Author: Bernama

  • WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.

    Ketua pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, keputusan itu dibuat meskipun badan penasihat tidak bersetuju dengan penilaian, lapor Agensi Anadolu.

    Dengan sembilan ahli jawatankuasa menentang manakala enam lagi menyokong, Tedros berkata keputusannya adalah sebagai “pemecah seri.”

    Beliau berkata, lebih 16,000 kes dan lima kematian telah dilaporkan di 75 negara dan wilayah.

    “Menurut penilaian WHO, risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia, kecuali di rantau Eropah, penilaian risiko berada pada tahap tinggi.

    “Wabak telah merebak dengan cepat di seluruh dunia, melalui kaedah penyebaran baharu, dan kami mempunyai maklumat yang terhad mengenai hal itu.

    “Walaupun saya mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, wabak itu setakat ini menjangkiti golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutama mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual,” kata Tedros.

    Beliau menegaskan bahawa wabak itu boleh dihentikan menerusi kaedah dan strategi yang betul membabitkan kumpulan itu.

    “Oleh itu adalah penting untuk semua negara bekerjasama rapat dengan komuniti itu, untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara berkesan, dan untuk menerima pakai langkah-langkah melindungi kesihatan,” katanya.

    Tedros turut menyeru masyarakat sivil, termasuk mereka yang berpengalaman bekerja dengan penghidap HIV, untuk bekerjasama dengan WHO memerangi stigma dan diskriminasi.

    “Dengan kaedah yang dimiliki sekarang, kita boleh menghentikan penularan dan mengawal wabak ini,” katanya. – BERNAMA

  • Perhimpunan #Turun: 30 individu dipanggil polis

    Perhimpunan #Turun: 30 individu dipanggil polis

    PIHAK polis memanggil seramai 30 individu termasuk penganjur perhimpunan #Turun pada Sabtu untuk diambil keterangan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata individu yang dipanggil untuk hadir pada Isnin dan Selasa itu akan dimaklumkan identiti mereka selepas polis selesai merakamkan keterangan masing-masing.

    “Polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut akan diambil,” katanya, lapor Bernama.

    Semalam, media melaporkan polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap perhimpunan tersebut yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

    Perhimpunan yang diadakan semalam dihadiri kira-kira 100 individu terdiri daripada mahasiswa serta ahli politik, dipercayai tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

  • 60 PATI ditahan, lima laras senapang angin rampas

    60 PATI ditahan, lima laras senapang angin rampas

    JABATAN Imigresen menahan 60 pendatang tanpa izin dan merampas lima laras senapang angin serta peluru bebola besi dalam satu operasi penguatkuasaan di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, Bagan Serai tengah malam tadi.

    Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata operasi itu dijalankan susulan aduan awam diterima mengenai kegiatan pendatang tanpa izin yang menjalankan tangkapan ikan di persisiran pantai sehingga menjejaskan nelayan tempatan.

    “Berdasarkan aduan itu kami telah menjalankan risikan, pemerhatian dan membuat penyamaran serta menggunakan dron untuk mengambil gambar di kawasan sukar ditembusi,” katanya pada sidang media operasi berkenaan, malam tadi.

    Operasi pada 11.30 malam itu membabitkan 90 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya dan Perak.

    Beliau berkata pihaknya menyerbu 15 premis diduduki 63 warga asing dan menahan 60 orang terdiri daripada 48 lelaki dan 11 wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tanpa dokumen pengenalan yang sah.

    “Daripada jumlah itu 37 orang adalah warganegara Myanmar dan 23 warganegara Indonesia berumur 25 hingga 50 tahun,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata 20 lagi pendatang asing berjaya meloloskan diri dengan menaiki dua bot berada kira-kira 400 meter dari perkampungan itu, di samping ada yang terjun ke laut untuk mengelak daripada ditahan.

    Beliau berkata pendatang tanpa izin berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dan diambil bekerja sebagai nelayan serta pekerja kilang proses belacan di sini.

