Author: Bernama

  • Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10

    Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10


    SEORANG  kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur petang ini.

    Mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondomium itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan terbabit kira-kira jam 3.30 petang tadi.

    “Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Beh, sebelum kejadian mangsa dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.

    “Mangsa dipercayai membuka tingkap tandas sebelum menyusup keluar dan terjatuh di perimeter laluan bomba di tingkat tiga,” katanya.

    Difahamkan ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.

    Beh berkata polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

    Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibu mangsa pada kira-kira jam 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

    “Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

    “Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

    Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

  • Syak Syed Saddiq subahat dengan 2 lagi individu tentang kehilangan RM250,000

    Syak Syed Saddiq subahat dengan 2 lagi individu tentang kehilangan RM250,000

    SEORANG penolong penguasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mengesyaki Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersubahat dengan dua individu berhubung kehilangan wang tunai RM250,000 dari peti besi di kediaman ahli politik itu, dua tahun lepas.

    ASP Ahmad Marzuqi Ibrahim, 39, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut berkata beliau mengesyaki perkara itu kerana hanya Syed Saddiq dan dua individu bernama Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean yang mengetahui kata laluan peti besi.

    “Hanya cap jari Syed Saddiq yang ditemukan pada almari dan sekitar kawasan peti besi itu. Saya mengesyaki ketiga-tiga mereka terlibat atau bersubahat di dalam kes kehilangan wang tersebut.

    “Saya mengesahkan pada masa itu, saya telah memberikan surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan saya, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperoleh dari pihak BNM,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali pada hari kedua perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan kelima itu juga mengesahkan berdasarkan hasil siasatannya, tiada kesan umpilan dijumpai pada peti besi dan hanya terdapat kesan cap jari bekas Menteri Belia dan Sukan pada peti besi berkenaan.

    “Saya tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana YB Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan saya ketika itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.

    “Saya juga mengesahkan YB Syed Saddiq tidak pernah memberitahu wang yang hilang tersebut adalah wang campuran politik. Beliau hanya menyatakan bahawa itu adalah wang simpanan beliau dan juga ibu bapa beliau,” katanya.

    Terdahulu, Ahmad Marzuqi berkata, susulan laporan polis tentang kecurian wang RM250,000 yang dibuat Syed Saddiq pada 29 Mac 2020, beliau telah membuat tangkapan terhadap pembantu rumah ahli politik itu, seorang warga Indonesia bernama Novi Dwi Anggraeni.

    “Bagaimanapun, Novi dibebaskan daripada siasatan kerana tiada keterangan dan bukti yang mengaitkannya dalam kes ini. Saya juga mengesahkan tiada kesan pencerobohan di bilik YB Syed Saddiq.

    “Saya juga mengesahkan tiada percanggahan terhadap keterangan individu-individu yang telah diambil keterangan berkaitan wang yang hilang itu,” katanya.

    Sementara itu, saksi pendakwaan ketujuh iaitu Koperal Helmi Abdul Rahman yang menerima panggilan MERS 999 dari Syed Saddiq berkenaan kejadian kecurian itu berkata beliau tidak mengesyaki laporan kehilangan duit yang dibuat adalah palsu.

    “Saya juga tidak bertanya kepada Syed Saddiq bila beliau sedar duit tersebut telah dicuri atau hilang,” katanya.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 4 Julai. – BERNAMA

  • Anda angkuh, kata Shafee kepada bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni

    Anda angkuh, kata Shafee kepada bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni

    PERBICARAAN  1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak bermula tegang pagi ini dengan peguam utama bekas perdana menteri dan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah terlibat dalam perbalahan mengenai cara beliau mengendalikan dokumen berkaitan 1MDB.

    Pertikaman lidah bermula apabila Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-20 berulang kali menjawab kesemua dokumen berkaitan 1MDB dikendalikan oleh Najib dan beliau hanya mematuhi arahan, menggunakan frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’.

