Author: Bernama

  • Pencuci kapal didakwa bunuh isteri,bayi

    Pencuci kapal didakwa bunuh isteri,bayi

    SEORANG pencuci kapal didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayinya di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru awal bulan ini.

    Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Hajar Nursyahirin Rosman, 26, seorang suri rumah pada 11.30 pagi, manakala pertuduhan kedua tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya Hans Mohamad Thaqeef berusia dua bulan, pukul 11.40 pagi.

    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di No 44, Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada 4 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan mental.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit ditahan pada 4 Julai di kawasan Permas Jaya di Johor Bahru, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka, di Kampung Bakar Batu.

    Lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu. -Bernama

  • Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air

    Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air

    KUMPULAN pertama jemaah haji Malaysia seramai 298 orang tiba di tanah air hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612.

    Ketibaan mereka pada pukul 9.05 pagi dari Jeddah, Arab Saudi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.

    Ahmad Marzuk ketika ditemui pemberita berkata 49 penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa kesemua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula semalam hingga 13 Ogos ini.

    “Jemaah haji akan balik secara berperingkat dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh TH… syukur operasi haji pada tahun ini berjalan dengan lancar.

    “Semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur meskipun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius” katanya.

    Ahmad Marzuk berkata 32 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan di hospital di Makkah kerana mengalami strok haba.

    “Alhamdulilah, semua jemaah haji yang menerima rawatan dilaporkan stabil… kita nasihatkan baki jemaah haji yang masih berada di Makkah untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

    Sementara itu Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi haji kali ini terutama sekali Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.

    “TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta semua agensi yang terlibat di dalam operasi haji di tanah air dan di tanah suci,” katanya. – Bernama

  • Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Isu kenaikan kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    PERSOALAN mengenai langkah untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan kekal pada harga mampu milik rakyat antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

    Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) pula meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar bagi tempoh 2020 hingga kini, serta langkah kerajaan bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

    Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mengajukannya kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai pelan jangka panjang dan pendek supaya Kuala Lumpur bebas daripada banjir, termasuk banjir kilat yang sering melanda apabila hujan lebat.

    Selain itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dijangka meminta Perdana Menteri menyatakan program dan formula yang akan dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda akan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi.

    Isu mengenai Perang Rusia-Ukraine pula disentuh Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Luar iaitu langkah yang diambil kerajaan untuk membendung kesan secara tidak langsung peperangan itu khususnya kepada ekonomi.

    Beliau juga bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk memastikan rantau ini tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana proksi yang akan memberi kesan buruk kepada negara.

    Selepas sesi soal jawab, mesyuarat itu bakal menyaksikan sama ada pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dapat dilaksanakan atau ditangguh buat kali ketiga.

    Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – Bernama

  • Pindaan Perlembagaan UMNO: Jangan salahkan ROS – Ahmad Maslan

    Pindaan Perlembagaan UMNO: Jangan salahkan ROS – Ahmad Maslan

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak agar tidak menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebaliknya jabatan berkenaan diberikan lagi masa berhubung isu permohonan pindaan perlembagaan parti itu.

    Beliau berkata, pihaknya juga berharap Barisan Nasional (BN) tidak disalahkan kerana telah mendesak jabatan itu untuk memberikan jawapan permohonan.

    “Saya tidak mahu ada tindakan salah menyalahkan, kata RoS tidak dengar cakap BN ke atau sebagainya, jangan sebut begitu.

    “Kita berilah lagi masa kepada RoS …seminggu atau dua lagi,” katanya selepas program Wacana Aspirasi Ummah ‘NGO Membantu Kestabilan’ di Dewan Sri Warisan, Kampung Teras Jernang di Bangi, hari ini.

    Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, tambahan masa itu perlu diberikan untuk membolehkan RoS meneliti dokumen tambahan yang diminta daripada UMNO.

    “Oleh kerana permohonan RoS yang meminta sebanyak lapan jenis dokumen tambahan maka itu dianggap sebagai tambahan masa untuk mereka memberikan maklum balas,” katanya sambil turut menafikan dakwaan beberapa portal yang melaporkan RoS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

    UMNO sebelum ini membuat permohonan pindaan itu bagi membolehkannya menangguhkan pemilihan kepemimpinannya sehingga enam bulan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU).

    Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei lepas.

    Pada 7 Julai lepas, RoS berkata keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui semalam. – BERNAMA

  • Kemalangan motosikal: Ibu reda anak maut, kembar cedera parah

    Kemalangan motosikal: Ibu reda anak maut, kembar cedera parah

    SEORANG wanita bukan sahaja kehilangan seorang anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town awal pagi tadi malah kembar kepada si mati turut cedera parah dalam kejadian itu.

    Masitah Md Isa, 44, berkata, anaknya, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, maut di lokasi kejadian manakala Muhamad Syazwan Hafiz kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

    Walaupun sedih dengan kejadian menimpa pasangan kembar itu, yang merupakan anak sulung, dia reda dengan apa yang berlaku dan berkata, empat bulan lepas, anak ketiganya, Muhamad Shazril Haikal, 20, turut terlibat dalam kemalangan di Parit Buntar, Perak membabitkan motosikal ditunggangnya dengan sebuah treler.

    “Saya mengetahui kejadian yang menimpa pasangan kembar itu selepas dihubungi rakan kepada anak dan terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku… sebaik sampai, saya tergamam melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan lalu terus mencari kedua-dua anak saya.

    “Mula-mula saya panggil nama adik (Muhamad Syazwan Hafiz) dan dia mengangguk. Saya kemudian memanggil nama abang (Muhamad Shazwan Hakim) tetapi dia tiada respons, kaku dah. Saya hilang kata-kata,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik HPP di sini.

    Masitah, dari Batu Maung, berkata, pasangan kembar itu yang bekerja sebagai ‘runner’ insurans memang sangat rapat dan dia juga terkilan kerana Muhamad Shazwan Hakim bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini setelah bertunang tahun lepas.

    Shahiril Rohaiza Ramli, 46, ibu seorang lagi mangsa yang maut iaitu Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, pula berkata, sebelum sambutan Aidiladha, dia sempat menasihati anak sulungnya itu agar berhati-hati ketika menunggang motosikal.

    “Dia memang suka motosikal dan dia sangat minat dengan bidang membaiki motosikal. Dari kecil dia baiki basikal, bila besar dia baiki motosikal pula… saya juga tidak sangka dia meninggal dunia pun berpunca daripada minatnya itu,” katanya.

    Dia berkata, Muhamad Eizreel bekerja sebagai mekanik di Saujana Height dan tinggal di Bukit Gedung bersama isteri serta dua anak mereka yang berusia lapan dan empat tahun namun selalu singgah ke rumahnya di Kampung Tersusun, Sungai Ara dekat sini.

    “Boleh kata setiap hari arwah datang rumah saya dan sejak seminggu dua ni, dia macam mengelak daripada memandang muka saya, saya hairan juga tetapi tidak fikir apa-apa… kali terakhir dia datang rumah saya pada Sabtu petang tapi saya tiada kerana bekerja dan dia jumpa adik dia sahaja,” katanya.

    Bagi Ahmad Najwan Ikhwan Ahmad Nazrul, 20, kehilangan adiknya, Ahmad Haikal Naif, 19, dalam kemalangan itu memberi kesan mendalam kerana arwah sangat rapat dengan semua ahli keluarga mereka.

    Ahmad Najwan Ikhwan berkata, arwah juga sempat berpesan kepada rakan-rakan agar mengebumikan jenazahnya di tanah perkuburan yang sama dengan datuk mereka di Balik Pulau jika dia meninggal dunia bagi memudahkan urusan keluarga untuk menziarah.

    Empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi tadi.

    Polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town melibatkan beberapa motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram.

  • Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    Saravanan tak nafi ahli MIC terlibat tuntutan palsu PenjanaKerjaya

    MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan hari ini tidak menafikan ada individu dalam kalangan anggota MIC terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, bagaimanapun penglibatan individu dalam tuntutan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan parti MIC.

    “Saya setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah penglibatan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Flex Penang berhubung usaha memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di kilang Flex Plan 5, di Bukit Mertajam hari ini.

    Saravanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang didengarinya, mengenai beberapa anggota parti politik itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya.

    SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman 40 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire beberapa hari lepas.

    Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia mahu lebih banyak syarikat yang berjaya membantu melahirkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Saravanan berkata, ketika ini, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat besar bagi membantu memberi pekerjaan kepada golongan itu dan ia selari dengan aspirasi kerajaan supaya tiada mana-mana lapisan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada Flex Pulau Pinang yang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Perkeso bagi memberi ruang dan peluang kepada OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan itu, saya harap lebih ramai majikan mencontohi inisiatif proaktif tersebut bagi merancakkan penempatan pekerja OKU.

    “Maka dengan adanya perjanjian ini, Perkeso akan kenal pasti OKU dan akan dipanjangkan kepada Flex Pulau Pinang untuk memberi peluang pekerjaan dengan memberi temu duga kepada mereka, kita lihat Flex melahirkan suasana seperti ini dan saya yakin syarikat lain jua akan mengikutinya,” katanya.

    Perkeso diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed manakala Flex Pulau Pinang oleh Naib Presidennya, P Viswanathan.

    Pada majlis itu, Saravanan turut merasmikan Hab Satelit MYfutureJobs@Flex.

    Antara bidang kerjasama strategik di bawah MoU itu merangkumi aspek penyelidikan dan pengajaran, program kebolehpasaran kerjaya, perkhidmatan pekerjaan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sesi Training of Trainers (TOT) dan Program Return to Work (RTW) Perkeso. – BERNAMA

  • MoU Kestabilan Politik: PKR bincang dengan DAP, Amanah

    MoU Kestabilan Politik: PKR bincang dengan DAP, Amanah

    PKR akan mengadakan perbincangan dengan DAP dan Amanah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana DAP dan PKR mempunyai ahli majlis baharu selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.

    “Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya. Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

    “Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam hari ini, mengulas sama ada PH berminat untuk melanjutkan MoU berkenaan.

    Anwar berkata, beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai MoU itu.

    Pada 13 Sept 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Sebelum itu, semasa sesi penggulungan Anwar berkata, pendekatan menetapkan calon sepertimana yang diambil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Anwar berkata mana-mana pemimpin yang tidak mempunyai prestasi rekod kerja yang memuaskan di cabang, tidak akan dipilih sebagai calon dan parti juga akan mendapatkan pandangan wanita serta ahli akar umbi sebelum watikah pelantikan ditandatangani.

    “Mengambil pengalaman pada PRN Melaka dan Johor, orang salahkan Anwar. Tapi saya Presiden, saya ambil tanggungjawab. Tetapi mereka tidak tahu yang 90 peratus calon itu dicadangkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan cabang, dan pendekatan serupa tidak akan digunakan lagi,” katanya. – BERNAMA

  • Pemutihan tanah mudahkan perancangan masa depan infrastruktur sekolah

    Pemutihan tanah mudahkan perancangan masa depan infrastruktur sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) serius melaksanakan proses “pemutihan” atau memindah milik tanah sekolah daripada kerajaan negeri kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bagi memudahkan perancangan masa depan infrastruktur sekolah terlibat.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, antara faktor utama yang menyebabkan usaha menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terkekang adalah berkaitan dengan status tanah sekolah berkenaan.

    “Ada tanah sekolah di mana tapak sekolah kita ini masih belum dimiliki oleh JKPTG. Jadi, urusan pembinaan baharu bagi menggantikan bangunan yang daif tidak dapat dilaksanakan.

    “Kami melakukannya dengan serius, berbincang dengan pihak kerajaan negeri supaya pemutihan ini dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Beluran di Beluran hari ini.

    Mohd Radzi turut memaklumkan sejak memikul jawatan sebagai Menteri Kanan Pendidikan, jumlah tanah sekolah yang berjaya diputihkan semakin meningkat.

    Katanya, Sabah dan Sarawak merupakan antara negeri yang mempunyai tanah sekolah yang belum ditukar hak milik namun tidak menyatakan jumlah tanah terlibat, dan menambah sekolah di Felda merupakan antara kawasan terbabit.

    Sempena lawatan kerjanya selama dua hari ke Beluran sehingga esok, Mohd Radzi turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Pejabat Pendidikan Beluran bagi menyelesaikan isu mendesak yang memerlukan penyelesaian segera bagi membolehkan golongan pelajar di daerah itu mengikuti pembelajaran dalam keadaan lebih kondusif dan selesa.

    Beliau juga meminta semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) supaya sentiasa kerap turun padang melawat sekolah bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan seterusnya mengambil tindakan segera menyelesaikannya.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran, pada majlis sama berkata, proses pembangunan kemudahan asas, termasuk sekolah di luar bandar merupakan proses berpanjangan.

    “Saya yakin jika pelajar luar bandar diberi peluang mendapat pendidikan menyeluruh akan berpotensi tampil lebih menyerlah dalam kehidupan,” katanya. – BERNAMA

  • Peniaga wanita rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam

    Peniaga wanita rugi lebih RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam

    SEORANG peniaga kerugian RM1.02 juta selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkannya mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun, semalam.

    “Mangsa menerima panggilan daripada pihak sindiket itu pada pertengahan Mei lepas. Mangsa yang terpedaya telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran tunai melalui 23 transaksi menggunakan mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.

    “Mangsa turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada pihak sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa telah membuat semakan akaun bank miliknya semalam dan mendapati sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM122,300 telah dilakukan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak tidak dikenali.

    “Mangsa syak dirinya telah ditipu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Polis tahan lelaki hina agama di media sosial

    Polis tahan lelaki hina agama di media sosial

    POLIS menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.A Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan mengenainya sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Ibupejabat Polis Bukit Aman, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW, Allah SWT serta agama Islam, dan turut mencabar pertubuhan badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.

    Turut tular hari ini adalah beberapa klip video yang memaparkan lelaki terbabit dipukul di hadapan rumahnya oleh beberapa individu yang tidak dikenali, dipercayai berpunca daripada cabarannya itu.

    Anbalagan yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan di luar batasan undang-undang berkata siasatan juga sedang dijalankan terhadap individu yang dilihat memukul lelaki itu. – BERNAMA