Author: Bernama

  • MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    MAQIS rampas 740 kilogram daging kerbau dari India

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas 740 kilogram daging kerbau dari India bernilai RM11,700 di Pelabuhan Pasir Gudang di Pasir Gudang, semalam.

    Pengarah MAQIS Johor Edie Putra Md Yusof berkata hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa jabatan itu pada 5 petang telah menemukan 37 kotak daging kerbau dalam sebuah kontena.

    “Kotak-kotak tersebut mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput dan nama pengimport tidak sama seperti dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.

    “Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an yang merupakan ejen penghantaran ditahan, bagaimanapun dia telah dilepaskan setelah diambil keterangan,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Edie Putra berkata kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13 akta sama.

    Beliau berkata pihaknya sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal dan selamat digunakan.

  • Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sekawan kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, dua hari lepas.

    Mohamad Haddrie Naim Azmi, 20, yang sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning, meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi akibat kecederaan parah di kepala susulan kemalangan itu.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semasa Mohamad Haddrie melalui kawasan gelap itu bersama tiga rakannya, mereka tidak nampak kelibat sekawan kerbau yang berada atas jalan raya, mengakibatkan keempat-empat mereka merempuh kawanan kerbau itu.

    Beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga lagi rakannya yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

    Dalam kenyataan di sini hari ini Mohd Yusri berkata masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan negeri dan persekutuan perlu ditangani demi keselamatan pengguna jalan raya, dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemilik haiwan ternakan jika didapati sengaja melepaskan haiwan hingga mengakibatkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

  • Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    Polis tahan lelaki edar dadah bernilai lebih RM400,000 di Sibu

    POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo di Sibu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata serbuan pada 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemukan 71 paket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus diyaki campuran dadah jenis Ekstasi seberat 2.294 gram serta 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis Ekstasi (566.73g).

    “Turut dirampas 43 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine (273g) dan 26 paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis Ekstasi (25,447g).

    “Nilai semasa Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik suspek bernilai RM146,000,” katanya dalam sidang media di Sibu hari ini.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo) dan hasil pemeriksaan didapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.

    Suspek yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu selama enam bulan kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

    Menurut Zulkipli, setiap paket jus dadah itu boleh digunakan enam orang untuk tujuan hiburan dan nilai semasa adalah lebih RM500 sepaket.

    Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan.

  • Polis kenal pasti 190 kawasan panas PRN enam negeri

    Polis kenal pasti 190 kawasan panas PRN enam negeri

    POLIS mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata daripada jumlah itu, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi.

    “Ia diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang,” katanya selepas program lawatan hospital sempena peringatan Hari Polis ke-216 2023 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Cheras hari ini.

    Acryl Sani berkata lokasi berkenaan dikategorikan sebagai kawasan panas kerana dilihat berpotensi untuk tercetusnya provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Justeru katanya, bagi memastikan kelancaran PRN, pihaknya akan melancarkan Op PRN 6N yang akan memfokuskan kepada aspek keselamatan pengundi, tempat pengundian dan tempat penjumlahan undi.

    Menurutnya, bagi pengundian awal di enam negeri tersebut, ia akan membabitkan 93,833 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

  • Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    Polis tahan penganggur terlibat kes pecah tadika di Kulai

    SEORANG penganggur ditahan malam tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah tadika di Bandar Putra, Kulai pada Ogos tahun lepas.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Supt Yusof Othman berkata lelaki tempatan berusia 31 tahun itu, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kulai pada kira-kira pukul 7.30 malam di hadapan sebuah kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, Gugusan Felda Taib Andak di sini.

    Beliau berkata satu laporan polis dibuat seorang guru pada 16 Ogos tahun lepas selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di Kulai, sebelum mendapati sebuah komputer riba serta sebuah projektor telah hilang.

    “Mangsa yang kemudiannya membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya telah menceroboh masuk tadika berkenaan, membabitkan kerugian dianggarkan RM2,000.

    “Hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan pecah tadika di kawasan Bandar Putra pada 15 Ogos tahun lepas, dan siasatan lanjut akan dijalankan dalam penglibatan kes jenayah lain di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Yusof berkata pihaknya turut merampas dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama dan pengecaman terhadap barangan rampasan akan dilakukan oleh mangsa.

    “Hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta rekod orang dikehendaki melibatkan kes 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Dia akan ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kali kedua, jika disabit bersalah,” katanya.

  • Arab Saudi jadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji Palestin

    Arab Saudi jadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji Palestin

    RAJA Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan titah diraja untuk menaja dan menjadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji warga Palestin yang terdiri daripada waris kepada para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai ahli keluarga yang cedera, untuk menunaikan haji tahun 1444 Hijrah.

