Author: Bernama

  • Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    Shinzo Abe prihatin keperluan komuniti Islam Jepun

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia pada Jumaat, hanya beberapa jam selepas ditembak ketika beliau sedang berucap dalam satu kempen pilihan raya.

    Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan serangan itu sebagai “biadab, berniat jahat” yang “tidak boleh diterima sama sekali”, menurut Agensi Anadolu.

    Abe berada di bandar raya Nara bagi meraih sokongan untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang memerintah, sempena pilihan raya Senat.

    Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah. Kejadian berlaku sejurus Abe mula berucap kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.

    Penyerang, Tetsuya Yamagami, 41, penduduk Nara, telah ditahan dan didakwa kerana cubaan membunuh. Senapang patah yang digunakan pelaku juga dirampas.

    Abe berundur daripada LDP pada musim gugur 2020 atas masalah kesihatan.

    Beliau adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun mengatasi rekod sebelum ini iaitu 2,798 hari yang dipegang bapa saudaranya, Eisaku Sato (1901-1975).

    ‘Politik menuntut hasil yang berkesan’

    Moto politik yang menjadi pegangan Abe ialah ‘politik yang memberikan hasil yang berkesan’.

    Abe, menjadi Perdana Menteri termuda Jepun semasa pertama kali memegang jawatan itu pada 2006. Ketika itu beliau berusia 52 tahun.

    Lahir daripada keluarga politik, datuknya, Kishi Nobusuke, berkhidmat di Jepun sebagai Perdana Menteri antara 1957 dan 1960.

    Alumni Universiti Seikei itu menamatkan pengajian pada 1977, sebelum bertugas seketika di Kobe Steel antara 1979 dan 1982 sebelum memasuki arena politik.

    Beliau kemudian menyertai bapanya, Shintaro Abe dengan memegang jawatan sebagai setiausaha.

    Berikutan kematian bapanya, Abe bertanding dalam pilihan raya pada 1993 dan berjaya dipilih ke Dewan Rakyat yang dikenali Diet.

    Bagaimanapun, karier politiknya mengalami kejutan apabila terpaksa melepaskan jawatan disebabkan penyakit ‘ulcerative colitis’ yang dihidapinya.

    Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2007 setahun selepas dilantik.

    Pada tahun sama parti pimpinannya juga menghadapi kekalahan memalukan dalam Diet.

    Kembali berkhidmat

    Abe kembali berkuasa pada September 2012 dan merampas semula tampuk kepimpinan LDP dan berjaya membawa parti itu menang dengan majoriti besar pada Disember tahun yang sama.

    Moto beliau mula menunjukkan hasil apabila program rangsangan monetari Bank of Japan berjaya sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat besar dan harga saham.

    Beliau dipilih semula dalam pilihan raya 2014 dan 2017. Bagaimanapun pentadbirannya gagal mencapai sasaran inflasi tahunan dua peratus.

    Semasa sidang akhbar terakhirnya sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2020, Abe turut bercakap mengenai keselamatan Jepun.

    “Korea Utara mempunyai banyak keupayaan dalam peluru berpandu balistik dan Jepun perlu meningkatkan kapasiti keselamatannya,” katanya.

    Ketika pentadbirannya hubungan dua hala Jepun dengan Korea Selatan berada pada tahap terendah ekoran isu eksploitasi seksual semasa perang.

    Penganjuran Sukan Olimpik 2020 juga memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Abe berikutan pandemik.

    Hubungan dengan komuniti Islam

    Seorang ahli perniagaan dari Osaka sebelum ini memberitahu Agensi Anadolu peristiwa tsunami Fukushima 2011 mengubah pandangan Abe terhadap komuniti Islam di negara itu.

    “Abe melawat banyak kem bantuan dan pusat operasi menyelamat, ramai yang beliau temui adalah orang Islam, terutama dari Pakistan,” kata ahli perniagaan itu yang enggan namanya disiarkan.