    Peguam veteran, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang jelas jengkel dengan jawapan saksi, meminta saksi menjelaskan apakah maksudnya.

    Ahmad Husni: Itulah yang telah saya jelaskan kepada anda… anda dengar dengan teliti. Semua surat 1MDB dihantar kepada menteri. Saya hanya perlu tandatangan… saya yang menurut perintah…apa lagi yang boleh saya lakukan.

    Kedua-dua projek ini iaitu 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tidak mengikut prosedur operasi standard bagi syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Semuanya datang dari atas… anda tidak bekerja di sana, anda tidak tahu apa-apa.

    Muhammad Shafee: Itulah sebabnya saya bertanya kepada anda… Anda lebih mengetahui.

    Ahmad Husni: Jadi, anda mesti lebih faham apa yang saya perkatakan.

    Muhammad Shafee: Saya faham apa yang anda katakan. Jangan bergaduh dengan saya, saya yang mengajukan soalan.

    Ahmad Husni: Saya tidak bertengkar dengan anda.

    Muhammad Shafee: Kamu bergaduh! Jawab sahaja soalan, jangan angkuh.

    Ahmad Husni: Saya tidak angkuh!

    Muhammad Shafee: Kamu angkuh!

    Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta saksi untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Muhammad Shafee.

    Saksi membalas: “Yang Arif, beliau cuba menyalahkan orang lain”.

    Hakim Sequerah: Beliau mempunyai tugas untuk dilaksanakan.

    Ahmad Husni: Walaupun disebabkan tugas, beliau seharusnya jujur.

    Untuk ini, Hakim Sequerah berkata pihak pendakwaan pasti akan memberi peluang kepada saksi untuk menjelaskan kemudian dan beliau tidak perlu risau tentang perkara itu.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan bersambung.

    — BERNAMA

  • Tiada jemaah haji disekat perjalanan ke Makkah – Imigresen

    Tiada jemaah haji disekat perjalanan ke Makkah – Imigresen

    SEHINGGA kini, tiada jemaah haji Malaysia dikenakan sekatan perjalanan ke Tanah Suci, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Beliau berkata semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati semua jemaah haji mempunyai rekod bersih tanpa sebarang halangan sama ada dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Polis Diraja Malaysia.

    “Urusan perjalanan antarabangsa mereka berjalan lancar, ” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi ‘Makkah Route’ jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

    Setakat ini, seramai 7,507 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci Makkah menerusi 27 penerbangan. Kuota haji Malaysia bagi tahun ini adalah 14,306.

    Mengenai program ‘Makkah Route’,  Khairul Dzaimee berkata JIM menempatkan 30 anggotanya di kaunter prapelepasan di KLIA yang bertugas secara syif dengan mereka bukan sahaja menguruskan dokumen perjalanan jemaah haji malah jemaah umrah.

    Beliau berkata terdapat 11 kaunter imigresen Arab Saudi termasuk satu kaunter khas untuk jemaah haji orang kelainan upaya (OKU) yang dikendalikan 18 anggota yang didatangkan khas dari negara terbabit.

    “Anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program ‘Makkah Route’ ini akan memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka (jemaah haji) tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di sana,” katanya.

    Pelaksanaan ‘Makkah Route’ memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

    Tahun ini, Malaysia terpilih menyertai program Makkah Route bersama empat negara lain iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh selepas terpilih menjadi negara tunggal untuk projek rintis program itu pada 2017.

    — BERNAMA

  • Rahman Shaari dinobat Sasterawan Negara ke-15

    Rahman Shaari dinobat Sasterawan Negara ke-15

    PRESIDEN Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Datuk Rahman Shaari dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15, umum Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.

    Radzi dalam sidang media mengenai Sasterawan Negara ke-15 di Putrajaya berkata, seramai sembilan panel terlibat dalam pemilihan Sasterawan Negara ke-15 yang bermesyuarat sejak September 2021 bagi menilai 12 pencalonan dengan tiga daripadanya telah disenarai pendek.