    Inisiatif itu adalah sebahagian daripada acara tahunan program tetamu Penjaga Dua Masjid Suci yang dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.

    Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Sheikh Dr Abdullatif bin Abdulaziz Al Sheikh, mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini.

    Beliau berkata sokongan itu membolehkan dan memudahkan waris para syuhada dan tahanan serta mereka yang mempunyai keluarga yang cedera di Palestin untuk menunaikan ibadah haji.

    “Kesinambungan sikap murah hati terhadap jemaah haji Palestin yang menunaikan haji setiap tahun dengan tajaan Penjaga Dua Masjid Suci ini adalah sebagai tanda kekuatan hubungan dua negara dan penghargaan baginda terhadap pengorbanan besar yang dilakukan oleh rakyat Palestin,” katanya.

    Program untuk tetamu Penjaga Dua Masjid Suci merangkumi semua aspek melaksanakan ibadah haji, termasuk mengunjungi Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah, mengadakan pertemuan budaya dan ilmiah serta menyelaraskan pertemuan imam Dua Masjid Suci dengan mereka.

  • TH saran orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ di Telegram

    TH saran orang ramai berhati-hati dengan ‘scammer’ di Telegram

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa scammer di aplikasi Telegram.

    TH dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat pihak yang menyamar dan menggunakan logo TH serta menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan di platform itu.

    TH menasihati pendeposit mereka untuk tidak tertipu dan menjadi mangsa scammer dengan penawaran yang tidak munasabah terutamanya daripada pihak ketiga.

    Sebarang pertanyaan boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

  • Jemaah haji wanita meninggal dunia di Makkah

    Jemaah haji wanita meninggal dunia di Makkah

    SEORANG jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia di Makkah pada 11.50 malam, 4 Jun lepas akibat kegagalan jantung.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang memaklumkan perkara berkenaan berkata, wanita berasal dari Raub, Pahang itu meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah.

    “Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah, di Makkah.

    Beliau berkata, pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.

    Selain itu, Syed Saleh berkata, ketika ini, 37 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi kerana mengalami masalah pernafasan dan jantung, jangkitan paru-paru, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

    Beliau turut memaklumkan sebanyak 22,800 atau hampir 72 peratus daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Makkah sehingga hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Malaysia menjadi negara pertama yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji.

    Syed Saleh yang merasmikan ATM Alinma Bank di Abraj Janadriyyah, di sini, berkata, ia bakal memberikan kemudahan kepada 8,000 jemaah haji Malaysia di bangunan itu dan lokasi sekitar.

    Beliau berkata, perkhidmatan kali pertama disediakan hasil rundingan TH dengan Alinma Bank dan Saudi Central Bank itu bagi memudahkan jemaah haji membuat pengeluaran wang tanpa perlu berjalan jauh mencari mesin ATM di kawasan lain.

    Katanya, TH akan meneruskan usaha bagi membolehkan perkhidmatan itu disediakan di bangunan-bangunan penginapan lain untuk kemudahan jemaah haji negara.

    Menurutnya, TH dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) juga telah bersetuju untuk setiap transaksi, fi ditanggung BIMB bagi semua jemaah haji Malaysia.

  • Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    SEORANG lelaki hari ini disahkan meninggal dunia setelah dipercayai pengsan dalam tandas kediamannya di Setia Alam, di Shah Alam awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa pada 3.04 pagi selepas mangsa Simon Tan Cheng Kim, 55, terkunci dalam tandas kediamannya di Jalan Setia Utama.

    “Enam pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik tiba di lokasi pada 3.22 pagi dan didapati mangsa terkunci dalam tandas serta dipercayai pengsan,” katanya dalam kenyataan.

    Mohamadul Ehsan berkata setelah pintu berjaya dibuka, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas lantai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

  • Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    SEORANG wanita berusia 55 tahun rugi RM1.18 juta setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, yang dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon.

    Menurut laporan polis dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu daripada seorang lelaki tidak dikenalinya yang mendakwa dari Putrajaya.

    Pemanggil itu mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan, menurut laporan itu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada dua individu, kononnya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, yang menuduh mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

    “Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wangnya. Mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas namanya dan memindahkan wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa yang panik membuka tiga akaun bank di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun, kemudian memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000, ke dalam akaun bank baharu tersebut.

    Wanita itu turut diarahkan oleh ‘lnspektor Khoo’ untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

    “Mangsa juga dikehendaki mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM (bagi akaun-akaun baharunya),” kata Mohd Azman.

    Tambahnya, mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya, serta menghubungi pihak bank tentang transaksi terbabit.