Author: Bernama

  • Waran tangkap dikeluar terhadap jurujual buat komunikasi lucah

    Waran tangkap dikeluar terhadap jurujual buat komunikasi lucah

    MAHKAMAH Sesyen di Setiu mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang jurujual selepas gagal hadir bagi sebutan pertama kes pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi berbentuk lucah.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman berkata, perintah waran tangkap terhadap Muhammad Iqyyum Basri, 25, itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Fadhli Mahmud.

    Siti Hajar berkata, Muhammad Iqyyum yang beralamat di Negeri Sembilan gagal dihubungi pihaknya untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendengaran kes tersebut walaupun surat saman telah dikeluarkan pada 18 Mei lepas.

    “Sebelum ini dia dapat dihubungi oleh Pegawai Penyiasat dan ada beri komitmen untuk hadir hari ini. Bagaimanapun, sejak semalam hingga pagi ini, dia gagal dihubungi.

    “Jadi, kami minta mahkamah untuk keluarkan waran tangkap ke atasnya yang ketika ini bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya,” katanya.

    Menurut pertuduhan, Muhammad Iqyyum pada 8 Mac tahun lepas, kira-kira 8.24 malam telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada mangsa seorang wanita yang berasal dari Setiu dengan niat untuk menyakitkan hati.

    Bagi perbuatan itu, Muhammad Iqyyum didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Hakim Ahmad Fadhli menetapkan sebutan semula kes pada 26 Julai depan.

  • Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    Warga emas ditahan bantu siasatan budak hilang

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada 26 Mei lalu sebelum ditemukan selepas 24 jam dalam keadaan lemah.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 70-an itu ditahan kira-kira 10.30 malam tadi hasil risikan yang dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan risikan dijalankan, polis menahan lelaki warga emas yang juga tinggal di kawasan kejiranan kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa itu.

    “Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, di Kepala Batas dan beliau difahamkan keadaan kesihatan mangsa semakin baik.

    Mohd Asri berkata setakat ini pihak polis masih belum dapat merekodkan keterangan daripada kanak-kanak perempuan itu kerana keadaannya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

    Katanya selain pemantauan oleh pasukan kesihatan, kanak-kanak itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kami juga masih menunggu laporan lengkap perubatan kanak-kanak tersebut daripada pihak hospital (untuk lengkapkan siasatan).

    “Jika laporan siasatan dan dapatan (siasatan) kita terdapat unsur-unsur lain termasuk jenayah lain, cabul dan sebagainya, polis akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

    Difahamkan mangsa mengenali lelaki warga emas itu dan kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan dalam kawasan semak di Permatang Keriang semalaman ketika dilaporkan hilang.

    Media sebelum ini melaporkan orang awam telah menemukan kanak-kanak itu di kawasan semak Permatang Keriang, Penaga kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan pemeriksaan mendapati kecedaraan patah rahang, luka di bahagian dagu serta belakang kepala, lebam di dada dan belakang badan serta patah dua batang gigi.

    Kanak-kanak itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada sekitar 1 tengah hari Jumaat lepas dan didapati tidak pulang ke rumahnya sebelum ditemukan pada 6 petang keesokannya.

  • Abu Samah dilepas tanpa dibebas tuduhan rasuah

    Abu Samah dilepas tanpa dibebas tuduhan rasuah

    MAHKAMAH Sesyen hari ini melepas tanpa membebaskan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab terhadap dua pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM48,811.85.

    Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memohon agar tertuduh dilepas tanpa dibebaskan susulan representasi yang dikemukakan tertuduh diterima pihak pendakwaan.

    Mahkamah juga memerintahkan  wang jaminan sebanyak RM10,000 dan pasport antarabangsa Abu Samah dikembalikan kepadanya.

    Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Abu Samah hadir di mahkamah hari ini ditemani anaknya Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan ACF dan Naib Presiden PKBM yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) Datuk Amarjit Singh Gill.

    Pada 3 Jun 2022, Abu Samah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka atas dua pertuduhan tersebut. 

    Mengikut pertuduhan pertama, beliau sebagai Presiden PKBM didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat milik anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga keseluruhan RM12,750.

    Suapan itu didakwa dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018. 

    Bagi pertuduhan kedua, Abu Samah didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan syarikat milik adik-beradiknya, Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85 melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.

    Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat PKBM dalam daerah Melaka Tengah antara 2013 hingga 2019.