    Radzi berkata, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

    Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

    Radzi berkata, Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000, selain menerima penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

    Beliau juga akan menerima kemudahan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

    Rahman yang kini seorang penulis bebas dilahirkan di Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis pada 5 Sept 1949 dan pernah bertugas sebagai seorang guru, pegawai bahasa dan pensyarah di institut pengajian tinggi awam.

    Beliau juga pernah menerbitkan 16 buku akademik, 10 novel, terlibat dalam penghasilan kamus, penyusunan buku selain penulisan skrip drama pentas dan televisyen.

    Rahman pernah memenangi tempat pertama sayembara menulis esei dan kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1977, Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986 dan Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada 2013. – BERNAMA

  • Tiada lagi subsidi minyak masak berbotol mulai 1 Julai

    Tiada lagi subsidi minyak masak berbotol mulai 1 Julai

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol.

    Menurut beliau, objektif awal program tersebut adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

    Walau bagaimanapun, kata Ismail Sabri, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

    “Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung petang ini.

    Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, sewaktu pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kilogram (kg), 2 kg, 3 kg dan 5 kg, pada Ogos 2021.

    Beliau menambah, usaha itu adalah bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik COVID-19.

    “Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan,” jelasnya.

    Ismail Sabri turut menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung isu subsidi minyak masak.

    Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

    “Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan.

    “Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kg sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007,” ujarnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

    “Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

    “Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya.

    Beliau menambah, bayaran itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

    “Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” jelasnya.

    Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

  • PRN Johor: Pengundi dibenar cabar tindakan SPR halang mengundi

    PRN Johor: Pengundi dibenar cabar tindakan SPR halang mengundi

    SEORANG pengundi berdaftar Parlimen Iskandar Puteri memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalangnya daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan R.K Tamileswaaran, 26, selaku pemohon terhadap SPR dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

    Beliau berkata, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan menetapkan 6 Julai untuk pengurusan kes.

    Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad serta Peguam Persekutuan, Nor Aqilah Abdul Halim dari AGC manakala Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Beatrice Chin Yuen Xin.

    Menerusi permohonan difailkan pada 8 Jun lepas, lelaki itu memohon perintah mahkamah supaya membatalkan keputusan atau tindakan SPR yang menghalangnya daripada mengundi pada 12 Mac lepas atas alasan beliau masih dalam tempoh kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 pada 7 Mac.

    Pemohon juga memohon deklarasi SPR bertindak secara salah dari sisi undang-undang dalam menafikan haknya untuk mengundi selain memohon deklarasi bahawa SPR mencabuli hak perlembagaan pemohon di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Tamileswaaran, beliau diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif COVID-19 dan pada hari pengundian, beliau memasuki hari keenam kuarantin.

    Dakwa pemohon, pada hari pengundian, jam 11.58 pagi beliau menjalani suatu ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah dan keputusan daripada ujian saringan itu menunjukkan bahawa beliau negatif COVID-19.

    Beliau berkata, pada 10.30 pagi, ibu bapanya pergi ke pusat mengundi terlebih dahulu untuk mengundi dan mereka telah mendapatkan penjelasan daripada pegawai SPR yang bertugas mengenai situasi pemohon dan bertanya sama ada pemohon dibenarkan untuk datang mengundi atau tidak.

    Dakwa pemohon, pada masa itu pegawai SPR yang bertugas memberitahu ibu bapanya bahawa pemohon boleh datang mengundi kerana terdapat sebuah khemah mengundi khas yang disediakan untuk individu seperti pemohon.

    Menurut pemohon, setibanya di pusat mengundi pada 12.55 tengah hari, pegawai RELA dan anggota polis yang mengawal laluan masuk telah memeriksa MySejahtera pemohon yang menunjukkan risiko ‘Tinggi’ dan mengarahkan pemohon untuk pergi ke khemah mengundi khas yang ditempatkan di pusat mengundi itu.

