Author: Bernama

  • Imigresen diarah siasat dakwaan pegawainya ditengking di KLIA – Hamzah

    Imigresen diarah siasat dakwaan pegawainya ditengking di KLIA – Hamzah

    JABATAN Imigresen telah diarah menyiasat dakwaan pegawainya ditengking dan diherdik oleh seorang pegawai tinggi kerajaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah memanggil Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan memintanya menjalankan siasatan berhubung perkara itu supaya mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar.

    “Walaupun benda telah tular tapi kita kena dapatkan berita yang jelas, saya tidak mahu ia dijadikan sesuatu yang mungkin boleh merosakkan imej sesiapa.

    “Punca saya tidak tahu, tapi berita (insiden pegawai imigresen ditengking) telah sampai pada saya. Oleh itu, saya minta dia siasat dengan lebih mendalam supaya dapat berita lebih jelas apa yang berlaku,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri malam tadi.

    Beliau meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

    “Kita tidak boleh lari daripada isu macam ini kerana video semua telah ada. Kalau betul ia berlaku, saya akan jelaskan nanti,” katanya. 

    Terdahulu, dalam insiden pada 8.40 hingga 9.40 pagi tadi, seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan. – Bernama

  • Enakmen AntiLompat Parti Pulau Pinang sah, berperlembagaan

    Enakmen AntiLompat Parti Pulau Pinang sah, berperlembagaan

    PANEL tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.

    DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

    Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

    Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun berkata peguam perayu telah berhujah bahawa undang-undang tidak boleh menjejaskan hak mereka untuk berpersatuan seperti dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan dalam hal ini, pergantungan ketara diletakkan ke atas keputusan Mahkamah Agung dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & satu lagi melawan Nordin Salleh & satu lagi.

    Beliau berkata bagaimanapun, peguam responden pula berhujah enakmen Perkara 14A adalah bagi menangani isu berkaitan kelayakan keahlian DUN iaitu perkara yang dibincang dalam Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan dan setiap DUN diberi kuasa untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing untuk menangani isu tersebut.

    Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata keupayaan seorang ADUN menukar keahlian parti politik atas apa jua alasan, tidak termasuk dalam hak peribadi seorang warganegara untuk berpersatuan sebagaimana yang dibayangkan dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    “Kami berpendapat bahawa syarat kelayakan bagi keahlian DUN adalah perkara yang berkaitan dengan demokrasi berparlimen dan tidak melibatkan hak peribadi individu yang dipilih sebagai wakil rakyat atau pilihan untuk berpersatuan dengan parti politik tertentu atau pihak di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    “Atas alasan-alasan ini, kami mendapati kes Nordin Salleh yang menyatakan bahawa wakil rakyat berhak menukar parti politik sebaik sahaja dipilih sebagai hak berpersatuan di bawah Perkara 10(1)(c) adalah tidak tepat dari segi perlembagaan. Justeru, keputusan dalam kes Nordin Salleh berkaitan isu ini adalah diketepikan,” katanya.

    Tengku Maimun berkata mahkamah berpandangan bahawa sebaik sahaja seorang wakil rakyat menang atas tiket parti politik yang dipilihnya, ini bermakna beliau telah menggunakan hak berpersatuan dengan bertanding atas tiket parti politik itu.

    “Sebaik berada di Parlimen atau DUN, sifat berpersatuan seorang wakil rakyat adalah berbeza kerana beliau kini tertakluk kepada parti politik yang telah dipilih untuk bertanding selepas menerima mandat daripada pengundi yang mengamanahkan jawatan itu kepadanya,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.

    Panel itu turut mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meneruskan perbicaraan kes tersebut selaras dengan penghakiman hari ini atau mengikut lunas undang-undang.

    Perayu diwakili peguam Datuk DP Naban, Rosli Dahlan, Chetan Jethwani dan Siva Kumar Kanagasabai manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili responden. – Bernama

  • Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    Tiga kali rumah Zalina diperiksa polis, tiada petunjuk baharu

    POLIS belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kes kehilangan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sehingga kini pihaknya telah melakukan tiga kali pemeriksaan ke atas rumah wanita tersebut.