    Selepas Abe kembali sebagai Perdana Menteri pada 2012, “Pentadbirannya membina ruang solat di sepanjang kawasan rehat di lebuh raya dan di kebanyakan lapangan terbang.”

    “Abe sentiasa berhubung dengan masyarakat Islam,” katanya.

    Pentadbiran Abe juga memperuntukkan bilik khusus untuk komuniti Islam di Pusat Bahasa Jepun negara itu.

    “Di restoran utama, beliau meminta pemilik menyediakan makanan Halal,” kata ahli perniagaan itu. – BERNAMA

  • Prosiding Lokman hina mahkamah didengar 3 Ogos

    Prosiding Lokman hina mahkamah didengar 3 Ogos

    PROSIDING menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan didengar 3 Ogos ini.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam K Balaguru yang mewakili Lokman memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu prosiding itu diteruskan selepas dinasihatkan supaya tidak membuat permohonan maaf atas perkara yang tidak dilakukannya.

    “Kejadian itu berlaku di galeri awam dan tidak mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berlangsung ketika itu,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya telah membuat surat berhubung permohonan maaf kepada mahkamah, Isnin lepas.

    Hakim Sequerah yang merujuk surat permohonan maaf yang ditulis oleh Lokman bagaimanapun berkata: “Kita tidak boleh membenarkan orang awam datang ke mahkamah dan buat peraturan sesuka hati ketika kes sedang berjalan dan mencabar polis melakukan kerjanya. Apa urusan dia (Lokman) di mahkamah, dia bukan wartawan mahkamah dan bukan peguam pemerhati.

    Hakim itu turut menolak permohonan Lokman supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana kejadian itu berlaku di mahkamahnya dan beliau berhak mendengar kes itu.

    “Sekiranya kes itu didengar di hadapan hakim lain, ia juga membabitkan isu yang sama, jadi saya berhak untuk mendengar kes ini,” kata hakim itu.

    Terdahulu, Balaguru memohon supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana ia hanya bersandarkan kepada dengar cakap ‘hear say’.

    “Anak guam saya tidak memanggil anggota polis mahkamah itu ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengendalikan kes Ahmad Zahid kepada mahkamah pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah ‘bodoh’ kerana bersikap tidak adil kepadanya.

    “Anggota polis itu memberitahu perlakuan anak guam saya kepada penolong kanan pendaftar yang kemudian memberitahu perkara itu kepada Raja Rozela sebelum dimaklumkan kepada mahkamah,” kata peguam itu dan menambah kejadian itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu sebelum mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman.

    Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, yang membantu mahkamah dalam prosiding itu, membantah permohonan peguam supaya hakim lain mendengar kes itu kerana kejadian tersebut berlaku di hadapan Hakim Sequerah dan beliau berhak mendengarnya.

    “Isu menghina mahkamah ini bukan melibatkan penggunaan telefon, sebaliknya melibatkan kehormatan sistem kehakiman yang ketika itu prosiding perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah. Apabila masuk di sesuatu tempat, ada peraturan yang perlu diikuti supaya prosiding berjalan lancar dan apabila seseorang itu tidak mengikut peraturan, ia dikira sebagai menghina mahkamah,” kata Izalina.

    Dalam pada itu, Balaguru berkata beliau akan memfailkan notis sapina kepada Raja Rozela minggu depan untuk menyoal balasnya di mahkamah, namun ia dibantah oleh Izalina atas alasan sudah memadai dengan memanggil polis mahkamah itu bagi memberikan keterangan.

    Hakim Sequerah kemudian berkata, peguam itu boleh memfailkan notis sapina terhadap Raja Rozela. – BERNAMA

  • Lima lelaki disyaki keldai akaun sindiket penipuan ditahan

    Lima lelaki disyaki keldai akaun sindiket penipuan ditahan

    POLIS menahan lima lelaki disyaki ‘keldai akaun’ sindiket penipuan dalam siri serbuan sejak Rabu lepas sehingga semalam di sekitar negeri ini, Perak dan Kedah.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan itu hasil operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Barat Daya hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

    “Dalam siri serbuan pada Rabu, polis menahan tiga lelaki berusia 19 tahun hingga 47 tahun di Jitra, Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah kerana menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Berdasarkan siasatan, sindiket penipuan itu turut menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen membabitkan mangsa di beberapa buah negeri dan pinjaman tersebut diiklankan menerusi laman sosial Facebook serta aplikasi Wechat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, siasatan juga mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa sindiket penipuan itu antara RM6,000 hingga RM88,500 dan melibatkan kes yang dilaporkan dari tahun 2018 hingga 2022.

    Kamarul Rizal berkata, manakala dalam dua serbuan semalam, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 45 tahun di Butterworth dekat sini dan Ipoh, Perak.

    Katanya, siasatan mendapati dua lelaki itu disyaki dijadikan ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan pekerjaan sambilan dan pembelian motosikal dalam talian.

    “Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa antara RM2,000 hingga RM16,710 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun 2020 hingga 2021. Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan lima lelaki itu,” katanya.

    Katanya, semua lima lelaki itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, Macau Scam, Parcel Scam serta Love Scam,” katanya. – Bernama

  • Kedutaan Arab Saudi kesal insiden jemaah haji ditipu

    Kedutaan Arab Saudi kesal insiden jemaah haji ditipu

    KEDUTAAN Arab Saudi di Kuala Lumpur menyuarakan rasa kesal dengan berita mengenai kira-kira 380 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Menurut kenyataan yang disediakan kepada Bernama hari ini, kedutaan menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan insiden itu.

    “Kedutaan kesal dengan apa yang berlaku kepada beberapa warga Malaysia yang ditipu agensi pelancongan Malaysia yang mendakwa telah mendapatkan visa daripada kedutaan. Pihak kedutaan menegaskan ia tidak ada kena mengena dengan insiden ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan pada 24 Mac, pihak kedutaan mendapati terdapat iklan oleh beberapa syarikat Malaysia yang mempromosikan pakej pelancongan dan program menunaikan haji tahun ini.

    Kenyataan itu memberi amaran dan menegaskan bahawa Kedutaan Arab Saudi tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak di Malaysia dari segi pengaturan haji tahun ini 1443H/2022.

    Memandangkan ibadat haji dianggap ibadah paling penting dalam Islam, Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersedia untuk menyediakan semua kemudahan yang membolehkan jemaah haji menunaikan haji dengan mudah dan selamat.

    Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA semalam (7 Julai) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad daam satu kenyataan hari ini, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

    “Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji,” katanya.

    Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal. – BERNAMA

  • AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan bahawa berita “Pejabat Peguam Negara telah menetapkan yang perbicaraan SRC tidak sah kerana kesilapan prosiding” yang disebar, adalah sama sekali tidak benar dan palsu.

    Dalam satu kenyataan, jabatan itu menafikan bahawa AGC ada membuat ketetapan seperti yang dikatakan dalam kenyataan yang tersebar itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC hari ini, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan didengar bermula 15 Ogos depan iaitu jabatan berkenaan akan hadir sebagai responden atau pendakwa raya dalam kes berkenaan.

    Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa, jabatan itu akan meneruskan dengan rayuan kes tersebut dan akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. – BERNAMA

  • Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Oleh D ARUL RAJOO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan Jepun dan seluruh rakyatnya di atas pemergian mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

    “Saya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka berhubung insiden melibatkan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang baru saya temui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama,” katanya pada wartawan Malaysia di Ankara hari ini.

    Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye berkata, beliau berharap agar keluarga mendiang Abe dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

    Katanya, Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

    Abe, 67, “ditembak dari belakang” ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, dan penyerang beliau sudah ditahan.

    Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.

    Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat – pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. – BERNAMA

  • Syed Saddiq mohon maaf muat naik semula hantaran berhubung kredibiliti saksi

    Syed Saddiq mohon maaf muat naik semula hantaran berhubung kredibiliti saksi

    BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memohon maaf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.

    Syed Saddiq, 29, membuat permohonan maaf itu setelah diberi amaran terakhir oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid yang mendengar perbicaraan kes itu hari ini.

    “Dengan rendah diri, saya mohon maaf,” kata Syed Saddiq.

    Azhar membuat teguran itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Muar itu kerana menyiarkan semula satu hantaran yang dibuat oleh rakannya, Ahmad Zarul Afiq berkenaan prosiding perbicaraan dan kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Laporan itu menyatakan, hantaran yang disiarkan semula oleh Syed Saddiq adalah bersifat subjudis dan sebelum ini hakim lain telah menegur ahli politik itu serta pasukan peguamnya agar tidak membuat sebarang komen tentang perbicaraan yang sedang berlangsung.

    Wan Shaharuddin berkata, perkara sama telah beberapa kali berlaku dan Syed Saddiq sebelum ini diberi amaran oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

    “Bagaimanapun, ia masih berlaku dan tertuduh masih memberikan komen tentang prosiding dan kredibiliti saksi ini, yang saya percaya adalah subjudis. Terpulang kepada mahkamah untuk membuat penemuan fakta mengenai kredibiliti saksi,” katanya.

    Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Gobind Singh Deo yang kelihatan terkejut ketika isu itu dibangkitkan memberitahu mahkamah anak guamnya telah memadam hantaran itu.

    “Saya memberitahunya (Syed Saddiq), ini adalah sesuatu perkara yang anda tidak bincangkan dan minta dia berhati-hati pada masa depan. Dia sudah memadamkan hantaran itu,” kata Gobind.

    Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azhar memberikan amaran terakhir kepada tertuduh agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

    “Ini agak serius. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Mohamed Zaini Mazlan telah membuat pelbagai ulasan mengenai isu ini. Jadi biarkan ini sebagai amaran terakhir. Saya harap semua pihak tidak lagi membuat komen sebegitu,” katanya.

    Ini adalah permohonan maaf kedua yang dibuat oleh pihak pembelaan berhubung perkara sama dalam tempoh seminggu.

    Pada 4 Julai, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Haijan Omar membuat permohonan maaf kepada mahkamah selepas seorang peguam dalam pasukan pembelaan ahli politik itu, Lim Wei Jiet mengeluarkan kenyataan awam mengenai kes sama.

    Terdahulu, berkenaan permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim sebagai saksi pendakwaan, Wan Shaharuddin berkata, terdapat prasyarat yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin pernyataan bertulis saksi diterima masuk sebagai keterangan di mahkamah, di bawah Seksyen 402B Kanun Tatacara Jenayah.

    “Memandangkan pernyataan bertulis itu tidak ditandatangani oleh saksi berkenaan, maka prasyarat pertama di bawah Seksyen 402B (2) gagal dipatuhi,” katanya.

    Susulan perkara itu, Gobind memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti itu memandangkan pernyataan saksi Rafiq Hakim telah diberikan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula, walaupun ia tidak digunakan di mahkamah.

    Azhar kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk memutuskan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu boleh dilakukan, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – BERNAMA

  • Pegawai polis didakwa minta, terima suapan RM 41,000

    Pegawai polis didakwa minta, terima suapan RM 41,000

    SEORANG pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Tawau hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan jumlah RM41,000 di Lahad Datu pada 2017.


    Tertuduh, Saharulzaman Alizaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.


    Saharulzaman berdepan dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada seorang lelaki yang melakukan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan RM4,000 bagi melindungi kegiatan berkenaan.


    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan Saharulzaman ketika bertugas sebagai Inspektor di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu antara 1.15 tengah hari hingga 4 petang,16 Ogos 2017.


    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai RM17,000 daripada lelaki itu di dalam sebuah kereta di Double Bay, bandar Lahad Datu, antara 3.09 petang dan 4 petang pada tarikh yang sama mengikut Seksyen 17(a) akta sama.


    Semua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan dan menetapkan 9 Sept depan untuk sebutan semula kes.


    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.–Bernama

  • Bukit dan dataran Arafat mula dipenuhi jemaah haji

    Bukit dan dataran Arafat mula dipenuhi jemaah haji

    RATUSAN ribu jemaah haji dari seluruh dunia mulai memenuhi setiap ruang tersedia di Bukit Arafat dan datarannya, di Arafah, Arab Saudi hari ini.

    Pergerakan jemaah dari Mina menuju Arafah bermula sejak tengah malam tadi waktu Arab Saudi, bagi menunaikan rukun haji iaitu Wukuf (berhimpun) di Arafah, yang ditetapkan hari ini, Jumaat, lapor Saudi TV.

    Saudi TV adalah antara penyiar rasmi musim Haji 1443 Hijrah yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Penyiaran Arab Saudi (SBA).

    Bukit Arafat berbatu granit terletak kira-kira 22 kilometer di timur Mekah dan merupakan satu-satunya lokasi rukun haji yang terletak di luar kawasan Tanah Haram.

    Menurut tradisi Islam, di puncak bukit inilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan pesanan atau khutbah terakhir baginda.

    Meneruskan legasi baginda, tradisi bacaan khutbah ini diteruskan dan kini dikenali sebagai Khutbah Arafah.

    Khutbah Arafah bagi musim haji kali ini akan disampaikan Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) di Masjid Namirah.

    Khutbah yang akan dibacakan dalam bahasa Arab ini dijadual bersiaran secara langsung dari Arab Saudi pada 12.30 tengah hari waktu tempatan (kira-kira 5 petang waktu Malaysia) dengan terjemahan 14 bahasa lain, termasuk bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

    Mereka yang ingin mengikutinya boleh berbuat demikian di pautan berikut: https://manaratalharamain.gov.sa/arafa/arafa_sermon

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesahkan pihaknya memiliki sistem canggih pengesanan awal wabak yang telah diimplementasi pada musim haji kali ini.

    Timbalan Setiausaha (Kesihatan Awam), Ketua Jawatankuasa Persiapan Haji, Dr Hani Jokhdar dalam kenyataan kepada Agensi Berita Arab Saudi (SPA) menjelaskan sistem pemantauan teliti itu mampu mengesan penularan wabak dan penyakit berjangkit seterusnya memberi amaran kesihatan awal untuk respon pantas, bagi mengekang penularan penyakit dalam kalangan jemaah haji.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU) pula memaklumkan pelancaran semula program ‘Kun Aunan’ (Be a Helper), selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, menurut SPA.

    Seramai lebih kurang 3,000 sukarelawan lelaki dan wanita digerakkan dalam program ini bagi membantu kelancaran kerja-kerja menyantuni jemaah di Masyair (tapak suci). – Bernama

  • Bekas pemain badminton negara dituduh menipu

    Bekas pemain badminton negara dituduh menipu

    SEORANG bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menipu berkaitan pelaburan yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM58,029.53 pada Jun dan November 2016.

    Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut pertuduhan, Lin didakwa menipu seorang lelaki berusia 39 tahun dengan memperdaya individu berkenaan untuk mempercayai dia boleh melipatgandakan wang dengan cara pertaruhan dalam talian dan pelaburan saham tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang tersebut ke dalam akaun tertuduh dan isterinya.

    Lin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Setia Alam, antara 6 Jun dan 29 Nov 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam B.Chandrateeban memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

    Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

    Lin membayar jaminan tersebut.

    Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Tertuduh pernah memenangi pingat gangsa dalam acara badminton berpasukan lelaki di Sukan Asia 2006. – BERNAMA