Author: Bernama

  • Kejohanan dunia: Pandelela raih gangsa di Budapest

    Kejohanan dunia: Pandelela raih gangsa di Budapest

    RATU terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg terus mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi selepas meraih pingat gangsa 10 meter (m) platform wanita Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary, pagi ini.

    Kejayaan itu menyaksikan Pandelela menyamai pencapaiannya pada Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, Rusia dan memperbaiki kedudukan kelima yang diraih pada edisi 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

    Pada aksi akhir yang berlangsung di Arena Duna, penerjun berusia 29 tahun itu mengumpul 338.85 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk memastikan kedudukan podium dalam genggamannya.

    Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 16 tahun Chen Yuxi, dari China merangkul emas selepas mengumpul 417.25 mata sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan membawa pulang perak dengan kutipan 416.95 mata.

    Pandelela yang memenangi pingat emas kejohanan terjun Piala Dunia 2021 di Tokyo, merupakan atlet paling senior dalam acara 10m platform wanita di Budapest.

    Selain itu, beliau akan turun beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri Khamis ini, dalam usaha mempertahankan pingat perak yang dimenangi bersama pasangan terdahulu, Datuk Leong Mun Yee pada 2019.

    Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara 3m papan anjal lelaki berakhir di pusingan kelayakan selepas Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-35 dan ke-51 daripada keseluruhan 55 penerjun. – Bernama

  • Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kini berada di Paris, Perancis bagi mewakili Malaysia di persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang berlangsung hari ini sehingga Khamis.

    Menurut beliau sesi pra-sidang kemuncak kali ini membicarakan tentang transformasi pendidikan serta langkah yang dapat diambil bagi memastikan kemajuan dan kemampanan sistem pendidikan.

    “Beberapa sesi perbincangan dan lawatan kerja akan turut diadakan sepanjang berada di sini, khususnya berkaitan dengan transformasi pendidikan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

    UNESCO berusaha untuk membina keamanan melalui kerjasama antarabangsa dalam pendidikan, sains dan budaya.

    Program UNESCO menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan yang ditakrifkan dalam Agenda 2030, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2015. – BERNAMA

  • Bayaran kepada Guan Eng guna invois palsu 2 syarikat tak aktif: Saksi

    Bayaran kepada Guan Eng guna invois palsu 2 syarikat tak aktif: Saksi

    MAHKAMAH Sesyen hari ini diberitahu bahawa pembayaran kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibuat menggunakan modus operandi pemalsuan dokumen membabitkan dua syarikat yang tidak aktif, atas arahan Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

    Bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, Azli Adam, 58, berkata, pembayaran itu dibuat menggunakan invois dan baucar bayaran atas nama syarikat Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) dan Bintang Ria Engineering (BRE).

    “Antara tahun 2012 sehingga 2017, terdapat beberapa pembayaran yang telah dikeluarkan melalui dua akaun syarikat iaitu Zenith Construction Sdn Bhd dan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, dan pembayaran itu dibuat kepada Datuk Zarul melalui cek-cek yang ditunaikan oleh beliau sendiri dan saya.

    “Pembayaran itu dibuat menggunakan modus operandi pemalsuan invois dan baucar bayaran atas nama kedua-dua syarikat itu. Datuk Zarul telah memberi arahan untuk mendapatkan invois ‘dummy’ daripada beberapa syarikat yang wujud tetapi tidak aktif, bagi tujuan menggunakan invois syarikat itu.

    “Saya dan Ibrahim Sahari mencari orang tengah yang boleh mendapatkan syarikat sedemikian untuk saya memperolehi invois-invois ‘dummy’ berkaitan,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi dalam kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Menceritakan mengenai modus operandi itu, Azli berkata, pada awal 2014, beliau ada berjumpa dengan kenalannya di Kuala Lumpur dan meminta bantuan untuk memperkenalkan mana-mana orang yang boleh mendapatkan invois ‘dummy’, dan rakannya itu mencadangkan seorang orang tengah (nama tidak diingati) untuk membantu beliau mendapatkan invois daripada beberapa buah syarikat.

    Menurut saksi pendakwaan ke-28 itu, orang tengah tersebut kemudian telah mendapatkan invois daripada syarikat SBCS dan BRE, selain mendapatkan invois daripada syarikat JKM Konsortium Sdn Bhd (JKMKSB) dan Jurutera Konsult Maju Sdn Bhd (JKMSB), untuk digunakan sebagai invois ‘dummy’ bagi membuat pengeluaran wang syarikat CZCSB.

