Author: Bernama

  • Pengurusan kes permohonan Najib kemuka bukti tambahan kes SRC Isnin depan

    Pengurusan kes permohonan Najib kemuka bukti tambahan kes SRC Isnin depan

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan Isnin depan sebagai pengurusan kes permohonan Datuk Seri Najib Abdul Razak(gambar) bagi mengemukakan bukti tambahan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd dalam usaha membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu.

    Pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan itu akan berlangsung melalui sidang video.

    Bukti tambahan yang ingin dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam am dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab bagi pengurusan serta pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan tersebut.

    Pada sidang akhbar 7 Jun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata Mohd Nazlan gagal mendedahkan bahawa beliau adalah peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab mencadangkan penubuhan SRC International.

    Menerusi afidavit bagi menyokong permohonan itu, Najib berkata bukti yang ingin dikemukakan tidak disediakan kepada beliau semasa perbicaraan sambil menambah bahawa ia adalah relevan dengan isu di hadapan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, justeru adalah relevan kepada rayuannya yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata hakikat bahawa Mohd Nazlan tahu mengenai penglibatan peribadinya dengan penubuhan SRC International namun menyembunyikannya daripada pembelaan adalah terjumlah kepada konflik kepentingan yang membawa kepada bahaya sebenar iaitu berat sebelah.

    Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

    Pada 8 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu yang mendorong beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadapnya.- Bernama

  • Pengarah ZCSB beri jam tangan Maurice Lacroix sempena hari jadi Guan Eng

    Pengarah ZCSB beri jam tangan Maurice Lacroix sempena hari jadi Guan Eng

    PENGARAH Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB)  memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau memberikan wang RM100,000 dan seutas jam tangan jenama Maurice Lacroix bernilai RM43,000 kepada Lim Guan Eng sempena ulang tahun kelahirannya.

    Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata sekitar 2015, beliau membawa wang tunai RM100,000 yang diisi di dalam sampul surat putih serta jam tangan berwarna hitam ke pejabat Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Menara KOMTAR.

    “YB Lim Guan Eng dan saya sahaja di bilik beliau dan setelah duduk bersembang seketika, YB Lim ada bertanya mengenai  projek terowong. Saya memberitahu kepada YB Lim yang sekarang masih lagi dalam peringkat untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan.

    Kemudian saya memberitahu YB Lim yang saya ada membawa hadiah untuk beliau sempena hari jadinya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan ke rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau kemudian menyerahkan wang RM100,000 dan jam tangan tersebut lengkap bersama kotak berwarna hitam kepada Lim, namun Lim memberikan kembali sampul putih berisi wang itu kepadanya dan hanya menerima jam tangan diberikan.

    “YB Lim kelihatan gembira apabila menerima jam tangan dari saya dan selepas itu, saya beredar dari pejabatnya. Saya tidak pula melihat YB Lim memakai jam yang saya berikan itu. Saya tidak rasa apa-apa apabila YB Lim tolak pemberian wang RM100,000 tersebut,” katanya.

    Zarul Ahmad berkata Lim tidak pernah meminta jam tangan itu sempena hari jadinya tetapi beliau sendiri membeli jam tangan itu menggunakan cek daripada akaun bank UOB Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, semata-mata untuk memastikan pelaksanaan projek terowong itu berjalan lancar dengan Kerajaan Pulau Pinang.

    Sementara itu, Zarul Ahmad berkata sekitar Disember 2014, beliau memberikan wang RM100,000 yang diletakkan dalam satu sampul putih kepada Lim sempena ulang tahun kelahirannya di pejabat Lim.

    “ Saya menyerahkan sampul putih itu kepada YB Lim dan beliau terima sampul putih yang berisi wang RM100,000 itu daripada saya setelah saya hulur kepadanya. YB Lim tidak bertanya apa kandungannya dan dia juga tidak menolak.

    YB Lim kelihatan gembira setelah menerima sampul tersebut dan wang RM100,000 itu adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh beliau daripada keuntungan syarikat saya,” katanya.

    Menurut saksi itu, beliau memperolehi sumber wang daripada jualan tanah Lot 702 kepada Ewein Zenith Sdn Bhd milik Datuk Ewe Swee Kheng dan ZCSB telah menerima bayaran daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui tanah Lot 702 setelah mendapat kelulusan kajian kebolehlaksanaan untuk tiga jalan utama.

    “Saya menyimpan sebahagian daripada sumber tersebut dalam bentuk tunai untuk membuat sumbangan kepada YB Lim Guan Eng,” katanya.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi Isnin depan.

