Author: Bernama

  • Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis

    BEKAS pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas dipercayai masih berada dalam negara.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan setelah pihaknya mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen.

    Mohd Iqbal berkata, setakat ini pihaknya turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh orang awam selepas hebahan berhubung kehilangan Zalina Shaharah, 58, dilakukan polis.

    Pagi tadi, sebuah portal hiburan tempatan melaporkan terdapat individu yang mendakwa melihat seorang wanita seperti Zalina Shaharah pada Ahad lepas menerusi Twitter miliknya.

    Wanita yang didakwa mirip Zalina Shaharah itu muncul di kafe miliknya di Seksyen 9, Shah Alam kira-kira 1 tengah hari dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.

    Zalina Shaharah dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – BERNAMA

  • Ahli Parlimen Parit dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB

    Ahli Parlimen Parit dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB

    AHLI Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai lepas.

    SPNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lantikan Mohd Nizar itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha yang telah memegang jawatan itu sejak 2 April, tahun lepas.

    Menurut kenyataan itu, Mohd Nizar memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol di Sumatera Barat, Indonesia.

    Selain memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen, Mohd Nizar juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan Parit.

    “Kami mengalu-alukan pelantikan pengerusi baharu SPNB dalam barisan kepimpinan syarikat dan berharap beliau akan dapat menyuntik semangat untuk SPNB terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ditubuh

    Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ditubuh

    KAUKUS Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang secara rasmi ditubuhkan hari ini bakal menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi terutamanya Dewan Rakyat.

    Kaukus itu diterajui oleh konvener bersama, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) manakala Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan sekretariat kepada kaukus tersebut.

    Kaukus itu turut dianggotai Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Loke Siew Fook (PH-Seremban), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah).

    Selain itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang), Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) dan Baru Bian (PSB-Selangau).

    Azalina berkata, kaukus itu penting untuk memupuk dan memandu persaingan sihat dan produktif pelbagai parti dalam mewujudkan amalan demokrasi lebih baik di Malaysia.

    “Paling penting kita semua Ahli Parlimen dari kedua-dua belah Dewan, sama ada ahli-ahli backbencher atau pembangkang, kita mahu melihat keadaan yang lebih seimbang di Parlimen.

    “… sebagai bekas Timbalan Yang Dipertua (Dewan Rakyat), kami tahu pemisahan kuasa kerajaan tetapi saya fikir rakyat mahu melihat ahli-ahli Parlimen bertindak dan berfungsi dengan adil, tanpa mengira di mana kita duduk,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

    Dalam pada itu, Maria Chin berkata, sebagai permulaan, ahli-ahli Kaukus telah bersetuju mengkaji dan menggerakkan usaha untuk menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambah baik operasi Parlimen.

    “(Ini termasuk) mempermudahkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian dan digitalisasi proses-proses Parlimen, memperkasa Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan seperti pakar-pakar, masyarakat sivil, media dan orang ramai berkenaan agenda pemerkasaan Parlimen dan pengukuhan demokrasi,” katanya.

    Katanya, kaukus berkenaan berharap supaya platform itu dapat dimanfaatkan secara optimum oleh semua pihak dalam usaha memperkasa peranan sebenar Ahli-ahli Parlimen selaku pembuat undang-undang dan dasar negara sekali gus menjadikan institusi Parlimen profesional dan bertaraf dunia. – BERNAMA

  • Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    Pengarah LKIM Selangor didakwa terima rasuah

    SEORANG pengarah di sebuah agensi kerajaan di Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM5,000 kononnya sebagai balasan melantik pembekal melaksanakan kerja-kerja membekal benih, baja dan racun.

    Khusairi Husain, 56, sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor didakwa menerima untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui badan tersebut ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.

    Khusairi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Khusairi didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

    Peguam Noor Adzrie Mohd Noor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat orang anak.

    “Saya mencadangkan jaminan RM5,000 dan sepanjang ditahan tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM selain tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 22 orang terbunuh dan 33 lagi cedera dalam nahas jalan raya apabila sebuah bas dan trak bertembung di Wilayah Minya di selatan Mesir, dalam kejadian pada Selasa.

    “Sebuah bas penumpang dari wilayah selatan Sohag dalam perjalanan ke Kaherah telah merempuh belakang trak yang berhenti di tepi jalan,” kata Gabenor Osama Al Qady kepada Xinhua.

    Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

    Nahas berlaku kira-kira 200 kilometer dari Kaherah.

    Kemalangan jalan raya banyak berlaku di Mesir kerana infrastruktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik selain penguatkuasaan lemah peraturan lalu lintas.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah meningkatkan perkhidmatan rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu serta membaiki jalan lama untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. – BERNAMA

  • Trend media sosial ‘New Malaysia’ semakin membimbangkan – PDRM

    Trend media sosial ‘New Malaysia’ semakin membimbangkan – PDRM

    SERANGAN pihak tidak bertanggungjawab dalam menyuntik agenda baharu iaitu “New Malaysia” yang mampu mencetuskan konflik terbuka antara kaum melalui penggunaan media sosial semakin membimbangkan, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Zamri Yahya.

    “Trend semasa penyalahgunaan media sosial semakin membimbangkan iaitu bagi penyebaran berita palsu, salah faham dan untuk mencapai pemutarbalikan kebenaran. Penyalahgunaan ini akan menyemai pemikiran baharu kepada orang ramai untuk menolak sistem sedia ada.

    “Orang ramai semakin keliru dan jadi tidak menentu kerana maklumat telah diselewengkan sekali gus timbulkan kegusaran dan mengancam keharmonian negara,” katanya.

    Zamri berkata demikian semasa menjadi panel jemputan bertajuk “Landskap Keselamatan Negara: Mendepani Cabaran Semasa & Akan Datang” pada Persidangan Keselamatan Negara 2022, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, serangan sedemikian amat berbahaya kerana boleh mengundang provokasi perkauman, keagamaan sekiranya tidak dikawal.

    “Misalnya insiden di Puchong baru-baru ini di mana seorang individu dibelasah orang ramai susulan kenyataan dibuatnya yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya.

    Pada Ahad lepas, polis menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong. – BERNAMA

  • Tangan askar hampir putus masuk rim motosikal

    Tangan askar hampir putus masuk rim motosikal

    SEORANG anggota tentera cedera parah apabila tangan kirinya hampir putus selepas termasuk ke dalam rim motosikal yang dinaiki bersama rakan dalam kemalangan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam insiden pada kira-kira 7 pagi itu, dua lelaki berusia 37 tahun yang merupakan anggota tentera dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke kem tersebut dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Sejurus sampai di hadapan Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas secara tiba-tiba baju panas milik pembonceng (mangsa) tersangkut di sprocket (gegancu) motosikal yang dinaiki mereka dan menyebabkan baju itu terbelit.

    “Hal itu menyebabkan mangsa terjatuh ke sisi kiri motosikal lalu mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam rim,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di tangan kiri yang hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri manakala rakannya, yang merupakan penunggang motosikal, tidak mengalami kecederaan.

    Anuwal berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • 7 kereta mewah nombor plat asing dipandu secara berbahaya

    7 kereta mewah nombor plat asing dipandu secara berbahaya

    POLIS sedang mengesan tujuh pemandu kereta mewah bernombor pendaftaran asing yang didapati memandu dan memotong secara berbahaya di Kilometer 42 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi menghala Bandar Penawar di Kota Tinggi, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora berkata, polis mengesan rakaman video sekumpulan kereta mewah yang sedang berkonvoi itu di laman Facebook kira-kira pukul 8.55 malam.

    “Polis telah mengenal pasti kesemua kenderaan terlibat dan memohon kerjasama pemilik kenderaan ini untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menyenaraikan nombor pendaftaran dan warna kereta mewah yang terlibat dalam kejadian berkenaan iaitu SLW3839P berwarna kuning, EN403M (putih), SKH3888M (merah), SMG80C (merah), SBA479Z (hitam), SMZ986P (kuning) dan SNF19A (putih).

    Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 6(1) LN166/59 bagi kesalahan memotong secara berbahaya.

    Hussin turut menasihatkan orang ramai agar lebih bersabar dalam pemanduan dan menjadi pemandu berhemah tanpa melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.

    Terdahulu, dua video berdurasi 1 minit 17 saat dan 1 minit 58 saat tular di media sosial menunjukkan rakaman sekumpulan tujuh kereta mewah berkonvoi dan memotong kenderaan lain sehingga mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya. – BERNAMA

  • Tiga ‘doktor’ dadah dicekup

    Tiga ‘doktor’ dadah dicekup

    TIGA pembekal dadah di pusat hiburan di sekitar ibu negara yang digelar ‘doktor’ adalah antara 180 individu ditahan dalam operasi khas pusat hiburan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20an dan 40an yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing itu ditahan dalam operasi tiga hari bermula pada 15 Julai lepas yang turut menyaksikan rampasan beberapa jenis dadah.

    Beliau berkata gelaran ‘doktor’ itu digunakan pelanggan untuk suspek kerana kemahiran mereka mencampurkan beberapa jenis dadah sebelum dijual di pasaran.

    “Mereka ini biasanya mencari pelanggan di pusat-pusat hiburan, bar dan juga pusat karaoke. Mereka sudah aktif sekitar enam bulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya tindakan tersebut menunjukkan Polis Kuala Lumpur sentiasa mengambil tindakan dalam memastikan tiada pusat hiburan di Kuala Lumpur dijadikan lubuk pengedaran dadah.

    Dalam operasi itu sebanyak 20 pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur telah diserbu.

  • Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    Tipu haji dan umrah: 121 laporan polis, kerugian lebih RM5.1 juta

    POLIS Diraja Malaysia menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada terhadap tiga syarikat pelancongan swasta yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 48 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta diikuti Selangor dengan 30 laporan melibatkan kerugian RM956,300.

    Beliau berkata, 18 laporan melibatkan kerugian dianggarkan RM1.2 juta diterima di Pahang manakala masing-masing enam laporan diterima di Kelantan, Perak dan Johor dengan kerugian RM608,000.

    “Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000, Negeri Sembilan merekodkan dua laporan membabitkan kerugian RM170,500 manakala masing-masing satu laporan di Terengganu dan Pulau Pinang yang melibatkan kerugian RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata, 22 kertas siasatan berkaitan penipuan itu dibuka, membabitkan 323 mangsa.

    Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA