MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan khabar angin berhubung tindakan beberapa pengerusi jawatankuasa atau Exco kerajaan negeri yang mula mengemas serta mengosongkan ruang pejabat.
Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan perkara biasa dilakukan mereka terutamanya pada akhir penggal, bagi menghadapi pilihan raya.
“Ini adalah perkara lazim. Semua buat perkara sama. Dahulu saya pada penggal lepas pun begitu, bila dah nak bubar (Dewan Undangan Negeri), kita pun bersiap sedia untuk kemas. Selepas ini tugas mereka (Exco) adalah untuk menjalankan apa yang dirancang dan tidak boleh ada dasar baharu.
“Masing-masing pada ketika itu akan sibuk dengan pilihan raya dan berada di lapangan,” katanya yang ditemui di Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini ketika merujuk khabar angin mengenai tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor yang sudah mula mengemas dan mengosongkan ruangan pejabat.
Amirudin berkata, beliau sedang menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk sesi menghadap bagi menentukan tarikh pembubaran DUN Selangor, dan kerajaan negeri hanya mempunyai tempoh 23 hari bermula Sabtu bagi membubarkan DUN.
Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah. – Bernama
SEKURANG-kurangnya 207 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera akibat kemalangan kereta api di wilayah Odisha India pada petang Jumaat, menurut ciapan ketua setiausaha wilayah Pradeep Jena, di Twitter.
Sebuah kereta api penumpang bertembung koc kereta api lain yang tergelincir di timur India, Xinhua memetik laporan media tempatan.
Presiden India Draupadi Murmu melahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesakitan dan kehilangan orang tersayang.
“Semoga mangsa yang cedera segera pulih,” menurut ciapan Perdana Menteri Narendra Modi.
Beliau memberi jaminan bahawa “semua bantuan yang sewajarnya” akan diberi kepada mereka yang terjejas.
SEORANG bapa berusia 48 tahun maut dan dua anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sebuah gaung di Kampung Layangan,Labuan malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abd Rashid Bahari sementara anaknya Nur Aqeesha, 8, dan Nor Izah Batrisyah,10, cedera dalam nahas pada pukul 8 malam itu.
Ketua Balai Bomba Layangan Huzyman Malikin berkata beliau menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan kerana kerosakan teruk pada bahagian depannya.
“Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata operasi menyelamat selesai pada pukul 9.25 malam.
MAHKAMAH Persekutuan menetapkan tarikh 19 Jun bagi mendengar rayuan Barisan Nasional (BN) mengenai dua petisyen pilihan raya yang difail untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi parlimen Putrajaya dan Gua Musang.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Radzi Md Jidin, ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh berkenaan.
Naib Ketua Bahagian Umno Putrajaya Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim menfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi parlimen Putrajaya, manakala Mohd Azmi Mahmood, mewakili calon BN Tengku Razaleigh Hamzah menfailkan petisyen bagi kerusi parlimen parlimen Gua Musang.
Mohd Radzi memenangi kerusi parlimen Putrajaya dengan menewaskan penyandang empat penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional dengan majoriti 2,310 dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional dalam PRU15.
Sementara itu calon Pas Datuk Mohd Azizi Abu Naim memenangi kerusi parlimen Gua Musang pada PRU15 dan memperoleh 1,826 undi, menewaskan Tengku Razaleigh.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing telah membatalkan petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Mohd Radzi dan Mohd Azizi.
Pada 10 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Mohd Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan bahawa Ahmad Faisal gagal membuktikan bahawa amalan rasuah dilakukan sama ada Radzi atau ejennya.
Terdahulu pada 26 Feb Mahkamah Tinggi Kota Bahru menolak petisyen Mohd Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ahmad Faisal dan Mohd Azmi kemudiannya memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Dalam petisyen itu Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Mohd Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Putrajaya, dengan mendakwa wakil Perikatan Nasional itu memberi RM150 kepada pengundi sebagai dorongan untuk mereka mengundi Mohd Radzi.
Sementara itu Mohd Azmi dalam petisyennya memohon untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan parlimen Gua Musang tidak sah, dan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu.