    — BERNAMA

  • Elaun warden sekolah berasrama dinaikkan, setelah 25 tahun tidak disemak – Dr. Radzi

    Elaun warden sekolah berasrama dinaikkan, setelah 25 tahun tidak disemak – Dr. Radzi

    SETELAH hampir 25 tahun kadar elaun warden sekolah berasrama di bawah selian Kementerian Pendidikan tidak disemak, hari ini kerajaan umum elaun tersebut dinaikkan sebanyak 25 peratus.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata berkuat kuasa 1 Ogos, kadar baharu kepada ketua warden dinaikkan kepada RM350 sebulan, manakala bagi warden adalah sebanyak RM300 sebulan.

    “Untuk makluman, kali terakhir kadar elaun warden asrama disemak adalah pada 1997,” kata Mohd Radzi menerusi video pengumuman yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

    Selain itu, Mohd Radzi berkata seramai 3,813 warden baharu akan dilantik di 1,874 sekolah berasrama di bawah kementeriannya, dalam usaha memperkasakan portfolio mereka.

    Katanya, peningkatan jumlah warden asrama sebanyak 63 peratus iaitu daripada 6,055 orang kepada 9,868 orang itu, akan membolehkan penggiliran tugas warden dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama KPM.

    Tambahnya, kedua-dua penambahbaikan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM19 juta.- Bernama

  • Lelaki, anak tiri didakwa tipu bekalan sarung tangan RM700,000

    Lelaki, anak tiri didakwa tipu bekalan sarung tangan RM700,000

    SEORANG lelaki dan anak tirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdaya dua lelaki berhubung pembekalan sarung tangan getah yang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM700,000 dua tahun lepas.

    Ahmad Yusri Mohd Yunus, 66, dan Megat Akhimullah Faliq Megat Khaironnashiin, 23, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Michael Seow Chor Huat, 41, dan Ong Sheng Jie, 34, sehingga mendorong kedua-dua mangsa memindahkan wang RM756,250 ke dalam akaun bank Syarikat AYMY Multitouch Solution Enterprise.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah bank di Sri Petaling di sini pada 6 Nov 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh manakala kedua-dua beranak yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan.

    Ahmad Yusri memberi alasan bahawa dia telah membayar RM300,000 kepada Seow dan menggadaikan rumahnya kepada lelaki itu manakala Megat Akhimullah Faliq pula berkata, ibunya terpaksa menanggung ahli keluarga yang ramai.

    Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – BERNAMA

  • Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sendiri mengetahui sebab beliau digugurkan daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dan apa yang dilakukannya kepada parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata, adalah tidak adil jika orang lain yang memberitahu perkara itu kepada umum, sebaliknya sebaik-baiknya media bertanyakan sebab Tajuddin digugurkan kepada tuan badan sendiri.

    “Tanya beliau sendiri apa kenyataan yang telah beliau buat, apa bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang dinyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya kepada media apabila ditanya adakah Tajuddin digugurkan kerana melanggar peraturan parti, selepas pelancaran Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

    Semalam, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

    Ahmad Zahid berkata, kuasa pelantikan (ahli MT UMNO) ialah kuasa presiden parti dan mana-mana ahli MT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

    “Sesuatu ketetapan harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat, tetapi apabila sesuatu keputusan itu telah dibuat maka keputusan itu merupakan keputusan parti. Dan kita perlu mematuhi peraturan parti, bukan sebaliknya,” katanya.

    Beliau berkata, MT UMNO dijadual bermesyuarat malam ini bagi menterjemahkan beberapa perkara yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

    Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang ditemui pada majlis sama, berkata, secara peribadi beliau berpandangan apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO itu merupakan hak presiden dalam perlembagaan (parti).

    “Pada sayalah apa yang diputuskan (presiden parti) itu ialah untuk memberikan peluang kepada Tajuddin menumpukan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA dua maut dan lima lagi cedera selepas sebuah pesawat penumpang Il-76 terhempas di wilayah Ryazan, Rusia pada pagi Jumaat, menurut pihak berkuasa Rusia.

    Kejadian berlaku pada 3.18 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Rusia TASS.

    Pesawat Il-76 itu terhempas sebelum terbakar ketika cuba mendarat berhampiran Ryazan, sebuah bandar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari tenggara Moscow.

    https://youtu.be/JtMbACUc58Q

    Api berjaya dipadamkan, dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – BERNAMA

  • Penyanyi Jason Lo bebas tuduhan dadah

    Penyanyi Jason Lo bebas tuduhan dadah

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan penyanyi Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya, tiga tahun lepas.

    Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo atau nama sebenar, Jason Jonathan Lo, 47, yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    “Hari ini ditetapkan keputusan di akhir kes pendakwaan dan kamu (Jason Lo) dipertuduhkan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mahkamah telah meneliti saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukakan berdasarkan satu penelitian maksimum serta hujahan kedua-dua pihak.

    “Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan (RM2,500) kamu dilepaskan. Alasan penghakiman akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” kata Mohamad Fared.