    “Pemeriksaan terakhir dilakukan di rumah orang hilang (OH) pada 28 Julai lalu namun tiada petunjuk dan penemuan baharu,” katanya yang dihubungi hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Bahagian Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

    Dilaporkan, polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina Shaharah, 58, atau dikenali sebagai Zalina Azman daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis mempercayai Zalina Shaharah masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.- BERNAMA

  • 23 guru alami tekanan dipanggil kaunseling

    23 guru alami tekanan dipanggil kaunseling

    SERAMAI 23 guru yang dikenal pasti mengalami tekanan akan dipanggil untuk melalui proses tertentu termasuk kaunseling, bagi meningkatkan motivasi mereka dan pulih daripada gangguan emosi yang dialami.

    Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata kesemua mereka itu dikenal pasti menghadapi tekanan menggunakan Saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), untuk mengukur tahap stres dan kemurungan dalam kalangan guru di Melaka.

    “Sebilangan mereka berada dalam tekanan bukannya disebabkan bebanan tugas, tetapi disebabkan faktor di luar tempat kerja seperti menghadapi masalah di rumah, kewangan dan keluarga.

    “Kita telah mengenal pasti semua guru yang terlibat, seperti yang diminta Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk  bantu mereka ini keluar daripada permasalahan yang dihadapi,” katanya kepada media di Krubong di sini hari ini.

    Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri (MSSN) Melaka, di Dewan Komuniti Sukan Krubong.

    Mengulas lanjut Rais berkata pihaknya tidak akan mendedahkan kepada masyarakat apakah masalah yang dihadapi mereka, namun pihaknya akan memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membantu kesemua guru itu.

    “Insya-Allah, saya sendiri akan memantau apakah statusnya dan saya amat berharap tekanan yang dihadapi para guru-guru ini, dapat dikurangkan segera,” katanya. 

    Kesemua 23 guru (3.54 peratus) yang dikesan berada tahap tertekan (stres) itu, merupakan dalam kalangan seramai 648 orang daripada 13,976 guru di Melaka, yang dikenal pasti menghadapi tekanan melalui saringan DASS, manakala 28 orang (4.32 peratus) berada pada tahap kemurungan .

    Pada 27 Julai lepas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengarahkan JPN Melaka menyiasat punca 648 daripada 13,976 guru di negeri itu, yang menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat.

    Beliau yang memandang serius laporan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu laporan lengkap berhubung perkara itu dibentangkan kepadanya, sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan.- BERNAMA

  • Rafizi, Amirudin dilantik Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Selangor

    Rafizi, Amirudin dilantik Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Selangor

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan yang baharu sementara Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Selangor.

    Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama kesemua Ketua Cabang PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan petang tadi.

    Beliau berkata mesyuarat berkenaan diadakan bertujuan untuk memuktamadkan proses pelantikan Pengerusi MPN yang baharu.

    “Saya percaya pelantikan ini akan dapat membantu Keadilan mempercepat kesiapsiagaan parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi. – Bernama

  • PDRM kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

    PDRM kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

    KEPUTUSAN berhubung pertukaran sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.

    Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah membuat semakan dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, dan dimaklumkan bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini.

    Menurut kenyataan itu Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah.

    “PDRM menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM berhubung perkara itu. 

    Beliau juga meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.

    “Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak, tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

    “Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi sebelum ini dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak. – Bernama

  • Pegawai SPRM tak siasat sumber pendapatan Syed Saddiq sebelum jadi menteri

    Pegawai SPRM tak siasat sumber pendapatan Syed Saddiq sebelum jadi menteri

    SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa beliau tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum menjadi menteri, ketika mengendalikan kes pengubahan wang haram yang dihadapi Ahli Parlimen Muar itu.

    Asbi Munip, 32, berkata ini kerana siasatannya hanya tertumpu kepada pemindahan wang RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik Syed Saddiq.

    “Berdasarkan siasatan saya, YB Syed Saddiq telah melakukan dua pemindahan wang, masing-masing sebanyak RM50,000 pada 16 Jun dan 19 Jun 2018 ke dalam akaun ASB miliknya,” katanya semasa disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, pada perbicaraan bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Disoal Gobind, adakah saksi itu mengetahui sumber pendapatan anak guamnya sebelum menjadi menteri?, Asbi menjawab beliau mengetahui Syed Saddiq pernah menjadi tutor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

    Bagaimanapun, Asbi tidak mengingati bahawa Syed Saddiq pernah menjadi pensyarah debat Bahasa Inggeris, jurulatih debat UIA dan kolumnis beberapa portal.

    Gobind: Tuan Asbi tidak bertanya kepada YB Syed Saddiq? Ini soalan asas kepada kes AMLA (pengubahan wang haram).