  • Jurugambar ditahan bantu siasatan amang seksual di Sepang

    Jurugambar ditahan bantu siasatan amang seksual di Sepang

    SEORANG jurugambar ditahan Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mei lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata lelaki warga tempatan berumur 39 tahun itu, ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada kira-kira 1.30 tengah hari susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa pada 26 Mei, selepas mangsa yang berumur 9 tahun mengadu dicabul ketika pulang dari sekolah pada 15 Mei.

    Beliau berkata kejadian itu, didakwa berlaku di sekolah berkenaan ketika program petting zoo yang diadakan sempena Bulan Panitia Sains pada 15 Mei, di mana lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada dua jurugambar luar, yang dipanggil pihak sekolah untuk merakam gambar sempena acara tersebut.

    Ekoran kejadian itu, satu perjumpaan antara pihak sekolah, penjaga mangsa dan dua jurugambar yang bertugas, telah diadakan pada 23 Mei dan salah seorang jurugambar berkenaan dikatakan mengaku melakukan perbuatan tersebut.

    Md Noor Aehwan berkata pihak sekolah telah memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kedua-dua jurugambar itu memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini, namun bapa mangsa yang tidak berpuashati dengan tindakan sekolah, telah membuat laporan polis pada 26 Mei yang membawa kepada penahanan lelaki itu.

    Beliau ketika dihubungi hari ini berkata lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kini direman selama seminggu hingga 1 Jun ini.

    Md Noor Aehwan juga berkata saksi pelajar lain juga dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

  • APMM selamatkan pemancing warga British terkandas di Pulau Lalang

    APMM selamatkan pemancing warga British terkandas di Pulau Lalang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menyelamatkan seorang pemancing warga British yang terkandas di Pulau Lalang, Melaka semalam.

    Pengarah Maritim negeri Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata mangsa dikenali sebagai Russel Walter Boyd, 40, dan tinggal di Bangsar, Kuala Lumpur ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan selepas terkandas kira-kira tiga jam.

    Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa keluar memancing seorang diri menaiki bot getah ke pulau tersebut sebelum bot dinaikinya hanyut dibawa arus kerana tidak diikat.

    “Pihak kami menerima makluman pada 2.30 pagi semalam dari Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru melalui aduan MERS 999 sebelum mengatur gerak Bot Kilat 19 yang berada di kawasan berhampiran bagi menyelamatkan mangsa.

    “Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Bandar Hilir Melaka untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti maritim selamat untuk melakukan aktiviti di laut. 

    Katanya sebarang maklumat atau kecemasan sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.

  • Pengarah syarikat pembersihan tipu ejen Perkeso didenda RM300,000

    Pengarah syarikat pembersihan tipu ejen Perkeso didenda RM300,000

    SEORANG pengarah syarikat pembersihan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, kerana menipu seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memperdayakannya berhubung Program Insentif Pengambilan Pekerja sehingga pertubuhan itu menyerahkan wang RM236,080, dua tahun lalu.

    Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas M Karthikesan, 44, selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu dijatuhi hukuman denda berjumlah RM50,000 atau penjara 25 bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Dia didenda berjumlah RM250,000 atau penjara 54 bulan bagi tiga lagi pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Karthikesan didakwa sebagai pemilik Syarikat Fajaa Murudana Sdn Bhd dan Profit Sonata Sdn Bhd secara tidak jujur, menipu ejen Perkeso dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa 20 orang dalam senarai pekerja di Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu bertarikh 12 dan 4 Mei 2021 yang ketahuinya bukan pekerja syarikat tersebut.

    Perbuatan itu mendorong Perkeso menyerahkan RM236,080 ke dalam dua akaun bank milik syarikat tertuduh yang tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan oleh tertuduh.

    Karthikesan didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak dan Jalan Selangor Seksyen 6, Petaling Jaya di Kuala Lumpur antara 19 Mei 2021 dan 22 Mei 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon hukuman denda berjumlah RM300,000 agar memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat berhubung kesalahan tersebut.

    “Pada hari ini tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, sekiranya mahkamah merasakan hukuman denda wajar diberikan kepada tertuduh maka pihak pendakwaan memohon jumlah denda RM300,000, ia adalah wajar dan setimpal selaras dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

    Peguam Vijaya Sandran yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda atas alasan anak guamnya telah insaf serta menanggung keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

  • Polis siasat kumpulan dakwa pewaris Kesultanan-KPN

    Polis siasat kumpulan dakwa pewaris Kesultanan-KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis berhubung tindakan sekumpulan penuntut yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang mengemukakan tuntutan melalui notis timbang tara melebihi US$32 bilion.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berikutan tuntutan yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

    “Tuntutan tersebut merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124(k) Kanun Keseksaan kerana sabotaj.

    “PDRM memandang serius sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya perbuatan sabotaj terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara serta memberi jaminan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Sarjan didakwa minta suapan supaya tak ambil tindakan

    Sarjan didakwa minta suapan supaya tak ambil tindakan

    SEORANG polis trafik berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta suapan agar tidak diambil tindakan bagi kesalahan menggunakan kenderaan tiada permit untuk tujuan perdagangan barang.

    Mohd Arun Shah Syazwan, 31, yang bertugas di pejabat bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya daripada dua lelaki wang tunai berjumlah RM800 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan menggunakan kenderaan tidak memiliki permit untuk tujuan perdagangan barang di pejabat bahagian trafik, IPD Gombak, Gombak, Shah Alam pada 1 Disember 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Julai ini.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Effa Ruzanna Anuar.

  • Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan selama empat minggu bagi pendakwa raya menyediakan tawaran untuk seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Terence Tay turut mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan kes.

    Tertuduh yang muncul melalui pautan video mengangguk apabila keputusan itu dibacakan kepadanya melalui jurubahasa.

    “Pihak pendakwaan meminta penangguhan empat minggu untuk menyediakan tawaran untuk anda… tiada jaminan untuk anda,” kata jurubahasa itu.

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TENAGA Nasional Bhd (TNB) berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM4 juta kepada sebuah syarikat pembuatan keluli, kerana didakwa berlaku kecuaian berhubung gangguan bekalan elektrik ke kilang itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M Gunalan membenarkan rayuan TNB untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas memutuskan TNB tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap tuntutan syarikat Southern Steel Berhad (SSB).

    Mahkamah juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya UEM Construction Sdn Bhd membayar pampasan kepada TNB berjumlah RM2 juta berhubung liabiliti TNB kepada SSB.

    Dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 3 Mei tahun ini, Hakim Datuk Abu Bakar berkata, tuntutan ganti rugi SSB bagi tort kecuaian tidak boleh bertahan berdasarkan kerugian ekonomi semata-mata.

    “Melihat kepada rayuan itu, tidak dapat dinafikan relif yang dipohon oleh SSB bukan untuk kerugian kewangan akibat kerosakan fizikal terhadap harta benda SSB,” katanya sambil menambah mahkamah akan mempertimbangkan untuk membenarkan ganti rugi kepada SSB jika syarikat itu memohon kerosakan fizikal akibat gangguan bekalan elektrik.

    Hakim Abu Bakar berkata, TNB tidak mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Beliau juga berkata, memandangkan TNB tidak bertanggungjawab terhadap SSB, perintah Mahkamah Tinggi terhadap UEM Construction untuk memberi pampasan kepada TNB juga perlu diketepikan.

    Panel itu juga menolak rayuan SSB terhadap kuantum ganti rugi yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi. SSB telah menuntut lebih RM8 juta ganti rugi am dan/atau ganti rugi khas terhadap TNB.

    SSB memfailkan saman terhadap TNB mendakwa syarikat utiliti itu gagal membekalkan elektrik ke premis kilangnya dalam tempoh seminggu dari 26 Ogos 2008 hingga 1 Sept 2008.

    Syarikat itu mendakwa mereka tidak dapat menghasilkan keluli dan mengalami kerugian akibat gangguan elektrik.

    Sementara itu, TNB menamakan UEM Construction sebagai pihak ketiga dalam tuntutan saman SBB untuk menanggung sebarang liabiliti kerana TNB mendakwa UEM telah menyebabkan gangguan elektrik ke premis SSB.

    TNB mendakwa gangguan bekalan elektrik itu disebabkan kecuaian pihak ketiga ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang membekalkan elektrik ke premis SSB.

    Pada 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SSB terhadap TNB dan memerintah syarikat utiliti itu membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Ia juga membenarkan tuntutan TNB terhadap UEM Construction dan memerintahkan UEM Construction menanggung separuh daripada RM4 juta tersebut selepas mendapati syarikat berkenaan 50 peratus penyumbang kecuaian terhadap insiden itu yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang secara langsung mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke premis kilang SSB.