    Bagaimanapun, pemohon mendakwa beliau terkejut apabila pegawai SPR memaklumkan mereka menerima arahan baharu daripada SPR iaitu individu sedang dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan untuk mengundi dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi. – BERNAMA

  • Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    BAZAR Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Penemuan itu adalah berdasarkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang julung kali dijalankan DOSM bermula 3 April hingga 29 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan rekod jualan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang.

    Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan bilangan pekerja 10,993 orang dan Johor RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

    Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM126.3 juta dan Hulu Langat, RM117.9 juta.

    Bagi prestasi bazar Ramadan, Mohd Uzir berkata, Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur sebanyak RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.

    Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM113.6 juta dan Hulu Langat RM110.6 juta.

    Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.

    Bagi prestasi bazar Aidilfitri, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan dan bilangan pekerja bazar yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM115.8 juta dan 4,485 orang.

    Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta. – BERNAMA

  • Ujian PCR positif sebelum berlepas, 78 telah sihat dibawa ke tanah suci

    Ujian PCR positif sebelum berlepas, 78 telah sihat dibawa ke tanah suci

    haramain

    SEBAHAGIAN besar jemaah haji Malaysia yang positif COVID-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci telah sembuh dan kini menyertai jemaah yang lain untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sebelum ini seramai 120 jemaah tidak dapat meneruskan penerbangan akibat positif ketika ujian RT-PCR (PCR)  dan pasangan mereka turut memilih membuat penangguhan.

    Katanya, ujian PCR adalah syarat yang ditetapkan Arab Saudi iaitu dalam tempoh 72 jam sebelum penerbangan namun, Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah membuat ujian 56 jam sebelum melapor diri di terminal berlepas.

    “Kita dapati dalam beberapa penerbangan ada jemaah haji yang keputusan ujian PCR mereka adalah positif. Sehingga kini ada 120 jemaah diambil kira yang positif bersama dengan pasangan mereka yang tidak berlepas bersama.

    “Daripada 120 jemaah ini, seramai 78 jemaah telah berada di Tanah Suci selepas disahkan negatif dan tamat jalani tempoh kuarantin. Selebihnya akan menaiki penerbangan seterusnya, manakala 19 orang lagi belum negatif dan kita masih menunggu,” katanya kepada pemberita.

    Ketika ditanya tentang sejauhmana TH akan berusaha membawa kesemua jemaah yang menerima tawaran mengerjakan haji, Syed Saleh berkata : “Sekiranya mereka negatif, TH tetap uruskan penerbangan, selagi mana ada penerbangan bolehlah mereka datang”.

    Tambah beliau, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir musim haji pada 4 Zulhijjah dan berharap semua bakal jemaah yang menerima tawaran akan memperoleh keputusan negatif COVID-19, sebelum tarikh tersebut.

    Sehubungan itu, bagi memastikan 14,306 jemaah berpeluang menunaikan haji, beliau menasihatkan mereka yang belum berlepas supaya menjaga kesihatan dan tidak terdedah dengan sebarang perhimpunan sebelum ujian PCR dijalankan.

    Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata sehingga kini jemaah Malaysia berada dalam keadaan sihat dan tiada kes kritikal yang memerlukan rawatan lanjut.

    “Kebanyakan kes kesihatan yang dirujuk ke klinik seliaan TH ialah berkaitan masalah pernafasan dan penyakit kulit akibat cuaca kering dan panas…agak kurang jemaah kita yang perlukan rawatan di hospital,” katanya.

    Katanya faktor kurangnya jemaah dimasukkan ke hospital berbanding tahun sebelum ini adalah kerana keberkesanan pemeriksaan kesihatan yang agak ketat pada tahun ini selain umur jemaah yang lebih muda dan aspek keperihatinan jemaah dalam menjaga kesihatan.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA