Author: Bernama

  • Ibu dakwa anak ‘terjebak’ sindiket tipu dikurung di Laos

    Ibu dakwa anak ‘terjebak’ sindiket tipu dikurung di Laos

    TERPEDAYA dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan pulangan lumayan, namun akhirnya ‘terjebak’ sebagai pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan dalam talian.

    Itu nasib yang menimpa sembilan lelaki rakyat Malaysia yang kini dipercayai berada di Laos dan mendakwa turut dikurung dan dipukul oleh ‘majikan’ mereka.

    Ibu seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wendy mendakwa anaknya yang berusia 23 tahun itu sebelum ini mendapat pekerjaan di Dubai pada Februari lepas.

    Menurut wanita berusia 43 tahun itu, dia tidak mengetahui pekerjaan anaknya namun sering mendapat panggilan video dan telefon daripada anaknya ketika berada di Dubai.

    “Pada April tahun ini, anak ada telefon dan beritahu dia bersama lapan rakannya berada di Laos dan masih boleh dihubungi.

    “Saya terkejut apabila pada Jun lepas, dia beritahu mahu lari daripada syarikatnya bekerja kerana tidak diberikan makanan dan minuman akibat tidak mahu menjadi telefon scammer (pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan),” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Wendy berkata, dia turut menerima gambar yang memaparkan kecederaan yang dialami anak dan rakan anaknya serta hanya menunggu anaknya itu untuk menghubunginya.

    Dia yang bimbang dengan keadaan itu sudah membuat laporan polis dan berharap anak tunggalnya dapat dibantu dan dibawa pulang ke tanah air segera.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pada Rabu lepas dan satu kertas siasatan telah dibuka.

    Sebelum ini, seramai 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh satu sindiket di Preah Sihanouk di Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan dan diselamatkan pada 5 April lepas.

    Pada 12 April, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima 35 laporan melibatkan 45 warga Malaysia yang dipercayai terkandas di luar negara seperti Myanmar, Thailand dan Laos disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan. – Bernama

  • Pemilik kelab komedi dituduh buat hantaran sentuh sensitiviti kaum

    Pemilik kelab komedi dituduh buat hantaran sentuh sensitiviti kaum

    SEORANG pemilik kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.

    Bagaimanapun, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, yang memakai kemeja berwarna putih dan berseluar biru muda, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

    Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di Kuala Lumpur, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai lepas.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman berkata pihaknya menawarkan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan ke atas OKS sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, memandangkan kes berkenaan menyentuh sensitiviti perkauman.

    “Pihak kami juga memohon syarat tambahan iaitu OKS perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh komen serta membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial sepanjang kes ini berjalan,” katanya.

    Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Mohamad Rizal memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan kerana anak guamnya perlu menyara tiga anak yang seorang daripadanya mengalami disleksia selain bapanya yang berumur 74 tahun menghidap penyakit kanser.

    “Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dan tiada sebab untuknya melarikan diri. Jadi dalam keadaan ini, saya memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain OKS perlu menyerahkan pasport di mahkamah serta tidak membuat hantaran atau komen di mana-mana media sosial berkenaan kes itu selain menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Lelaki berkenaan membayar jaminan itu.

    Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki itu ditahan di sekitar Lembah Klang oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas kerana disyaki menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di ibu kota, di sini, seperti tular melalui dua klip video. – BERNAMA

  • MoU antara Kerajaan,PH berkuat kuasa sehingga Parlimen bubar – Annuar

    MoU antara Kerajaan,PH berkuat kuasa sehingga Parlimen bubar – Annuar

    MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan terus berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata ia terpulang kepada pihak yang menandatangani perjanjian itu, sekiranya ingin menyemak semula perkara berkenaan.

    Beliau berkata MoU sedia ada tidak mempunyai tarikh luput tetapi dicatatkan di bawah Perkara 3(1) bahawa MoU itu berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani hingga parlimen dibubarkan.

    “… setakat MoU yang sedia ada, masih kekal berkuat kuasa, cuma kekeliruan timbul kerana ada satu klausa dalam MoU itu yang menyatakan kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai.

    “Jadi, tidak ada usul pembubaran Parlimen sehingga akhir bulan ini. Kalau selepas bulan ini (klausa Parlimen dibubarkan)…  terpulang kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Annuar diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tegas untuk tidak melakukan sebarang lanjutan MoU antara kerajaan dengan PH.

    Annuar berkata MoU itu bukan melibatkan parti (UMNO) tetapi ia adalah antara PH dan Perdana Menteri untuk mengekalkan kestabilan politik.

    Katanya MoU berkenaan bukan hanya melibatkan soal pembubaran Parlimen namun meliputi pelbagai perkara lain yang dicapai antara Perdana Menteri dan pembangkang.

    Memorandum berkenaan mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Ditanya mengenai cadangan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Annuar berkata soal jawatan itu tidak perlu difikirkan sebaliknya lebih baik memfokus kepada masalah rakyat yang sedang berdepan kenaikan harga barangan ketika ini.

    “Kita (harus) terus bekerja sebagai satu pasukan dan lebih baik lagi kalau pembangkang juga turut memberikan kerjasama mengekalkan kestabilan supaya kita boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

    “… kalau kita rasa sudah sampai (masa) hendak mengadakan pilihan raya, eloklah segera kita adakan… tetapi pada masa ini, pada saya polemik politik ada baiknya dikurangkan dan kita tumpu untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tawaran iklan jualan keahlian, lambang PBPM adalah palsu – Bukit Aman

    Tawaran iklan jualan keahlian, lambang PBPM adalah palsu – Bukit Aman

    TAWARAN iklan jualan keahlian dan lambang Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia (PBPM) yang kini tular di media sosial adalah palsu, kata Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

    Sehubungan itu, beliau berkata polis menjalankan siasatan terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan iklan berkenaan.

    PDRM mengesan satu iklan di media sosial yang mempromosikan jualan keahlian dan lambang ahli kehormat PBPM dan menurut hantaran itu ahli yang menggunakan lambang berkenaan akan diberi keistimewaan seperti perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer.

    Iklan itu turut menyebut bahawa pemilik kenderaan boleh memasang cermin gelap dan tiada tindakan pihak berkuasa sekiranya memandu dalam keadaan mabuk, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut iklan itu, orang ramai yang berminat diminta menghubungi seorang individu menerusi nombor telefon tertera dalam iklan berkenaan.

    Noorsiah berkata tiada sebarang keistimewaan sedemikian yang wujud atau ditawarkan kepada mana-mana pihak seperti didakwa.

    “PDRM menasihatkan orang ramai yang menerima iklan promosi berkenaan supaya tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama dinyatakan.

    “Masyarakat juga dinasihatkan agar merujuk saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Bernama

  • Jangan melampaui batas komen kes Syed Saddiq – Hakim

    Jangan melampaui batas komen kes Syed Saddiq – Hakim

    PESURUHJAYA Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.

    Azhar bagaimanapun berkata, mahkamah tidak boleh menghalang orang awam daripada membuat sebarang komen kerana mereka mempunyai hak bersuara yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “Tetapi ia adalah peringatan yang baik. Komen mesti dalam parameter yang dibenarkan dan jangan keterlaluan,” katanya sambil menambah media bebas untuk melaporkan apa yang berlaku di mahkamah.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan aduan berhubung tindakan seorang individu bernama Farhan yang membocorkan transkrip rakaman audio, yang belum ditandakan sebagai eksibit mahkamah dengan membuat hantaran mengenai transkrip itu di akaun Twitter atas nama Farhan.

    Rakaman audio itu didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pegawai kanan SPRM, Mohd Ihsan Sapuan yang memujuk ahli politik itu supaya menyokong kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Rakaman audio itu dimainkan semasa Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, memberi keterangannya di mahkamah semalam dan saksi pendakwaan itu akan menyambung keterangannya hari ini.

    Wan Shaharuddin turut mempersoalkan bagaimana transkrip rakaman audio itu tersebar kepada pihak media, yang kemudiannya disiarkan oleh Astro Awani dan Sinar Harian memandangkan ia hanya diberikan kepada pihak mahkamah terdiri daripada hakim, jurubahasa, pendakwaan dan pembelaan.

    “Saya boleh sahkan ini bukan perbuatan dua rakan saya (merujuk kepada timbalan pendakwa raya lain).

    “Mereka tidak akan melakukan perkara begini (bocor transkrip kepada media). Pendakwaan mohon mahkamah memanggil editor Astro Awani dan Sinar Harian bagi memberi penjelasan bagaimana transkrip itu diperoleh,” katanya yang turut memaklumkan kedua-dua agensi media itu tidak membuat liputan semasa rakaman audio itu dimainkan semalam.

    Mengenai individu bernama Farhan, Wan Shaharuddin berkata, lelaki itu berada di mahkamah hari ini dan pihak pendakwaan memohon beliau memberi penjelasan kepada mahkamah bagaimana transkrip rakaman audio itu diperolehnya.

    “Seperti yang saya katakan semalam, masih belum ditentukan keaslian pemilik suara dalam rakaman audio itu adalah Ehsan dan Syed Saddiq. Kita semua sudah dewasa, tetapi ini kerja budak mentah yang tidak cukup empuk lagi nasinya.

    “Perbuatan pemilik Twitter ini jelas sub judice kerana dia membuat dapatan tentang kes yang masih dibicarakan. Dia jadi pendakwaan, dia jadi pembelaan dan jadi hakim dalam kes ini,” katanya dan menambah satu laporan polis telah dibuat awal pagi tadi berhubung perkara itu.

    Sementara itu, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak bersetuju dengan tuduhan pendakwaan transkrip itu dibocorkan kerana rakaman audio itu dimainkan semalam di mahkamah dan pihak media mempunyai kebebasan untuk melaporkannya.

    “Saya tidak setuju transkrip ini dibocorkan kerana ia dibaca di mahkamah dan soalan ditanya adalah verbatim. Media dengar dan laporkan. Pihak media hanya menjalankan tugas dan buat apa yang berlaku di mahkamah. Ini tidak adil dan dalam hal ini Farhan mewakili orang awam,” katanya yang turut memaklumkan mahkamah tidak mengeluarkan larangan kepada orang awam dan media supaya tidak menyiarkannya.

    Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk S. Ambiga turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang disifatkan cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – BERNAMA

  • Hina Islam: Lapor pihak berkuasa, jangan ambil tindakan sendiri

    Hina Islam: Lapor pihak berkuasa, jangan ambil tindakan sendiri

    UNDANG-UNDANG di Malaysia adalah mencukupi untuk digunakan bagi menghukum individu yang menghina kesucian agama Islam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut lunas undang-undang sedia ada jika kesucian agama Islam dihina oleh pihak tertentu.

    “Saya tidak mahu orang awam membuat tindakan mereka sendiri jika mengetahui ada pihak melakukan penghinaan terhadap kesucian agama Islam. Pihak berkuasa di negara ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi penguat kuasa amat cekap dalam melakukan tugas mereka.

    “Saya berterima kasih kepada mereka atas tindakan pantas terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam yang banyak berlaku kebelakangan ini,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Seminar Lelaki Qawwam peringkat kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Idris berkata, punca individu terlibat menghina agama Islam adalah disebabkan oleh banyak faktor terutamanya masalah mental si pelaku.

    “Secara normalnya jika seseorang yang waras sama ada dari kalangan orang Islam atau sebagainya mereka tidak akan sewenangnya cuba untuk mengaibkan agama secara rela,” katanya.

    Menurut Idris, pihaknya juga sentiasa berusaha membuat penyelesaian jangka panjang tentang isu itu dengan dua kaedah.

    “Pertama kita cuba untuk memberikan pendidikan seperti usaha dakwah, turun ke lapangan, menganjurkan majlis kefahaman agama seperti hari ini dan sebagainya kepada orang awam.

    “Keduanya ialah sistem hukuman itu sendiri yang mana pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

    Seminar Lelaki Qawwam adalah usaha memperkasa peranan lelaki khususnya lelaki muslim, sebagai pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat.

    Sebelum ini, hangat diperkatakan tentang beberapa individu yang menghina agama Islam dan reaksi orang ramai. Terbaharu sebuah kelab komedi yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komediri dan premis berkenaan juga disimbah cat oleh dua lelaki. – BERNAMA

  • Isu buruh paksa: Agensi kerajaan perlu beri penjelasan

    Isu buruh paksa: Agensi kerajaan perlu beri penjelasan

    AGENSI kerajaan berkaitan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, perlu memberi penjelasan berkaitan kedudukan Malaysia di Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2021 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

    Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, agensi itu juga perlu memberi penerangan mengenai langkah serta perancangan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam laporan tersebut.

    “Penyelarasan di peringkat agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani isu buruh paksa perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan efektif,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    AZIZAH MOHD DUN
    AZIZAH MOHD DUN

    Beliau berkata, jawatankuasa itu, yang mengesyorkan perkara berkenaan, mengambil berat isu buruh paksa dalam sektor perladangan dan pembuatan di Malaysia yang menyebabkan negara diletakkan pada kedudukan tersebut dalam laporan berkenaan.

    Katanya, jawatankuasa itu setakat ini mengadakan lima sesi mesyuarat bagi membincangkan isu tersebut secara terperinci dengan memanggil agensi berkaitan serta mendengar taklimat daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

    Azizah turut memaklumkan, dua syarikat yang dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS turut dipanggil memberi keterangan.

    Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa itu semalam mendengar taklimat Kementerian Sumber Manusia yang membentangkan hasil lawatan Datuk Seri M. Saravanan ke Washington, AS.

    “Mesyuarat ini telah membincangkan beberapa isu penting berkaitan iaitu kedudukan Malaysia di Tahap 3 dalam laporan berkenaan serta langkah yang diambil berhubung sekatan WRO oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat berdasarkan 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

    “Jawatankuasa mengambil maklum bahawa isu buruh paksa yang menyebabkan WRO dikenakan terhadap lapan syarikat dalam sektor perladangan dan pembuatan telah mengakibatkan kerugian kepada negara,” katanya. – BERNAMA

  • Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    Sah! Nurul Izzah dilantik Naib Presiden PKR

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Naib Presiden PKR, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kembali menyandang jawatan Setiausaha Agung parti itu.

    Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang dikongsi bersama media menerusi WhatsApp parti itu selepas mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025 malam tadi.

    Dua lagi Naib Presiden yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari dan Saraswathy Kandasamy, sementara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan; Ahli Parlimen Selayang, William Leong (Bendahari) dan Zahir Hassan (Ketua Setiausaha Pengelola).

    Selain itu, lima ahli MPP yang dilantik ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, Manivanan Gowin; Yuneswaran Ramaraj dan Abun Sui Anyit.

    Pada Kongres Nasional PKR Ahad lepas, Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan secara rasmi Anwar kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, sementara Mohd Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu mengalahkan Saifuddin Nasution. – BERNAMA

  • Peniaga didakwa hantar komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    Peniaga didakwa hantar komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi yang jelik terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, lapan tahun lepas.

    Syed Ahmad Saifullah Hashim, 33, selaku orang kena saman (OKS) didakwa memuat naik satu kiriman berhubung ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah’ melalui aplikasi Facebook ‘Syed Saifullah’.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014 dan hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di Kuala Lumpur pada 4 April 2014.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan OKS tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes tersebut.

    OKS yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia menjaga ibu bapanya yang menghidapi penyakit kronik.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan OKS diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta melarangnya membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes itu sehingga kes selesai dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Dua bekas Pegawai kanan Mara Corp didakwa salah guna jawatan dapatkan elaun memangku

    Dua bekas Pegawai kanan Mara Corp didakwa salah guna jawatan dapatkan elaun memangku

    DUA  bekas pegawai kanan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, masing-masing atas lima pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran elaun memangku untuk diri mereka tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah.

    Mengikut kelima-lima pertuduhan, Noor Irwan Marmi, 44, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (memangku) MARA Corp didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan Internal Memo MARA Corp bertarikh 15 Sept 2021 hingga 20 Jan lepas.

    Dokumen itu berhubung perkara yang dia mempunyai kepentingan iaitu bayaran elaun memangku berjumlah RM46,281.75 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MARA Corp.

    Seorang lagi tertuduh Rizal Abdul Gani, 44 tahun, juga berdepan lima pertuduhan iaitu sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Pengarah Kewangan Korporat Kumpulan (memangku), MARA Corp telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengambil tindakan meluluskan Internal Memo MARA Corp bertarikh 15 Sept 2021 hingga 20 Jan lepas.

    Ia berhubung perkara yang dia mempunyai kepentingan iaitu bayaran elaun memangku berjumlah RM40,875 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MARA Corp.

    Pertuduhan terhadap mereka dibacakan di mahkamah sama secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 20, Menara MARA, 232 Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara 17 Sept 2021 hingga 21 Jan 2022, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Kala Vani dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala Noor Irwan diwakili peguam Mohd Ozier Farhan Mohd Khanafeh sementara Rizal tidak diwakili peguam.

    Nurul Atiqah mencadangkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

    Bagaimanapun, Mohd Ozier Farhan memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya perlu menanggung dua anak berumur 16 dan tujuh tahun serta ibu bapanya.

    “Penjamin adalah abangnya yang bekerja sebagai pemandu Grab dan hanya berpendapatan RM2,000. Oleh itu tidak wajar untuk jumlah jaminan yang tinggi. Anak guam saya juga tidak berisiko untuk melarikan diri selain bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM,” katanya.

    Rizal pula merayu jaminan bawah RM10,000 kerana beliau perlu menanggung empat anak selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.

    Mahkamah membenarkan Noor Irwan diikat jamin RM45,000 manakala Rizal RM40,000 dan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali selain menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

    — BERNAMA