MALAYSIA dijangka tidak akan berhadapan dengan krisis bekalan air sepertI yang pernah dialami pada 1998 walaupun negara diramal mengalami fenomena El-Nino pada Jun hingga September ini.
Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Azrul Raimee Ramli berpandangan sedemikian selepas mengambil kira laporan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) selain situasi fenomena pemanasan global pada masa kini.
“Apabila kita sebut krisis bekalan air ini bermakna tiada bekalan air kepada pengguna dalam tempoh yang panjang seperti apa yang berlaku pada tahun 1998 akibat penyusutan beberapa empangan utama dalam negara.
“Berdasarkan pemantauan SPAN berhubung status semasa bagi 43 empangan air di seluruh negara, setakat ini mendapati hampir keseluruhan empangan berada pada paras melebihi 90 peratus dan hanya tujuh empangan yang sedang dipantau berikutan terdapat penurunan paras air hampir 50 peratus, namun ia tidak melebihi paras amaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai krisis bekalan air negara ketika musim panas pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV, semalam.
Menurutnya, tujuh empangan berkenaan ialah Empangan Timah-Tasoh, Perlis; Empangan Air Itam dan Teluk Bahang, Pulau Pinang; Empangan Sungai Muda, Empangan Maulud, Kedah; Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Sembrong, Johor.
Pada masa yang sama, katanya, bagi memastikan bekalan air baik dan teratur, SPAN sentiasa laksanakan pemantauan empangan utama di Semenanjung dan telah menyediakan pelan kesiapsiagaan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan operator air.
Mengulas sekiranya berlaku krisis bekalan air seperti yang pernah terjadi pada 1998, Azrul berkata kerajaan boleh melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (A kta 655) bagi mengehadkan kadar penggunaan untuk kegunaan penting demi kelangsungan bekalan air.
“Selain itu, kita akan lihat pada keperluan untuk melaksanakan catuan bekalan air ataupun bekalan air berjadual… dalam situasi ini pihak operator air dan kerajaan negeri perlu bersama-sama untuk melaksanakan catuan air.
“Kita harap ia tidak berlaku, sekiranya berlaku seperti tahun 1998, untuk memastikan bekalan air di empangan dan sungai kita bertahan lebih lama, ia mungkin keperluan terakhir,” katanya.
SEORANG lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan atas dakwaan cuba menawarkan wang rasuah berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP.
Rasuah itu adalah bagi melepaskan dirinya yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penipuan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, bermula hari ini hingga 7 Jun.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini ketika hadir memberi keterangan pada 10.40 malam tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
PENGARAH Hydroshoppe Sdn Bhd Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh memfailkan bantahan awal terhadap pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur yang dihadapinya.
Abdul Hamid Shaikh, 49, memfailkan notis tersebut menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada 31 Mei lalu.
Berdasarkan notis tersebut, pihak pembelaan mendapati pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 tidak dinyatakan.
Selain itu, pertuduhan tersebut gagal mematuhi peruntukan seksyen-seksyen 152,153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah kerana salah satu butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan tidak dinyatakan di dalam pertuduhan.
Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan telah memfailkan notis itu menerusi e-mel.
Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd. Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (kiri) ketika hadir menfailkan notis bantahan awal atas pertuduhan rasuah bekas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa berhubung pengambilalihan Menara Kuala Lumpur ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Pihak kami juga telah menerima sebahagian dokumen kes itu daripada pihak pendakwaan hari ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian lagi dokumen kes itu kepada pembelaan pada sebutan kes akan datang.
“Saya juga mengesahkan telah menerima notis bantahan awal itu menerusi e-mel,” katanya dan Suzana menetapkan 18 Julai ini untuk keputusan bagi permohonan tersebut.
Terdahulu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan supaya kes syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd digantung sementara pelupusan prosiding kes Abdul Hamid Shaikh.
Mahadi pula berkata pihaknya memohon untuk memindahkan kes syarikat Hydroshoppe ke Mahkamah Sesyen lain untuk dibicarakan bersama kes Abdul Hamid Shaikh.
Amer Hamzah membantah perkara itu dan meminta agar pihak pendakwaan membuat permohonan pemindahan kes tersebut secara bertulis.
