Author: Bernama

  • Mayat bayi ditemukan terapung di perkampungan atas air di Kota Kinabalu

    Mayat bayi ditemukan terapung di perkampungan atas air di Kota Kinabalu

    MAYAT bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebuah perkampungan atas air di Kota Kinabalu, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata mayat bayi berkenaan ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

    “Sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.

    “Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Bayi terbabit disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

  • 14,858 calon tak hadir duduki SPM, KPM teliti punca

    14,858 calon tak hadir duduki SPM, KPM teliti punca

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penelitian itu perlu dilakukan bagi membolehkan kementerian membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

    “Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir untuk mengambil peperiksaan. Jadi, ia perlukan penelitian dan bagi masa untuk teliti, kita akan buat intervensi sewajarnya.

    “Bagi menentukan perkara itu membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dapat selepas kita teliti nanti…sebab calon kita ini pelbagai ada calon bukan sahaja bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan sebagainya jadi perlu pecahan yang lebih teliti,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa di Alor Setar, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah ahbar tempatan hari ini yang menyatakan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.

    Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.

    Sementara itu Fadhlina berkata jumlah calon yang memperoleh sijil SPM juga lebih baik iaitu lebih 90 peratus berbanding sebelum ini dengan lebih 80 peratus sahaja, dan tumpuan KPM adalah untuk meningkatkan lagi peratusan calon yang mendapat sijil.

    Semasa dirujuk mengenai cadangan untuk penambahbaikan silibus subjek Sejarah yang melibatkan Kedah dan Pulau Pinang pula, beliau berkata ia tidak akan dilakukan buat masa ini kerana setiap silibus subjek mempunyai kitarannya sendiri.

    “Kurikulum ini dipantau oleh pakar-pakar dan murid-murid pun ada kitarannya… jadi setakat ini kita kekal seperti sedia ada sehinggalah kitaran itu habis dan akan lihat dari segi keperluan untuk semua, bukan Sejarah sahaja tapi semua subjek,” katanya.

  • Anwar tolak dakwaan amal politik dendam

    Anwar tolak dakwaan amal politik dendam

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa beliau menggunakan sistem perundangan negara untuk membalas dendam terhadap mana-mana individu.

    Perdana Menteri berkata, malah beliau sentiasa menghormati undang-undang negara termasuklah tidak mencampuri tugas-tugas serta keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dan hakim terhadap sesuatu pendakwaan.

    “Kalau benar saya dendam sudah ramai yang terperosok ke Penjara Sungai Buloh, tetapi saya tahu perlunya kita pertahan prinsip keluhuran undang-undang.

    “Siapa yang mahu disiasat, didakwa itu bukan kuasa saya, kuasa saya terhad kepada pengarahan terhadap institusi keselamatan menjalankan tugas mereka dengan tegas dan berani,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan pementasan teater ‘Cikgu Anda’ di Kuala Lumpur malam tadi.

    Anwar berkata, beliau tidak boleh mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa kerana sesuatu pendakwaan mesti mempunyai fakta yang kukuh.

    Anwar juga berkata beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menzalimi mana-mana individu.

    Perdana Menteri menegaskan selama tujuh bulan memimpin negara, beliau tidak pernah meminda perjawatan institusi kehakiman.

    “Apa sahaja yang dikemukakan oleh jawatankuasa membawa kepada Ketua Hakim Negara dihantar kepada saya, saya ikut proses sahaja, tidak ada satupun yang saya pinda. Melainkan kalau hakim itu punyai rekod yang mungkin dipertikai,” katanya.

    Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya tata kelola serta pentadbiran di negara ini dibersihkan tanpa wujud unsur negatif malah politik negara perlu terhindar daripada adu domba atau merendahkan martabat pihak lain.

    “Politik itu penting, saya juga mengasaskan dan memimpin parti politik dan antara parti yang bergabung,” katanya dan menambah mencari kelemahan pihak lain merupakan politik tidak matang.