    Asbi: Saya hanya fokus kepada siasatan saya berhubung pemindahan wang.

    Asbi kemudian bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq sebelum menjadi menteri dalam menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-29 itu juga berkata beliau tidak menyiasat jumlah perbelanjaan yang dibiayai dahulu oleh Syed Saddiq untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Ditanya Gobind, dalam pembelaan Syed Saddiq menyatakan bahawa wang RM120,000 adalah untuk menggantikan wang yang telah didahulukannya untuk kempen PRU14, Asbi menjawab, “Saya hanya menyiasat berhubung wang RM100,000”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan bertanyakan kepada saksi itu, bagaimana dia pastikan wang RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq masuk ke dalam akaun ASB milik Syed Saddiq.

    “Terdapat kemasukan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise menerusi empat transaksi ke dalam akaun Maybank YB Syed Saddiq.

    “Saya juga mengesahkan dengan pegawai ASB bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM100,000 ke dalam akaun ASB YB Syed Saddiq, selain memastikan akaun Maybank itu adalah millik YB Syed Saddiq,” jawab Asbi.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 22 Ogos ini.

    • Bernama
  • Jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan – PM

    Jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan – PM

    RANGKA tindakan dan jawatankuasa mengenai isu gelandangan akan diwujudkan untuk menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut memandangkan kini tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian serta pengendalian golongan itu di negara ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dipengerusikannya serta dihadiri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat di Putrajaya, hari ini.

    Selain itu, beliau berkata mesyuarat bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

    “Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.

    “Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif di sebuah pusat jagaan warga emas bermula 21 Nov lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut perdana menteri pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan.

    Ismail Sabri berkata kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.

    Katanya sejak DPTN diperkenalkan pada 2016, jumlah pusat tahfiz berdaftar telah meningkat daripada 571 kepada 1,208 tahun ini.

    Beliau turut meminta kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersama-sama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan serta pusat tahfiz mendapatkan kelulusan beroperasi demi menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terutama golongan rentan.

    “Contohnya, isu penukaran status tanah pertanian kepada tanah komersial bagi membolehkan pusat-pusat ini beroperasi dengan sah,” katanya.

    Mengenai Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan, Ismail Sabri berkata ia merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuklah pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.

    Katanya kini definisi golongan rentan diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.

    Menurut perdana menteri penubuhan jawatankuasa itu bertujuan merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian serta penganiayaan dan keahliannya diperluaskan kepada NGO yang berkaitan.

    “Kerajaan juga telah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

    “Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana,” katanya.- BERNAMA

  • Dua individu didenda RM30,000 miliki minyak masak tanpa lesen

    Dua individu didenda RM30,000 miliki minyak masak tanpa lesen

    DUA individu masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 7,135 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, tahun lepas.

    Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu ke atas Yeo Yi  Jin, 25; dan R. Jeevakumar, 48; selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh itu menjalani hukuman penjara setahun sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan. Kedua-duanya membayar denda itu.

    Mereka didakwa telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 7,135 kilogram minyak masak dalam keadaan yang menimbulkan syak.

    Mereka itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis di Taman Equine, Seri Kembangan pada 9.30 malam, 12 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, hasil siasatan pihak berkuasa mendapati premis tersebut telah disewakan oleh Yeo dan digunakan oleh Jeevakumar untuk menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dengan persetujuan wanita itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Nor Alimah Mohd Sanusi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk R.Thri Chelvam. – Bernama

  • Prosiding hina mahkamah terhadap Lokman Adam ditangguh, DPP dijangkiti COVID-19

    Prosiding hina mahkamah terhadap Lokman Adam ditangguh, DPP dijangkiti COVID-19

    PROSIDING menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan negara pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan ke 17 Ogos selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dijangkiti COVID-19.

    DPP Mohd Isa Mohamed memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa DPP Izalina Abdullah, yang mengendalikan kes itu sejak awal, dijangkiti virus itu semalam dan perlu menjalani kuarantin selama seminggu.

    “Oleh itu, saya memohon prosiding hari ini ditangguhkan ke hari lain,” kata Mohd Isa.

    Peguam K. Balaguru, yang mewakili Lokman tidak membantah penangguhan itu.

    Pada 30 Jun lepas, Hakim Sequerah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman setelah dia didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan negara pada perbicaraan Ahmad Zahid.

    Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan insiden membabitkan Lokman dan memohon mahkamah mengenakan tindakan menghina terhadap ahli politik berusia 49 tahun itu. – Bernama