Author: Bernama

  • Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal yang videonya tular kerana meminta wang RM200 daripada seorang wanita tempatan berikutan rakannya warga China gagal menunjukkan pasport, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

    Mohamad Ikhwan Mahat, 32, mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah menyebabkan ketakutan dengan niat untuk melakukan pemerasan terhadap Lee Log Ling, 26, dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan wanita itu yang merupakan warganegara China untuk membawa pasport semasa diperiksa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 malam, 23 Mac lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

    Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.

    Pada 3 April lalu, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatarbelakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman, berkata siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

  • Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    Dua mayat ditemui dalam tasik di Kepong

    PASUKAN bomba membantu polis mengeluarkan dua mayat yang ditemui dalam Taman Tasik Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Peyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan menerima panggilan kecemasan kes itu menerusi talian MERS999 pada pukul 10.21 pagi tadi.

    Katanya, seramai 14 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi untuk operasi membawa naik dua mayat berkenaan.

    “Mangsa pertama, seorang wanita dewasa warga tempatan berumur 30 tahun ditemui terapung, berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis.

    “Pada operasi sama, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) bomba turut menemui seorang lagi mangsa yang tenggelam dalam tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun dan mayatnya juga diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Setakat ini belum dapat dipastikan punca kejadian dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis lapor BH.

  • Bekas pengurus didakwa salah guna jawatan beli kad sim daripada anak

    Bekas pengurus didakwa salah guna jawatan beli kad sim daripada anak

    BEKAS pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan bekalan kad sim daripada anaknya untuk syarikat tahun lepas.

    Shahrizal Ridzuan Ambak, 46, yang ketika itu bertugas di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan bekalan kad sim untuk 117 pekerja, berjumlah RM4,428.60, daripada ejen kad sim yang merupakan anak tertuduh, di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh di Kemaman, antara Julai hingga September 2022 .

    Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Yusoff dan Nur Athikah Aziz menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

    Peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Shahrizal Ridzuan memohon jaminan diringankan dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai juruaudit bebas dan kerap ke luar negara bagi melaksanakan tugas.

    Hakim Mohd Azhar Othman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat beliau tidak mengganggu saksi pendakwaan, selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

    Pasport Shahrizal Ridzuan tidak diminta untuk diserahkan dan 3 Ogos ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

  • Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat lelaki hanya berseluar dalam ditemukan di tempat pembuangan sampah

    SATU mayat lelaki dalam keadaan terlentang dan hanya memakai seluar dalam ditemukan di tepi jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, dekat Muar pada Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat yang dijumpai pada pukul 11.50 pagi itu dipercayai berada di lokasi tempat pembuangan sampah berdasarkan terdapat longgokan sampah di kawasan terbabit.

    “Pemeriksaan fizikal terhadap mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mendapati keadaan mayat telah mereput dengan tiada sebarang identiti mangsa diperoleh,” kata beliau dalam satu kenyataan di Muar lewat malam tadi.

    Beliau berkata mayat dihantar ke unit forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala akibat trauma tumpul dan dipercayai adanya unsur jenayah.

    “Setakat ini, pihak polis masih lagi menyiasat keberadaan sebenar mayat sama ada ia (lokasi mayat ditemukan) merupakan tempat kejadian kematian berlaku atau merupakan tempat kejadian kedua (mayat diletakkan di situ).

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

    Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Derah Muar bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Zakini Ab Latif menerusi talian 013-233 8184.

  • Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock

    Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock

    HAKIM Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh semalam menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lepas.

    Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata hakim itu menyatakan demikian semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

    “Yang Arif (Amarjeet) telah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

    “Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Julai ini dan kes ini akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Wan Ahmad Farid Wan Salleh,” kata Ahmad Hanir.

    Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Jan tahun lepas, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat. 

    Pada 16 Jun 2022, pasangan itu memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman selepas mahkamah menolak bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

    Pasangan berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

    Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, siasatan didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 September 2021, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 September 2021.

    Mereka mendakwa kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock telah dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh AGC untuk siasatan lanjut namun ia masih belum dilengkapkan oleh polis walaupun insiden itu berlaku hampir 14 tahun lepas.

    Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 bangunan sama.

  • Penulis British diperintah bayar ganti rugi RM1.2 juta

    Penulis British diperintah bayar ganti rugi RM1.2 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan penulis British, Michael Backman membayar ganti rugi berjumlah RM1.2 juta kepada bekas pegawai bank dan Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong kerana memfitnah beliau dalam buku bertajuk Daim Zainuddin: Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter.

    Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memerintahkan Backman membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am dan RM600,000 lagi sebagai ganti rugi teruk.

    Beliau berkata, ganti rugi itu diberikan kerana menyebabkan kerosakan yang tidak ternilai akibat fitnah yang hanya boleh diberikan pampasan oleh mahkamah.

    “Mahkamah mengambil kira kedudukan plaintif (Kooi Ong) dalam dunia perniagaan yang bukan hanya dikenali di Malaysia malah di rantau ini dan seluruh dunia. Memandangkan dakwaan yang dilemparkan ternyata memfitnah beliau di peringkat antarabangsa, RM600,000 sebagai ganti rugi am adalah jumlah yang munasabah,” katanya.

