Author: Bernama

  • Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    Warga asing ditahan bawa senjata ketika solat Aidiladha

    POLIS menahan seorang lelaki warga asing kerana memiliki senjata berbahaya ketika mengadakan kawalan keselamatan sewaktu solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Abu Bakar di sini pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, warga asing berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 pagi selepas didapati memiliki sebilah pisau bersarung berukuran lebih kurang 33 sentimeter termasuk hulu yang terselit di tali pinggangnya.

    “Hasil siasatan polis mendapati senjata yang dirampas itu merupakan salah satu hiasan pemakaian perayaan di negara individu itu, namun dari segi undang-undang di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) akta tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebat. – BERNAMA

  • 140 rumah rosak dibadai ribut malam tadi

    140 rumah rosak dibadai ribut malam tadi

    AIDILADHA hari ini disambut hambar 140 keluarga apabila rumah mereka rosak akibat dibadai ribut yang melanda beberapa kawasan di Besut malam tadi.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kira-kira 130 rumah rosak di 10 kampung di Kuala Besut, manakala selebihnya di Kampung Batu 13 dan Kampung Bekok di Hulu Besut.

    Katanya, dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang.

    “Antara kawasan yang terjejas teruk di sini (Kuala Besut) ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai, Kampung Tengah, Kampung Nail dan Kampung Payang.

    “Kejadian ribut kuat berlaku serentak dengan hujan lebat, namun nasib baiklah tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Azbi berkata, pihaknya difahamkan bahawa kerajaan negeri akan membantu membaiki bumbung rumah yang rosak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dapat tinggal di rumah mereka dengan lebih sempurna.

    Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Atap Napisah Hussin, 67, berkata, dia berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin sekelip mata.

    “Ketika kejadian berlaku, saya hanya berdua bersama seorang anak lelaki saya berusia 34 tahun yang terlantar akibat penyakit strok.

    “Pada mulanya hujan lebat kemudian diikuti ribut dan secara tiba-tiba bumbung rumah terbang. Saya amat takut terutama memikirkan keadaan anak lelaki saya yang tidak dapat bergerak,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu mengangkat anaknya ke rumah berhampiran yang lebih selamat. – BERNAMA

  • Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    Pakej tipu haji furada: Lima individu direman 3 hari

    LIMA individu termasuk pemilik agensi pelancongan swasta direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lepas oleh polis Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, kesemua suspek itu diserahkan kepada pihaknya hari ini kerana kes itu dilaporkan berlaku di negeri itu (Selangor).

    “Kesemua suspek yang ditahan termasuk pemilik agensi pelancongan itu dan juga isterinya direman hingga 12 Julai mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah menerusi kenyataan berkata, pihaknya menahan lima individu berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap dua agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

    Katanya, selain pasangan suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA

  • Haji: Semua jemaah Malaysia berpeluang wukuf, termasuk pesakit

    Haji: Semua jemaah Malaysia berpeluang wukuf, termasuk pesakit

    haramain

    KESEMUA  14,306 jemaah haji Malaysia termasuk 26 pesakit berjaya dibawa ke Arafah untuk berwukuf pada 8 Zulhijjah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata sebanyak empat bas khas yang diubah suai disediakan untuk jemaah yang sakit dan uzur dari Pusat Kesihatan TH Syisyah, Makkah bersama 68 petugas perubatan dan dibantu 22 petugas Tabung Haji.

    “Pada tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usahanya bagi memastikan kesempurnaan ibadah haji bagi jemaah yang sakit dan uzur melalui pelaksanaan Safari Wukuf yang telah diperkenalkan sejak 2016.

    “Ia bertujuan membawa mereka yang sakit untuk berwukuf di Arafah dengan meneruskan proses perawatan pesakit di dalam ambulans dan bas yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat perubatan itu.

    Idris berkata setakat 9 Julai, terdapat 32 pesakit dirawat di Pusat Kesihatan TH Syisyah manakala seorang dirawat di hospital Arab di Mina.

    Beliau yang sempat memantau urusan rombongan haji Malaysia di Arafah serta Pusat Perubatan TH Syisyah, turut memuji kemudahan perubatan serta perkhidmatan diberi TH demi keselesaan jemaah haji.

    Selain itu, beliau memaklumkan bahawa selepas wukuf dan bermabit di Muzdalifah pada 8 dan 9 Zulhijjah, semua jemaah haji Malaysia kini berada di Mina untuk melaksanakan ibadah melontar bagi hari ke-10 hingga 13 Zulhijjah.

    Waktu ibadah melontar bagi jemaah Malaysia ialah pada 8 hingga 10 malam serta selepas subuh.

    “Ibadah melontar memberikan cabaran kepada jemaah haji kerana ia melibatkan perjalanan sejauh 10 km dari khemah ke Jamrah dan balik semula ke khemah.

    “Saya menyarankan agar setiap jemaah haji memberikan perhatian kepada setiap arahan yang diberikan oleh petugas TH serta mengikut waktu melontar yang ditetapkan demi keselamatan,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan agar jemaah haji yang sedang melakukan ibadah melontar selama tiga hari di Mina, untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal terutama aspek kesihatan.

    — BERNAMA

  • Peniaga rugi hampir RM1 juta dua kedai terbakar malam raya

    Peniaga rugi hampir RM1 juta dua kedai terbakar malam raya

    SEORANG peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya musnah dalam kebakaran yang membabitkan lapan deretan kedai di Jalan Hiliran di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Nik Mohd Kamil Abu Bakar, 37, berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi, dia baru sahaja menutup kedainya dan masih berada di kawasan berdekatan sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.

    “Saya tutup kedai dalam pukul 10 malam sebab esok nak raya, tutup awal sikit, lepas itu saya jalan-jalan di kedai dekat sini nak cari baju anak, dalam 15 minit lepas tu ada orang beritahu ada api dalam kedai basikal saya.

    “Saya bergegas ke kedai dan nampak api dah penuh di bahagian belakang kedai dan tak sempat nak selamatkan apa-apa pun sebab api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam tadi.

    Beliau berkata satu lagi kedainya yang menjual pakaian terletak bersebelahan, turut dijilat api dan hanya sejumlah kecil barangan dapat diselamatkan.

    “Saya baru ambil stok barangan baharu sebab nak buka satu lagi kedai basikal di Gong Badak lepas raya ini, sekali dengan stok baharu habis terbakar.

    “Ujian besar untuk saya pada malam raya ni, saya reda sajalah,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10.40 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

    “Ketika sampai di lokasi, kedai basikal berkenaan sudah musnah sepenuhnya dijilat api (lokasi kebakaran bermula). Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    Kira-kira 30 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran

    – Bernama

  • Jemaah terkandas di KLIA : 57 laporan polis libat kerugian lebih RM2.37 juta

    Jemaah terkandas di KLIA : 57 laporan polis libat kerugian lebih RM2.37 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 57 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap sebuah agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata negeri Selangor mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu sebanyak 25 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM620,000 diikuti Kuala Lumpur dengan 23 laporan melibatkan kerugian sebanyak RM766,500.

    “Empat laporan diterima di Pahang dengan sebanyak RM874,000 kerugian manakala masing-masing satu laporan diterima Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. Jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM2,371,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, Pulau Pinang mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM32,000, Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) manakala Johor tidak melibatkan sebarang kerugian.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka  dipercayai menggunakan visa furada, iaitu  visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh  Lembaga Tabung Haji (TH).

    — BERNAMA

  • Pembantu rumah Indonesia dibawa masuk berperingkat mulai 1 Julai

    Pembantu rumah Indonesia dibawa masuk berperingkat mulai 1 Julai

    PENGAMBILAN pekerja warga asing bagi pembantu rumah dari Indonesia telah dilakukan secara berperingkat bermula awal bulan ini.

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata kebanyakan majikan di Malaysia lebih memilih untuk menggajikan pembantu rumah warga Indonesia berbanding negara lain seperti Kemboja dan Bangladesh.

    “Ada (pekerja warga asing) yang sudah dibawa masuk namun jumlah kemasukan ini perlu disemak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana Kementerian Sumber Manusia hanya memproses dokumen dan pengurusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Rumah Kelab Bell Belia Tamil Gopeng di Gopeng hari ini.

    Pada 7 Jun, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah dilaporkan berkata isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan membentangkan cadangan berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kemboja bagi membawa masuk pembantu rumah dari negara itu ke Kabinet.

     “Kita masih dalam proses dan ia akan mengambil masa tetapi kita cuba mempercepat. Saya akan membentang cadangan MoU ke Kabinet untuk mengambil pekerja asing khususnya domestik, Kemboja ada pembantu rumah Islam dari kumpulan Champa yang telah tunjuk minat,” katanya.

    Saravanan berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kemboja berhubung kerjasama itu dan pekerja akan diberi peluang untuk bekerja di negara ini dalam masa terdekat.

    Ditanya sama ada proses pengambilan pekerja asing terjejas berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia termasuk syarikat Bestinet yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Saravanan berkata ia tidak berkaitan.

    “Ia tiada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Bestinet kerana biasanya kementerian mengikut peraturan walaupun sistem yang digunakan diperoleh melalui KDN, kita cuma berkongsi sistem dan ia tidak menyebabkan apa-apa terjejas.

    “Mungkin pihak Bestinet sibuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mungkin berlaku sedikit kelewatan tetapi secara keseluruhan tidak ada kesan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tiada insiden, Arab Saudi umum kejayaan Fasa Pertama Pelan Perdana Haji 2022

    Tiada insiden, Arab Saudi umum kejayaan Fasa Pertama Pelan Perdana Haji 2022

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kejayaan fasa pertama Pelan Perdana musim Haji 1443 Hijrah apabila tiada sebarang insiden dalam kalangan jemaah haji dilaporkan.

    Ketua Pengarahnya, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.

    Sudais yang dipetik Saudi TV berkata, “Pelan itu yang menumpukan kepada aspek operasi dan bertujuan menawarkan perkhidmatan terbaik dan paling berkualiti kepada jemaah haji, telah mencapai matlamat fasa pertamanya, Alhamdulillah.”

    “Bagaimanapun, kerja masih berjalan untuk terus menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat di Haramain,” tambahnya. 

    Jemaah haji Malaysia ketika bermalam di Mudzalifah.

    Pelan operasi yang disifatkan terbesar pernah dirancang dalam era pandemik COVID-19 itu dilancar pada Jun lepas dengan menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

    Sementara itu, Laporan Statistik Haji 2022 yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi menyatakan jumlah jemaah haji tahun ini mencecah 899,353 orang.

    Daripada jumlah itu, seramai 779,919 adalah jemaah luar negara, manakala bakinya 119,434 merupakan jemaah domestik, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Menurut SPA lagi, sebanyak 21.4 peratus jemaah datang dari negara-negara Arab, 53.8 peratus dari Asia dan 13.2 peratus Afrika.

    Baki sebanyak 11.6 peratus lagi mewakili jemaah dari Eropah, Amerika dan Australia.

    April lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya seramai sejuta umat Islam bawah umur 65 tahun dan lengkap divaksin, dibenar menunaikan haji tahun ini.

    — BERNAMA

  • Tidak akan ada tindakan khianat mandat rakyat – Ab Rauf

    Tidak akan ada tindakan khianat mandat rakyat – Ab Rauf

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Beliau berkata, mandat yang diperolehi ketika Pilihan Raya Negeri pada November tahun lepas perlu dihormati.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya artikel sebuah portal berita hari ini bahawa politik Melaka kembali bergolak. Artikel tersebut berniat jahat serta bertujuan menganggu gugat kestabilan politik Melaka.

    “Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan rakyat Melaka,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Menurut laporan portal itu, Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bermula 25 Julai ini.

    Ab Rauf berkata barisan kepimpinan BN negeri itu akan terus berusaha memberikan kemakmuran kepada rakyat serta fokus memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    “Saya juga menyeru semua kepimpinan BN di semua peringkat tidak terpengaruh dengan tohmahan ini serta kekal fokus demi mencapai kemenangan pada PRU akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Haji: Titik permulaan untuk berubah jadi lebih baik – Idris

    Haji: Titik permulaan untuk berubah jadi lebih baik – Idris

    JEMAAH haji Malaysia disaran mengambil pengalaman ketika mengerjakan Rukun Islam Kelima itu sebagai titik permulaan untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

    Ketika menyampaikan Khutbah Arafah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perlaksanaan ibadah itu bukan sahaja mewujudkan keghairahan beribadah tetapi juga telah memupuk semangat persaingan sihat.

    “Apabila kita pulang ke tanah air kelak hendaklah kita mengambil pengalaman daripada haji ini. Ia sebagai titik perubahan bagi menamatkan saki-baki kehidupan kita dengan memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadah, pergaulan, jual beli dan bermuamalah hendaklah semuanya berlandaskan syariat Islam yang lengkap dan syumul,” katanya.

    Beliau berkata jemaah haji juga telah dilatih supaya bersatu serta berganding bahu dan menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa dan adat resam sesama saudara Islam.

    Katanya, ibadah itu membuktikan bahawa tiada perbezaan sesama manusia dan kebersamaan itu lahir atas kepatuhan kepada Allah.

    Idris turut mengingatkan bahawa hawa nafsu sekiranya tidak dikawal, ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.

    Idris menyampaikan khutbah berkenaan di salah sebuah surau yang terdapat di perkhemahan jemaah haji Malaysia di sini, kira-kira pukul 12.26 tengah hari waktu Arab Saudi.

    Sementara itu, selepas selesai Khutbah Arafah jemaah haji melaksanakan solat sunat sebelum solat fardu Zohor dan Asar (jamak takdim secara tamam), seterusnya mengerjakan solat sunat selepas Zohor dan solat sunat Asar.

    Ia disusuli dengan talbiah dan zikir yang memberi peluang kepada setiap jemaah haji berdoa serta memohon keampunan.

    Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji serta merupakan rukun haji yang kedua dan selepas ini jemaah akan bergerak meninggalkan Arafah bagi mengerjakan ibadah haji seterusnya di Muzdalifah, melontar tiga jamrah di Mina, tawaf dan saei.

    Terdahulu, Idris yang turut diiringi Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin serta Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sempat melakukan lawatan di sekitar khemah penginapan jemaah.

    Beliau turut mengunjungi beberapa jemaah yang uzur dan sakit di khemah khas yang menyediakan perkhidmatan peneman untuk memudahkan urusan mereka.

    Perkhidmatan itu telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lepas oleh TH dan kini seramai 25 jemaah dibenarkan mendapat perkhidmatan berkenaan. – Bernama