  • Jocelyn Chia nyah aktif akaun media sosial

    Jocelyn Chia nyah aktif akaun media sosial

    AKAUN Instagram (IG) dan Twitter komediri Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia dan tragedi MH370 telah dinyah aktif lewat malam tadi, mungkin disebabkan oleh banyak laporan yang dibuat oleh netizen Singapura.

    Semakan pada akaun IG pelawak di https://www.instagram.com/chiacomedy/ mendorong mesej: “Maaf, halaman ini tidak tersedia. Pautan yang anda ikuti mungkin rosak atau halaman itu mungkin telah dipadam. Kembali ke Instagram.”

    Lawak Jocelyn yang menyinggung perasaan juga tidak disukai rakyat Singapura, dengan seorang pengendali IG mendakwa seorang warga Singapura menyatakan jenaka komediri itu hanyalah ucapan kebencian.

    “Saya warga Singapura, saya telah membuat laporan polis mengenai ucapan kebencian ini. Cuba lebih gigih lain kali,” tulisnya di IG Chia malam tadi sebelum akaun komediri itu dinyah aktif.

    Seorang lagi warga Singapura memuat naik komen pada akaun Facebook Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dan Konsulat Jeneral di Johor Bahru dengan idea untuk ‘mengajar Jocelyn’.

    “Memberi komen secara negatif tentang Jocelyn Chia di Facebook tidak akan menyakitinya.

    “Jika anda ingin memberinya pengajaran, cara terbaik ialah memberikan komen 1 bintang pada ulasan Google Comedy Cellar. Itu akan menggesa pemilik Comedy Cellar (kelab komedi) untuk bertindak balas,” katanya.

    Menurutnya, antara 6 pagi hingga 8 pagi pada 8 Jun lalu, rating Comedy Cellar turun daripada 4.7 kepada 4.4.

    Video Jocelyn mempersendakan Malaysia dalam persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat kini tular.

    Jenaka dibuat oleh peguam yang kemudian menjadi pelawak itu antaranya menyentuh mengenai pesawat malang Malaysia MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selain membandingkan kemajuan antara kedua-dua negara.

    Sementara itu, rakyat Singapura dalam komen mereka yang dilihat di IG Intan Maizura Othaman, isteri kepada kru MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan tampil memohon maaf.

    “Rakyat Singapura sememangnya tidak menganggap perkara ini lucu. Saya juga marah. Dia tidak sepatutnya bergurau tentang perkara seperti ini.

    “Kerana dia seorang yang buat salah kami yang tak bersalah pun terpalit. Kami mintak maaf banyak-banyak kepada semua ahli keluarga dan kakitangan MH370. Maafkan kami!,” kata pengendali IG itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Malaysia dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan turut mengecam Jocelyn.

    Dr Zambry dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap perbuatan individu terbabit yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa tragedi MH370.

    Vivian dalam ciapannya berkata; “Saya terkejut dengan kenyataan jeliknya. Dia sememangnya tidak bercakap untuk rakyat Singapura. Kami menghargai hubungan kami dengan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia dan memohon maaf atas kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan kepada semua rakyat Malaysia.”

    Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon menegaskan kenyataan Chia tidak sama sekali mencerminkan pandangan Singapura dan beliau dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kenyataan wanita itu yang menyakitkan hati.

  • Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan bersubahat bagi memalsukan invois dan pesanan pembelian bernilai RM13.8 juta, tiga tahun lepas.

    Ng Shih Chiow, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Shih Chiow didakwa bersubahat dengan Cheng Choon Choon iaitu pengurus syarikat Accucom Solutions PLT dan Golden Infor Services dengan memalsukan 10 invois bernilai RM8.7 juta untuk tujuan menipu.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Revenue, No 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park di Kuala Lumpur, antara 22 Mei 2020 hingga 8 Ogos 2022.

    Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh juga didakwa bersubahat dengan Choon Choon yang juga pengurus syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd dengan memalsukan dua pesanan pembelian bernilai RM5.1 juta untuk tujuan menipu di lokasi sama, antara 7 April hingga 12 Mei 2022.

    Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Allan Suman Pillai mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya berada dalam simpanan pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

    Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan selain memaklumkan isteri serta adik tertuduh hadir di mahkamah hari ini sebagai penjamin.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

  • Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    PEKEBUN sayur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Som Phong Chem, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berumur 22 tahun itu, berhampiran Pam Air Kampung Kok Klang, Jalan Felda Chuping, Arau pada 5.30 petang 4 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memohon hukuman berat dan sebatan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Som yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan dia juga menjaga ibu yang kurang sihat.

  • Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    TEMPOH reman sepasang suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas, disambung enam hari bermula esok.

    Perintah reman hingga 14 Jun terhadap kedua-duanya yang berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nurhaliza Md Ali bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Pada 2 Jun, pasangan itu dibenarkan direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kangar untuk membantu siasatan polis.

    Pasangan itu disyaki memukul ibu kepada suspek wanita sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Arau pada 1 Jun.

  • Rompak warga emas 3 kali sebulan, 2 lelaki mengaku tak salah

    Rompak warga emas 3 kali sebulan, 2 lelaki mengaku tak salah

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan merompak warga emas di sebuah rumah di Bercham, bulan lalu.

    M Hari Chandran, 41, dan Lawrence Anthony Das, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan memohon kes dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chan Liew Chan, 72, di No 50, Tasek Timur, Taman Ria pada 3 pagi, 24 Mei lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan agar kedua-dua tertuduh tidak diberikan jaminan kerana mengikut laporan, tertuduh merompak warga emas yang sama sebanyak tiga kali dalam masa sebulan, selain untuk mengelak mangsa diganggu tertuduh.

    Hari Chandran dan Lawrence yang tidak diwakili peguam memohon diikat jamin kerana Hari Chandran akan berkahwin dan menjaga ibu bakal isterinya yang sedang sakit, manakala Lawrence mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.

    Ainul Shahrin kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan serta menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, seorang lagi rakan jenayah tertuduh, M Shashipal Singh, 33, didakwa menyimpan harta curi warga emas terbabit iaitu sebuah telefon bimbit jenama Huawei yang dipercayai hasil rompakan bersama rakan-rakannya.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda.

    Shashipal Singh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, manakala pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi.

    Azizah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh hendaklah melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali, manakala 7 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Regat Tasek Timur 20, Taman Ria Bercham di Ipoh menjadi sasaran pencuri apabila dipecah masuk sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga minggu.

  • Polis kesan lelaki bantu siasatan kes bunuh di Klang

    Polis kesan lelaki bantu siasatan kes bunuh di Klang

    POLIS Klang Selatan sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan kejadian bunuh di sebuah rumah di Taman Sentosa Utama, Klang, bulan lepas.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata lelaki itu ialah B Perkas Rao @ Rider, 41, yang memiliki empat rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 34 tahun dipukul suspek di dalam rumah berkenaan pada 26 Mei lepas.

    “Mangsa mengalami 27 kesan pelbagai kecederaan pada seluruh badan dan patah tulang kaki kiri yang menjadi punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • 3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    TIGA beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini terhadap pertuduhan bergaduh di tempat awam bulan lepas.

    Oo Teck Yeon, 55, isterinya, Chuah Chew Teng, 54, dan anak mereka, Oo Cheng Sing, 28, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, di George Town pukul 11.20 pagi, 8 Mei lepas.

    Semua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala semua tertuduh diwakili oleh Zainal Akram Zainal Azahar.

    Majistret Mohamad Azlan Basri menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam individu daripada dua keluarga selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Tanjung Bungah, yang dipercayai berpunca setelah tidak berpuas hati dengan punca kemalangan.