Author: Bernama

  • JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    BERIKUT adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) hari ini.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan bahawa agensi itu membuka permohonan secara dalam talian (online) yang menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada semua warga emas bagi 2022 seperti tular di media sosial.

    JKM menegaskan bahawa pemakluman berkenaan yang tersebar itu merupakan kenyataan palsu dan orang ramai dinasihati tidak mudah percaya dengan maklumat palsu, sebaliknya menjadi warga digital bijak dan bertanggungjawab.

    Orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu dan merujuk sumber di laman portal rasmi www.jkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan yang ditawarkan oleh JKM. – BERNAMA

  • Keputusan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO diketahui selewatnya 16 Julai – ROS

    Keputusan permohonan pindaan Perlembagaan UMNO diketahui selewatnya 16 Julai – ROS

    KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai ini.

    Perkara itu dimaklumkan oleh ROS dalam kenyataan ringkas kepada Bernama hari ini.

    Mei lepas, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.

    Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada ROS pada 17 Mei, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata ROS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu. – BERNAMA

  • Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    SUMBER air yang terkumpul banyak di Gunung Inas yang mengalir turun dengan laju di sudut cerun yang curam dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Isnin lepas.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesimpulan itu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam di kawasan gunung itu yang turut mendapati tiada pecahan takungan air seperti yang didakwa.

    “Saya berpeluang menaiki helikopter PDRM untuk meninjau kawasan bencana dan dapat melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga kawasan bencana dan Pekan Kupang.

    “Pemerhatian mata kasar dari udara, saya dapati air terkumpul begitu banyak dalam satu masa dan terdapat berpuluh-puluh lorong yang terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam dan menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak ini dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, pada tinjauan itu, beliau mendapati takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King masih ada, dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga tidak pecah.

    Muhammad Sanusi berkata, pokok-pokok besar di sepanjang aliran air di gunung itu juga masih ada dan tidak ditebang sewaktu ladang hutan tanaman durian Musang King dibangunkan.

    Justeru beliau berkata kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir ke Sungai Kupang.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • Permohonan Peguam Diraja UK wakili Najib diputuskan 21 Julai

    Permohonan Peguam Diraja UK wakili Najib diputuskan 21 Julai

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 21 Julai sama ada Peguam Diraja (QC) dibenarkan mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhirnya berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membolehkan Jonathan Laidlaw dari United Kingdom mewakili beliau.

    Selain pendakwaan, permohonan Najib dibantah oleh Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa  Peguam Kuala Lumpur.

    Pada 31 Mei lepas, Najib memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran melantik QC untuk membantu beliau berhubung isu kompleks dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 29 April lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

    — BERNAMA

  • Emilia diberi amaran tidak guna cuti sakit sebagai ‘tiket’ tidak hadir perbicaraan

    Emilia diberi amaran tidak guna cuti sakit sebagai ‘tiket’ tidak hadir perbicaraan

    Mahkamah Majistret Kuala Lumpur  memberi amaran kepada bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi supaya tidak menggunakan sijil cuti sakit (MC) sebagai ‘tiket’ untuk tidak hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes dihadapi ahli perniagaan terkenal  itu atas dakwaan mencederakannya.

    Majistret Nadia Othman juga membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Emilia, 43, selepas berpuas hati dengan penjelasan wanita itu berhubung ketidakhadirannya beberapa kali dalam perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini.

    “Waran tangkap dibatalkan dan saya memberi amaran kepada pengadu (Emilia) supaya hadir pada tarikh akan datang. Saya sentiasa ingatkan kehadiran semua pihak supaya mengikut prosedur.

    “Sijil cuti sakit bukan satu tiket untuk tidak hadir ke mahkamah. Sekiranya perlu, seperti yang saya minta pada Puan Emilia tadi, kemukakan laporan perubatan untuk mengesahkan sakit dan ketidakhadiran ke mahkamah. Perbicaraan akan diteruskan pada 15 Julai ini,” katanya pada sebutan kes berhubung waran tangkap terhadap Emilia.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas ke atas Emilia berdasarkan penjelasan wanita itu.

    Sementara itu, Emilia yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata beliau tidak hadir pada perbicaraan kes itu pada 14 dan 15 Dis 2021, 28 Feb, 4 Mac, 20 April, 20 Mei dan 15 Jun (2022) berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan selain tertekan apabila waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berhubung kes lain.

