Author: Bernama

  • Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

    “Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    Tuntutan palsu projek RM300 juta: 4 individu dibebaskan

    EMPAT individu yang sebelum ini ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Peguam Vivek Sukumaran yang mewakili keempat-empat suspek berkata, selepas mendengar bantahan serta hujahan beliau, perintah tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu berikutan tempoh reman selama enam hari ke atas kesemua mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun berakhir hari ini.

    “Sekarang status kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi tidak ada pertuduhan berlaku lagi. Tiada permohonan sambung reman dibuat kerana semua pihak memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

    “Saya harap semua pihak jangan buat sebarang spekulasi lagi. Beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Walau bagaimanapun, Vivek enggan mendedahkan jumlah wang jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

    Menurut laporan sebelum ini, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam bidang hartanah adalah antara empat individu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di Pantai Timur yang bernilai lebih RM300 juta.

    Tiga lagi yang ditahan adalah pengarah syarikat, pengurus projek dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding. – BERNAMA

  • [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    RESTORAN Terapung Jumbo, destinasi menjamu selera terbesar di dunia, karam di Laut China Selatan beberapa hari selepas ia ditunda dari pelabuhan Hong Kong setelah hampir setengah abad berlabuh di situ.

    Restoran terapung tiga tingkat setinggi 260 kaki itu mempunyai rekaan unik seperti sebuah istana empayar China, berlabuh di pelabuhan Aberdeen Hong Kong selama 46 tahun sebelum ditunda minggu lalu, menurut United Press International (UPI).

    Pemiliknya, yang menutup restoran itu semasa pandemik COVID-19 pada 2020 selepas menanggung kerugian terkumpul lebih AS$13 juta, berkata mereka sangat sedih dengan insiden itu.

    Menurut syarikat induk Jumbo King bot itu terbalik pada Sabtu selepas berdepan keadaan buruk berhampiran Kepulauan Parcel dan tenggelam lebih 3,000 kaki.

    Kedalaman air di tempat kejadian melebihi 1,000 meter, menyukarkan kerja-kerja menyelamat, lapor UPI memetik kenyataan Aberdeen Restaurant Enterprises. Tiada anak kapal yang cedera.

    Restoran Terapung Jumbo dibuka pada 1976 dan terkenal dengan hiasan tradisional Cina serta hidangan makanan laut istimewa yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

    Malah restoran itu turut dipaparkan dalam beberapa filem termasuk filem Jackie Chan 1985, The Protector, dan James Bond: The Man with the Golden Gun.

    Restoran itu, yang hanya boleh diakses dengan feri kecil, juga pernah dikunjungi Ratu Elizabeth II, Jimmy Carter dan Tom Cruise.

    Selepas ditutup pada 2020, beberapa pelabur menarik diri daripada usaha menyelamatkan struktur ikonik restoran itu kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi. – BERNAMA

  • 4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    4 anggota polis direman bekal bahan terlarang kepada tahanan

    EMPAT anggota polis direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

    Perintah reman ke atas kesemua tertuduh berumur antara 35 dan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

    Siasatan ke atas kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah itu dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

    Kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas dan dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

    Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

    Terdahulu mereka tiba di perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

    Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – BERNAMA

  • Tiada pertemuan peribadi Zuraida-PM pagi ini

    Tiada pertemuan peribadi Zuraida-PM pagi ini

    TIADA pertemuan secara peribadi antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.

    Memetik laporan FMT, Zuraida hanya bertemu Ismail Sabri dalam mesyuarat Kabinet.

    Penjelasan Zuraida itu sekali gus menafikan spekulasi beliau dipanggil oleh Perdana Menteri bagi membincangkan tentang kedudukannya sebagai menteri Kabinet.

    “Pagi ini saya hadir mesyuarat Kabinet,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas desas-desus pertemuannya bersama Ismail Sabri.

    Ahli Parlimen Ampang itu turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri masih belum memanggilnya.

    Kedudukan Zuraida sebagai menteri menjadi tanda tanya selepas beliau melompat keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Bersatu mahu salah seorang pemimpin parti itu dilantik untuk menggantikan tempat Zuraida kerana kuota itu dianggap milik mereka.

    Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ismail Sabri segera membuat keputusan.

    Katanya, beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikan Zuraida namun masih menunggu peluang untuk berjumpa dengan Ismail Sabri.

    Namun, Zuraida seolah-olah enggan berganjak dan berharap Ismail Sabri akan membenarkannya terus memegang jawatan itu kerana perlu menyelesaikan banyak program yang dimulakannya.

  • Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15×10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.

    “Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 pagi. – BERNAMA

  • Belia mampu jadi penggerak utama digitalisasi – Muhyiddin

    Belia mampu jadi penggerak utama digitalisasi – Muhyiddin

    SEMUA  pihak perlu menggembleng usaha dan tenaga bagi menggilap potensi serta meningkatkan daya upaya belia kerana golongan ini mampu menjadi penggerak utama dalam era digitalisasi dengan memanfaatkan aplikasi digital untuk menjana sumber pendapatan atau peluang pekerjaan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata belia juga memainkan peranan penting ke arah memacu pembangunan negara yang mampan dan inklusif pasca pandemik.

    Beliau berkata generasi muda perlu meneroka peluang untuk menceburi bidang-bidang baharu bagi memacu agenda pendigitalan selari dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan kerajaan Februari tahun lepas.

    “Antara cabaran utama belia masa kini adalah perubahan kehendak pasaran yang semakin dinamik di seluruh dunia, khususnya pemadanan kemahiran. Belia perlu dilengkapi dengan kemahiran berasaskan teknologi digital melalui penyesuaian norma baharu dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

    Beliau yang juga merupakan Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata demikian ketika berucap pada program #RUANGBELIA Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin anjuran MASA di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, pembangunan Model Baharu Pembangunan Belia yang holistik sudah pasti dapat menepati aspirasi belia dalam melahirkan pemimpin yang berdaya saing dan kalis cabaran masa depan di peringkat global.

    Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan juga perlu terus mendengar dan memberi perhatian terhadap suara dan pandangan generasi muda di peringkat akar umbi agar mereka dapat terus menyumbang ke arah perancangan dasar kerajaan dan pembangunan negara.

    “Langkah ini penting untuk memastikan supaya segala dasar dan inisiatif kerajaan kekal relevan dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan semasa belia yang menjadi antara golongan paling terkesan.

    “Saya sendiri berpeluang bertemu dengan ramai anak muda di lapangan dari Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sarawak… Saya turut mengadakan perjumpaan bersama pucuk pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita,” katanya.

    Muhyiddin berkata sebagai kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN), MPN akan terus mengadakan siri libat urus untuk mengumpul pandangan dan input daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia ke arah pelaksanaan PPN 2.0 yang sedang dirangka.

    “Melalui platform seperti ini #RuangBelia, saya berharap saudari sekalian dapat bersama-sama merungkai isu semasa, especially those bread and butter issues affecting the rakyat, serta memberi pandangan konstruktif yang boleh menyumbang kepada usaha pemulihan negara secara menyeluruh,” katanya.

    — BERNAMA

  • Syed Saddiq bincang kenyataan media tutup mulut masyarakat isu RM250,000 hilang – Saksi

    Syed Saddiq bincang kenyataan media tutup mulut masyarakat isu RM250,000 hilang – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berbincang dengan ahli kumpulan nilai tambah WhatsApp mengenai kenyataan yang perlu dikeluarkan kepada media berkaitan kehilangan RM250,000 di kediaman Ahli Parlimen Muar itu bagi menutup mulut masyarakat.

    Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Taufik Awaludin berkata, perbincangan kumpulan WhatsApp tersebut diperoleh daripada laporan forensik yang diambil dalam telefon bimbit Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu.

    “Dalam kumpulan WhatsApp itu juga, YB Syed Saddiq ada membincangkan mengenai naratif bagaimana alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

    “Perbincangan itu mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan bagi menutup mulut masyarakat. Di akhir perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu, YB Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan ahli kumpulan dan memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa sumber wang tersebut adalah daripada ibu, ayah dan beliau sendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada hari pertama perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

     Saksi pertama pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, bahawa wang itu adalah daripada ibu dan bapa Syed Saddiq untuk mengubah suai rumah.

    Wan Shaharuddin: Mengapa anda tidak bersetuju?

    Muhammad Taufik: Saya tidak bersetuju kerana dalam laporan forensik itu juga terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp bahawa wang tersebut adalah daripada dana budi bicara yang dahulu pernah dimohon oleh YB Syed Saddiq.

    Selepas itu, YB Syed Saddiq berbincang mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan dan YB Syed Saddiq memilih untuk membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

    Wan Shaharuddin: Siasatan anda tentang kehilangan duit di rumah YB Syed Saddiq, ada tak kaitan dengan pertuduhan pengeluaran wang RM1 juta?

    Muhammad Taufik: Ada.

    Muhammad Asyraf kemudian meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa kehilangan wang RM250,000 mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

    Muhammad Taufik menjawab “Kaitannya adalah tanpa siasatan melibatkan keterangan beberapa saksi, tidak akan jumpa petunjuk bagi pertuduhan lain, oleh itu pertuduhan yang dihadapi YB Syed Saddiq dapat disiasat.”

    Dirujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq, saksi itu berkata laporan tersebut menyatakan bahawa pada 7.51 petang 29 Mac 2020, sejumlah wang tunai iaitu kira-kira RM250,000 dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq telah dicuri.

    “Tiada sebarang kesan umpil manakala keadaan rumahnya kemas dan telah menetapkan kod rahsia pada peti besi itu dan hanya orang tertentu sahaja mengetahui kod tersebut,” katanya.

    Menurut Muhammad Taufik, ibu dan bapa Syed Saddiq juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. – BERNAMA.

  • Tipu urus niaga sarung tangan getah, dua rakan didakwa

    Tipu urus niaga sarung tangan getah, dua rakan didakwa

    DUA rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah membabitkan kerugian lebih RM1 juta, tahun lalu.

    Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Nor, 30, dan Mohd Fami Sharin, 48, didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob, 35, bahawa mereka akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,001,650 ke akaun bank atas nama Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM70,000 kepada setiap tertuduh namun peguam David Dev Peter, yang mewakili mereka, memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga masing-masing dan tidak memiliki rekod jenayah.

    Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

  • Individu tak hormat Bahasa Kebangsaan berdepan denda RM50,000, penjara

    Individu tak hormat Bahasa Kebangsaan berdepan denda RM50,000, penjara

    INDIVIDU yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

    Pengerusi Jemaah Pengelola DBP, Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, kedua-dua hukuman adalah antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada Perdana Menteri bulan depan.

    “Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-66 DBP di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebelum ini, dilaporkan kerajaan akan meminda akta itu bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

    Awang berkata, DBP turut mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan di bawah selian Pejabat Perdana Menteri dipinda seiringan pindaan Akta DBP agar pihaknya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan.

    “Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas,” katanya.

    Mengenai pindaan itu, beliau berkata, ia harus dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera. – Bernama