Rozina menetapkan 5 Julai ini untuk pendengaran permohonan penggantungan sementara kes syarikat Hydroshoppe dan pemindahan kes itu ke Mahkamah Sesyen lain.
Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan tersebut melalui Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Sementara itu, syarikat Hydroshoppe didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama.
TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengesahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta.
Beliau menggantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang digugurkan daripada jawatan itu.
Ahmad Faizal berkata, pengambilalihan jawatan itu antara lain bagi membantu persiapan akhir jentera pilihan raya PN negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Datuk Eddin Syazlee tetap di dalam struktur kepimpinan. Beliau telah menjalankan tugas dengan baik.
“Usaha sekarang ialah untuk melibatkan kepimpinan pusat bagi menambah dan melicinkan perjalanan jentera parti,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.
Bagaimanapun Ahmad Faizal enggan mengulas sebab Eddin Syazlee digugurkan daripada jawatan itu.
MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur telah menolak saman fitnah bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi tempatan Jason Jonathan Lo terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhubung dua artikel yang disiarkan pada 2019 dan 2020.
Jason memfailkan saman itu pada Julai 2021 berkaitan artikel bertajuk ‘Former Telco CEO charged with trespassing, injecting drug into body’ dan ‘Court charges singer Jason Lo & colleague with CBT of RM200,000.’
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam keputusan yang disampaikan semalam memutuskan bahawa mahkamah mendapati tiada niat jahat dalam artikel terbabit sebagaimana yang didakwa oleh plaintif.
“Berkenaan artikel pertama yang dipertikai, membacanya secara keseluruhan akan membawa kepada kesimpulan bahawa plaintif telah didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menceroboh dan memasukkan dadah ke dalam badan. Selepas membacanya, mahkamah mendapati plaintif bukan menceroboh sebuah rumah semata-mata untuk memasukkan dadah ke dalam badan.
“Mengenai penggunaan ayat memasukkan dadah ke dalam badan berbanding mengambil dadah dengan menyuntiknya sendiri, adalah penting untuk mengambil maklum bahawa artikel pertama yang dipertikai adalah ditulis bagi memaklumkan orang ramai bahawa plaintif telah didakwa atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Malah adalah jelas daripada artikel itu plaintif telah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua kesalahan dan dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya.
Menyentuh artikel kedua yang dipertikai, beliau berkata mahkamah mendapati selepas membacanya secara keseluruhan, boleh dilihat sejak awal lagi plaintif tidak mengaku bersalah dan ia dengan jelas menyatakan bahawa plaintif telah didakwa melakukan pecah amanah jenayah (CBT).
“Selain itu, artikel tersebut secara khusus menyatakan bahawa plaintif telah dibebaskan dengan jaminan RM30,000. Secara munasabah, ini tidak akan merumuskan bahawa plaintif telah mengaku bersalah. Mengambil kira keseluruhan artikel, ia menyangkal sebarang pemahaman bahawa plaintif telah mengaku melakukan jenayah itu,” katanya.
Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata sesiapa sahaja yang membaca keseluruhan teks itu akan memahami bahawa plaintif hanya didakwa namun tidak dinyatakan sebagai melakukan jenayah tersebut.
“Membaca artikel kedua sepenuhnya, mahkamah mendapati bahawa tindakan melaporkan Jason telah didakwa atas kesalahan atau jenayah tertentu, tidak boleh dikatakan sebagai memfitnah,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM15,000 kepada agensi berita itu.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan Jason sebagai plaintif dan tiga saksi defendan.
Perkara itu disahkan oleh peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili Bernama.
PROF Dr Azlinda Azman dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang baharu berkuat kuasa hari ini hingga 30 Mei 2025, demikian umum Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Azlinda, 55, yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM), menggantikan Prof Datuk Dr Husaini Omar yang bersara wajib pada 10 Mac lepas.
KPT dalam kenyataan hari ini berkata Azlinda merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011 itu pernah dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2021.
Azlinda juga adalah antara segelintir individu yang terpilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.
“Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, kementerian yakin bahawa pelantikan Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan,” menurut KPT.