    “Apabila tertekan, saya jatuh sakit. Saya juga mengalami sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit dan kemudian saya dapatkan sijil cuti sakit dari Klinik Kesihatan kerajaan di Kelana Jaya pada 14 Dis dan keesokannya (15 Dis 2021) di Klinik Kesihatan Kota Damansara atas masalah kesihatan yang sama.

    “Pada 28 Feb lepas (2022), saya telah menghantar anak-anak ke sekolah di Cheras dan saya mengalami demam selesema, kemudian terus ke klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan manakala 4 Mac pula, saya didapati kontak rapat COVID-19,” katanya.

    Jelas wanita itu, pada 20 April beliau memberitahu mahkamah bahawa giginya berlubang, bernanah dan terkena jangkitan dan beliau telah mendapatkan rawatan di klinik pergigian di UTC Shah Alam dan dinasihatkan membuat rawatan akar atau mencabut gigi kerana keadaan giginya tidak dapat diselamatkan.

    “Pada 20 Mei, saya kemudian mendapatkan pandangan kedua dari Klinik Kesihatan Tanglin. Tetapi, saya memilih buat rawatan di Shah Alam kerana di sana rawatannya lebih baik dan saya telah mendapatkan surat rujukan doktor manakala pada 15 Jun lalu, saya pergi UTC Shah Alam dan diberitahu tidak perlu cabut gigi dan bertahan.

    “Saya pergi berjumpa pakar di Shah Alam dan dapatkan rawatan tetapi gigi masih bengkak. Jadi, apabila datang ke mahkamah saya rasa tertekan. Tetapi sekarang saya rasa lega,” kata Emilia.

    Selepas mendengar penjelasan Emilia, Majistret Nadia meminta wanita itu mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai penyakit kronik dan Emilia menjawab: “Tiada”.

    Nadia berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Emilia dan mengingatkan semua pihak termasuk tertuduh untuk hadir ke mahkamah demi kelancaran kes.

    “Saya tidak mahu kes ini ditangguhkan. Kalau mengikut rekod saya, ada 38 sebutan untuk kes ini sahaja. Tambahan pula peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan saksi-saksi hadir ke mahkamah malah mahkamah bersedia untuk mendengar kes ini. Ini kes anda, mahkamah bersedia, jadi awak perlu hadir. Saya tidak mahu terima penjelasan yang bukan-bukan selepas ini,” kata Nadia.

    SM Faisal selaku Orang Kena Tuduh (OKT)  yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader hadir manakala dua peguam pemerhati iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya hadir bagi pihak Emilia.

    Mengikut pertuduhan, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 27 Jun lepas, Emilia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya dan wanita itu dibebaskan dari penjara pada 1 Julai lepas.

    — BERNAMA

  • Pesawah didenda RM5,000 hina agama Hindu

    Pesawah didenda RM5,000 hina agama Hindu

    SEORANG pesawah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap agama Hindu di laman sosial Facebooknya, tiga tahun lepas.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi, 31, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah.

    Mahkamah turut memerintahkan Mohammad Syafiq Iqbal menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia berjaya membayar denda yang dikenakan itu.

    Menurut laporan Bernama, Rasyihah turut menasihati OKS agar dia insaf serta tidak mengulangi kesilapan sama selain perlu berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial.

    Dia didakwa membuat selain memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi Facebook ‘Syafiq Iqbal’ dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 11 pagi 23 Dis 2019.

    Hantaran itu kemudian telah dibaca di Maxis Communications Bhd yang terletak di Subang Jaya pada 4.41 petang, hari sama.

    Mohammad Syafiq didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

    Sekiranya disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon agar Mohammad Syafiq Iqbal dikenakan denda minimum atas alasan OKS sudah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serupa.

    “OKS merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa zaman persekolahannya dengan memperoleh keputusan A bagi kesemua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Penilaian Menengah Rendah. Namun selepas ibubapanya berpisah, dia mengalami kemurungan yang teruk.

    “Dia kini tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Sungai Besar. Selepas kejadian ini, OKS tidak lagi memiliki akaun media sosial dan tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira hantaran OKS boleh mendatangkan kekacauan di negara ini selain memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama.

  • Pengeluaran RM1 juta atas arahan Syed Saddiq tak ikut prosedur, kata saksi

    Pengeluaran RM1 juta atas arahan Syed Saddiq tak ikut prosedur, kata saksi

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pengeluaran wang RM1 juta atas arahan Ahli Parlimen Muar itu tidak mengikut prosedur selain mengakui terjebak dalam perkara itu sejak awal lagi.

    Bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 32, berkata pengeluaran wang daripada akaun Pemuda itu adalah salah kerana tiada kertas kerja dikemukakan untuk membolehkan wang itu dikeluarkan daripada bank pada 6 Mac 2020.

    “Jika ingin membuat pengeluaran wang sepatutnya ada kertas kerja mengenai program (yang dijalankan) dan kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Ketua Armada terdiri daripada Ketua Armada sendiri, timbalan ketua Armada, penolong setiausaha dan saya sendiri,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan itu “diclearkan” kerana takut duit berkenaan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu kesalahan.

    “Ia salah, kerana ingin menyorokkan sesuatu daripada pihak berkuasa. Kalau benda tak salah, kenapa ini berlaku,” katanya.

    Disoal lagi mengapa beliau masih mengagihkan wang berkenaan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu atas arahan Syed Saddiq walaupun tahu ia satu kesalahan, saksi itu menjawab, “Sebab saya sudah terjebak dari awal, jadi saya teruskan”.

    Wan Shaharuddin: Boleh kamu jelaskan maksud terjebak?

    Rafiq: Pengeluaran wang ini salah dari awal lagi… memang dari awal tidak ikut prosedur yang sepatutnya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata sekiranya wang itu tidak diagihkan kepada Daniel dan Naqib, beliau takut duit berkenaan akan disita oleh SPRM.

    “Mungkin saya akan jadi saksi seterusnya untuk kes ini. Jadi, apabila SPRM sampai ke rumah saya, mungkin duit itu tidak ada di situ. Saya hanya mengikut arahan YB Syed Saddiq untuk mengagihkan wang itu kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib,” katanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak akan mengeluarkan wang berkenaan seterusnya mengagihkan kepada kedua-dua individiu itu sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq.

    Rafiq dalam keterangan sebelum ini memberitahu, Syed Saddiq mengarahkan beliau supaya “clearkan” wang RM1 juta dan sebanyak RM650,000 diagihkan kepada Daniel dan RM250,000 kepada Naqib manakala RM100,000 digunakan untuk program Pemuda atas arahan ahli politik itu.

    Sementara itu, Rafiq bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq bahawa tiada apa-apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan parti bahawa pengeluaran wang untuk tujuan program Armada memerlukan kertas kerja dan bersetuju tidak ada arahan undang-undang yang memerlukan kertas kerja pada masa itu.

    Gobind: Menurut Perlembagaan Bersatu, apa yang perlu adalah penyata kira-kira atau akaun yang menunjukkan pengeluaran wang dan ia perlu dibentangkan pada akhir tahun kewangan. Itu yang diperlukan bukan?

    Rafiq: Ya.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

  • Bakal haji dapat visa furada diingatkan guna khidmat PJH berlesen dengan TH sahaja

    Bakal haji dapat visa furada diingatkan guna khidmat PJH berlesen dengan TH sahaja

    BAKAL haji yang mendapat Visa Furada dinasihat menggunakan perkhidmatan disediakan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan Lembaga Tabung Haji (TH) sahaja dan berwaspada dengan pakej ditawarkan agensi pelancongan yang tidak dilesenkan.

    Menurut TH bagi musim Haji 1443H/2022M, sebanyak 22 syarikat pelancongan tempatan dilantik untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi mengurus pemergian jemaah haji ke Tanah Suci.

    “TH ingin memaklumkan bahawa permohonan visa haji selain kuota rasmi Malaysia adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

    “TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para bakal haji dan khuatir dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej haji kepada umat Islam negara ini,” demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

    Agensi pengurusan haji itu turut memberi peringatan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

    Seramai 14,306 jemaah Malaysia menunaikan haji pada tahun ini selepas dua tahun terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

  • Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    Kes rasuah Ahmad Zahid: Hakim akan lawat dua banglo di Country Heights, Kajang

    HAKIM Mahkamah Tinggi  yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.

    “Saya fikir demi kepentingan keadilan, saya bersetuju dengan permintaan untuk lawatan tapak, tapi kita boleh tetapkan lain kali. Kita boleh tetapkan tarikh kemudian,” katanya dalam prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya menjemput Hakim Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

    Menurut Hisyam, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

    Hakim Sequerah bertanyakan kepada pihak pendakwaan, adakah mereka ingin membantah mengenai lawatan itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata tiada keperluan untuk pihaknya melawat dua banglo tersebut kerana gambar yang menunjukkan keadaan banglo boleh dikemukakan di mahkamah.