    “Datuk Zarul akan mengeluarkan arahan untuk menyediakan cek bagi pembayaran ini. Kesemua cek-cek ini akan disediakan mengikut proses kewangan syarikat dan ditandatangani oleh dua daripada empat pengarah yang telah diberikan kuasa,” katanya.

    Azli berkata, selepas tangkapan ke atas Zarul dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan Januari 2018, Zarul telah membuat pengakuan kepadanya dan Ibrahim Sahari bahawa pembayaran-pembayaran yang beliau arahkan untuk memalsukan invois dan baucar bayaran SBCS dan BRE sebelum ini, sebahagiannya adalah untuk pembayaran rasuah kepada Guan Eng.

    “Pengakuan beliau (Zarul) kepada saya menjadi titik tolak yang meyakinkan saya bahawa memang pembayaran tersebut dibuat kerana sejak tahun 2012 sehingga 2017, dan Datuk Zarul telah mengarahkan saya dan Ibrahim untuk menggunakan kedua-dua dokumen itu bagi memanipulasikan akaun syarikat dan menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada beliau.

    “Saya sahkan bahawa apa sahaja pembayaran ke atas invois dan baucar bayaran kepada syarikat SBCS dan BRE, adalah merupakan pembayaran palsu dan butiran dalam ‘description’ bagi Projek Terowong dan Jalanraya Penang adalah tidak sah dan tidak dilaksanakan,” kata saksi itu.

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, Azli berkata, beliau tidak pernah berjumpa Guan Eng secara peribadi dan hanya berjumpa ahli politik itu semasa majlis hari raya di Pulau Pinang.

    Saksi itu turut mengesahkan bahawa penerangan dalam invois dan baucer bayaran itu diarahkan oleh Zarul, walaupun butiran tersebut adalah palsu, namun projek terowong itu merupakan satu-satunya projek yang aktif dan telah dianugerahkan kepada syarikat CZCSB oleh kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Guan Eng pada masa itu.

    Bagaimanapun, Azli berkata, SBCS dan BRE tidak mempunyai kaitan dan tidak ada apa-apa kontrak dengan syarikat CZCSB dan invois-invois ‘dummy’ diperolehi daripada dua syarikat itu oleh orang tengah, dengan membeli invois dan segala bayaran ke atas pembelian invois ‘dummy’ dibuat kepada orang tengah tersebut olehnya (Azli).

    “Saya tidak tahu dua syarikat ini dimiliki oleh siapa. Apa yang saya mahu hanya invois itu sahaja. Seingat saya, bayaran bagi mendapatkan invois-invois ‘dummy’ tersebut lebih kurang RM10,000 ke RM15,000 bagi satu kali sahaja. Saya membuat bayaran bagi pembelian invois itu secara tunai kepada orang tengah itu,” katanya.

    Bagi invois yang diperolehi daripada syarikat JKMKSB, saksi itu berkata, beliau hanya tahu syarikat itu dimiliki oleh Datuk Dr Lee dan Datuk Dr Shukri yang merupakan konsultan kepada CZCSB, dan saksi itu juga dimaklumkan oleh Zarul bahawa beliau ada kawalan terhadap syarikat tersebut.

    Disoal oleh Gobind, adakah saksi itu tahu penyediaan dokumen-dokumen ini (invois dan baucar bayaran) adalah palsu dan ia satu kesalahan di bawah undang-undang dan saksi itu hanya mengikut arahan Zarul, Azli menjawab “Ya”.

    Guan Eng, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Selasa. – Bernama

  • Pensyarah kanan didakwa salah guna dana projek penyelidikan, palsu invois

    Pensyarah kanan didakwa salah guna dana projek penyelidikan, palsu invois

    SEORANG pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur, hari ini, atas lima pertuduhan menyalahgunakan dana projek penyelidikan bernilai RM32,000 dan satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100 lima tahun lalu.

    Mohamad Zulkefli Adam, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussain dan Azura Alwi.

    Di hadapan Suzana, Zulkefli didakwa atas lima pertuduhan, iaitu sebagai ketua projek Research-Based Foundation For Sustainable Agriculture Entrepreneurship (Smart Rural), menyalahgunakan wang berjumlah RM32,000 milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Maybank Berhad cawangan Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur, antara 3 Sept dan 26 Okt 2017.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Hakim Suzana membenarkan Zulkefli diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.

    Di hadapan hakim Azura, Zulkefli dituduh atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu bernilai RM10,100 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, pada 11 Ogos 2017.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Mohd Zain.

  • Budak lelaki 5 tahun mati disengat tebuan

    Budak lelaki 5 tahun mati disengat tebuan

    KEGEMBIRAAN tiga beradik bermain di padang permainan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut disengat tebuan, di Kampung Tok Jembal, kira-kira 5.40 petang semalam.

    Mangsa, Eidrish Mohd Khalid, 5, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11.20 malam tadi selepas terkena 60 sengatan di seluruh bahagian badan.

    Bapa mangsa, Mohd Khalil Omar, 40, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri Norliza Shaparuddin, 36, dan tiga anaknya sedang bercuti di kampung dan merancang untuk bertolak pulang ke Ipoh kira-kira 6 petang.

    Bagaimanapun, ketika bersiap-siap untuk pulang, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.

    “Sebaik mendengar jeritan Adelya, saya terus berlari ke tempat kejadian dan melihat Eidrish sudah terbaring di tanah dengan tebuan penuh satu badan.

    “Ketika saya mendukungnya naik ke rumah, dia (Eidrish) masih bernyawa, tetapi sangat lemah dan kaku tidak menjerit atau menangis,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

    Selain Eidrish, Mohd Khalid berkata dia serta dua anaknya, Nur Adelya Qaisara serta Nur Aiyris Dania, 7, turut terkena sengatan.

    “Adelya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ kerana terkena dua sengatan manakala Aiyris pula dirawat sebagai pesakit luar.

    “Saya pula sepatutnya dirawat di wad kerana terkena hampir 20 sengatan, tetapi terpaksa pulang untuk menguruskan pengebumian Eidrish kira-kira 10 pagi tadi,” katanya.

    Mohd Khalid berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu, tetapi kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membiarkan rangka pelantar jeti tersebut di kawasan padang permainan tanpa penyelenggaraan.

    “Tidak sepatutnya rangka pelantar jeti ditinggalkan di kawasan padang permainan kerana ia boleh menjadi habitat pelbagai haiwan berbisa.

    “Saya harap pihak berkenaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan sebelum nyawa lain terkorban,” katanya. – BERNAMA

  • Kes rasuah: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

    Kes rasuah: Zahid mohon tangguh prosiding bela diri

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu pada 23 Jun lepas.

    “Kami mohon tarikh segera untuk pendengaran permohonan ini,” katanya sebelum prosiding membela diri bekas timbalan perdana menteri itu atas 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, pihaknya menerima salinan notis permohonan itu menerusi e-mel pada Sabtu lepas dan akan membantah permohonan tersebut.

    “Kami memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu,” katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan dan permohonan itu didengar pada 7 Julai ini.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul permohonan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa keterangan saksi-saksi yang akan beliau sebutkan (di mahkamah) adalah mustahak dan material untuknya mendapatkan salinan rakaman-rakaman percakapan mereka.

    Menurut Ahmad Zahid, ini kerana beliau dapat melihat wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka.

    Saksi-saksi itu termasuk anaknya, Datuk Nurulhidayah, adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

    Ahmad Zahid berkata, tanpa salinan rakaman percakapan saksi-saksi berkenaan, haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil akan terjejas dan beliau ingin memberikan keterangan yang penuh serta lengkap semasa pemeriksaan utama di mahkamah sebelum disoal balas.

    “Permohonan ini bukan bertujuan untuk melengahkan atau melewatkan perbicaraan kes saya kerana saya telah memberikan keterangan di peringkat keterangan utama di mahkamah. Permohonan ini adalah bersifat bona fide (niat baik) untuk memastikan saya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.

    “Adalah wajar dan adil bagi saya untuk mendapat penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan atau pelupusan daripada Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan salinan rakaman percakapan saksi-saksi itu sebelum saya diarahkan untuk disoal balas,” katanya dalam afidavit itu.

    Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

    Ahmad Zahid diperintah membela diri atas 47 pertuduhan itu pada 24 Jan selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid menyambung membacakan pernyataan saksi. – BERNAMA

  • Hakim ‘amat kecewa’ Guan Eng keluar kenyataan subjudis luar mahkamah

    Hakim ‘amat kecewa’ Guan Eng keluar kenyataan subjudis luar mahkamah

    HAKIM Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dan menegur tindakan ahli politik itu membuat kenyataan media berhubung kes yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Hakim Azura Alwi turut menegaskan bahawa perkara mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding di mahkamah.

    “Perkara seperti ini (keluarkan kenyataan subjudis) pernah ditimbulkan sebelum ini, namun tiada sebarang perintah dikeluarkan. Ia masih berlaku lagi, saya boleh tegur tetapi saya tidak boleh bagi jaminan (ia tidak berulang). Saya amat kecewa dengan perkara ini. Harap perkara ini tidak berlaku (lagi) dan tidak ambil mudah hal ini.

    “Kes ini telah mendapat liputan media dan melibatkan kes kepentingan awam, saya harap tertuduh dan pihak-pihak lain dapat menghormati mahkamah,” tegas Azura.

    Sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin merujuk kepada mahkamah satu laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Lim yang mendakwa beliau tidak bersalah kerana tiada jejak wang dibuktikan berkaitan pertuduhan itu.

    “Pihak kami ingin mahkamah menegur supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

    Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim mengesahkan perkara itu dan memohon maaf kepada pihak pendakwaan dan mahkamah susulan tindakan anak guamnya mengeluarkan kenyataan kepada pihak media pada Jumaat lepas.

    “Saya faham pendirian pihak pendakwaan dan tidak patut keluarkan kenyataan, kami menerima teguran itu dan minta maaf kepada mahkamah,” kata peguam itu.

    Mahkamah menyambung prosiding untuk mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-28, Azli Adam, 58, iaitu bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

    Sebelum ini media melaporkan, laporan polis telah dibuat terhadap Lim susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan pemimpin tersebut dan laporan itu dibuat terhadap Lim berdasarkan artikel bahawa bekas Menteri Kewangan itu dipetik sebagai berkata keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik dan tindakan Lim adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

    Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

    Lim, bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pentas pesta laga lembu runtuh, lima maut

    [VIDEO] Pentas pesta laga lembu runtuh, lima maut

    SEKURANG-KURANGNYA lima orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila pentas utama runtuh ketika pesta corraleja, atau laga lembu jantan sedang berlangsung di Tolima, Colombia pada Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Seekor lembu jantan turut menyerang beberapa mangsa yang terjatuh ke dalam gelanggang di Gilberto Charry Bullring, menurut pegawai.

    Sebilangan kanak-kanak turut dilaporkan hilang akibat kekecohan yang tercetus susulan peristiwa itu, lapor Xinhua.

    Kebanyakan mereka yang cedera telah mendapat rawatan di Hospital San Rafael berdekatan.

    “Kami akan meminta siasatan dijalankan berhubung kejadian itu. (Kami berharap) mangsa yang cedera cepat sembuh dan menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban,” menurut ciapan Presiden Colombia Ivan Duque di Twitter.

    Bakal Presiden Gustavo Petro pula menggesa datuk bandar Colombia tidak membenarkan sebarang acara yang boleh menyebabkan kematian haiwan, termasuk laga lembu. – BERNAMA

  • Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di sebuah tasik tempat mengorek pasir di Jalan Kin San, Sarikei, kira-kira 58 kilometer dari Sibu, ditemukan lemas 12.30 tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat Terry Leon Zi Jun, 13, ditemukan oleh anggota keluarganya setelah operasi mencari yang dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ditangguhkan pukul 10.30 malam ekoran cuaca gelap.

    “Berikutan penemuan itu yang turut disahkan oleh pihak polis, operasi mencari itu ditamatkan jam 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, panggilan berhubung kehilangan remaja berkenaan diterima kira-kira pukul 8.35 malam dan BBP Sarikei mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggotanya. – Bernama

  • Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    SEORANG ibu dan anak perempuannya ditemukan rentung manakala dua lagi lelaki, cedera dalam kebakaran di sebuah rumah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

    Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Musa Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang rentung itu masing-masing berusia 60-an dan 20-an, ditemukan di bilik tidur berlainan tingkat atas rumah banglo tersebut.

    Katanya, kedua-dua lelaki rakyat tempatan yang cedera, telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

    Menurut Musa sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.22 pagi, pihaknya terus menghantar jentera beserta 35 anggota dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

    “Bomba tiba di lokasi pada 6.32 pagi dan mendapati api sangat marak. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.12 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Musa berkata tingkat satu banglo itu, mengalami kemusnahan 100 peratus manakala tingkat dua 50 peratus.

    banglo empat tingkat terbakar bungalow fire Kuala Lumpur
    Anggota-anggota bomba memadam kebakaran di sebuah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pagi tadi. (Gambar: Facebook Bomba Kuala Lumpur)

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bahawa kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan punca kebakaran masih di dalam siasatan.

    “Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Balai Polis Brickfields di talian 03-22979222, Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – BERNAMA