    Roz Mawar juga berkata, mengenai ganti rugi teruk, defendan enggan memasukkan kehadiran dan mengemukakan pernyataan pembelaan atas alasan beliau tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah itu.

    Mahkamah turut memerintahkan Backman untuk membayar kos sebanyak RM100,000 kepada Kooi Ong dan membenarkan perintah injunksi terhadap penulis itu bagi menghalang beliau daripada mengulangi kenyataan fitnah dalam buku terhadap plaintif.

    Pada Mac, satu perintah penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Backman susulan kegagalan beliau hadir pada prosiding mahkamah.

    Peguam K. Shanmuga mewakili Kooi Ong.

    Pada 28 September 2022, Kooi Ong, 64, memfailkan saman terhadap Backman kerana mendakwa terdapat kenyataan berunsur fitnah dalam buku itu.

    Menurut plaintif, pada 2018, defendan, melalui penerbitnya River Books Co. Ltd di Thailand, telah mencetak dan menerbitkan buku itu yang boleh didapati di seluruh dunia termasuk United Kingdom dan Malaysia.

    Beliau mendakwa defendan secara melulu dan dengan niat jahat telah menerbitkan perkataan berunsur fitnah yang merosakkan imej plaintif dan menyebabkan perniagaannya mengalami kerugian.

  • Sultan Selangor mahu polemik agama diselesaikan segera dengan bijak dan tertib

    Sultan Selangor mahu polemik agama diselesaikan segera dengan bijak dan tertib

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua pihak mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan dengan semangat toleransi yang tinggi dalam berhadapan isu agama.

    Apa jua polemik agama hendaklah diselesaikan segera demi perpaduan dan masa hadapan negara, titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

    Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru agar semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat terus disemai serta dididik di semua peringkat bersama nilai-nilai murni hidup bermasyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

    Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menyokong dan senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

    Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

    Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

    Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin berpandangan isi kandungan titah Yang di-Pertuan Agong itu amat baik dan impresif serta harus diambil serius oleh rakyat jelata.

    Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda Sultan turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara, kata kenyataan itu.

    Sultan Selangor mahu semua pihak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, dan semua rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

    Titah baginda Sultan lagi, ke arah membina sebuah negara yang maju jaya, berwibawa, dan bermaruah, semua rakyat dan ahli politik hendaklah membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa kepada perpecahan.

    “Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” titah baginda.

  • Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 146 kilometer dari Sibu, tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata warga emas berusia dalam lingkungan 80-an dan belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai di bawah runtuhan rumah berstruktur tidak kekal itu yang musnah dalam kebakaran yang dilaporkan pada pukul 12.04 tengah malam.

    “Rumah itu didiami enam sekeluarga dengan penghuni lain terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.

    Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya kira-kira pukul 1.57 pagi.

    Punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam siasatan, katanya.

  • Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di sungai berhampiran Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 5.06 petang tadi.

    Katanya, mangsa berpakaian baju renang berwarna hitam bertompok hijau dipercayai hilang ketika mandi di lokasi berkenaan.

    “Setibanya jentera di lokasi, kita terima makluman daripada saksi, seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mandi-manda hilang dan dipercayai lemas.

    “Ketika ini operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung merangkumi jarak 30m dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya.

    Katanya, setakat ini 10 anggota terlibat dalam operasi itu dengan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba Teluk Intan juga digerakkan ke lokasi.

  • PAS sedia beri beberapa kerusi di Terengganu kepada BERSATU

    PAS sedia beri beberapa kerusi di Terengganu kepada BERSATU

    PAS Terengganu bersedia memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding di beberapa kerusi di negeri itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata pembahagian kerusi antara PAS dan BERSATU bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi.

    Katanya, setakat ini pihak terbabit masih dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi itu.

    “Insya-Allah akan ada kerusi bagi rakan BERSATU untuk bertanding di Terengganu, namun setakat ini kita masih belum tamat lagi perbincangan kerusi.

    “Dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis hari ini.

    Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini, selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tiada masalah berhubung kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan hal itu sebagai satu nilai tambah buat PRN nanti.

    “Apa yang penting adalah keinginan yang mahu dicapai oleh PN, sama ada PAS, BERSATU dan GERAKAN adalah untuk menggembleng sokongan sebanyak mungkin dalam kalangan rakyat bukan saja Melayu Islam bahkan daripada komuniti lain,” katanya.

    Mengulas isu penjualan tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahmad Samsuri berkata, ia dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

    “Saya pun tidak faham kenapa perkara ini menjadi isu apabila proses yang dijalankan berhubung jual beli itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu,” katanya.

    Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan PAS Terengganu bernilai RM29.3 juta didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

    Dilaporkan, penjualan itu tidak disokong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan iaitu sebanyak RM5.87 juta, tetapi didakwa dikurangkan kerajaan negeri kepada RM500,000 saja.