah bank cawangan di Teluk Intan kononnya bagi mengelakkan akaun bank mangsa dibekukan oleh pihak Bank Negara. 

    “Mangsa menghubungi semula suspek namun tiada sebarang jawapan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan semalam setelah mendapati dirinya ditipu oleh sindiket berkenaan,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Wang AS$61 juta,GBP9.46 juta masuk akaun peribadi Najib – saksi

    Wang AS$61 juta,GBP9.46 juta masuk akaun peribadi Najib – saksi

    SEORANG  pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sejumlah AS$61 juta dan GBP9.46 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya melalui pindahan wang luar negara daripada tiga syarikat didakwa berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad Wedani Senen, 48, berkata kesemua transaksi melibatkan akaun bekas Perdana Menteri itu adalah di antara Mac 2013 dan Dis 2014 dengan nombor akaun 2112022009694 menggunakan kod nama AmPrivate Banking-MR dan 2112022011880 kod nama AmPrivate Banking-1MY.

    Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata terdapat pemindahan wang berjumlah US$61 juta ke akaun Najib daripada Tanore Finance Corporation.

    Pada prosiding sebelum ini, Tanore dinyatakan sebagai antara entiti yang menerima wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain didakwa mempunyai kaitan dengan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Wedani juga berkata akaun Najib yang berakhir dengan nombor 880 menerima GBP750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

    “Akaun sama turut menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu GBP5,750,000 (19 Okt 2014), GBP694,343.62 dan GBP2,216.01 (24 Nov 2014),  GBP995,000.00 (5 Dis 2014) dan GBP1.26 juta (18 Dis 2014),” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

    Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) telah mengenal pasti Vista Equity dan Blackrock Commodities sebagai ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) yang didakwa mempunyai kaitan dengan Tan.

    Ketika disoal balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, Wedani berkata beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Bank Negara (BNM) mengenai transaksi melibatkan jumlah wang besar ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu.

    “Unit kami tidak membuat sebarang laporan kerana terdapat bahagian lain yang menguruskan pelaporan kepada BNM.

    “Saya juga tidak pasti sama ada BNM ada menimbulkan sebarang amaran dan meminta bank memberikan penjelasan mengenai kesemua transaksi melibatkan wang yang besar itu,” katanya.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Wanita warga asing ditahan disyaki curi barang kemas majikan selepas bersih rumah

    Wanita warga asing ditahan disyaki curi barang kemas majikan selepas bersih rumah

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barangan kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di sini.

    Katanya penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

    — BERNAMA

  • Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan berhadapan 46 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa

    Timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan berhadapan 46 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa

    TIMBALAN pengarah sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM55,020 antara 2019 hingga 2021.

    Mahriyatty  Bahrin, 42, yang juga Jurutera Awam Gred J44 di Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Sabah bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mengikut pertuduhan, Mahriyatty berhadapan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, empat pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Mahriyatty berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Selain itu, wanita berkenaan turut berdepan dengan 21 pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

    Tertuduh didakwa secara rasuah telah memperoleh suatu suapan sebagai dorongan untuk meluluskan Sijil Taraf Bumiputera (STB) kepada beberapa kontraktor di negeri ini.

    Mahriyatty didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank Cawangan Sipitang beralamat di Lot 25 & 26 Sipitang Shopping Centre, Jalan Hj A. H. Tengah, Sipitang dan Maybank Cawangan Karamunsing, Bangunan Maybank, N0. 1, Lorong Kemajuan, Karamunsing, di dalam daerah Kota Kinabalu antara 2019 hingga 2021.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam masa dua bulan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussien Ahmad Shah.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai ini.

    — BERNAMA