    “Jika Yang Arif cenderung untuk pergi melawat, mungkin kita boleh ambil hari lain, bukan kali ini, tidak bertembung (tarikh perbicaraan),” katanya.

    Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkenaan jarak antara dua banglo berkenaan dengan kediaman Ahmad Zahid.

    Harris Ong: Setuju dengan saya, Datuk Seri nak solat jemaah boleh ke Surau An-Nur Country Heights?

    Ahmad Zahid: Saya memberitahu tanpa rasa riak, sombong, bahawa saya adalah pengerusi surau itu (Surau An-Nur). Ikut kesempatan boleh solat di sana atau surau lain dan rumah saya pun ada surau.

    Mengenai pembelian dua banglo di Country Heights bernilai RM5.9 juta, Ahmad Zahid berkata beliau menyatakan secara terus kepada peguam di Tetuan Lewis & Co iaitu B. Muralidharan tentang pembelian banglo tersebut.

    “Saya tidak pasti siapa yang menyediakan cek pembelian banglo itu yang ia boleh diuruskan sendiri oleh Muralidharan, pegawai akaun atau kerani firma itu,” katanya.

    Kepada soalan Harris Ong, daripada mana Ahmad Zahid memperoleh nilai banglo itu, Ahmad Zahid menjawab: “Laporan penilaian. Banglo itu dibeli di bawah harga pasaran yang bertujuan untuk kebajikan dan perkembangan ilmu, selaras dengan kehendak Yayasan Akalbudi”.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata tiada surat rasmi dalam melantik Lewis & Co sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi, sebaliknya pelantikan itu atas dasar persefahaman dan kepercayaan terhadap firma guaman berkenaan.

    “Pelantikan itu (Lewis & Co) selepas saya hilang kepercayaan kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) ketika itu, kerana terlalu cuai dan membuat kesilapan berulang kali dalam pengendalian akaun Yayasan Akalbudi,” tegasnya.

    Harris Ong: Setuju dengan saya bahawa surat pelantikan perlu dibuat bagi memastikan perkara sama (kecuaian) tidak berulang?

    Ahmad Zahid: Tiada surat rasmi. Saya kenal Muralidharan begitu lama, saya percaya beliau, selain mendapatkan nasihat rakan Muralidharan serta bekas peguam. Setakat ini tiada kecuaian yang dilakukan oleh firma itu dalam mengendalikan dana YAB.

    Ahmad Zahid berkata surat pelantikan tersebut tidak penting jika ada persefahaman dan persetujuan dan beliau tidak diminta oleh Muralidharan dan rakan kongsi untuk membuat surat berkenaan.

    Harris Ong: Atas alasan itu, Datuk Seri boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi firma itu untuk kepentingan sendiri?

    Ahmad Zahid: Tiada niat, apatah lagi berbuat demikian.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    [VIDEO] 2 pegawai polis ditembak ketika sambutan kemerdekaan

    DUA anggota polis di Philadelphia, Pennsylvania dilaporkan ditembak, ketika pertunjukan bunga api sempena Sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin malam, lapor Xinhua.

    Terdapat “insiden keselamatan” di Benjamin Franklin Parkway, menurut pejabat pengurusan kecemasan bandar itu.

    Suspek masih gagal dikesan.

    Rakaman di media sosial memaparkan orang ramai bertempiaran lari dari tempat kejadian ketika pertunjukan bunga api masih berlangsung.

    Insiden berlaku hanya beberapa jam selepas enam orang terbunuh dalam serangan di pusat bandar Highland Park, Illinois, pada 4 Julai (Ahad), dengan berpuluh-puluh yang lain cedera.

    Suspek dalam kejadian di Highland Park dikenali sebagai Robert Crimo III, 22, berjaya ditahan berhampiran Lake Forest, Illinois.

    Presiden AS Joe Biden pada Isnin berkata beliau ” amat terkejut dengan keganasan senjata api yang tidak masuk akal, sekali lagi mengecewakan masyarakat Amerika pada sambutan Hari Kemerdekaan ini”.

    Menurut data Arkib Keganasan Senjata, lebih 22,300 kematian direkodkan akibat keganasan senjata api dan 311 kejadian tembakan rambang di seluruh Amerika Syarikat sejak enam bulan lalu. – BERNAMA