    “Kesemua mereka dibawa ke Depot Jabatan Imigresen di Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Menurut Khairul Dzaimee, kesemua pendatang tanpa izin itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan siasatan ke atas majikan mengikut Seksyen 56 (1) akta sama.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    [VIDEO] Wartawan bukan Islam dari media Israel lolos masuk Mekah

    POLIS Mekah menahan seorang lelaki rakyat tempatan yang didakwa terlibat dalam membantu urusan seorang wartawan bukan Islam yang memegang kerakyatan Amerika Syarikat untuk memasuki tanah suci Mekah.

    Media antarabangsa melaporkan wartawan itu ialah Gil Tamary daripada saluran siaran bebas Israel, Channel 13.

    Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pula memetik jurucakap Polis Mekah sebagai berkata; “Mereka menggunakan laluan yang dikhaskan kepada orang Islam, hal ini jelas melanggar undang-undang yang melarang kemasukan orang bukan Islam ke tanah suci Mekah”.

    Pihak polis Mekah menegaskan bahawa segala undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi perlu dihormati dan dipatuhi oleh setiap pengunjung tanah suci, khususnya di Masjidil Haram di Mekah dan Madinah.

    “Sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak boleh diterima dan hukuman akan dikenakan terhadap pelaku jenayah berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

    Kes wartawan itu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • Makmal syabu: Bekas polis Malaysia diberkas polis Indonesia

    Makmal syabu: Bekas polis Malaysia diberkas polis Indonesia

    BADAN Narkotik Nasional Indonesia membongkar sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu selepas menahan tiga individu warga tempatan, termasuk seorang warganegara Malaysia di Kepulauan Riau pada Selasa (19 Julai).

    Ketua agensi itu, Inspektor General Petrus Golose berkata, warga Malaysia yang juga bekas anggota polis berpangkat koperal ditahan dalam serbuan di makmal yang beroperasi di rumah sewa di perumahan Sukajadi, Batam.

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya menemui sejumlah bahan bukti termasuk alat memproses, cecair prekusor dan syabu seberat 5.1 kilogram.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati syabu itu telah diproses di Malaysia namun siasatan lanjut akan diteruskan.

    “Kalau mereka telah masuk (dan melakukan aktiviti seperti ini) kita bersama-sama harus berwaspada terhadap kegiatan-kegiatan clandestine laboratory (makmal rahsia),” kata Petrus. – BERNAMA

  • Dijel setahun, denda RM50,000 miliki telur penyu

    Dijel setahun, denda RM50,000 miliki telur penyu

    MAHKAMAH Sesyen Sandakan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan memiliki 1,769 biji telur penyu hijau tanpa izin di Karamunting, Sandakan, minggu lalu.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdu Rasah Amin, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.

    Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bokara, Karamunting, pukul 11.50 pagi, 15 Julai lalu.

    Enakmen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimun RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog berkata, spesies penyu hijau atau nama saintifik, ‘Chelonia mydas’, dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

    Mahkamah turut mengarahkan telur penyu dirampas itu diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman. – Bernama.

  • KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada bagi RMT iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

    “Ia bukan kesalahan KPM (kerana) peruntukan KPM tidak cukup. Ia juga berikutan peningkatan kos harga bahan mentah dan barangan lain dalam negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di Cyberjaya hari ini.

    Khairy berkata, beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

    Menurut Khairy, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lepas, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

    Beliau juga berkata, KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

    Mengenai Hematogenix Malaysia, Khairy berkata, ia merupakan makmal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan pada penyelidikan klinikal terutamanya bidang kanser.

    Beliau berkata, makmal tersebut memberi satu nilai tambah kepada KKM kerana boleh digunakan bagi tujuan diagnostik dan saringan kanser di Malaysia, selain bertujuan menghantar sampel hasil daripada penyelidikan klinikal yang dijalankan di negara ini.

    Hematogenix berpusat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan iaitu di United Kingdom, China dan yang terbaharu di Cyberjaya bagi rantau Asia Pasifik meliputi pasaran Jepun, Australia, New Zealand, dan Korea Selatan. – BERNAMA

  • Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    PENGERUSI Eksekutif Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Seri Yusuf Taiyoob mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

    Ahli perniagaan berjaya dan pembekal buah kurma itu akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil.