    Selepas prosiding itu selesai, Jason Lo, bersut hitam dilihat memeluk seorang rakannya yang berada di galeri awam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

    Pada 13 Mei, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula pada 6 April 2021 dan antara saksi yang dipanggil ialah pegawai kimia, pegawai penyiasat dan pegawai yang menjalankan saringan ujian air kencing.

    Mengikut pertuduhan, Jason Lo didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Jason Lo ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dia bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada barisan peguamnya di atas kerja keras mereka. – BERNAMA

  • Celcom, Digi, U Mobile diberi notis Arahan Suruhanjaya SKMM

    Celcom, Digi, U Mobile diberi notis Arahan Suruhanjaya SKMM

    TIGA syarikat telekomunikasi telah dikenakan Arahan Suruhanjaya kerana didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan di Langkawi termasuk Lebuhraya Langkawi dan kawasan pelancongan.

    Syarikat telekomunikasi itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022, menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

    “Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” menurut SKMM.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 14 Jun lepas telah mengarahkan SKMM untuk membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian Internet di seluruh Malaysia.

    Annuar dilaporkan berkata, SKMM perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

    Susulan itu, SKMM memaklumkan pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah MSQoS di 3,038 lokasi di seluruh negara, dengan kesemua lokasi itu dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima.

    Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lepas, jelas SKMM.

    SKMM memberitahu, aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

    “Bermula pada tahun lepas, SKMM telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri dan satu daripada penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.

    “SKMM turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi,” menurut SKMM. – BERNAMA

  • “Tak malu ke orang UMNO sendiri lemahkan PM?” – Annuar

    “Tak malu ke orang UMNO sendiri lemahkan PM?” – Annuar

    AHLI-AHLI UMNO sewajarnya menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri apabila berjaya memimpin negara dengan menyelesaikan pelbagai isu yang amat mencabar yang tidak pernah dialami mana-mana perdana menteri sebelum ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan ahli parti yang memperlekehkan Perdana Menteri Kesembilan itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

    “Tak malu ke orang parti kita sendiri cuba melemahkan PM (Perdana Menteri) daripada parti kita yang hanya ada 38 kerusi?,” katanya dalam satu sidang media.

    Annuar berkata, kepimpinan Ismail Sabri seharusnya mendapat sokongan kerana beliau telah mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

    “Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO,” katanya.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

    Annuar berkata, walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

    “Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu… dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.

    “Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

    Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri. – BERNAMA

  • Saya tiada niat jahat terhadap Lim Guan Eng – Pengarah syarikat ZCSB

    Saya tiada niat jahat terhadap Lim Guan Eng – Pengarah syarikat ZCSB

    PENGARAH  syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau tidak mempunyai sebarang motif jahat, tidak mereka cerita dan membuat pernyataan palsu berhubung keterangannya terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

    Zarul Ahmad, 62, berkata beliau terhutang budi dengan Lim yang telah menganugerahkan projek mega pembinaan terowong dasar laut dan pembinaan jalan-jalan utama di Pulau Pinang kepada syarikatnya kerana beliau sebagai seorang yang tidak dikenali kepada ahli perniagaan besar.

    “Saya tahu perbuatan menjanjikan jumlah peratusan daripada keuntungan sesuatu projek itu adalah kesalahan tetapi saya yakin, sesiapa pun yang senasib dengan saya akan merasa terhutang budi dan ingin membalas budi orang yang membantunya.

    “Saya juga tahu perbuatan meminta balasan dan pemberian upah berkaitan dengan sesuatu projek juga merupakan satu kesalahan. Kesemua perkara ini melibatkan unsur-unsur rasuah yang salah di sisi undang-undang,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Pada prosiding sebelum ini, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah, beliau terkejut apabila Lim meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan dalam projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

    Menurutnya, apa yang beliau faham ketika itu, 10 peratus adalah wang rasuah daripada keuntungan syarikat beliau yang perlu diberikan kepada Lim apabila syarikatnya dianugerahkan projek tersebut.

    Terdahulu, saksi pendakwaan ke-23 itu mengakui beliau menghadapi tekanan hidup hingga terpaksa mengambil ubat untuk menenangkan fikiran susulan siasatan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama itu.

    “Pada kali pertama kes terowong ini disiasat, saya telah direman selama 11 hari oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Segala usaha saya untuk menjayakan projek ini hampir musnah dan saya tidak dapat memperoleh pinjaman bank, selain hilang keyakinan daripada ahli-ahli perniagaan untuk membantu saya,” katanya.

    Bagaimanapun, Zarul Ahmad berkata beliau tidak berputus asa walaupun terdapat publisiti negatif terhadapnya dan lama-kelamaan, beliau mula mendapat keyakinan daripada komuniti perniagaan untuk meneruskan semula perniagaan.

    “Kerajaan Pulau Pinang pun memberi saya peluang untuk menjalankan projek itu. SPRM juga mengesahkan bahawa saya adalah pemilik saham syarikat yang tulen,” katanya.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

    — BERNAMA