    Seramai 21 individu bakal dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin dan bekas Pakar Patalogi Hospital Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Bhunpinder Singh yang ketika ini merupakan pensyarah patalogi di sebuah kolej swasta di George Town.

    Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa; Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud turut tersenarai sebagai penerima DGPN.

    Ahmad Fuzi juga telah memperkenankan untuk menganugerahkan pingat kepada seramai 135 penerima bagi Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) iaitu 18 penerima dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk membabitkan 117 individu.

    Penerima DMPN antaranya Pengerusi Majlis Klan Cina Pulau Pinang, Datuk Ang Cho Teing dan Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd Hanapiah; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin; bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhamad menerima DSPN.

    Seorang pengamal media iaitu wartawan kanan yang bertugas di Malaysikini, S Arulldass turut tersenarai sebagai penerima pingat DSPN.

    Terdahulu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang pada sidang akhbar berkata seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

    Beliau berkata, acara sambutan akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Sri Pinang esok dan istiadat penganugerahan pula berlangsung selama empat hari di Dewan Sri Pinang bermula esok hingga Khamis ini.

    “Istiadat pada kali ini juga menyaksikan jumlah penerima iaitu seramai 1,380 orang adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2018 bagi Pulau Pinang,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    [VIDEO] Jatuhkan bayi baru lahir, jururawat dipenjara enam tahun

    SEORANG jururawat dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Jumaat atas kesalahan menjatuhkan seorang bayi baru lahir pada 2019, yang mengakibatkan kerosakan kekal pada otak.

    Mahkamah Daerah Busan mendapati jururawat itu, yang identitinya dirahsiakan, bersalah kerana cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan kepada bayi perempuan berusia lima hari.

    Kejadian berlaku di unit neonatal sebuah hospital di Busan, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Kemarahan orang ramai tercetus selepas rakaman kamera pengawasan menunjukkan jururawat itu secara fizikal mendera sejumlah 14 bayi baru lahir, termasuk bayi perempuan itu, dengan menggoncang dan memegang secara terbalik dan menjatuhkan mereka.

    Jururawat itu juga didapati bersalah mendera kanak-kanak.

    “Rakaman menunjukkan defendan memegang bayi yang baru lahir itu dalam keadaan terbalik, mengakibatkan bayi itu jatuh terlentang,” menurut mahkamah.

    Bukti turut menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan semasa jururawat itu bertugas.

    Berikutan keputusan itu, jururawat tersebut yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin telah dipenjarakan. – BERNAMA

  • Pemandu didakwa guna dokumen palsu tuntut RM882,560

    Pemandu didakwa guna dokumen palsu tuntut RM882,560

    SEORANG pemandu kenderaan berat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam tuntutan kos pengangkutan Projek ‘Community Drumming’ berjumlah RM882,560 di Keningau pada 2019.

    Junaidi Juling, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Copy of Invoice PSS Keningau 2 di dalam tuntutan bayaran kos pengangkutan Projek Community Drumming di bahagian Keningau untuk menipu bagi menuntut bayaran itu.

    Junaidi didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Sabah di Keningau antara 1 Oktober hingga 27 November 2019.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

    Abu Bakar membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan selain mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat, dan menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Projek Community Drumming merupakan inisiatif kerajaan bagi menampung kos pengangkutan tujuh barangan keperluan iaitu beras, minyak masak, gula, tepung, diesel, petrol RON95 dan gas LPG supaya penduduk luar bandar dan pedalaman menikmati harga barang yang sama dengan penduduk bandar.

    Sementara itu, di mahkamah sama dua lelaki masing-masing berdepan dengan tiga pertuduhan bersubahat dengan Junaidi melakukan kesalahan tersebut di tempat dan tarikh yang sama.

    Saina Tamin, 47, seorang arkitek dan Mohd Rahmad Ambotou, 33, seorang jurujual didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama iaitu hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Abu Bakar membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain mengarahkan tertuduh melapor diri dua bulan sekali di pejabat SPRM terdekat, dan kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.

    Norsham turut menjalankan pendakwaan kes berkenaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama